Tuesday, February 14, 2012

Wasiat Terakhir Rasulullah SAW

Pada tahun ke 10 Hijrah ketika mengerjakan Hujjatul Wada’, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya yang terakhir (Khutbah Wida’) di Padang Arafah. Baginda bertolak ke Arafah dari mina setelah naiknya matahari 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untuk baginda dan baginda masuk serta berada di dalamnya sehingga tergelincir matahari (waktu zohor).

Selepas itu, baginda pun mengarahkan disiapkan untanya al-Qaswah, lalu menaikinya sehingga baginda tiba di Wadi Uranah. Di hadapan baginda, ribuan para sahabat mengelilingi baginda. Semuanya menanti penuh debar. Apakah ingin disampaikan baginda. Ramainya manusia yang berhimpun pada haji wida’ itu. Ada riwayat mengatakan jumlahnya mencecah 144,000 orang semuanya.

Baginda pun menyampaikan khutbahnya yang bersejarah:


“Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan, beristighfar dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada siapa yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberikan hidayat kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu supaya mentaati-Nya. Aku membuka khutbahku ini dengan mukaddimah yang baik.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini hari ini.

Wahai manusia, seperti mana kamu anggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai
hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu.
Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya, mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat daripada harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia daripada yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lagi agama baru.

Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan sunahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang terus mendengar daripadaku.

Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.


2 comments:

mohd kamarul ariffin said...

Assalamualaikum sahabat..mohon share untuk perkongsian ilmu...semoga sahabat di dalam redha dan rahmat ALLAH...amin..

mohd kamarul ariffin said...

Assalamualaikum sahabat..mohon share untuk perkongsian ilmu...semoga sahabat di dalam redha dan rahmat ALLAH...amin..