Saturday, May 08, 2010

Teks Pidato


PUTERI SOLEHAH PENJANA KECEMERLANGAN UMMAH

الحمد لله رب العالمين واصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين فأما بعد...

Sejambak kasih seharum kasturi buat peneraju acara, jemaah hakim budiman, dif-dif kehormat seterusnya sidang pendengar santri warisan negara sekalian.Assalamualaikum w.b.t dan salam Satu Malaysia. “Puteri Solehah Penjana Kecemerlangan Ummah”.Mauduk mudah yang mungkin ringkas.Namun penuh intipati yang perlu kita rungkaikan bersama.
Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, puteri bermaksud kaum wanita manakala solehah pula ialah perempuan yang taat dan patuh kepada perintah Allah, penjana pula bermaksud menghidupkan, kecemerlangan membawa maksud kegemilangan, dan ummah pula ialah umat Islam keseluruhannya.Frasa puteri solehah penjana kecemerlangan ummah boleh ditakrifkan sebagai suatu usaha melahirkan seorang wanita solehah yang berperanan untuk menghidupkan kembali kegemilangan umat Islam.

Dr Yusuf al Qardhawi di dalam majalah “al Ummah” bilangan 66, Februari 1986 ada menyatakan bahawa suara pertama dari kaum wanita dalam menguatkan dakwah dan risalah Muhammad SAW ialah suara Khadijah Binti Khuwailid r.a kepada Rasulullah SAW :
“Demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakan engkau sama sekali.Sesungguhnya engkau menghubungkan silaturrahim sesama manusia, keluarga dan melakukan kerja berat, memberi kepada orang yang memerlukan serta menolong orang-orang yang derita.”

Warga dewan yang budiman,
Dengarkan indikator saya dibawah rangkai kata puteri solehah yang beriman.Iman adalah perisai yang ampuh untuk menghadapi apa jua tribulasi mendatang tambahan pula kita berada pada zaman jahiliyyah moden.Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah apabila disebutkan nama-nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan sahaja mereka bertawakal.” (al Anfal:2)
Iman yang mapan mampu melahirkan seorang puteri yang bukan sahaja solehah malah mempunyai peribadi yang unggul, berani mempertahankan kebenaran, berjiwa besar dan lain-lain lagi.

Hadirin yang dimuliakan,
Puteri solehah yang berilmu.Ilmu pengetahuan dianggap lebih utama daripada ibadah kerana manfaat ibadah hanya memberi kepada pelakunya sahaja sedangkan manfaat ilmu pengetahuan adalah untuk manusia yang lebih luas.Atas dasar itu, di dalam beberapa hadis ada menyebutkan, mafhumnya:

“Keutamaan ilmu pengetahuan itu ialah lebih aku cintai daripada keutamaan ibadah dan agamamu yang paling baik adalah sifat warak.”

“.Kelebihan orang yang berilmu ke atas orang yang beribadah ialah bagaikan kelebihan bulan purnama atas seluruh bintang gemintang .”

Ini bersesuaian dengan kehendak kerajaan yang ingin melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.Selain bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Negara yang mahukan keseimbangan dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek.Maka dengan ilmu, seorang puteri solehah mampu mengembalikan semula kegemilangan umat Islam.

Tidak tutup pintu, ayam patuk padi, tidak tutup buku macam mana saya hendak khatam lagi?Justeru dengarkan pula indikator saya yang ketiga iaitu puteri solehah yang berakhlak.Akhlak yang mulia adalah tanda dan hasil dari iman yang sebenar.Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak.Akhlak juga merupakan amal paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat.Sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalnya tidak akan dipercepatkan hisab.Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:

“Tidak ada satu perkara paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba di hari Kiamat kelak lebih dari akhlak yang mulia.”

Dalam Islam akhlak merupakan intipati bagi segala ibadat.Tanpa akhlak, ibadat hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah.Apabila seorang puteri solehah mempunyai akhlak yang mulia, dia akan warak dari melakukan perkara-perkara syubhah, lemah lembut dan sabar, bersifat benar dan jujur, tawadhuk, pemurah,menjadi role model kepada orang lain dan lain-lain lagi.

Sidang pendengar yang dirahmati Allah,
Seorang puteri solehah berperanan dalam membentuk keluarga sakinah.Penyair terkenal, Ahmad Syauqi ada menyatakan di dalam syairnya “Ibu ibarat sekolah, jika kau persiapkannya, maka sesungguhnya anda sedang menyiapkan bangsa (besar) yang wangi keringatnya”

Wanita adalah guru pertama bagi sang anak, sebelum dididik orang lain.Sejak ruh ditiupkan ke dalam rahim, proses pendidikan sudahpun bermula.Bagaimana seorang ibu mampu menanamkan aqidah seawal mungkin sehingga anak meyakini bahawa kita hidup bukan ikut semahunya tetapi di sana ada pengatur, pengawas tujuan hidup, akhir dari kehidupan.Kemudian meyakini bahawa apa yang terjadi kepada kita, pasti akan kembali kepada sang Khaliq.

Apabila seorang ibu itu mempunyai agama dan berperibadi solehah, maka akan terlahirlah generasi yang beragama dan berakhlak baik juga.Ibu seperti inilah yang akan mengajarkan tuntutan agama yang telah terbiasa di dalam dirinya.Maka akan terbentuklah keluarga sakinah yang diidamkan yang nantinya akan melahirkan masyarakat muslim yang bakal menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan Negara.

Sidang dewan sekalian,
Izinkan saya meneruskan pidato saya dengan indikator yang kelima, peranan puteri solehah dalam memartabatkan agama, bangsa dan Negara.Di samping wanita sebagai ibu rumahtangga dan sebagai pendidik generasi, ia juga berperanan sebagai pendidik dan sebahagian anggota masyarakat.

Jumlah wanita di dunia ini lebih ramai daripada jumlah lelaki.Bila potensi ini tidak diarahkan dan dididik dengan baik, ia akan menjadi penghancur masyarakat, Negara bahkan dunia.Suatu masyarakat dikatakan berhasil apabila wanitanya berakhlak mulia.Wanita bagaikan mahkota, bila mahkota baik maka keseluruhannya akan kelihatan cantik dan bagus.Para tunas bangsa dan agama telah menunggu huluran tangannya.Apatahlagi, pada saat ini, umat sedang mengalami penurunan aqidah, moral dan ibadah.

Sesungguhnya wanita turut berperanan penting dalam usaha pembangunan ummah sama pentingnya dengan peranan golongan lelaki.Malahan, di dalam beberapa perkara tertentu, usaha dan jasa mereka lebih berharga misalnya sebagai suri teladan dalam melayari alam rumahtangga,Ingatlah, kata pepatah ada mengatakan “tangan yang menghayun buaian bisa menggoncangkan dunia.”

Hadirin sekalian,
Tuntasnya, untuk melahirkan seorang puteri solehah penjana kecemerlangan ummah memerlukan gemblengan tenaga padu dari semua pihak bermula dari individu itu sendiri, keluarga dan masyarakat.Justeru itu, bersama-samalah kita berusaha untuk melahirkan puteri solehah yang mampu memartbatkan Islam di mata dunia.

Gurindam jiwa bergema sudah,
Tanda pujangga sudah berlagu,
Pasakkan fakta kuberi sudah,
Tanda hamba mohon berlalu.

Sekian, wabillah…..
Wassalamualaikum…

*Teks ini disampaikan oleh Saudari Farhana Sualman dan berjaya mendapat tempat ke-2 dalam pertandingan pidato sempena Hari Puteri Islam peringkat daerah Mersing.Syukran sekali lagi buat kak Ijan yang memberi kepercayaan kepada ana untk menghasilkan teks pidato ini.dan terima kasih juga buat cikgu Ros yang membetulkan tatabahasa dan Ustaz Arif yang memberikan idea.

2 comments:

Lina K. said...

Saudari, saya mahu menggunakan teks ini untuk pidato di sekolah saya. Saya harap saudari tidak kisah. Moga Allah merahmati hidup saudari.

Unknown said...

Saudari,..Saya juga mahu menggunakan teks ini untuk pertandingan di daerah Saya..moga Allah merahmati saudari..harap saudari tidak kisah