Wednesday, June 29, 2011

Provokasi Keterlaluan Terhadap BERSIH 2.0


1. Saya ingin merujuk kepada laporan berita bertajuk, “Batalkan Jika Tidak Mahu ‘Perang’ – Omardin” yang telah dimuatkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada tarikh 27 Jun 2011. Sejak pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengeluarkan kenyataan media mengenai teknik kerajaan menakutkan rakyat untuk menghadiri Himpunan BERSIH 2.0 beberapa hari lalu, kami telah menjangkakan tekanan dan ugutan yang lebih dahsyat akan dipertingkatkan menjelang 9 Julai nanti.
2. Keadaan pada hari ini bertambah getir apabila provokasi demi provokasi terus dimarakkan oleh akhbar lidah UMNO, Utusan Malaysia. Terbaru, sepertimana petikan daripada laporan akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan pada 27 Jun 2011, secara jelas Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia mengeluarkan kenyataan yang agak keras dan keterlaluan.
Memetik daripada laporan berita tersebut ;
Beliau menasihatkan Ambiga supaya membatalkan segera hasrat menganjurkan perhimpunan itu kerana khuatir tidak akan dapat mengawal emosi anak-anak didiknya jika mereka bertembung pada perhimpunan itu nanti.
Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh beri jaminan bahawa kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut.
3. Ugutan sedemikian sebenarnya turut mencemarkan Institusi Budaya dan Seni Silat tanahair kita yang selama ini, secara tradisi dan warisannya sangat dikenali sebagai satu Institusi yang sangat tinggi wibawa dan disiplinnya. Malah begitulah layaknya jiwa dan karektor pendekar - pendekar tanahair yang tinggi budi dan halus pekerti disebalik kehebatan dan keperkasaan ilmu mempertahankan diri. Selayaknya pula pendekar dan satria tanahair digunakan untuk mempertahankan negara dan menegakkan keadilan, bukannya mem'belasah' rakyat sendiri yang mahu menuntut keadilan secara aman. Apakah himpunan untuk menunjuk perasaan rakyat secara aman agar beberapa tuntutan mereka diberi perhatian dan ditunai oleh kerajaan telah menjadi satu kesalahan dalam negara kita ? apakah negara kita telah menukar sistem demokrasinya kepada sistem autokrasi ?
4. Jika pihak BERSIH 2.0 boleh dan mampu memberi jaminan bahawa pesertanya berdisiplin dan hadir berhimpun dengan aman dan ia adalah satu komitmen yang konsisten dan dipertegaskan berulang kali, kenapa pihak Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara mengeluarkan kenyataan tidak dapat mengawal emosi anak didiknya sehingga boleh mendorong tercetusnya pertembungan.
5. Jika pihak Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara tidak berupaya mengawal emosi anak didiknya, maka usahlah dikerahkan anak didik Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara turun pada hari yang sama untuk bertembung dengan pihak BERSIH 2.0 kerana kami bagi pihak BERSIH 2.0 sekali lagi mempertegaskan bahawa kami tidak turun dengan membawa semangat mahu bertembung dengan sesiapa sebaliknya hanya sekadar mahu mengadakan " Berjalan untuk Demokrasi "sambil membawa 8 tuntutan sebagaimana yang telah dimaklumi oleh semua pihak.
6. Hari ini kita dapat saksikan bagaimana pihak kerajaan dan pengamal media tertentu dengan sengaja memainkan peranan seolah-olah ingin merancang suatu keadaan yang huru hara sehingga melibatkan pertembungan fizikal pada 9 Julai ini. DPPM ingin tegaskan bahawa tiada sebarang agenda sulit atau himpunan untuk mencetuskan kekacauan daripada rakyat menerusi anjuran BERSIH 2.0. Ini adalah satu perkara yang dijamin dibawah Perlembagaan Persekutuan.
7. Amat mengecewakan apa yang berlaku hari ini adalah hak rakyat untuk berhimpun telah dinafikan malah diancam dengan pelbagai cara. Ancaman demi ancaman inilah yang membawa kepada kekacauan sebagaimana yang telah dimomokkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Lebih mengecewakan tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak polis terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur sentimen huru hara berkenaan. DPPM yakin semua pihak mahukan negara yang aman. Maka, tidak perlu provokasi keterlaluan sehingga boleh mengheret rakyat kepada situasi yang menakutkan.

8. Demikian juga dengan beberapa siri himpunan bantahan yang dilakukan oleh pihak pemuda UMNO dan juga PERKASA dengan mengeluarkan kenyataan berupa ugutan dan ancaman sedang pihak BERSIH telah berkali - kali membuat komitmen untuk memastikan Himpunan BERSIH 2.0 kelak akan berlangsung dalam keadaan aman. Malangnya pihak berkuasa tidak pula mengambil tindakan kepada pihak yang mencetus provokasi dan beria - ia mahu berperang, bertembung dan sebagainya. Lebih malang apabila yang menjadi sasaran pihak berkuasa hanyalah BERSIH 2.0 yang bertegas mahu menganjurkan himpunan secara aman .

9. Apakah pihak kerajaan turut bersubahat dengan `pihak yang mencetus provokasi hanya semata - mata tidak mahu melihat himpunan BERSIH 2.0 ini berjaya dilakukan. Situasi ini jelas menunjukkan seawal - awalnya pihak kerajaan telah TIDAK berlaku adil dalam menangani isu ini.

10. Penegasan yang sekali lagi saya mahu utarakan kepada semua khasnya kepada pihak kerajaan bahawa kami terutamanya anak - anak muda yang akan turun pada 9 Julai 2011 kelak adalah mewakili rakyat yang mahukan keadilan , keamanan dan kesejahteraan. Kami tidak turun dengan membawa senjata demikian juga kami tidak sekali - kali akan mencetus provokasi yang mengundang kepada ancaman keselamatan kepada pihak lain. Sebaliknya ikrar kami, hanya turun membawa hati dan perasaan yang mahukan keadilan dan hak diberikan kepada kami secara saksama setelah sekian lama hak kami dinafikan seperti yang tersenarai dalam 8 tuntutan kami.

1. Clean the electoral roll
2. Reform postal ballot
3. Use of indelible ink
4. Minimum 21 days campaign period
5. Free and fair access to media
6. Strengthen public institutions
7. Stop corruption
8. Stop dirty politics

1. Bersihkan senarai undi
• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.
• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos
• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.
• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.
• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal
• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari
• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.
• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil
• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.
• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.
• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam
Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya :
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.
Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.
Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.
Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah
Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.
Pembelian undi harus dihentikan!
Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor
BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia

Bersama Ulama'...

Alhamdulillah segala puji bagi Allah atas anugerah nikmat yang tak bertepi..Alhamdulillah juga tahun ini SMAAM dapat menganjurkan program bersama ulama' tersohor nusantara,Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari Al Makki...Mudah-mudahan dengan kehadiran beliau dapat menarik keberkatan daripada Allah..Amin...

Monday, June 27, 2011

Perjalanan Hamba...

Sebelum Israk dan Mikraj:

RASULULLAH saw mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh jibril, mika`il dan satu malaikat yang lain. Hati baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat
syaitan membisikkan waswasnya.Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW.Selesai pembedahan, didatangkan binatang Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masdil-Aqso)

Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masdil-Aqso)

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah SAW diiringi oleh Jibril a.s dan Israfil a.s. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah diarah oleh Jibril supayaberhenti dan bersembahyang dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah: Madyan dan Tursina, iaitu tempat nabi Musa as berkata-kata (munajat) dengan Allah; Baitul-Laham (tempat nabi 'Isa a.s dilahirkan).


Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api (obor) dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

1.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW dibertahu oleh Jibril : Itulah kaum yang berjihad fi sabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2.Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh jibril: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap
untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tidak mahu mengakui Fir'aun sebagai tuhan).

3.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka.Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan semula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibril meberitahu Rasulullah : Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4.Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan.Mereka makan bara api dan batu neraka jahannam.Kata
Jibril : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5.Satu kaum,lelaki dan perempuan,yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril:Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

6.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril : Itulah orang yang makan riba`.

7.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril : Itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit.Tidak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril : Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur).Kemudian menyesal, tapi sudah
terlambat.

11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah SAW tidak memperdulikannya. Kata Jibril : Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya.Kata Jibril: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

Tiba di masjid al-Aqso, Rasulullah turun dari buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi ma`mum.

Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibril: Baginda membuat pilhan yang betul.Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):
Didatangkan mi'raj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibril a.s. naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama:

Rasulullah SAW dan Jibril masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan nabi Adam a.s.Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Langit Kedua:
Rasulullah SAW dan Jibril naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan nabi 'Isa a.s dan nabi Yahya a.s.

Langit Ketiga:
Naik langit ketiga. Bertemu dengan nabi Yusuf a.s.

Langit Keempat:
Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan nabi Idris a.s.

Langit Kelima:
Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan nabi Harun a.s yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Langit Keenam:
Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan nabi-nabi. Seterusnya dengan nabi Musa a.s. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibril) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk
70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh:
Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW,nabi Ibrahim a.s. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if,maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam
tanaman syurga iaitu
لَا حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِالله
Mengikut riwayat lain, nabi Irahim a.s bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:
سُبْحَانَ اللهِ، وَالـحَمْدُلِلَّه، وَلاَ اِلَهَ إلاَّ الله، وَاللهُ أَكْبَر، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ.
Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".
Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibril masuk ke dalam Baitul Makmur dan bersembahyang (Baitul Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Langit Kelapan:
Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu : Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai
arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai al-Kautsar yang terus masuk ke syurga.Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik
penunggunya.


Langit Kesembilan:

Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha.Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib didalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Langit Kesepuluh:
Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul Arbab lalu dapat menyaksikan Allah Subhanahu wa Taala dengan mata kepalanya, lantas bersujud.

Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, RasulNya:


Allah SWT :Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin.Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sopak dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu.Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah,sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang. Selesai munajat, Rasulullah SAW dibawa menemui nabi Ibrahim a.s kemudian nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s.menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas
sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:
Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu
dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peistiwa israk mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan
sebelum hijrah). Wallahu a'lam.

[Ringkasan dengan bahasa moden daripada kisah Israk Mikraj dalam kitab Jam'ul-Fawaa`id]

Bersatu Dalam CintaNya...


CINTA

Aku mencintai sebelum mengenali batang tubuhnya sendiri
Aku mencintai kerana fikrahnya yang disegani
Aku mencintai kerana semangat perjuangannya yang ku hayati
Aku mencintai kerana agamanya yang ku jiwai

Kerana cinta, kerana sayangkan perjuangan
mendahului dirinya yang bernama insan
Mataku tidak pernah tersasar melihat dia sebagai sang pejuang
Ah, aku buta; 'macho'kah dia? kacakkah tuannya? segakkah dia? kaya? pangkatnya apa? keturunan bagaimana?

Cintakan perjuangan mendahului insan
Cinta sebelum aku disatukan
Cinta sebelum aku meneruskan lagi cinta
Cinta sebelum aku semakin kuat cinta
Cinta sebelum aku dilamun ribut cinta
Cinta sebelum aku malu dalam cinta

Abang...
Maafkan isteri abang...
Kalau kecantikan bukan sebagaimana abang impikan
Kalau kekayaan tidak sepertimana abang sangkakan
Kalau pangkat bukanlah sebagaimana abang inginkan
Kalau kecerdikan tidaklah sepertimana abang mahukan
Kalau kehebatan bukanlah jua sebagaimana abang harapkan

Kita dipertemukan bukan kerana kebetulan
Walaupun sangkaan hanyalah kebetulan
Namun...
Kebetulan tidak ada dalam diari Tuhan
Kebetulan tidak ada dalam ukuran Yang Maha Handalan
Bahkan ia satu ketepatan
dari Tuhan Yang Maha Penyayang
Mampu menentukan sebuah pertemuan
yang diimpikan.


Rindu dan terus merindui cinta Ilahi,
27 Jun 2011
SMAAM...

*Alhamdulillah...zikraj ziwaj kami yang pertama disambut sederhana diberkati dengan bacaan tahlil oleh suami tersayang dan diserikan lagi dengan kehadiran bonda mertua dan ahli keluarga yang lain.Doakan kebahagiaan kami dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah, bakal meneruskan perjuangan ar Rasul sehingga hari kemudian...Amin ya Rabb!

Monday, June 20, 2011

Peringatan daripada Allah...



Ulasan Berita Harian Mengenai Puting Beliung di Pangkalan Teluk Buih, Mersing

MERSING: “Saya hanya mampu berdoa agar puting beliung itu tidak menghala ke arah kami yang sedang berniaga kerana ngeri mengenangkan ribut memusnahkan Bazar Ramadan Melaka tahun lalu yang mengorbankan beberapa mangsa.

“Doa kami dimakbulkan apabila puting beliung itu menghala ke arah Teluk Buih, tetapi tempiasnya saja sudah cukup untuk merosakkan beberapa gerai di sini,” kata Rosli Derani, 42, peniaga pasar lambak Jalan Makam, di sini.

Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang kelmarin itu, dia yang berniaga sup tulang dapat melihat dengan jelas pusaran angin bergerak menghala ke Teluk Buih sambil tempiasnya terasa sehingga ke kawasan perniagaan itu.

Walaupun puting beliung yang dilihat bermula dari Pulau Setindan berhampiran Pantai Teluk Buih itu tidak menghala ke pasar lambak, tempiasnya sudah cukup menyebabkan hampir 10 khemah peniaga rosak bersama puluhan bot gentian kaca milik nelayan yang diterbangkan angin.

Kejadian berterusan kira-kira 10 minit itu adalah yang kedua dalam tempoh seminggu di daerah ini dan menggemparkan penduduk sekitar Kampung Air Papan dan Teluk Buih. Walaupun tiada kemalangan jiwa, sekurang-kurangnya empat bot nelayan musnah dan bumbung jeti pangkalan Teluk Buih diterbangkan angin kencang.

Pengunjung dari Kluang, Muslim Abdullah, 46, berkata ketika kejadian beliau yang berada di atas jeti sempat menyelamatkan diri dengan berlindung di kawasan selamat manakala orang ramai di sekitar pantai bertempiaran lari mencari perlindungan dalam keadaan bot gentian kaca berterbangan dibawa angin kencang.
“Bot yang berat itu mampu diterbangkan angin bagaikan kertas yang melayang sebelum jatuh menghempap jeti. Syukur saya dan anak terselamat… kalau terperangkap dalam pusaran angin itu, sukar untuk digambarkan nasib kami,” katanya.

*Allhamdulillah, kejadian berlaku selepas 5 minit melalui Air Papan menuju ke Tanjung Resang kerana Perkhemahan Tahunan Sekolah..Mujurlah perkhemahan berjalan dengan lancar..Apa yang berlaku adalah peringatan Allah kepada kita semua...

Wednesday, June 15, 2011

Gerhana Bulan


Gerhana bulan penuh berlaku pada hari Khamis, 16 Jun 2011 = 14 Rejab 1432H, jam 2.25 pagi dan kemuncak gerhana pada jam 4.14 pagi.Bulan terang semula pada jam 6.00pagi.

SOLAT GERHANA

Waktunya

Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

Tempat Solat

Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa

dilakukan solat berjemaah.

ATURAN SOLAT GERHANA

1. Disunatkan mandi sebelum solat.

2. Bilal Menyeru :

" الصَّلاةُ جَامَعَة "

3. Berdiri lurus mengadap kiblat.

4. Berniat mengerjakan solat gerhana.

(1) Lafaz niat untuk gerhana bulan:

" اُصَلِّى سُنَّةَ خُسُوْفِ الْقَمَر رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى "

"Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

(2) Lafaz niat untuk gerhana matahari:

" اُصَلِّى سُنَّة َكُسُوْفِ الشَّمْسِ رَكْعَتَيْنِ مَأْ مُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى "

“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.

6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.

7. Baca al-Fatihah dan Surah.

8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).

9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.

10. Baca al-Fatihah dan Surah.

11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.

12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.

13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.

14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti

khutbah Hari Raya).

INGATAN :

1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau

rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah

menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.

2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin

Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).

3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara perlahan ( سر ) , manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya dilakukan dengan suara yang nyaring (جهر)


Zikra Ziwaj...Bihibbak...

Alhamdulillah segala pujian selayaknya buat Allah, Rabbul 'Alamin yang telah mengikat dua hati ini dan menyatukan kami di bawah payungan kasih dan cintaNya...genaplah sudah usia perkahwinan kami setahun pada 14hb Jun (semalam)..
Ucapan buat suami tersayang...

"Marilah bersama jalani cinta kita apa adanya..saling mengerti dan memahami...kita manusia biasa..marilah menjaga kesucian cinta dan rahmat yang Kuasa..saling berpadu hati untuk berdua..dalam dakapan mesra...nikmati suka berbagi duka...seiring denganmu aku bahagia...genggam jemari dan berjanji...setia selamanya hingga ke syurga..."

Bihibbak ya zauji!

Monday, June 13, 2011

Amalan-amalan yang Di anggap Sunnah Pada Bulan Rejab





Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab merupakan bulan yang ke tujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan bulan Rejab ini adalah bani Mudhar.

Di dalam kalendar umat Islam terdapat dua belas bulan yang mana Allah S.W.T. telah memuliakan empat bulan darinya. Firman-Nya:

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. – al-Taubah (9) : 36

Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu” di dalam ayat di atas bermaksud jangan seseorang itu menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:

Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662

Ternyata bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T.. Justeru itu telah tersebar dalam masyarakat kita bahawa terdapat amalan-amalan yang dikhaskan sempena bulan Rejab ini dan ianya memiliki fadilat-fadilat yang besar. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil yang sah menunjukkan terdapat amal-amal ibadah yang tertentu bersempena dengan bulan Rejab. Hal ini telah diperakui oleh tokoh ulamak hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani r.h dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab (melainkan ia termasuk bulan-bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada bulan Rejab yang dapat dijadikan pegangan. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry,
As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, (edisi terjemahan dengan tajuk Bidaah Bidaah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta, 2004) ms. 152.

PUASA REJAB

Adalah masyhur di sisi masyarkat kita bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 1hb Rejab, hari Khamis minggu pertama bulan Rejab, Nisfu Rejab dan 27hb Rejab sempena Israk Mikraj. Untuk menguatkan hujah puasa-puasa sunat ini maka diketengahkan beberapa riwayat-riwayat palsu serta lemah bersertakan ganjaran pahala yang besar. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah r.h di dalam Majmu’ Fatawa:

Adapun puasa bulan Rejab secara khusus disandarkan kepada hadis-hadis yang kesemuanya dha’if (lemah) bahkan maudhu’ (palsu) yang tidak dijadikan sebagai hujah oleh ahli ilmu dan bukan pula termasuk hadis dha’if yang dikategorikan dalam amalan-amalan mulia tetapi hadis-hadis dha’if yang masuk dalam kategori hadis dusta. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry (edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta 2003), ms. 243-244.

Ibnu Rajab di dalam al-Mughni pula berkata:

Mengenai keutamaan puasa khusus pada bulan Rejab, tidak ada satupun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. mahupun para sahabat. - Dinukil dari kitab
al-Bida’ al-Hauliyyah, ms. 245.

Syaikh Sayyid Sabiq r.h pula berkata:

Mengenai puasa pada bulan Rejab, tiada kelebihan yang menonjol baginya berbanding bulan-bulan lain melainkan ia termasuk bulan-bulan suci. Dan tidak diterima dari sunnah keterangan yang sah bahawa berpuasa pada bulan itu mempunyai keistimewaan khusus. Ada juga diterima riwayat (tentang keutamaan berpuasa pada bulan Rejab), tetapi tidak dipertanggung-jawabkan sebagai hujah – Sayyid Sabiq,
Fiqhu as-Sunnah (edisi terjemahan dengan tajuk Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990), jilid 3, ms. 205.

Sungguhpun begitu apa yang ditemui adalah riwayat daripada para sahabat Nabi yang melarang puasa pada bulan Rejab.

Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada Kharsyah bin Hurr yang berkata: Saya melihat ‘Umar r.a membuat makanan untuk manusia pada bulan Rejab hingga mereka meletakkanya di dalam mangkuk besar. ‘Umar berkata: Makanlah, kerana ini adalah bulan yang diagungkan oleh orang-orang jahiliyah. – Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam
Mushannif, jilid 3, ms. 102

Malah Saidina ‘Umar juga dikatakan telah memukul tangan mereka yang berpuasa pada bulan Rejab

Daripada Atha’, dia berkata: “Ibnu ‘Abbas melarang puasa pada bulan Rejab seluruhnya, agar tidak dijadikannya sebagai hari besar (hari raya). – Hadis riwayat Abdurrazaq dalam
Mushannif, no: 7854.

Selain dari itu terdapat juga di kalangan masrakat kita yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Amalan ini juga sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah. Imam Ibnul Qayyim r.h berkata:

Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang dan baginda sama sekali tidak berpuasa pada bulan Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada bulan Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry,
As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, ms. 152.

Meskipun begitu sekiranya seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab tanpa niat mengagungkan bulan tersebut sebagaimana golongan jahiliah dan tidak menyakini fadilat-fadilat palsu yang dikaitkan dengan puasa pada bulan Rejab tersebut atau dia hanya berpuasa bertepatan dengan hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis, puasa Ayyam al-Bidh (puasa pada tarikh 13,14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) dalam bulan Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan oleh syarak. Wallahu a’lam.