Sunday, May 30, 2010

Panas yang Membahang...



Bismillah walhamdulillah, segala pujian selayaknya untuk Rabbul Jalil atas nikmat iman dan Islam yang begitu berharga..

Bahang panas di tanahair mengingatkan ana bahang musim saifi di Mesir yang benar mencabar dan menguji ketahanan fizikal dan mental.Musim saifi ini juga mengingatkan bahang imtihan yang melanda penuntut ilmu Allah di ardhil kinanah.

Selalunya di musim saifi ini kedai 'asir (jus) selalu menjadi tumpuan.Asir manggo biasanya menjadi pilihan, tak pun tamar hind yang dicicipi buat penghilang dahaga dan letih pulang dari imtihan..

Mujurlah di Malaysia ini dapat juga minum 'asir,'asir rumman penghilang dahaga dan peneman bila menanda kertas jawapan pelajar..Sabar jela..Sesiapa yang berminat untuk mencicipi 'asir rumman yang diimport dari Iran ini bolehlah dapatkan di SMAAM (stokis Mersing) tapi boleh juga melalui:

Sirul Asrar Enterprise,(Headquater and Showroom) di PT11213 Jln BBN 6/1N,Taman Desa Cempaka,71800 Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.
atau hubungi Azwan (019-4141417) dan Azhar (019-3614288)

Semoga Berbahagia Sahabatku...


Puisi buat mempelai Ukhti Norfuzidah Jenal dan suami..

Ketika memasuki dunia baru
Katakanlah, dunia itu dunia kita
Dimana dunia itu akan diwarnai bersama
Menjadi syurga pengantin penuh kasih

Sejurus kusampaikan doa
Untuk saudaraku yang bahagia
Memasuki dunia baru penuh cinta
Menggapai kasih karena Illahi

Ya Allah,
Hadirkan diantara mereka cinta abadi karena MU
Jauhkan dari mereka cinta yang membuat lupa pada MU

Ya Allah,
Berikan mereka kasih sayang MU
Seperti kasih sayang MU pada Rasulullah
Seperti kasih sayang Rasulullah pada umatnya

Ya Allah,
Kurniakan mereka penerus di jalanMU
Kurniakan mereka kebahagian dan cintaMu

amien...


*Alf mabruk buat sahabatku, Norfuzidah Jenal dan pasangannya Khairul ariffin yang selamat diijabkabulkan semalam..Macam tak percaya kak ngah dah jadi suri orang ye..sekejapnya masa berlalu, teringat kenangan kita sama-sama menyambung pengajian ke sekolah arab selepas SPM..Ana doakan kak ngah bahagia hingga ke syurga...

Wednesday, May 26, 2010

Malaysia Hari Ini...




KUALA LUMPUR, 26 Mei - Dewan Pemuda PAS (DPPP) akan mengedarkan risalah membantah judi kepada pengunjung premis judi di seluruh negara bermula hari ini.



Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pemuda akan ditempatkan di hadapan premis judi secara bergilir-gilir mengikut shif sehinggalah kerajaan membatalkan judi bola sepak Piala Dunia 2010 bermula Jun ini.


Menurutnya juga, DPPP mengajak semua insan yang anti- judi dan prihatin dengan kemungkaran ini bersama-sama mereka mengedarkan risalah berkenaan.


"Bermula hari ini sehingga lesen judi dibatalkan, DPPP mengarahkan semua pemuda PAS dan menjemput semua insan prihatin yang anti judi supaya membuat shif secara bergilir-gilir untuk menunggu di hadapan kedai sport toto dan lain-lain premis judi di seluruh negara untuk mengedarkan risalah bantah judi kepada pelanggan atau pengunjung premis perjudian tersebut," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau juga memberitahu, risalah berkenaan juga boleh didapati di blog Gerakan bantah Judi di http://bantahjudi.wordpress.com.


Dalam perkembangan lain, di peringkat zon timur, DPP kelantan Jumaat ini akan mengadakan demontrasi membantah lesen judi dan mendesak Timbalan Menteri Kewangan, Dr. Awang Adek Hussin meletakkan jawatan.


Bantahan itu akan diadakan di perkarangan Masjid Kampung Repek, Bachok selepas solat Jumaat.


Ia akan turut disertai Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa yang juga ahli parlimen Bachok, timbalan DPPP Azman Shapawi Abdul Rani dan ketua DPP Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman.


Manakala di zon Selatan pula, bantahan sama akan diadakan perkarangan Masjid Al Azim, di bandar Melaka.

*Apabila syariat Allah tidak ditegakkan..

Sunday, May 23, 2010

Sambutan Hari Guru SMAAM





Bismillah walhamdulillah... segala pujian selayaknya untuk Rabbul Jalil.Bersempena dengan Hari Guru baru-baru ini, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) SMAAM telah pun menyusun satu program khusus untuk para guru.

Majlis dimulakan dengan solat hajat dan bacaan yasin melibatkan para guru dan pelajar.Acara diteruskan dengan beberapa acara permainan yang telah diatur khusus untuk para guru.

Di antara acara yang menarik untuk guru-guru wanita ialah Isyarat Manja, Bebola Cinta, Sambungan Cinta dan Rebut-rebut Manja.Alhamdulillah kumpulan ana, cikgu awin dan cikgu Ros telah mendapat johan bagi acara yang dipertandingkan.Sambutan kali ini juga turut mempersembahkan persembahan silat oleh Ketua Pelajar, Anis Aslahudin dan suhaidi.Persembahan ini mendapat tepukan gemuruh dan mencuit hati para penonton.Hmm berbakat juga kamu berdua ini ye.Selain daripada itu, turut diadakan persembahan sajak oleh tiga orang pulajar puteri anis, farhana dan fatimah serta persembahan nasyid oleh Shoutu As Syabab.Tahniah buat kalian.

Pada sambutan Hari Guru kali ini juga diadakan Anugerah Khas Untuk Guru Paling Lama Berkhidmat dan Cemerlang.Tahniah buat Ustazah Salmah dan Ustazah Maimunah (kedua-duanya juga adalah guru ana sewaktu belajar di SMAAM dahulu) kerana terpilih.Hanya Allah yang dapat membalas jasa yang kalian curahkan.

Syabas dan terima kasih buat barisan MPP, Pengawas dan pimpinan pelajar yang lain kerana bertungkus lumus mengadakan program seumpama ini.Kami barisan guru mendoakan agar kalian berjaya di dunia dan akhirat.

Tuesday, May 18, 2010

Istimewa Buatmu...




Bismillah walhamdulillah..Segala kesyukuran dirafa'kan ke hadratNya atas nikmat yang tidak ternilai.

Alhamdulillah kali ini Allah berikan lagi pengalaman baru untuk diri ini apabila sekali lagi ditaklifkan oleh Ustazah Norizan untuk meyediakan kek sempena sambutan Hari Guru peringkat SMAAM.

Ana terima taklifan ini untuk menghasilkan sesuatu yang boleh ana kenang jika ana sudah tidak berkhidmat di sini lagi..Berkat bantuan semua especially cik lina yang memberikan resepi kek oren kepada ana (tak pernah lg buat kek sekembali dr mesir dan sebelum ni pernah buat di mesir shj)

Alhamdulillah, akhirnya 8 biji kek oren dapat disiapkan..'Mission' yang seterusnya pula ialah bagaimana nak hias kek ni ye?Mujurlah najihah,asma' dan shaliza ada memberikan idea(terima kasih kerana membantu ustazah)

Dan akhirnya inilah kek yang berjaya dihasilkan..Istimewa buatmu guruku...selamat hari guru..

nasyid ini ditujukan buat semua warga pendidik SMAAM:

LILIN SEORANG GURU...

Pernah langkah ku payah
menuju ke destinasi
kerana malam gelap
dan bintang hilang kerdipnya
menjadikan arahku keliru
ke timur atau ke barat
bagai lilin membakar diri
menerangi kegelapan hati
kau curahkan bakti dan budi
jasamu tiada pengganti


namun tanpa rasa payah
dia memimpin tanganku
melangkah satu persatu
dan mencipta jejak impian
menjadikan arahku jelas
aku mahu terus ke hadapan

oh..aku kini rindu
pada satu nama yang berjasa
Tuhan beri kekuatan
untuk mendidikku selamanya
ku pohon..restu kasihmu
ampunkanlh guru-guruku..

semalam ku lihat dia
di bibirnya ada kalimah
yang bergetar saban waktu
sambil tangan menggenggam diri
lilin yang tiada terpadam
menerangi hidupku kini...


"Guru pembina Bangsa dan Negara"

Sambutan Maulidur Rasul SMAAM




Bismillah walhamdulillah, sambutan Malidur Rasul baru-baru ini berjalan dengan lancar dan seperti yang dirancangkan.Program bermula dengan persembahan nasyid dan choral speaking (bahasa arab) oleh pelajar-pelajar sekolah rendah (sesi petang) dan juga marhaban dan berzanji oleh pelajar-pelajar sekolah menengah (pagi).

Majlis diteruskan dengan solat asar berjemaah di Musolla ar Rasyidin.Selepas itu, sambutan kali ini dimeriahkan lagi dengan perarakan beramai-ramai bermula dari SMAAM, menyusuri pantai mersing di sekitar kawasan tanjung dan kembali semula ke SMAAM.

Acara kemuncak adalah Ceramah Perdana pada sebelah malamnya oleh al fadhil Us Azman Mohsin, Kadi Johor Bharu.Alhamdulillah, sambutan kali ini bukan sahaja mendapat sambutan warga SMAAM malah penduduk tempatan juga.

Moga sambutan ini bukan sahaja sebagai tanda ingatan kita terhadap Rasulullah malah dapat mengeratkan lagi ukhuwwah sesama kita, umat Islam.

Thursday, May 13, 2010

Memilih Kawan @ Teman?




Imam Al-Syafie banyak memberi pedoman dalam memilih kawan. Beliau juga mengakui sukar mencari sahabat sejati yang mahu berkongsi suka duka bersama. Ketika menilai sahabat sejati pada waktu susah, katanya:

“Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan.

Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.

Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku.

Ku kunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia".

Imam Al-Syafie turut meminta kita berhati-hati memilih sahabat kerana sahabat yang baik akan membawa ke arah kebaikan dan begitu sebaliknya. Katanya:

“Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat.

Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras. Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tidak sopan. Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.

Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia.

Seseorang itu juga dapat menundukkan musuhnya dengan menunjukkan rasa persahabatan".


Imam Al-Syafie dalam hal ini berkata:

“Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan.

Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan.

Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.”

Monday, May 10, 2010

To Sharpen...



Bismillah walhamdulillah, segala puji selayaknya untuk Rabbul 'Alamin yang sentiasa mencurahkan rahmat dan kasih sayangNya kepada hamba yang sentiasa mengharap akan redhaNya.

Dalam melunas bebanan amanah, kadang-kadang diri lelah dalam safar kehidupan lantas diri perlukan sesuatu untuk menjadi injeksi nubari..Alhamdulillah, akhirya bertemu dengan sesuatu yang mampu memberi suntikan baru dalam memuhasabah diri dan mengemudi hati dan nafsi.

Benarlah seperti wahyu pertama yang diturunkan kepada Baginda Nabi Junjungan, nabi Muhammad SAW, bacalah..hanya dengan membaca kita dapat mencerna ilmu..Buku yang dibaca kali ini benar-benar memberikan satu pengalaman baru yang mungkin tak ditemui di dalam buku-buku yang lain.

Alhamdulillah, rasa bertuah dapat membaca kedua-dua buku ini, rujukan untuk kemudi rumahtangga dan mentarbiyah diri.Jazakallah khair buat akhi yang sudi meminjamkan buku ini dan bersusah payah mengirimkan buku ini buat bacaan bersama(credit for u)

Buku Murabbi Cinta karya Ustaz hasrizal kali ini adalah lanjutan daripada buku Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Hingga ke Syurga.Buku ini masih mengekalkan gaya santai dan pendekatan bercerita yang disulami rencah kehidupan realiti di alam rumahtangga.Pendekatan psikologi yang penuh hikmah dikongsi bersama pembaca dalam mencipta cerita di dalam dunia sendiri.

Buku ini juga mengajak kita untuk kembali kepada fitrah penciptaan cinta yang cukup suci.Ke manakah dan bagaimanakah kita seharusnya meletakkan nikmat cinta ini selayaknya?Sudah tentu kita perlukan 'murabbi' untuk memandu ke arah itu!

Buku Secangkir Teh Pengubat Letih pula adalah naskhah yang merakamkan catatan kembara Abu Saif di bumi khilafah Othmaniyyah, pada mengenal hati budi kenalan dan teman, yang sudah lama berkongsi persaudaraan atau yang disapa di pinggir jalanan.

Semua itu adalah cara Allah mendidik untuk melihat Islam dengan penuh yakin bahawa sehitam mana pun gelapnya malam, sentiasa ada kunang-kunang meminjamkan cahaya, bekal menanti sirnanya gelita, hingga terbit fajar janjiNya..

Terasa diri benar-benar mengembara bersama-sama penulis ke seluruh pelusuk Turki!

Saturday, May 08, 2010

Selamat Hari Ibu...



Hutangku Pada Ibu…

Kekadang terasa ditusuk rasa nan gelisah
Pada wajahmu yang menanggung resah
Laut keringatmu yang membanting tenaga
Dan getir mujahadahmu di kelelahan jiwa
Dari buaianku hinggalah dewasa

Kini aku terpaku dalam lelahan safar kehidupan
Meneguk kesusahan…
Ujian demi ujian
Entahkan bila reda

Ibu…
Cuba kupadam hitam yang mencalar semalam
Tika kugamit cerah esok yang masih berbalam
Dan hari-hariku ini..
Yang terus-terusan mencengkam

Ibu…
Apakah aku terlalu
Pada deritamu yng aku relakan
Pada jerit batinmu yang aku pekakkan
Pada sengsara jiwamu yang tak pernah
Aku belaikan…

Ibu…
Hutang anakmu ini sudah terlalu!


*Selamat hari ibu buat bondaku tersayang, Zabariah Abas al Hajj

Teks Pidato


PUTERI SOLEHAH PENJANA KECEMERLANGAN UMMAH

الحمد لله رب العالمين واصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين فأما بعد...

Sejambak kasih seharum kasturi buat peneraju acara, jemaah hakim budiman, dif-dif kehormat seterusnya sidang pendengar santri warisan negara sekalian.Assalamualaikum w.b.t dan salam Satu Malaysia. “Puteri Solehah Penjana Kecemerlangan Ummah”.Mauduk mudah yang mungkin ringkas.Namun penuh intipati yang perlu kita rungkaikan bersama.
Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, puteri bermaksud kaum wanita manakala solehah pula ialah perempuan yang taat dan patuh kepada perintah Allah, penjana pula bermaksud menghidupkan, kecemerlangan membawa maksud kegemilangan, dan ummah pula ialah umat Islam keseluruhannya.Frasa puteri solehah penjana kecemerlangan ummah boleh ditakrifkan sebagai suatu usaha melahirkan seorang wanita solehah yang berperanan untuk menghidupkan kembali kegemilangan umat Islam.

Dr Yusuf al Qardhawi di dalam majalah “al Ummah” bilangan 66, Februari 1986 ada menyatakan bahawa suara pertama dari kaum wanita dalam menguatkan dakwah dan risalah Muhammad SAW ialah suara Khadijah Binti Khuwailid r.a kepada Rasulullah SAW :
“Demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakan engkau sama sekali.Sesungguhnya engkau menghubungkan silaturrahim sesama manusia, keluarga dan melakukan kerja berat, memberi kepada orang yang memerlukan serta menolong orang-orang yang derita.”

Warga dewan yang budiman,
Dengarkan indikator saya dibawah rangkai kata puteri solehah yang beriman.Iman adalah perisai yang ampuh untuk menghadapi apa jua tribulasi mendatang tambahan pula kita berada pada zaman jahiliyyah moden.Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah apabila disebutkan nama-nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan sahaja mereka bertawakal.” (al Anfal:2)
Iman yang mapan mampu melahirkan seorang puteri yang bukan sahaja solehah malah mempunyai peribadi yang unggul, berani mempertahankan kebenaran, berjiwa besar dan lain-lain lagi.

Hadirin yang dimuliakan,
Puteri solehah yang berilmu.Ilmu pengetahuan dianggap lebih utama daripada ibadah kerana manfaat ibadah hanya memberi kepada pelakunya sahaja sedangkan manfaat ilmu pengetahuan adalah untuk manusia yang lebih luas.Atas dasar itu, di dalam beberapa hadis ada menyebutkan, mafhumnya:

“Keutamaan ilmu pengetahuan itu ialah lebih aku cintai daripada keutamaan ibadah dan agamamu yang paling baik adalah sifat warak.”

“.Kelebihan orang yang berilmu ke atas orang yang beribadah ialah bagaikan kelebihan bulan purnama atas seluruh bintang gemintang .”

Ini bersesuaian dengan kehendak kerajaan yang ingin melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.Selain bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Negara yang mahukan keseimbangan dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek.Maka dengan ilmu, seorang puteri solehah mampu mengembalikan semula kegemilangan umat Islam.

Tidak tutup pintu, ayam patuk padi, tidak tutup buku macam mana saya hendak khatam lagi?Justeru dengarkan pula indikator saya yang ketiga iaitu puteri solehah yang berakhlak.Akhlak yang mulia adalah tanda dan hasil dari iman yang sebenar.Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak.Akhlak juga merupakan amal paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat.Sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalnya tidak akan dipercepatkan hisab.Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:

“Tidak ada satu perkara paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba di hari Kiamat kelak lebih dari akhlak yang mulia.”

Dalam Islam akhlak merupakan intipati bagi segala ibadat.Tanpa akhlak, ibadat hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah.Apabila seorang puteri solehah mempunyai akhlak yang mulia, dia akan warak dari melakukan perkara-perkara syubhah, lemah lembut dan sabar, bersifat benar dan jujur, tawadhuk, pemurah,menjadi role model kepada orang lain dan lain-lain lagi.

Sidang pendengar yang dirahmati Allah,
Seorang puteri solehah berperanan dalam membentuk keluarga sakinah.Penyair terkenal, Ahmad Syauqi ada menyatakan di dalam syairnya “Ibu ibarat sekolah, jika kau persiapkannya, maka sesungguhnya anda sedang menyiapkan bangsa (besar) yang wangi keringatnya”

Wanita adalah guru pertama bagi sang anak, sebelum dididik orang lain.Sejak ruh ditiupkan ke dalam rahim, proses pendidikan sudahpun bermula.Bagaimana seorang ibu mampu menanamkan aqidah seawal mungkin sehingga anak meyakini bahawa kita hidup bukan ikut semahunya tetapi di sana ada pengatur, pengawas tujuan hidup, akhir dari kehidupan.Kemudian meyakini bahawa apa yang terjadi kepada kita, pasti akan kembali kepada sang Khaliq.

Apabila seorang ibu itu mempunyai agama dan berperibadi solehah, maka akan terlahirlah generasi yang beragama dan berakhlak baik juga.Ibu seperti inilah yang akan mengajarkan tuntutan agama yang telah terbiasa di dalam dirinya.Maka akan terbentuklah keluarga sakinah yang diidamkan yang nantinya akan melahirkan masyarakat muslim yang bakal menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan Negara.

Sidang dewan sekalian,
Izinkan saya meneruskan pidato saya dengan indikator yang kelima, peranan puteri solehah dalam memartabatkan agama, bangsa dan Negara.Di samping wanita sebagai ibu rumahtangga dan sebagai pendidik generasi, ia juga berperanan sebagai pendidik dan sebahagian anggota masyarakat.

Jumlah wanita di dunia ini lebih ramai daripada jumlah lelaki.Bila potensi ini tidak diarahkan dan dididik dengan baik, ia akan menjadi penghancur masyarakat, Negara bahkan dunia.Suatu masyarakat dikatakan berhasil apabila wanitanya berakhlak mulia.Wanita bagaikan mahkota, bila mahkota baik maka keseluruhannya akan kelihatan cantik dan bagus.Para tunas bangsa dan agama telah menunggu huluran tangannya.Apatahlagi, pada saat ini, umat sedang mengalami penurunan aqidah, moral dan ibadah.

Sesungguhnya wanita turut berperanan penting dalam usaha pembangunan ummah sama pentingnya dengan peranan golongan lelaki.Malahan, di dalam beberapa perkara tertentu, usaha dan jasa mereka lebih berharga misalnya sebagai suri teladan dalam melayari alam rumahtangga,Ingatlah, kata pepatah ada mengatakan “tangan yang menghayun buaian bisa menggoncangkan dunia.”

Hadirin sekalian,
Tuntasnya, untuk melahirkan seorang puteri solehah penjana kecemerlangan ummah memerlukan gemblengan tenaga padu dari semua pihak bermula dari individu itu sendiri, keluarga dan masyarakat.Justeru itu, bersama-samalah kita berusaha untuk melahirkan puteri solehah yang mampu memartbatkan Islam di mata dunia.

Gurindam jiwa bergema sudah,
Tanda pujangga sudah berlagu,
Pasakkan fakta kuberi sudah,
Tanda hamba mohon berlalu.

Sekian, wabillah…..
Wassalamualaikum…

*Teks ini disampaikan oleh Saudari Farhana Sualman dan berjaya mendapat tempat ke-2 dalam pertandingan pidato sempena Hari Puteri Islam peringkat daerah Mersing.Syukran sekali lagi buat kak Ijan yang memberi kepercayaan kepada ana untk menghasilkan teks pidato ini.dan terima kasih juga buat cikgu Ros yang membetulkan tatabahasa dan Ustaz Arif yang memberikan idea.

Sekali Sekala...




Bismillah walhamdulillah..Sebenarnya kalau nak diikutkan banyak perkara yang nak dititpkan di sini tetapi perkara yang ingin dikongsikan ialah aktiviti yang suatu waktu dahulu adalah aktiviti yang paling diminati sewaktu belajar di Mesir.
Kepuasan dalam membuat dan menghias kek adalah suatu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata..Ianya suatu aktiviti yang bolehlah dikatakan dapat “release tension” juga.

Ala Kulli hal, syukran jazilan buat Ustazah Norizan (kak Ijan) yang memberi kepercayaan kepada ana untuk membimbing Nurul Najihah dalam menghias kek.Alhamdulillah, Allah mudahkan segala-galanya dan Najihah pun terang hati orangnya dan keputusannya Najihah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan yang lalu.

*kek di atas itu adalah kek yang ana hias untuk membimbing Najihah bagaimana cara-cara untuk menghias kek..(dah lama tak buat)

Sambutan Hari Puteri Islam Mersing dan Negeri Johor








Alhamdulillah, pada 17 April yang lalu telah diadakan Hari Puteri islam peringkat daerah Mersing bertempat di sekolah Menengah Tenggaroh Alhamdulillah SMAAM telah menghantar wakil untuk semua acara melainkan koir.

SMAAM telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan Tilawah al Quran, mini gajet dan esei kreatif.Tempat kedua dalam pidato dan kolaj.SMAAM juga berpeluang ke pertandingan peringkat negeri yang telah diadakan pada 24 April lalu bertempat di Sekolah Menengah Agama Johor Jaya untuk mewakili daerah Mersing.

Dalam pertandingan tersebut , Puteri Islam daerah Mersing hanya memenangi dua acara sahaja iaitu Tilawah al Quran dan Buku Log.Walaubagaimanapun, tahniah dan syabas diucapkan kepada para pemenang terutamanya Nurul Najihah yang memenangi tempat ke -3 dalam pertandingan menghias kek walaupun hanya belajar dalam satu malam sahaja (keep your good work!)

Semoga kalian terus mencapai kecemerlangan dalam setiap perkara yang kalian lakukan..

Alfu Zikra...






Bismillah walhamdulillah, segala puji hanyalah untuk Rabbul Jalil..Alhamdulilah, Allah beri kesempatan kepada diri ini menitip sesuatu untuk entri kali ini walaupun agak ripuh sedikit mutakhir ini.

Ihtifal ilmiah yang berlangsung di SMAPR baru-baru ini bukan sahaja berpeluang mengikuti acara yang dipertandingkn malah dapat mengeratkan ukhuwwah dengan tenaga pengajar dari sekolah menengah agama yang lain yang terdiri daripada azhariah yang sudah lama tidak bertemu..Dapatlah berkongsi cerita dan pengalaman dalam mendidik anak bangsa.

SMAAM berjaya meraih kemenangan dalam sembilan acara yang dipertandingkan,alhamdulillah.Tahniah buat guru pebimbing bagi setiap acara.Bagi Debat Bahasa Arab, kami berjaya mendapat tempat ke-4 setelah mengalahkan SMAKJ pada pusingan pertama dan layak ke separuh akhir.Tetapi nasib tidak menyebelahi kami apabila tewas kepada Sekolah Arab Kota Tinggi.

Banyak yang dapat dipelajari.Terima kasih yang tidak terhingga buat Ustazah Norazean (kak N) dan Ustaz Syukri yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada diri ini.Banyak yang dapat ana pelajari daripada kalian..

Pertandingan Choral Speaking yang baru sahaja diadakan pada tahun ini telah meletakkan SMAAM sebaris dengan sekolah kerajaan yang lain(yang lebih berpengalaman) apabila berjaya memperolehi tempat yang kedua.Tahniah buat Cikgu Liza yang bertungkus lumus melatih puteri-puteri Choral kita..Ihtifal kali ini juga turut diserikan dengan pesembahan daripada saudara Azhan Atan yang cukup memukau para hadirin.

Segala kenangan pahit manis sepanjang ihtifal ini sudah pastinya tidak dapat dilupakan dan tetap segar di ingatan…majulah SMAAM untuk kegemilangan Islam..