Monday, December 10, 2007

Meniti Pengorbanan


Firman Allah Taala dalam Surah As Shaffat (102-107) :
“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim , Ibrahim berkata : “Hai anakku!Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku meyembelihmu.Maka fikirkanlah apa pendapatmu!”Ia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.” (102)

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya.Nyatalah kesabaran keduanya.(103)

Dan Kami panggillah dia : “Hai Ibrahim,(104)

Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu.Sesungguhnya demikian itu Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.(105)

Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.(106)

Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.(107)


Menurut Tafsir Fi Zilalil Quran karangan As Syahid Syed Qutb , Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail masing-masing menyerahkan diri bulat-bulat kepada
Allah. Penyerahan diri kepada Allah, seperti inilah yang terkandung dalam maksud pengertian Islam.


Iaitu percaya, taat, patuh, tenang, redha, dan bertindak melaksanakan perintah Allah s.w.t. Inilah nilai,sikap, perasaan yang dihayati di dalam hati mereka berdua yang tidak tumbuh dan lahir melainkan oleh
keimanan yang agung.


Kedua-duanya telah melaksanakan perintah dan tugas mereka. Ujian Allah telah sempurna, dan tujuannya telah terlaksana. Cuma yang tinggal lagi ialah menyembelih Ismail. Tetapi Allah SWT tidak mahu mengazabkan hamba-hambaNya dengan ujian itu. Allah tidak berkehendak apa-apa pun dari darah dan jasad mereka. Apabila mereka telah memberi keikhlasan kepada Allah dan bersedia untuk melaksanakan perintah-Nya bererti mereka telah menunaikan kewajipan mereka dan telah melalui ujian itu dengan jayanya. Oleh itu Allah telah menebuskan jiwa Nabi Ismail dengan seekor kibas untuk disembelih sebagai ganti.

Inilah suatu peristiwa luhur yang melambangkan kemuncak hakikat keimanan,kecemerlangan, kepatuhan dan keagungan penyerahan diri kepada Allah. Ia merupakan satu peristiwa contoh yang dapat dirujuk oleh kaum Muslimin dalam menilai dan mengenali erti sebuah pengorbanan yang agung.

Betapa hidup ini membutuhkan pengorbanan...kerana sesuatu itu tidak akan dapat digapai dengan mudah tanpa melakukan sebuah pengorbanan…

Berkorbanlah, sekalipun pahit diawalnya...namun kan manis jua di akhirnya!

Salam ‘Aidil Adha buat keluarga tersayang dan salam imtihan buat rakan seperjuangan…

Teruslah menuai dan bersabar!

Saturday, October 06, 2007


SEKARANG kita memasuki 10 hari terakhir Ramadan. Ini merupakan fasa ketiga yang menjanjikan selamat dari api neraka. Pada 10 malam terakhir dalam bulan mulia ini, Allah menganugerahkan satu malam yang sungguh istimewa dan penuh berkat padanya iaitu Lailatul Qadar yang diiktiraf Allah sebagai satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan.
Banyak hadis nabi yang menceritakan mengenai Lailatul Qadar, antaranya hadis riwayat Aisyah r.a yang bermaksud: “Carilah sedaya upaya malam al-Qadar pada malam ganjil dari sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari).
Namun, malam sebenarnya Lailatul Qadar muncul tidak diketahui dengan tepat. Ternyata Allah menurunkan Lailatul Qadar yang penuh kerahmatan, limpah kurnia dan keampunan ini sebagai rahsia Allah kepada hamba-Nya.Tentu ada hikmah kenapa Allah merahsiakan turunnya Lailatul Qadar kepada hamba-Nya.
Pertamanya bagi menggalakkan umatnya mencari serta menantikan malam itu dengan memakmurkan sebaik mungkin 10 malam terakhir Ramadan.
Seterusnya malam itu juga disembunyikan kerana kelebihan Lailatul Qadar tidak diberikan kepada sebarangan manusia, sebaliknya dikurniakan pada mereka yang benar-benar berusaha mencari serta memakmurkan malam itu dengan amalan kepada-Nya.
Namun, jangan ada pula yang meringan-ringankan amalan dan Tarawih pada 10 malam pertama dan kedua Ramadan sebaliknya hanya hendak bertarawih dan ibadat pada10 malam terakhir saja.
Ini tak betul kerana nak cari berkat Ramadan ini macam juga main bola, nak masuk pusingan akhir kenalah menang pusingan pertama dan kedua dulu. Mana boleh terus masuk akhir.
Justeru, marilah kita mencari malam penuh berkat ini. Bagi yang benar-benar mencari Lailatul Qadar mereka memakmurkan semua 10 malam terakhir. Mengikut hadis pula Lailatul Qadar ialah malam ganjil pada sepuluh terakhir Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.
Memakmurkan malam-malam itu dengan solat Maghrib, Isyak dan Subuh secara berjemaah kerana Rasul bersabda maksudnya: “Barangsiapa solat Isyak berjemaah pada malam Lailatul Qadar seolah-olah beribadat separuh malam dan barangsiapa solat Subuh berjemaah akan dapat pahala separuh malam lagi.”
Perbanyakkanlah ibadat, berzikir dan berdoa serta bangunkanlah seluruh ahli keluarga atau jemaah masjid jika beriktikaf untuk bersama memakmurkan 10 malam terakhir agar bertemu malam Lailatul Qadar ini sebagaimana yang selalu dilakukan Rasulullah s.a.w.
Salam Lailatul Qadar

Monday, September 24, 2007

Luka Rakyat, Luka kita

Alhamdulillah, usai membaca karya Azizi Hj Abdullah ini, seakan mendapat injeksi baru untuk meneruskan perjuangan ini...

Benarlah seperti apa yang dinyatakan oleh Azizi mengenai karya ini:
"Luka rakyat bukan sebuah cerita, bukan sebuah rakaman tetapi lebih kepada pernyataan.Ia adalah sebuah dunia yang direnyuk lanyak oleh mereka yang memiliki kuasa, keberadaan tetapi dirasuk kedunguan, kesederhanaan dianggap sebagai terkebelakangan, kesolehan dianggap sebagai kebodohan, kerakusan, penipuan, kesonglapan dianggap sebagai kemajuan teknologi dan kelicikan itu dianggap sebagai kemenangan, kebrutalan dianggap sebagai kepahlawanan, kewiraan"

Rasa puas dengan kupasan Azizi dengan gaya bahasa dan ulasan yang sangat menyerlah dan mengungkap penderitaan rakyat yang lemah.Azizi memaparkan 11 luka rakyat yang patut dilumati dan dihayati oleh kita:

Luka 1 : Seorang Rakyat Dan Secebis Derita
Luka 2 : Penjenaya Itu siapa?
Luka 3 : Kalau Tak Tahu Buat Jerat, Jangan, Nanti Kena Bidasnya
Luka 4 : Jampi Dengan Mentera atau Baca Yasin Sahaja
Luka 5 : Marilah Angan-angan, Rakyat!
Luka 6 : Golf dan Guli - Teh Tarik dan Brandi
Luka 7 : Salah Guna Kuasa
Luka 8 : Merekalah Melukakan Rakyat
Luka 9 : Janganlah Biarkan Rakyat
Luka 10: Akhirnya Rakyatlah...
Luka 11 : Luka Rakyat : Siapa Pisaunya?

Luka Rakyat patut dibaca oleh semua lapisan masyarakat yang menjiwai perjuangan rakyat.Ia sepatutnya mendidik golongan muda dalam kalangan pelajar universiti, para ahli akademik, aktivis sosial serta dalam kalangan petani, buruh, nelayan, setinggan serta mereka yang berpendapatan rendah di kota dan di pinggir kota.(Syeikh Niamat Yusoff,Nadwah Persuratan Islam Malaysia)

Luka Rakyat adalah karya yang menggugah benak dan mengetuk sanubari serta mencabar akal nurani.Rakyat yang menelaah karya ini akan pasti mula berasa kepanasan mesej yang meronta-meronta mendesak agar luka dan duka rakyat tidak boleh dibiar lama lagi.

Bangkitlah perjuangan, moga yang haq mendabik megah dan yang batil akur menyembah!Fajar Islam pasti akan bersinar, Insya Allah...

Friday, September 07, 2007

Ahlan Ya Ramadhan...

Firman Allah swt :
Wahai orang - orang yang beriman , diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang - orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa ( kepada Allah swt ) Surah al Baqarah : 183


Semoga dengan kehadiran Ramadhan kali ini memberikan kita peluang untuk menggapai rahmat,maghfirah serta pelepasan dari seksaan api neraka.Insya Allah...

Monday, September 03, 2007

Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke 25

Sempena Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 25 ini, ana ingin mengambil kesempatan mengucapkan Jazakumullah khairal jaza' kepada seluruh soff kepimpinan AJKT dan HEWI BKPJM sesi 2006/2007 yang telah memberikan pengorbanan yang bukan sedikit bagi melestarikan kesatuan di kalangan anak-anak Johor yang berada di bumi anbiya' ini.Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa dan sumbangan kalian.

Takziah dan tahniah jua diucapkan kepada soff AJKT dan HEWI BKPJM sesi 2007/2008 yang akan menerajui bahtera BKPJM nanti.Moga nusrah Allah sentiasa bersama kalian.Terimalah amanah ini sebagai satu taklifan dan bukan sebagai tasyrifan.

As Syahid Syed Qutb berwasiat di saat kematiannya sebelum dijatuhkan hukuman gantung:
"Sesungguhnya aku tidak gentar menghadapi tali gantung yang berada di hadapanku, aku bersyukur kerana dipilih oleh Allah untuk menjadi sebahagian daripada mata rantai perjuangan Islam ini.Aku amat yakin mata rantai perjuangan Islam ini akan terus disambung oleh generasi Islam selepasku.."

Kita adalah sebahagian daripada mata rantai yang dipilih oleh Allah untuk menyelusuri denai perjuangan yang diasaskan oleh Rasulullah SAW.Nilai satu mata rantai terlalu besar bagi perjuangan suci ini.

Perlulah kita sedari gemblengan tenaga, mental dan spiritual antara pimpinan dan ahli amat penting demi mencapai matlamat yang disasarkan.Justeru, kita masing-masing berperanan sebagai momentum ke arah mencapai keunggulan yang diimpikan bersama.

"Gembleng Kekuatan, Pasak Keilmuan"
"Kebajikan dan Perpaduan"

Sunday, August 19, 2007

افات على طريق - الدكتور سيد محمد نوح


Apakah sebenarnya yang menjadi halangan dan penyakit kepada para pejuang kebenaran?Mari kita meneliti secara ringkas akan terjemahan daripada Buku "Afat 'ala Toriq" karangan Dr Sayyid Mohd Nuh

1.FUTUR (PASIF)
-Bekerja secara berkala sesudah bekerja secara berterusan atau malas menjalankan kerja.Penyakit ini menjadikan mereka rasa malas bekerja atau suka berlengah-lengah atau menangguhkan kerja.

Sebab yang menjadikan seseorang itu berpenyakit sedemikian ialah:

1.Keterlaluan di dalam agama, seperti di dalam beribadah sehingga tidak memberi ruang kepada badan untuk berehat.Akhirnya ia menjadi lemah, jemu dan seterusnya bekerja dengan tidak konsisten atau dengan malas.

2.Menggunakan segala yang harus dengan melampaui batas, hal ini boleh membawa kepada pengawasan hawa nafsu terhadap seseorang dan akhirnya terasa malas bekerja.

3.Sibuk mengasingkan diri dari jemaah.Akhirnya ia kehilangan para sahabat yang sentiasa memperbaharui kecergasannya.

4.Kurang mengingati mati dan alam akhirah

5.Berlaku kecuaian di dalam amalan harian seperti terlewat bangkit unutk menunaikan solat, jarang mengerjakan yang sunat dan lain-lain.

6.Termakan makanan yang tidak halal atau syubhah.

7.Menghayati ajaran agama dalam sudut-sudut yang tertentu sahaja seperti mengambil berat tentang aqidah sahaja dengan meninggalkan yang lain

8.Terlupa kepada sunnatullah di bumi dan di dalam alam kehidupan manusia dimana sesuatu perubahan yang besar itu tidak dapat dilakukan sekaligus malahan ia memakan masa.

9.Tidak mempunyai persediaan untuk menghadapi segala ujian dan rintangan di dalam perjuangan.

10.Bersahabat dengan orang-orang yang berjiwa lemah dan tidak mempunyai cita-cita yang tinggi.

11.Menjalankan tugas dalam bentuk yang tidak terancang dan bertindak secara spontan.

12. Selalu terjerumus ke dalam maksiat terutama dalam dosa-doas kecil dan ia selalu memandang ringan terhadap perkara-perkara tersebut.

2.GOPOH

Sebab-sebabnya ialah seperti berikut:

1.Dorongan hawa nafsu manusia

2.Semangat yang terlalu tinggi.

3.Terpengaruh dengan keadaan musuh.

4.Tidak memahami uslub musuh.

5.Terlalu banyak kemungkaran
di samping tidak tahu cara mencegah kemungkaran itu.

6.Tidak berupaya memikul dan menanggung kesulitan di dalam meneruskan perjuangan ini.

7.Berjaya di peringkat permulaan atau sebahagian daripada pendekatan tanpa mengira akibat.

8.Tiada program harian, mingguan dan bulanan yang tetap.

9.Bekerja dengan tiada pengalaman dan tidak pula dibantu oleh orang-orang yang berpengalaman.

10.Lupa akan sunnatullah di dalam perubahan alam.

11.Terlupa kepada matlamat sebenar perjuangan Islam.

12.Bersahabat dengan mereka yang bersifat gopoh.

3.KAGUM TERHADAP DIRI SENDIRI

Antara sebabnya ialah:

1.Hanya menerima nikmat tanpa mengingati pemberi nikmat.

2.Berada di soff hadapan sebelum matang dan sebelum mengikut tarbiyyah yang cukup.

3.Tidak memahami hakikat jiwa manusia.

4.Mendapat penghormatan yang berlebihan.

5.Selalu dipuji.

Akibat dari penyakit ini:

1.Terjebak dengan rasa takabbur dan sombong.

2.Tidak mendapat taufiq dari Illahi.

3.Tewas di dalam mengahadapi ujian dan cabaran.

4.Tidak disenangi oleh orang lain.






Friday, August 03, 2007

KEMUDI HATI 4

Pilihlah agamanya…
Ketika menekuni buku “Tentang Cinta” yang ditulis oleh Pahrol Mohd Juoi, ana tertarik dengan kupasan beliau dalam bab "pilihlah agamanya".Sememangnya ana amat meminati gaya penulisan beliau sedari dulu lagi dan buku ini sesuai dibaca oleh golongan remaja hinggalah dewasa dan di sini ana ingin menitipkan sedikit kupasan beliau tentang pemilihan pasangan..

Harta, rupa, darjat dan agama (akhlak) adalah empat pandangan manusia dalam mencintai wanita.Tetapi sabda Rasulullah SAW, pilihlah yang baik agamanya (akhlaknya) walaupun kadangkala kita hanya menerima panduan Rasulullah ini semata-mata dengan akal (percaya itulah yang benar) tetapi belum benar-benar yakin tetapi bermujahadahlah…lawan-lawanlah hati, pilihlah yang baik budi walaupun tak cantik "body", insya Allah kita tidak akan menyesal.

Yang cantik "body" kalau dipilih, memang senang awalnya di mata tetapi sakit nantinya di hati.Akan tiba waktunya (bila dah tua) sakit juga di mata, semakin sakit pula di hati.Tetapi jika yang kita pilih yang cantik "budi", mulanya mujahadahlah, sakit di mata, tetapi cepat senangnya di hati dan lambat laun, akan senang juga di mata, senang juga di hati.

"Kita tidak boleh mengubah sesuatu yang kita lihat, tetapi kita boleh mengubah diri kita yang melihatnya.Jika kita tidak dapat apa yang kita suka, maka langkah terbaik ialah sukalah apa yang kita dapat.Itulah syukur namanya!"

Mungkin para remaja akan mencemuh, ini hanya teori.Silap itu, ini bukan teori tetapi pengalaman ramai orang.Tanyalah orang yang lebih tua di sekeliling anda, anda akan mendapat jawapan yang pasti.

Buka telinga, tutup mata, celikkan mata hati, anda tidak payah menjadi kelkatu yang terus menghantukkan kepala pada lampu untuk mengetahui apakah itu cahaya? Sedangkan ribuan kawannya sudah pun menjadi korban di bawah lampu itu.

Jika kita untuk belajar?Ingatlah yang baik itu cantik tetapi yang cantik itu tidak semestinya baik!

Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya (Hamka)

Jadilah kawan, bukan carilah kawan.Ertinya kita mesti jadikan diri kita sendiri sebagai kawan terlebih dahulu yakni dengan membina sifat kesetiaan, jujur, amanah, sabar dan lain-lain.

Jika calon yang dicari adalah yang terbaik, maka selepas berkahwin, apa yang kelihatan hanyalah kekurangan (kita dah pilih yang terbaik maka kita expect semua daripadanya adalah yang terbaik) tetapi jika kita memilih yang baik (berpotensi menjadi terbaik) maka kita akan bersikap realistik.

Kekurangannya kita raikan.Lantas jadilah kita dan dia saling melengkapi antara satu sama lain dan di situlah terbentuknya pasangan terbaik.Antara pilihan dan penentuan.Antara tadbir dan takdir.Antara kesempurnaan dan pencarian.Semuanya menagih kepada sikap berhati-hati.Jangan terlalu cepat hingga tersadung.Jangan terlalu perlahan hingga terlambat.Seseorang yang matang ialah mereka yang mampu berfikir dengan baik, sudah boleh mengawal perasaan dan serba sedikit memiliki jiwa yang agak tenang.

#selamat pengantin baru buat Naib Pengerusi HEWI PMRAM 2007 , Ustazah Fatimah Salwani Abdullah dan Ustaz Rafzan Razak, Ketua Lajnah Pendaftaran PMRAM 2007.Semoga berkekalan hingga ke akhir hayat dan mampu melahirkan generasi penyambung risalah Islam.Takbir!Allahu Akbar!!

Saturday, July 28, 2007

KEMUDI HATI



Perasaan Yang Perlu Dipadam

PHD juga disebut sebagai singkatan untuk “perasaan hasad dengki” atau “penyakit hasad dengki”.Tidak seharusnya PHD menjadi penyebab kepada terputusnya ukhuwwah yang dibina sekian lama.Pepatah ada mengatakan “kalau ikut rasa binasa, kalau ikut hati mati”.

Teruskan perjuangan walaupun kekadang menyakitkan.Teruskan kecekalan walaupun kekadang mengharukan.Betapa proses hidup ini memerlukan keluhuran, ketulusan, kejujuran dan kemurnian yang tak pernah padam.

Bara dan nyalakan ia sepanjang zaman.Bersihkan hati nescaya ada titik-titik putih yang bakal digenggam.Teguhkan diri nescaya ada warna-warna jernih yang bakal dimiliki.

Hidup tak lama, itu yang perlu manusia sedari dan insafi setiap waktu.Justeru itu, tidak guna menyimpan dendam, mencorak resah, melingkar iri atau menongkah pedih dalam sanubari.

Sempena bulan-bulan mulia dalam Islam, Rejab-Syaaban-Ramadhan.Kikiskan segala kehitaman, tanamkan sejalur keputihan dalam diri.

Moga segala amalan diterima Tuhan Rabbul Jalil dan hidup manusia dalam kesejahteraan dan kesatuan setiap masa.Ayuh!Padamkan PHD.

Saturday, July 14, 2007

KEMUDI HATI 3

RANJAU PERJUANGAN

Kedinginan malam bersama
rintikan hujan
mengingatkan pada keagungan
Tuhan
Kehidupan pejuang menempuh
dugaan
Gelombang fitnah melanda
berterusan...

Betapa hati pilu, derita
sengsara
Ditohmah dikeji setiap
masa
Merintih sayu mengharapkan
redhaNya
Dalam menegakkan kebenaran
nyata

Perjuangan suci membela
agama
Dipandang sepi penuh
curiga
Ditaburi fitnah yang datang
melata
Jua rintangan yang menghalangnya

Tabahkanlah hatimu
wahai pejuang
ianya ujian
dalam kehidupan
Merupakan pengajaran
Dari Tuhan
Dalam membina insan
bertaqwa...

Monday, July 02, 2007

KEMUDI HATI 2


KEPENTINGAN UKHUWWAH

“Sahabat, jika hari ini aku terlalu gembira, sedarkanlah aku dengan amaran-amaran ALLAH.Jika aku bersedih tanpa kata, pujuklah aku dengan tarbiyyah Pencipta..Jika aku lemah tak berdaya, ingatkanlah aku dengan kehebatan syurga ..Jika antara kita ada tembok yang memisahkan…ajaklah aku meleraikan segera…Jika pernah hatimu terluka, luahkanlah agar aku berubah…dan jika esok aku terlena tanpa jaga iringilah lenaku dengan kalungan doa ..Berjanjilah sahabat, ukhuwwah kita untuk selamanya…”

Imam As Syahid Hassan al Banna dalam Risalah at Ta’lim telah meletakkan rukun ukhuwwah dalam rukun baiahnya dengan berkata : “yang saya maksudkan dengan ukhuwwah (persaudaraan) ialah hati dan jiwa terikat dengan ikatan aqidah.Aqidah merupakan ikatan yang paling kuku dan bernilai.Ukhuwwah adalah saudara iman, sementara perpecahan pula adalah saudara kufur.Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan dan tidak ada perpecahan tanpa kasih sayang.Darjat kasih sayang yang paling rendah ialah kesejahtearaan jiwa terhadap saudara seislamnya dan darjat yang paling tinggi ialah mengutamakan orang lain daripada diri sendiri”

Banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menerangkan tentang betapa pentingnya ukhuwwah ini.Allah SWT berfirman : “dan berpegang teguhlah kamu semuanya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu masa jahiliyyah bermusuh-musuhan maka Allah menjinakkan antara hati-hati kamu lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara”(al-‘Imran: 103)

Rasulullah SAW bersabda : “Tidak beriman seorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri.” (muttafaqun ‘alaih)

Betapa pentingnya persaudaraan ini telah dibuktikan oleh sirah nabawiyyah di dalam hijrah Baginda SAW, muhajirin dan ansar dipersaudarakan oleh Baginda SAW.

1.Jaafar bin Abi Talib dengan Muaz bin Jabal
2.Hamzah bin Abi Talib dengan Zaid bin Harithah
3.Abu Bakar as Siddiq dengan Kharijah bin Zuhair
4.Umar al-Khattab dengan Utbah bin Malik
4.Abdul Rahman bin Auf dengan Saad bin Robi’

Persaudaran ini telah melahirkan hubungan yang sangat kuat melepasi kebangsaan dan perkauman .Kaum Ansar sebagai penduduk tempatan menawarkan bantuan yang sangat banyak lebih banyak daripada jumlah kaum Muhajirin sendiri.Begitulah tingginya martabat keimanan dan ketaqwaan yang dicapai oleh kaum Ansar yang mendapat kepujian dan keredhaan Allah SWT.

Saturday, June 30, 2007

Tragedi 07

Suratan Takdir

Tragedi yang berlaku di Mansurah baru-baru ini mengejutkan semua pihak.Pelbagai spekulasi dibuat dan ada yang tidak berasas.Namun, apa yang berlaku sudah ditakdirkan.Apa yang penting selaku azhariyyun kita seharusnya melakukan post mortem atau muhasabah di atas apa yang berlaku:

1.Wibawa Azhariyyun
Wibawa azhariyyun sedikit tergugat dan telah dipandang serong oleh masyarakat tanahair.Kita seharusnya membersihkan dan membuktikan bahawa tanggapan ini adalah tidak benar dengan memainkan semula peranan kita selaku agamawan.

2.Kesatuan
Tragedi yang berlaku seharusnya menjadi turning point kepada kita untuk menilai semula kekuatan kesatuan seluruh pelajar Malaysia yang berada di bumi anbiya’.Hanyalah dengan kekuatan kesatuan inilah yang memungkinkan kita merealisisasikan aspirasi kemahasiswaan.Kita cukup muak dengan perpecahan yang sedia ada dan sudah sampai masanya untuk kita kembali kepada satu kesatuan dan satu fikrah.
Imam As syahid Hassan Al Banna pernah menyatakan “Faktor kekalahan kaum muslimin adalah disebabkan perpecahan dan pertentangan sedangkan asas kemenangan adalah cinta kepada persaudaraan dan permuafakatan dan apa jua rintangan tidak akan menjadi penghalang selama adanya ikatan hati, kasih sayang dan saling menolong dalam kebenaran sesama kita”

3.Ukhuwwah Islamiyyah
Ukhuwwah islamiyyah merupakan suatu ikatan yang murni.Kejayaan umat Islam sama ada di dunia mahupun akhirat bergantung kepada keluhuran ukhuwwah islamiyyah.Masalah ukhuwwah yang tidak berkesudan memberikan impak yang bukan sedikit kepada kesatuan dan perpaduan sesama kita di sini.

4.Dakwah Fardiyyah
Kegiatan dakwah fardiyyah seharusnya diperhebatkan lagi di semua peringkat.Aktiviti ziarah menziarahi dan mengambil cakna akan keaaadan sekeliling memungkinkan kita untuk mengatasi apa jua permasalahan yang timbul sama ada di peringkat ahli mahupun di peringkat pimpinan sendiri.Sikap ananiyyah sepatutnya dibuang jauh daripada peribadi azhariyyun.
Cukuplah atas apa yang berlaku memberikan pengajaran dan iktibar kepada kita.Kita tidak mahu al Azhar dikatakan gagal melahirkan ulama’ yang sejati.

5.Biah Solehah
Biah solehah seharusnya disuburkan di setiap tempat.Tugas meperhebatkan kempen biah solehah bukanlah hanya terletak di pundak mereka yang ditaklifkan malah terpundak juga di bahu kita selaku mereka yang bergelar “ulama’ in the making”.
Kita sudah cukup mual mendengar masalah keruntuhan akhlak dan masalah sosial yang tidak berkesudahan di tanah air.Kitalah nanti yang diharapkan unutk mengislah fenomena tersebut tetapi malangnya kedapatan segelinitr di kalangan kita seolah-olah berbangga dengan mewujudkan fenomena tersebut di bumi anbiya’ ini.Ironinya kita tiada tamayyuz selaku golongan agamawan dengan mereka yang jahil di tanah air!
Fikir-fikirkan dan renungkanlah…


GEMBLENG KEKUATAN PASAK KEILMUAN

Sunday, June 24, 2007

Kemudi Hati 1


Layar Cinta

Ya Hannan..
Denai hijau, langit biru, gunung kelabu..

Bukanlah sekadar bingkai satu pemandangan
Yang menyuratkan sebuah keindahan
Tapi potret hakiki menyerlahkan kebenaran
Cermin alam yang memantulkan keindahan Tuhan


Denai, langit dan gunung
Adalah satu cubitan kasih pada satu kealpaan
Pada limpahan nikmat selaut indah
Ke mana tumpahnya munajat seraut sembah?
Sekian lama melihat alam penuh teratur
Mengapa hatimu masih lupa unutk bersyukur?

Denai, langit dan gunung
Adalahpantulan lambing biasan tamsilan
Gunung...bagai pasak teguh kemurnian iman
Langit...hamparan saujana kelapangan Islam
Denai...lembah subur kleembutan ihsan
Adalah citra di kanvas hati yang dihiasi…
Rasa kehambaan

Ketika sunyi berwacanalah diri di dalam diri
Tika gagah Mu bercermin alam sepenuh
Terasa lemahku mencengkam diri seluruh
Dan kolam hatiku takkan selamanya keruh
Insya Allah!

Saturday, May 12, 2007

Selamat Hari Ibu

Selamat Hari Ibu buat bonda tercinta...Bonda Zabariah Abas al Hajj,

Dedikasi buatmu:

"Kasih sayangmu buat kami bererti, cinta kasihmu buat kami peduli, perjuanganmu buat kami mandiri dan ketulusanmu buat kami mengerti..."

Terima kasih atas segalanya...I luv you MUM!

Baina Khauf Wa ar Raja'

Kejayaan Haqiqi

Firman Allah Ta’ala:
"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampui batas.Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah memperbaikinya dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak diterima) dan harapan (akan dikabulkan) sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik." (al-‘Araf:55-56)


Selaku hamba yang dhaif, kita dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT bagi mendapatkan ampunan dan pertolongan dari Allah guna menelusuri arus kehidupan yang penuh dengan pelbagai mehnah yang rencam.

Bertepatan dengan firman Allah SWT tadi, jelaslah kepada kita untuk berdoa dengan rasa takut tidak diterima dan dengan harapan akan dikabulkan.Itulah yang dikatakan baina khauf wa ar-raja’.Kendatipun demikian, adakah kita selalu mengingati Allah setiap masa ataupun hanya ketika kita dilanda kesusahan atau kesedihan sahaja?

Renungan juga buat diri yang dhaif agar setiap masa dan ketika dipenuhi dengan mengingati Allah dan kerja-kerja kebajikan.Hanya kepada Allah kita berserah dan kepadaNya jualah sebaik-baik sandaran.

Selamat menghadapi imtihan fasa2 buat semua sahabat seperjuangan.Moga Allah berikan kejayaan kepada kita guna memperjuangkan agamaNya.kerana tiada kejayaan dan kemuliaan yang sejati melainkan kepada mereka yang sentiasa berada di atas jalan kebenaran.Kejayaan yang haqiqi di dunia yang sementara dan akhirah yang tiada nihayahnya…

Ujana Ilmu


Almustaqbal lihaza Ad din – Syed Qutb

Alhamdulillah infiniti syukur ke hadrat Illahi kerana memberikan ruang dan kesempatan untuk melakarkan sedikit nota penting buat tatapan bersama dari buku karangan as Syahid Syed Qutb (Masa Depan Untuk Islam).Di sini ana hanya dapat highlightkan beberapa point penting guna dijadikan panduan dalam melayari bahtera perjuangan…

"Kita perlu yakin bahawa apa yang pernah terjadi dalam satu peristiwa, pasti akan terjadi dalam keadaan yang serupa.Kita tidak perlu bimbang lantaran andainya perkembangan di sekeliling kita berupa tindakan zalim yang dilakukan terhadap tokoh-tokoh kebangkitan Islam di setiap tempat dan luasnya daerah yang dikuasai oleh kebudayaan metrialisme.

Sesungguhnya dalam persoalan ini, yang menentukan kejayaan bukanlah kehebatan yang batil dan bukanlah kekuatan tekanan yang ditujukan kepada Islam yang menentukan adalah kekuatan kebenaran dan kemampuannya untuk bertahan dalam menghadapi berbagai tindakan, tekanan dan tentangan.

Kita tidaklah sendirian, kerana kita mempunyai kekuatan fikrah, fitrah alam semesta dan fitrah manusia.Ia merupakan simpanan tenaga yang banyak dan besar, lebih besar dari setiap kebudayaan yang lahir menentang fitrah.

Kita menghadapi perjuangan yang pahit, sulit dan lama untuk membebaskan fitrah dari berbagai kepalsuan dan ketika meletakkan fitrah di atas segala-galanya.Unutk satu perjuangan yang pahit, perlu persiapan dalam tempoh yang lama.

Kita perlu meningkatkan diri ke peringkat yang setara dengan keinginan Islam.Kita perlu meningkatkan ibadah kita semata-mata kerana Allah.Sesungguhnya kita masih belum mengenal Allah dengan sesungguhnya selama mana kita tidak mentaatinya dengan sebenar-benarnya.

Kita perlu meningkatkan kesedaran terhadap keadaan di sekitar kita dengan meningkatkan kemampuan teknik dan taktik masa kini serta meningkatkan pengetahuan tentang peradaban dan kebudayaannya sehingga dapat menguasainya dan disesuaikan dengan kehendak Islam.
Ini adalah perjuangan yang pahit, perjuangan yang panjang tetapi merupakan perjuangan yang jelas dan perjuangan yang murni dan Allah bersama kita."

Saturday, March 24, 2007

Sanah Helwah!!

Diam tak diam, blog ni dah pun mencapai usia setahun pada 3hb Mac yang lalu berkebetulan pula dengan hari lahir anak buah tersayang..Nur zafirah Syahirah.Moga dirimu nanti menjadi anak yang solehah dan penyejuk mata ayah dan ibu.

Terkilan juga kerana tak berpeluang untuk update entri ni selalu.Kenapa ye? masa 24jam pun rasanya tak cukup untuk melakukan semua perkara...muhasabah buat diri..beruntunglah bagi mereka yang sentiasa berada di soff hadapan dalam melaksanakan amal kebajikan.Fastabiqul khairat..

Moga semangat juang tak luntur dalam melaksanakan kerja -kerja dakwah dengan menggunakan apa jua wasilah sekalipun.Yang penting kalimah ALLAH mesti ditegakkan!

Ya ALLAH berikanlah daku kekuatan dan ketabahan hati dalam meneruskan perjuangan yang masih belum selesai.Amin ya Rabbal 'Alamin..