Thursday, June 24, 2010

Kelebihan Bulan Rejab


FADILAT BULAN REJAB

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 1 hari pada bulan Rejab seperti puasa 40 tahun dan diberi minum air dari syurga"

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 1 hari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya (sepanjang umurnya)."

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 3 hari dalam bulan Rejab, dijadikan parit yang panjang yang menghalangkan dia ke Neraka (panjangnya setahun perjalanan)"

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Sesiapa berpuasa 3 hari ada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya (berjaga)seperti dia berpuasa 3,000 tahun,diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya,70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Quran dinaikkan ke langit) 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan,70 hajat ketika berlalu di atas titi Sirotolmustaqim."

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 4 hari dalam bulan Rejab akan diafiatkan dia daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar, dan daripada fitnah dajal pada hari Kiamat."

Rasullullah s.a.w. bersabda,
"Puasa 5 hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur."

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 6 hari pada bulan Rejab, keluar dari kubur bercahaya mukanya."

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 7 hari dalam bulan Rejab akan ditutup daripadanya 7 pintu Neraka."

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 8 hari dalam bulan Rejab akan dibuka baginya 8 pintu Syurga."

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 9 hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu tidak ditolak dia dari masuk Syurga."

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 10 hari pada bulan Rejab, dijadikan 2 sayap, terbang seperti kilat diatas titian Sirotolmustaqim pada hari Kiamat."

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 10 hari pada bulan Rejab, Allah akan menjadikan baginya hamparan perhentian di titian Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu."

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 15 hari pada bulan Rejab adalah sama seperti berpuasa 100,000 tahun."

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 16 hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga,dan akan menjadi orang yang pertama menziarahi Allah didalam Syurga."
Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 19 hari pada bulan Rejab akan dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Ibrahim dan Nabi Adam."

Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Maka mulailah beramal barang yang tinggal daripda umurnya (pembaharuan umur)."

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa bulan Rejab, wajib baginya diampunkan dosanya yang lalu, dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal dan terlepas dari dahaga pada hari Kiamat."

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa pada awal Rejab,pertengahan dan akhirnya seperti berpuasa sebulan pahalanya"

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebuku roti"

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Sesiapa melapangkan kekeruhan, kesusahan dan kepicikan orang Mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus"

Rasullullah s.a.w. bersabda,
"Bulan Rejab Syahrullah (bulan Allah) diampunkan dosa orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah."

SESUNGGUH NYA KEJAYAAN KITA DUNIA DAN AKHIRAT BERGANTUNG SEJAUH MANA KITA DAPAT MENTAATI PERINTAH ALLAH S.W.T DAN MENGIKUT JEJAK LANGKAH YANG DITUNJUKI OLEH BAGINDA RASUL S.A.W.

Tuesday, June 22, 2010

Memiliki Syurga Dunia




Tip Memiliki Syurga Dunia

1.Menjaga keberkatan.
2.Memanjakan pasangan dengan panggilan yang disukai
3.Selalu berkongsi rasa dan cinta
4.Bersegera memenuhi permintaannya
5.Setia mendampinginya.
6.Memberikan penjelasan dan menuturkan kata-kata manis.
7.Bersedia mengubah perilaku atau tabiat kebiasaan.
8.Menghidupkan salam.
9.Menelefon untuk menyatakan rindu.
10.Sering mengngkapkan perasaan cinta.
11.Tidak lokek mengucapkan terima kasih.
12.Bergurau senda dan bercanda.
13.Memuji dan menyanjung.
14.Mencipta syair atau puisi istimewa.
15.Memberi penghargaan dengan ikhlas.
16.Saling berkirim email, sms.
17.Memberi hadiah.
18.Berpisah sementara dan menikmati rindu.
19.Membantu pekerjaan rumahtangga.
20.Berhias.
21.Melayan dengan baik.
22.Memberi perhatian kepada keluarga mentua.
23.Memberi ucapan selamat jalan dan selamat pulang.
24.Memujuk pasangan apabila dia sedang beremosi.
25.Mencintainya sepenuh hati dan mempamerkannya.
26.Mengunjungi kerabat dan sahabat.
27.Mengambil berat ketika dia sakit.
28.Meminta pertolongan dengan cara yang baik.
29.Disiplin terhadap waktu
30.Keseimbangan terhadap waktu ketika di rumah.
31.Berakhlak baik.
32.Berpada dan reda dengan apa yang ada.
33.Taat pada pasangan.
34.Menunjukkn contoh yang baik.
35.Selalu menambah rasa cinta.


*Cintakan bunga...bungakan layu
Cintakan manusia...manusia kan mati
Cintakan dunia...dunia kan kau tinggalkan
Cintakan Illahi...CINTA YANG SEJATI

"Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan ingatlah, Allah maha Pengampun, lagi Maha mengasihani.(Ali imran : 31)

Hidupkan kami dalam cinta itu
Matikanlah kami dalam cinta itu
Pulangkan kami dengan cinta itu
Ke pangkuan-Mu...

Saturday, June 19, 2010

Doa Cinta Kami




Ya Allah,
Andai Kau berkenan, limpahkanlah rasa cinta kepada kami,
Yang Kau jadikan pengikat rindu Rasulullah dan Khadijah Al Qubro
Yang Kau jadikan mata air kasih sayang
Ali bin Abi Thalib dan Fatimah Az Zahra
Yang Kau jadikan penghias keluarga Nabi-Mu yang suci.

Ya Allah,
Andai semua itu tak layak bagi kami,
Maka cukupkanlah permohonan kami dengan redhaMu
Jadikanlah kami Suami & Isteri yang saling mencintai di kala dekat,
Saling menjaga kehormatan dikala jauh,
Saling menghibur dikala duka,
Saling mengingatkan dikala bahagia,
Saling mendoakan dalam kebaikan dan ketaqwaan,
Serta saling menyempurnakan dalam peribadatan.

Ya Allah,
Sempurnakanlah kebahagiaan kami
Dengan menjadikan perkawinan kami ini sebagai ibadah kepada-Mu
Dan bukti ketaatan kami kepada sunnah Rasul-Mu.

Amin

Ya Allah,
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul untuk mencurahkan cinta hanya kepada-Mu, bertemu untuk taat kepada-Mu, bersatu dalam rangka menyeru [di jalan]-Mu, dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu maka kuatkanlah ikatan pertaliannya.

Ya Allah,
Abadikan kasih sayangnya, tunjukkanlah jalannya dan penuhilah dengan cahaya-Mu yang tidak pernah redup, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakal kepada-Mu, hidupkanlah dengan ma’rifat-Mu, dan matikanlah dalam keadaan syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Dan semoga shalawat serta salam selalu tercurah kepada Mudammad SAW, kepada keluarganya dan kepada semua sahabatnya.


Ya Allah,
Tanggal 14hb Jun 2010, dua hamba-Mu yang dhaif mematri janji dalam Mitsaqan Ghaliza di hadapan kebesaran-Mu. Kami tahu tidak mudah untuk memelihara ikatan suci ini dalam naungan ridha dan maghfirah-Mu. Kami tahu, amat berat bagi kami untuk mengayuh perahu rumah tangga kami menghadapi taufan godaan di hadapan kami. Karena itulah, kami datang memohon Rahman dan Rahim-Mu.


Tunjukilah kami jalan yang lurus, jalan orang-orang yang lebih Engkau anugerahi kenikmatan, bukan-nya jalan orang-orang yang Engkau timpai kemurkaan, bukan pula jalan orang-orang yang Engkau tenggelam dalam kesesatan. Sinarilah hati kami dengan cahaya petunjuk-Mu.


Terangilah jalan kami dengan sinar taufik-Mu. Kalau Engkau berkenan menganugerahkan nikmat-Mu atas kami, bantulah kami untuk banyak berzikir dan bersyukur atas nikmat-Mu itu. Hindari kami dari orang-orang yang terlena dalam kemewahan dunia. Lembutkan hati kami untuk merasakan curahan rahmat-Mu.


Ya Allah,
Indahkanlah rumah kami dengan kalimat-kalimat-Mu yang suci. Suburkanlah kami dengan keturunan yang membesarkan asma-Mu. Penuhi kami dengan amal soleh yang Engkau redhai. Jadikan mereka Ya Allah teladan yang baik bagi manusia.


Ya Allah,
Damaikanlah pertengkaran di antara kami, pertautkan hati kami, dan tunjukkan kepada kami jalan-jalan keselamatan. Selamatkan kami dari kegelapan kepada cahaya. Jauhkan kami dari kejelekan yang tampak dan tersembunyi.


Ya Allah,
Berkatilah pendengaran kami, penglihatan kami, hati kami, suami/isteri kami, keturunan kami dan ampunilah kami.


Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

*Doakan kebahagiaan kami...

Kami yang mengharap :
Mohd Azhar & Khaujah Rubiyah..

Sunday, May 30, 2010

Panas yang Membahang...



Bismillah walhamdulillah, segala pujian selayaknya untuk Rabbul Jalil atas nikmat iman dan Islam yang begitu berharga..

Bahang panas di tanahair mengingatkan ana bahang musim saifi di Mesir yang benar mencabar dan menguji ketahanan fizikal dan mental.Musim saifi ini juga mengingatkan bahang imtihan yang melanda penuntut ilmu Allah di ardhil kinanah.

Selalunya di musim saifi ini kedai 'asir (jus) selalu menjadi tumpuan.Asir manggo biasanya menjadi pilihan, tak pun tamar hind yang dicicipi buat penghilang dahaga dan letih pulang dari imtihan..

Mujurlah di Malaysia ini dapat juga minum 'asir,'asir rumman penghilang dahaga dan peneman bila menanda kertas jawapan pelajar..Sabar jela..Sesiapa yang berminat untuk mencicipi 'asir rumman yang diimport dari Iran ini bolehlah dapatkan di SMAAM (stokis Mersing) tapi boleh juga melalui:

Sirul Asrar Enterprise,(Headquater and Showroom) di PT11213 Jln BBN 6/1N,Taman Desa Cempaka,71800 Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.
atau hubungi Azwan (019-4141417) dan Azhar (019-3614288)

Semoga Berbahagia Sahabatku...


Puisi buat mempelai Ukhti Norfuzidah Jenal dan suami..

Ketika memasuki dunia baru
Katakanlah, dunia itu dunia kita
Dimana dunia itu akan diwarnai bersama
Menjadi syurga pengantin penuh kasih

Sejurus kusampaikan doa
Untuk saudaraku yang bahagia
Memasuki dunia baru penuh cinta
Menggapai kasih karena Illahi

Ya Allah,
Hadirkan diantara mereka cinta abadi karena MU
Jauhkan dari mereka cinta yang membuat lupa pada MU

Ya Allah,
Berikan mereka kasih sayang MU
Seperti kasih sayang MU pada Rasulullah
Seperti kasih sayang Rasulullah pada umatnya

Ya Allah,
Kurniakan mereka penerus di jalanMU
Kurniakan mereka kebahagian dan cintaMu

amien...


*Alf mabruk buat sahabatku, Norfuzidah Jenal dan pasangannya Khairul ariffin yang selamat diijabkabulkan semalam..Macam tak percaya kak ngah dah jadi suri orang ye..sekejapnya masa berlalu, teringat kenangan kita sama-sama menyambung pengajian ke sekolah arab selepas SPM..Ana doakan kak ngah bahagia hingga ke syurga...

Wednesday, May 26, 2010

Malaysia Hari Ini...




KUALA LUMPUR, 26 Mei - Dewan Pemuda PAS (DPPP) akan mengedarkan risalah membantah judi kepada pengunjung premis judi di seluruh negara bermula hari ini.



Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pemuda akan ditempatkan di hadapan premis judi secara bergilir-gilir mengikut shif sehinggalah kerajaan membatalkan judi bola sepak Piala Dunia 2010 bermula Jun ini.


Menurutnya juga, DPPP mengajak semua insan yang anti- judi dan prihatin dengan kemungkaran ini bersama-sama mereka mengedarkan risalah berkenaan.


"Bermula hari ini sehingga lesen judi dibatalkan, DPPP mengarahkan semua pemuda PAS dan menjemput semua insan prihatin yang anti judi supaya membuat shif secara bergilir-gilir untuk menunggu di hadapan kedai sport toto dan lain-lain premis judi di seluruh negara untuk mengedarkan risalah bantah judi kepada pelanggan atau pengunjung premis perjudian tersebut," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau juga memberitahu, risalah berkenaan juga boleh didapati di blog Gerakan bantah Judi di http://bantahjudi.wordpress.com.


Dalam perkembangan lain, di peringkat zon timur, DPP kelantan Jumaat ini akan mengadakan demontrasi membantah lesen judi dan mendesak Timbalan Menteri Kewangan, Dr. Awang Adek Hussin meletakkan jawatan.


Bantahan itu akan diadakan di perkarangan Masjid Kampung Repek, Bachok selepas solat Jumaat.


Ia akan turut disertai Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa yang juga ahli parlimen Bachok, timbalan DPPP Azman Shapawi Abdul Rani dan ketua DPP Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman.


Manakala di zon Selatan pula, bantahan sama akan diadakan perkarangan Masjid Al Azim, di bandar Melaka.

*Apabila syariat Allah tidak ditegakkan..

Sunday, May 23, 2010

Sambutan Hari Guru SMAAM





Bismillah walhamdulillah... segala pujian selayaknya untuk Rabbul Jalil.Bersempena dengan Hari Guru baru-baru ini, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) SMAAM telah pun menyusun satu program khusus untuk para guru.

Majlis dimulakan dengan solat hajat dan bacaan yasin melibatkan para guru dan pelajar.Acara diteruskan dengan beberapa acara permainan yang telah diatur khusus untuk para guru.

Di antara acara yang menarik untuk guru-guru wanita ialah Isyarat Manja, Bebola Cinta, Sambungan Cinta dan Rebut-rebut Manja.Alhamdulillah kumpulan ana, cikgu awin dan cikgu Ros telah mendapat johan bagi acara yang dipertandingkan.Sambutan kali ini juga turut mempersembahkan persembahan silat oleh Ketua Pelajar, Anis Aslahudin dan suhaidi.Persembahan ini mendapat tepukan gemuruh dan mencuit hati para penonton.Hmm berbakat juga kamu berdua ini ye.Selain daripada itu, turut diadakan persembahan sajak oleh tiga orang pulajar puteri anis, farhana dan fatimah serta persembahan nasyid oleh Shoutu As Syabab.Tahniah buat kalian.

Pada sambutan Hari Guru kali ini juga diadakan Anugerah Khas Untuk Guru Paling Lama Berkhidmat dan Cemerlang.Tahniah buat Ustazah Salmah dan Ustazah Maimunah (kedua-duanya juga adalah guru ana sewaktu belajar di SMAAM dahulu) kerana terpilih.Hanya Allah yang dapat membalas jasa yang kalian curahkan.

Syabas dan terima kasih buat barisan MPP, Pengawas dan pimpinan pelajar yang lain kerana bertungkus lumus mengadakan program seumpama ini.Kami barisan guru mendoakan agar kalian berjaya di dunia dan akhirat.

Tuesday, May 18, 2010

Istimewa Buatmu...




Bismillah walhamdulillah..Segala kesyukuran dirafa'kan ke hadratNya atas nikmat yang tidak ternilai.

Alhamdulillah kali ini Allah berikan lagi pengalaman baru untuk diri ini apabila sekali lagi ditaklifkan oleh Ustazah Norizan untuk meyediakan kek sempena sambutan Hari Guru peringkat SMAAM.

Ana terima taklifan ini untuk menghasilkan sesuatu yang boleh ana kenang jika ana sudah tidak berkhidmat di sini lagi..Berkat bantuan semua especially cik lina yang memberikan resepi kek oren kepada ana (tak pernah lg buat kek sekembali dr mesir dan sebelum ni pernah buat di mesir shj)

Alhamdulillah, akhirnya 8 biji kek oren dapat disiapkan..'Mission' yang seterusnya pula ialah bagaimana nak hias kek ni ye?Mujurlah najihah,asma' dan shaliza ada memberikan idea(terima kasih kerana membantu ustazah)

Dan akhirnya inilah kek yang berjaya dihasilkan..Istimewa buatmu guruku...selamat hari guru..

nasyid ini ditujukan buat semua warga pendidik SMAAM:

LILIN SEORANG GURU...

Pernah langkah ku payah
menuju ke destinasi
kerana malam gelap
dan bintang hilang kerdipnya
menjadikan arahku keliru
ke timur atau ke barat
bagai lilin membakar diri
menerangi kegelapan hati
kau curahkan bakti dan budi
jasamu tiada pengganti


namun tanpa rasa payah
dia memimpin tanganku
melangkah satu persatu
dan mencipta jejak impian
menjadikan arahku jelas
aku mahu terus ke hadapan

oh..aku kini rindu
pada satu nama yang berjasa
Tuhan beri kekuatan
untuk mendidikku selamanya
ku pohon..restu kasihmu
ampunkanlh guru-guruku..

semalam ku lihat dia
di bibirnya ada kalimah
yang bergetar saban waktu
sambil tangan menggenggam diri
lilin yang tiada terpadam
menerangi hidupku kini...


"Guru pembina Bangsa dan Negara"

Sambutan Maulidur Rasul SMAAM




Bismillah walhamdulillah, sambutan Malidur Rasul baru-baru ini berjalan dengan lancar dan seperti yang dirancangkan.Program bermula dengan persembahan nasyid dan choral speaking (bahasa arab) oleh pelajar-pelajar sekolah rendah (sesi petang) dan juga marhaban dan berzanji oleh pelajar-pelajar sekolah menengah (pagi).

Majlis diteruskan dengan solat asar berjemaah di Musolla ar Rasyidin.Selepas itu, sambutan kali ini dimeriahkan lagi dengan perarakan beramai-ramai bermula dari SMAAM, menyusuri pantai mersing di sekitar kawasan tanjung dan kembali semula ke SMAAM.

Acara kemuncak adalah Ceramah Perdana pada sebelah malamnya oleh al fadhil Us Azman Mohsin, Kadi Johor Bharu.Alhamdulillah, sambutan kali ini bukan sahaja mendapat sambutan warga SMAAM malah penduduk tempatan juga.

Moga sambutan ini bukan sahaja sebagai tanda ingatan kita terhadap Rasulullah malah dapat mengeratkan lagi ukhuwwah sesama kita, umat Islam.

Thursday, May 13, 2010

Memilih Kawan @ Teman?




Imam Al-Syafie banyak memberi pedoman dalam memilih kawan. Beliau juga mengakui sukar mencari sahabat sejati yang mahu berkongsi suka duka bersama. Ketika menilai sahabat sejati pada waktu susah, katanya:

“Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan.

Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.

Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku.

Ku kunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia".

Imam Al-Syafie turut meminta kita berhati-hati memilih sahabat kerana sahabat yang baik akan membawa ke arah kebaikan dan begitu sebaliknya. Katanya:

“Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat.

Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras. Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tidak sopan. Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.

Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia.

Seseorang itu juga dapat menundukkan musuhnya dengan menunjukkan rasa persahabatan".


Imam Al-Syafie dalam hal ini berkata:

“Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan.

Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan.

Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.”

Monday, May 10, 2010

To Sharpen...



Bismillah walhamdulillah, segala puji selayaknya untuk Rabbul 'Alamin yang sentiasa mencurahkan rahmat dan kasih sayangNya kepada hamba yang sentiasa mengharap akan redhaNya.

Dalam melunas bebanan amanah, kadang-kadang diri lelah dalam safar kehidupan lantas diri perlukan sesuatu untuk menjadi injeksi nubari..Alhamdulillah, akhirya bertemu dengan sesuatu yang mampu memberi suntikan baru dalam memuhasabah diri dan mengemudi hati dan nafsi.

Benarlah seperti wahyu pertama yang diturunkan kepada Baginda Nabi Junjungan, nabi Muhammad SAW, bacalah..hanya dengan membaca kita dapat mencerna ilmu..Buku yang dibaca kali ini benar-benar memberikan satu pengalaman baru yang mungkin tak ditemui di dalam buku-buku yang lain.

Alhamdulillah, rasa bertuah dapat membaca kedua-dua buku ini, rujukan untuk kemudi rumahtangga dan mentarbiyah diri.Jazakallah khair buat akhi yang sudi meminjamkan buku ini dan bersusah payah mengirimkan buku ini buat bacaan bersama(credit for u)

Buku Murabbi Cinta karya Ustaz hasrizal kali ini adalah lanjutan daripada buku Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Hingga ke Syurga.Buku ini masih mengekalkan gaya santai dan pendekatan bercerita yang disulami rencah kehidupan realiti di alam rumahtangga.Pendekatan psikologi yang penuh hikmah dikongsi bersama pembaca dalam mencipta cerita di dalam dunia sendiri.

Buku ini juga mengajak kita untuk kembali kepada fitrah penciptaan cinta yang cukup suci.Ke manakah dan bagaimanakah kita seharusnya meletakkan nikmat cinta ini selayaknya?Sudah tentu kita perlukan 'murabbi' untuk memandu ke arah itu!

Buku Secangkir Teh Pengubat Letih pula adalah naskhah yang merakamkan catatan kembara Abu Saif di bumi khilafah Othmaniyyah, pada mengenal hati budi kenalan dan teman, yang sudah lama berkongsi persaudaraan atau yang disapa di pinggir jalanan.

Semua itu adalah cara Allah mendidik untuk melihat Islam dengan penuh yakin bahawa sehitam mana pun gelapnya malam, sentiasa ada kunang-kunang meminjamkan cahaya, bekal menanti sirnanya gelita, hingga terbit fajar janjiNya..

Terasa diri benar-benar mengembara bersama-sama penulis ke seluruh pelusuk Turki!

Saturday, May 08, 2010

Selamat Hari Ibu...



Hutangku Pada Ibu…

Kekadang terasa ditusuk rasa nan gelisah
Pada wajahmu yang menanggung resah
Laut keringatmu yang membanting tenaga
Dan getir mujahadahmu di kelelahan jiwa
Dari buaianku hinggalah dewasa

Kini aku terpaku dalam lelahan safar kehidupan
Meneguk kesusahan…
Ujian demi ujian
Entahkan bila reda

Ibu…
Cuba kupadam hitam yang mencalar semalam
Tika kugamit cerah esok yang masih berbalam
Dan hari-hariku ini..
Yang terus-terusan mencengkam

Ibu…
Apakah aku terlalu
Pada deritamu yng aku relakan
Pada jerit batinmu yang aku pekakkan
Pada sengsara jiwamu yang tak pernah
Aku belaikan…

Ibu…
Hutang anakmu ini sudah terlalu!


*Selamat hari ibu buat bondaku tersayang, Zabariah Abas al Hajj

Teks Pidato


PUTERI SOLEHAH PENJANA KECEMERLANGAN UMMAH

الحمد لله رب العالمين واصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين فأما بعد...

Sejambak kasih seharum kasturi buat peneraju acara, jemaah hakim budiman, dif-dif kehormat seterusnya sidang pendengar santri warisan negara sekalian.Assalamualaikum w.b.t dan salam Satu Malaysia. “Puteri Solehah Penjana Kecemerlangan Ummah”.Mauduk mudah yang mungkin ringkas.Namun penuh intipati yang perlu kita rungkaikan bersama.
Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, puteri bermaksud kaum wanita manakala solehah pula ialah perempuan yang taat dan patuh kepada perintah Allah, penjana pula bermaksud menghidupkan, kecemerlangan membawa maksud kegemilangan, dan ummah pula ialah umat Islam keseluruhannya.Frasa puteri solehah penjana kecemerlangan ummah boleh ditakrifkan sebagai suatu usaha melahirkan seorang wanita solehah yang berperanan untuk menghidupkan kembali kegemilangan umat Islam.

Dr Yusuf al Qardhawi di dalam majalah “al Ummah” bilangan 66, Februari 1986 ada menyatakan bahawa suara pertama dari kaum wanita dalam menguatkan dakwah dan risalah Muhammad SAW ialah suara Khadijah Binti Khuwailid r.a kepada Rasulullah SAW :
“Demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakan engkau sama sekali.Sesungguhnya engkau menghubungkan silaturrahim sesama manusia, keluarga dan melakukan kerja berat, memberi kepada orang yang memerlukan serta menolong orang-orang yang derita.”

Warga dewan yang budiman,
Dengarkan indikator saya dibawah rangkai kata puteri solehah yang beriman.Iman adalah perisai yang ampuh untuk menghadapi apa jua tribulasi mendatang tambahan pula kita berada pada zaman jahiliyyah moden.Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah apabila disebutkan nama-nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan sahaja mereka bertawakal.” (al Anfal:2)
Iman yang mapan mampu melahirkan seorang puteri yang bukan sahaja solehah malah mempunyai peribadi yang unggul, berani mempertahankan kebenaran, berjiwa besar dan lain-lain lagi.

Hadirin yang dimuliakan,
Puteri solehah yang berilmu.Ilmu pengetahuan dianggap lebih utama daripada ibadah kerana manfaat ibadah hanya memberi kepada pelakunya sahaja sedangkan manfaat ilmu pengetahuan adalah untuk manusia yang lebih luas.Atas dasar itu, di dalam beberapa hadis ada menyebutkan, mafhumnya:

“Keutamaan ilmu pengetahuan itu ialah lebih aku cintai daripada keutamaan ibadah dan agamamu yang paling baik adalah sifat warak.”

“.Kelebihan orang yang berilmu ke atas orang yang beribadah ialah bagaikan kelebihan bulan purnama atas seluruh bintang gemintang .”

Ini bersesuaian dengan kehendak kerajaan yang ingin melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.Selain bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Negara yang mahukan keseimbangan dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek.Maka dengan ilmu, seorang puteri solehah mampu mengembalikan semula kegemilangan umat Islam.

Tidak tutup pintu, ayam patuk padi, tidak tutup buku macam mana saya hendak khatam lagi?Justeru dengarkan pula indikator saya yang ketiga iaitu puteri solehah yang berakhlak.Akhlak yang mulia adalah tanda dan hasil dari iman yang sebenar.Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak.Akhlak juga merupakan amal paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat.Sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalnya tidak akan dipercepatkan hisab.Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:

“Tidak ada satu perkara paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba di hari Kiamat kelak lebih dari akhlak yang mulia.”

Dalam Islam akhlak merupakan intipati bagi segala ibadat.Tanpa akhlak, ibadat hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah.Apabila seorang puteri solehah mempunyai akhlak yang mulia, dia akan warak dari melakukan perkara-perkara syubhah, lemah lembut dan sabar, bersifat benar dan jujur, tawadhuk, pemurah,menjadi role model kepada orang lain dan lain-lain lagi.

Sidang pendengar yang dirahmati Allah,
Seorang puteri solehah berperanan dalam membentuk keluarga sakinah.Penyair terkenal, Ahmad Syauqi ada menyatakan di dalam syairnya “Ibu ibarat sekolah, jika kau persiapkannya, maka sesungguhnya anda sedang menyiapkan bangsa (besar) yang wangi keringatnya”

Wanita adalah guru pertama bagi sang anak, sebelum dididik orang lain.Sejak ruh ditiupkan ke dalam rahim, proses pendidikan sudahpun bermula.Bagaimana seorang ibu mampu menanamkan aqidah seawal mungkin sehingga anak meyakini bahawa kita hidup bukan ikut semahunya tetapi di sana ada pengatur, pengawas tujuan hidup, akhir dari kehidupan.Kemudian meyakini bahawa apa yang terjadi kepada kita, pasti akan kembali kepada sang Khaliq.

Apabila seorang ibu itu mempunyai agama dan berperibadi solehah, maka akan terlahirlah generasi yang beragama dan berakhlak baik juga.Ibu seperti inilah yang akan mengajarkan tuntutan agama yang telah terbiasa di dalam dirinya.Maka akan terbentuklah keluarga sakinah yang diidamkan yang nantinya akan melahirkan masyarakat muslim yang bakal menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan Negara.

Sidang dewan sekalian,
Izinkan saya meneruskan pidato saya dengan indikator yang kelima, peranan puteri solehah dalam memartabatkan agama, bangsa dan Negara.Di samping wanita sebagai ibu rumahtangga dan sebagai pendidik generasi, ia juga berperanan sebagai pendidik dan sebahagian anggota masyarakat.

Jumlah wanita di dunia ini lebih ramai daripada jumlah lelaki.Bila potensi ini tidak diarahkan dan dididik dengan baik, ia akan menjadi penghancur masyarakat, Negara bahkan dunia.Suatu masyarakat dikatakan berhasil apabila wanitanya berakhlak mulia.Wanita bagaikan mahkota, bila mahkota baik maka keseluruhannya akan kelihatan cantik dan bagus.Para tunas bangsa dan agama telah menunggu huluran tangannya.Apatahlagi, pada saat ini, umat sedang mengalami penurunan aqidah, moral dan ibadah.

Sesungguhnya wanita turut berperanan penting dalam usaha pembangunan ummah sama pentingnya dengan peranan golongan lelaki.Malahan, di dalam beberapa perkara tertentu, usaha dan jasa mereka lebih berharga misalnya sebagai suri teladan dalam melayari alam rumahtangga,Ingatlah, kata pepatah ada mengatakan “tangan yang menghayun buaian bisa menggoncangkan dunia.”

Hadirin sekalian,
Tuntasnya, untuk melahirkan seorang puteri solehah penjana kecemerlangan ummah memerlukan gemblengan tenaga padu dari semua pihak bermula dari individu itu sendiri, keluarga dan masyarakat.Justeru itu, bersama-samalah kita berusaha untuk melahirkan puteri solehah yang mampu memartbatkan Islam di mata dunia.

Gurindam jiwa bergema sudah,
Tanda pujangga sudah berlagu,
Pasakkan fakta kuberi sudah,
Tanda hamba mohon berlalu.

Sekian, wabillah…..
Wassalamualaikum…

*Teks ini disampaikan oleh Saudari Farhana Sualman dan berjaya mendapat tempat ke-2 dalam pertandingan pidato sempena Hari Puteri Islam peringkat daerah Mersing.Syukran sekali lagi buat kak Ijan yang memberi kepercayaan kepada ana untk menghasilkan teks pidato ini.dan terima kasih juga buat cikgu Ros yang membetulkan tatabahasa dan Ustaz Arif yang memberikan idea.

Sekali Sekala...




Bismillah walhamdulillah..Sebenarnya kalau nak diikutkan banyak perkara yang nak dititpkan di sini tetapi perkara yang ingin dikongsikan ialah aktiviti yang suatu waktu dahulu adalah aktiviti yang paling diminati sewaktu belajar di Mesir.
Kepuasan dalam membuat dan menghias kek adalah suatu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata..Ianya suatu aktiviti yang bolehlah dikatakan dapat “release tension” juga.

Ala Kulli hal, syukran jazilan buat Ustazah Norizan (kak Ijan) yang memberi kepercayaan kepada ana untuk membimbing Nurul Najihah dalam menghias kek.Alhamdulillah, Allah mudahkan segala-galanya dan Najihah pun terang hati orangnya dan keputusannya Najihah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan yang lalu.

*kek di atas itu adalah kek yang ana hias untuk membimbing Najihah bagaimana cara-cara untuk menghias kek..(dah lama tak buat)

Sambutan Hari Puteri Islam Mersing dan Negeri Johor








Alhamdulillah, pada 17 April yang lalu telah diadakan Hari Puteri islam peringkat daerah Mersing bertempat di sekolah Menengah Tenggaroh Alhamdulillah SMAAM telah menghantar wakil untuk semua acara melainkan koir.

SMAAM telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan Tilawah al Quran, mini gajet dan esei kreatif.Tempat kedua dalam pidato dan kolaj.SMAAM juga berpeluang ke pertandingan peringkat negeri yang telah diadakan pada 24 April lalu bertempat di Sekolah Menengah Agama Johor Jaya untuk mewakili daerah Mersing.

Dalam pertandingan tersebut , Puteri Islam daerah Mersing hanya memenangi dua acara sahaja iaitu Tilawah al Quran dan Buku Log.Walaubagaimanapun, tahniah dan syabas diucapkan kepada para pemenang terutamanya Nurul Najihah yang memenangi tempat ke -3 dalam pertandingan menghias kek walaupun hanya belajar dalam satu malam sahaja (keep your good work!)

Semoga kalian terus mencapai kecemerlangan dalam setiap perkara yang kalian lakukan..

Alfu Zikra...






Bismillah walhamdulillah, segala puji hanyalah untuk Rabbul Jalil..Alhamdulilah, Allah beri kesempatan kepada diri ini menitip sesuatu untuk entri kali ini walaupun agak ripuh sedikit mutakhir ini.

Ihtifal ilmiah yang berlangsung di SMAPR baru-baru ini bukan sahaja berpeluang mengikuti acara yang dipertandingkn malah dapat mengeratkan ukhuwwah dengan tenaga pengajar dari sekolah menengah agama yang lain yang terdiri daripada azhariah yang sudah lama tidak bertemu..Dapatlah berkongsi cerita dan pengalaman dalam mendidik anak bangsa.

SMAAM berjaya meraih kemenangan dalam sembilan acara yang dipertandingkan,alhamdulillah.Tahniah buat guru pebimbing bagi setiap acara.Bagi Debat Bahasa Arab, kami berjaya mendapat tempat ke-4 setelah mengalahkan SMAKJ pada pusingan pertama dan layak ke separuh akhir.Tetapi nasib tidak menyebelahi kami apabila tewas kepada Sekolah Arab Kota Tinggi.

Banyak yang dapat dipelajari.Terima kasih yang tidak terhingga buat Ustazah Norazean (kak N) dan Ustaz Syukri yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada diri ini.Banyak yang dapat ana pelajari daripada kalian..

Pertandingan Choral Speaking yang baru sahaja diadakan pada tahun ini telah meletakkan SMAAM sebaris dengan sekolah kerajaan yang lain(yang lebih berpengalaman) apabila berjaya memperolehi tempat yang kedua.Tahniah buat Cikgu Liza yang bertungkus lumus melatih puteri-puteri Choral kita..Ihtifal kali ini juga turut diserikan dengan pesembahan daripada saudara Azhan Atan yang cukup memukau para hadirin.

Segala kenangan pahit manis sepanjang ihtifal ini sudah pastinya tidak dapat dilupakan dan tetap segar di ingatan…majulah SMAAM untuk kegemilangan Islam..

Tuesday, April 06, 2010

Ihtifal Ilmiah


Bismillah walhamdulillah, segala pujian selayaknya untuk Rabbul ‘alamin yang masih lagi memberikan kita peluang untuk melihat lagi keindahan alam ciptaan Allah.
Nampaknya, taklifan semakin bertambah apabila diminta untuk menjadi guru pembimbing kepada debat bahasa Arab untuk Ihtifal Ilmiah Peringkat Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri Johor.Insya Allah Ihtifal Ilmiah ini akan diadakan di Sekolah Menengah Agama Parit Raja pada 9 dan 10 hb April ini.

Selepas pengundian dibuat, SMAAM akan bertemu dengan SMAKJ untuk pusingan pertama.SMAAM berada di pihak kerajaan dan SMAKJ pula di pihak pembangkang..Tajuknya adalah seperti berikut:

تعليم الرياضيات والعلوم ينبغي أن يستمر باللغة الانجليزية
(Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Perlu Diteruskan)

حظر التجول ليلراسةا للطلبة وسيلة لحد انتشار الجريمة
(Larangan Keluar Malam Faktor Sekatan Jenayah)

على ا لحكومة الاهتمام بالمتفوقين البارزين في الدراسة لبناء مستقبل البلاد الباهر
(Kerajaan Hendaklah Prihatin Terhadap Pelajar Yang Cemerlang Untuk Membina Negara Yang Cemerlang)

Jika di kalangan sahabat-sahabat ada idea bernas yang ingin dikongsi bersama,bolehlah hantar email ke qurratuaini02@yahoo.com. Doakan kemenangan kami ..

Thursday, April 01, 2010

PROMAS




Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus selama dua minggu untuk membuat persediaan menyambut kedatangan pegawai-pegawai dari Jabatan Agama Johor sempena lawatan PROMAS (Program Mesra Asrama), akhirnya pada 30hb baru-baru ini kami selamat menerima kunjungan mereka.

Mujurlah semuanya berjalan seperti yang dirancangkan.Program yang diadakan dua tahun sekali ini benar-benar menguji bukan sahaja persiapan fizikal asrama itu sendiri malah pengurusan dan pentadbiran asrama juga.

Yang lebih menariknya, tetamu dipersembahkan dengan tayangan multimedia (tahniah dan syabas untuk cikgu awin dan cikgu liyana) yang cukup menyentuh perasaan.

Mudah-mudahan hasrat SMAAM untuk mendapatkan sebuah asrama putera yang selesa dan selamat dihuni diperkenankan oleh pihak atasan..

Asrama Raudhatul Jannah, asramaku, rumahku, syurgaku.

Tuesday, March 30, 2010

Akhirnya..


Alhamdulillah, kesempatan bertandang ke Kluang baru-baru ini tidak dilepaskan begitu sahaja apabila berpeluang untuk singgah menjamu selera di RFC berhadapan dengan Kluang Mall.Sebelum ini hanya mendengar namanya sahaja sewaktu mengikuti kursus HPA di mesir pada suatu ketika dulu.

Layanan yang diberikan juga memuaskan (teringat layanan COOK DOOR Mesir).Selain rasanya yang enak , spicy dan ayam organiknya yang segar, anda pasti teruja untuk datang ke sini lagi menikmatinya bersama ahli keluarga anda yang tersayang.

Anda juga boleh membantu membangunkan ekonomi umat Islam.Bagi sesiapa yang belum menikmatinya, jangan lepaskan peluang untuk mencubanya ye..Selamat menjamu selera...

Alfun Mabruk!

Bismillah walhamdulillah, kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Illahi kerana memberi ruang dan kesempatan kepada ana untuk menghadiri walimatul arus sahabat baik sedari maahad hinggalah ke Mesir pada 28hb mac baru-baru ini.

Alfun mabruk buat Ustazah Nurhidayah dan Ustaz Hafizul Akhbar kerana selamat mendirikan masjid.Ana doakan agar antuma mampu membentuk baitul muslim yang akan membawa kepada daulah islamiyyah yang kita impikan.

Sedikit pantun buat pasangan mempelai:

Bersama bahtera aku belayar
Tujuh lautan dijarah nakhoda
Biarun luluh nayawa dikelar
Janji dipateri pasti dikota

Adat menghukum pada yang zahir
Mengukur cakap menghurai sifat
Cinta tak semestinya terungkap di bibir
Hanya makrifat akan menyingkap hakikat.

Hukama' ada mengatakan:

"Tidak perlu menunggu suami yang baik untuk menjadi isteri yang baik.Tidak perlu menunggu isteri yang baik untuk menjadi suami yang baik.Jadilah pasangan yang baik kerana diri sendiri.."

Sedikit sajak yang ditujukan khusus untuk mempelai:

Akh,
Cinta bagi ukht itu
bagaikan permata
amat berharga
bagi insan bernamanya

Ianya terlalu mahal
Ianya terlalu istimewa

Disimpannya cinta itu sekian lama
diperam biar masak
disubur biar harum
disiram biar mekar

Hanyalah menantikan
menungg-nunggu
detik yang abadi itu

Di saat sahnya sebuah ikatan
dan termeteri sebuah janji
untuk saling redha meredhai
untuk saling cinta mencintai

Pada detik itulah akh
akan kau kecapi
nikmatnya
harumnya
asyiknya
penangan cinta itu

dengan itu
jangan kau pinta ia
datang sebelum masanya
jangan kau pinta pembuktiannya
sebelum akadnya

kerana pasti akan
hilangnya nikmat cinta itu

kerana cinta itu
terlalu istimewa
bagi seorang ukht

kerana di situlah
letaknya harga dirinya
bahagianya
hidupnya

petiklah ia
di saat kemanisannya
di detik pertama
pernikahanmu dengan ukht itu...

*Semoga berkekalan hingga ke syurga..