Saturday, April 21, 2012

Menyelami Feqh Dakwah


Peribadi muslim merupakan sasaran risalah dakwah. Dalam rangka itulah Allah swt mengutus para nabi dan rasul dan seterusnya dibebankan kepada para ulama' dan pendakwah.

Apabila :

1. Aqidah sudah menyentuh hati.
2. Iman telah menyelinap ke dalam jiwa.
3. Keperibadian sudah mencapai darjat yang utama.

Maka umat pun akan menjadi baik dan Daulah Islamiah akan tegak.

Oleh kerana itulah, Islam mensasarkan perhatian yang besar terhadap peningkatan kualiti peribadi, samada dari sudut :

a. Aqidah.
b. Kefahaman.
c. Pentarbiyahan.

Ini semua agar menjadi contoh hidup yang nyata dan lampu penerang bagi pencari hidayah dan kebenaran.

Usaha ini dimulai dengan menyampaikan pengertian dakwah yang bersepadu dan sempurna kepada hati setiap muslim pada masa kini. 

Suatu masa dulu, Islam telah dikotori oleh berbagai macam gelombang pemikiran yang menyesatkan, menyeleweng dan mengacau suara kebenaran. 

Perkara ini semakin menjadi parah apabila berlakunya perselisihan yang tajam dan tingkat kejahilan terhadap hakikat Islam yang menimpa dunia Islam. 

Maka sudah menjadi suatu kemestian untuk memotivasi para pelaksana dakwah fardiyah untuk melakukan analisa secara kritikal bagi membantu mengenali secara jelas setiap orang yang hendak dijadikan sebagai objek dakwah, samada dari segi :

a. Kejiwaan.
b. Sosial.

c. Politik.
Itulah langkah dakwah yang mesti ditempuhi agar tidak berlakunya pertentangan dan kontra produktif.

Seseorang yang bersedia untuk melakukan dakwah fardiyah mesti menyedari akan pentingnya penghidupan semula aktivis dakwah sehingga perjalanan dakwah dalam rangka membela Islam tidak berhenti.

Seorang pendakwah yang merasa terganggu dan tidak tenang fikirannya dengan keadaan yang menimpa umat Islam ini, terdorong dengan kuat untuk sedar bahawa dakwah mesti produktif dan menghasilkan buahnya.

Seorang pendakwah tidak akan berhasil dalam tugasnya kecuali jika disertai dengan ibadah yang penuh keikhlasan dan penyerahan sepenuhnya kepada Allah swt.

"Dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah."(QS Hud : 88)

"Yang demikian itu adalah kurnia dari Allah, dan cukuplah bahawa Allah mengetahui." (QS An-Nisa' : 70)

Seorang pendakwah mesti mengingati kembali kisah sahabat Mush'ab bin Umair.

Ketika beliau diutus oleh Rasulullah saw ke Madinah sebagai pendakwah, beliau ditentang oleh Sa'ad bin Mu'adz. Kemudian As'ad bin Zurarah berkata padanya, "Hai Mush'ab, inilah tokoh kaumnya. Ia telah datang kepadamu, maka jujurlah kepada Allah dalam mendakwahkan kepadanya."

Nampaklah bahawa hasil kerja yang tulus ini yang tercermin dalam akhlak dan perilaku, merupakan salah satu kaedah dakwah yang terpenting.

Kaedah-kaedah dakwah yang penting antara lain :

PERTAMA : DAKWAH TANPA KATA-KATA

Perkara ini tercermin dalam dakwah melalui "qudwah hasanah" (Contoh tauladan yang baik).

Qudwah hasanah adalah model dakwah yang tidak memerlukan penjelasan dan dialog. Ini merupakan cara yang praktikal kerana keyakinan kepada dakwah seperti ini akan melahirkan keyakinan kepada fakta yang konkrit dan realiti yang nyata.

Cara ini lebih cepat membawa orang untuk percaya dan menerima seruan.

Imam Hasan Al-Banna telah menyatakan :

"Kitab yang terletak di perpustakaan sedikit yang membacanya, tetapi seorang muslim sejati adalah 'kitab terbuka' yang semua orang membacanya. Ke mana sahaja ia pergi, ia adalah 'dakwah yang bergerak'."
Allah swt berfirman :
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah suri tauladan yang baik bagimu."
(QS Al-Ahzab : 21)

Oleh kerananya, seorang mahasiswa muslim yang memperolehi prestasi yang istimewa, di samping kedudukannya yang terhormat dan disukai ramai orang pada masa yang sama hal itu merupakan dakwah yang cemerlang dan mampu "berbicara banyak". Demikian juga seorang pegawai, pekerja, atau yang lainnya.

Allah swt berfirman :

"Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hal kamu." (QS Al-Hujurat : 7)
KEDUA : DAKWAH DENGAN KATA-KATA
Dakwah mesti menggunakan kaedah yang syar'i, seperti kata-kata dan penjelasan. Kaedah dakwah mesti bersumber dari nilai-nilai Islam.

Dakwah, sebagai kaedah untuk menanamkan nilai-nilai hati, tidak boleh menggunakan kaedah-kaedah jahiliah. Segala kaedah dan cara mesti sesuai dengan fikrah dan ruh ajaran Islam.

Berapa ramai pemuda yang bersemangat menempuh jalan dakwah fardiyah, tetapi mereka merasa tidak berhasil dan tidak mampu memahami kaedahnya. Itulah di antara hambatan yang menghalangi mereka untuk merealisasikan tujuan.

Di antara rintangan yang menonjol adalah masih terdapatnya pendakwah yang tidak memiliki kapasiti ilmu dan kefahaman yang baik. Boleh jadi ia tersesat, walaupun memiliki kepekaan, keterampilan, dan pandangan yang luas.

Rasulullah saw telah memberi kemudahan dalam hal ini seraya bersabda ;

"Sampaikan dariku walau hanya satu ayat!"

Banyak kata-kata baik yang cukup menarik dan berpengaruh, seperti orang-orang berpengalaman yang mengatakan bahawa :

"Kata-kata itu membawa kebahagiaan" . 
Bahkan menyusun kalimat yang tepat merupakan sesuatu yang penting.

Allah swt berfirman :

"Katakanlah (kepada manusia dengan) perkataan yang benar." 

Seorang pendakwah, ketika menghadapi sesiapapun, mesti berfikir bahawa seseorang mungkin sahaja tercemar oleh pemikiran-pemikiran kotor yang diwariskan oleh para "thaghut" yang menyebarkan kefahaman sesat tentang orientasi Islam. Oleh kerana itu, janganlah putus asa apabila menghadapi tentangan ini, sebaliknya kita mesti mempersiapkan diri bagi menghadapinya.

Bahkan, kita mesti memaafkan kejahilan mereka tentang hakikat yang tidak mereka ketahui ini. Bila kita memahami hakikat ini, kita mesti bersabar untuk hidup bersama mereka sampai mereka mengetahuinya.

Rasulullah saw telah bersabda :

"Bersikap lunaklah kepada manusia dan bersabarlah bersama mereka!"

Sikap lunak dan kasih sayang dalam kesabaran mendekatkan seseorang pada hakikat yang tidak diketahuinya sehingga apabila mereka memahami dan merasakannya, nescaya akan mengimani dan meyakininya.

Sebuah syair bertutur :

“Barangsiapa memiliki "rasa" Islam, ia memahaminya.

Barangsiapa memahaminya, ia bangkit dengan Rabbnya sebagai tebusan.”


KAEDAH DAKWAH YANG BERBAGAI
Hendaklah difahami bahawa "uslub" (kaedah) dakwah itu berbeza antara seseorang dengan seorang yang lain. Kaedah dakwah juga tidak tetap, malah bergantung kepada :

a. Situasi.
b. Keadaan.

Nah, pengetahuan tentang situasi dan keadaan inilah yang akan menentukan pilihan strategi dan kaedah dakwah yang tepat.

Rasulullah saw pernah didatangi seorang ahli gusti bernama Rukamah, di waktu ia belum masuk Islam. la tidak bertanya kepada Rasulullah saw tentang aqidah atau ibadah tetapi ia mengatakan :

"Bila kamu dapat mengalahkan aku, aku bersedia masuk Islam." Beliau pun menerima cabaran itu, ternyata beliau dapat mengalahkannya. Maka, Rukamah pun masuk Islam.

Hamzah bin Abdul Muthalib baru sahaja pulang dari berburu dan di waktu itu ia belum masuk Islam, tiba-tiba diberitahu bahawa Abu Jahal telah memaki hamun anak saudaranya, Muhammad saw pada ketika beliau sedang duduk di sisi Ka'bah.

Dengan serta merta, Hamzah datang ke Ka'bah lalu memukul kepala Abu Jahal hingga terluka, seraya berkata,

"Mengapa kamu mencela Muhammad, padahal saya penganut agamanya!"

Pada ketika itu juga Hamzah menyatakan, "Saya telah masuk Islam!"

SIKAP OPTIMIS PENUH SENYUMAN DAN LAPANG DADA
Ramai aktivis dakwah yang mengukur penglibatan orang lain dalam kancah dakwah dengan ukuran-ukuran yang sempit dan terbatas.

Seseorang yang tidak mahu mencurahkan semua potensi, waktu dan hartanya, dianggap sebagai sebuah kecacatan.

Di antara mereka ada yang menuduh saudaranya tidak mengetahui masalah kehidupan sosial yang pelik yang sedang dihadapi oleh umat ketika ini.

Ketika seorang "akh" masih berstatus sebagai mahasiswa, ia memiliki waktu untuk dakwah yang secara relatifnya banyak, namun dari segi sumbangan dana, secara relatifnya sedikit.

Setelah lulus dan menjadi pegawai, ia memberikan sumbangan dana lebih besar tetapi memiliki waktu terluang yang lebih sempit untuk dakwah.

Ketika ia berkahwin, nilai harta dan waktu baginya menjadi berkurang.

Bahkan, ketika mempunyai anak, ia tidak dapat memenuhi tugas-tugasnya selain menurut kemampuannya.

Dalam pandangan para aktivis dakwah, sering menjadi satu persepsi bahawa setiap orang mesti mencurahkan segala sesuatu yang dimilikinya, padahal Allah swt berfirman :

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. " (QS Al-Baqarah : 286)

Setiap kali seseorang memberikan dan mencurahkan potensinya, walau seberapa sekalipun, itu akan menjadi simpanan dan persediaan kebaikannya.

Bagaimanapun, sikap ini bukanlah satu fenomena yang umum. Ramai pemuda yang dapat menundukkan halangan-halangan ini sesuai dengan kadar keimanannya terhadap keagungan risalah serta kesedaran terhadap pentingnya amanah dan tanggungjawab terhadap masa depan Islam.

Dakwah menuntut penyertaan setiap muslim sesuai dengan kadar yang tidak sampai menyukarkan kehidupannya. Bahkan yang wajib adalah sebaliknya di mana memang ada yang mencurahkan dan mengorbankan segalanya sehingga bersedia mengganti kedudukan yang lain dan bertahan di barisan depan.

Setiap muslim mesti menyedari bahawa fizikal manusia terdiri dari beberapa anggota iaitu kedua tangan, kaki, mulut, mata, telinga, dan lain-lain yang sejenisnya. Masing-masing memiliki tugas dan misinya.

Demikian pula setiap muslim menunaikan tugasnya sesuai dengan potensi yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Dengan cara begitulah masyarakat Islam akan tercipta.

Ada sebuah kisah di mana ada seorang lelaki yang diberi julukan "Al-Mustami' " (pendengar) kerana ia bergaul dengan para aktivis dakwah yang lain hanya sebagai pendengar setia sahaja.

Namun setelah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak lelaki, semua anaknya berjaya dalam pelajaran dan menjadi aktivis dakwah yang aktif. Mungkin ini merupakan balasan yang agung sehingga Allah swt membuka pintu hatinya.

Kita mesti sentiasa merenungkan ungkapan Rasulullah saw ketika dilemparkan batu oleh penduduk Tha'if, hingga kedua tumit beliau berdarah. Beliau tetap tabah dan terus berdoa.

Lalu datanglah Jibril kepada Rasulullah saw seraya mengucapkan salam dan berkata :

"Wahai Muhammad, Allah mengucap salam dan berpesan untukmu. Seandainya engkau mahu, aku akan timpakan dua gunung di Makkah ini kepada mereka!"

Rasulullah saw menjawab, "Tidak! Semoga Allah mengeluarkan dari keturunan mereka orang-orang yang menyembah Allah!"

Hadits ini mengandungi pengertian yang mendalam, kerana Rasulullah saw menganjurkan kita tentang satu pelajaran yang amat agung, iaitu bahawa sikap optimis seseorang pendakwah lebih luas daripada batas-batas keduniaan ini.

Allah swt berfirman :

"Semoga Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu musuhi di antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS Al-Mumtahanah : 7)
BUKAN KITA YANG MENUNJUKI MEREKA
Kesan pertama yang ditinggalkan seorang pendakwah di hati "mad'u' (objek dakwah)nya adalah harapan akan masa depan.

Kelapangan dada dan terbukanya hati "mad'u" sangat tergantung pada besarnya pengaruh pertemuan pertama antara pendakwah dengan objek dakwahnya.

Oleh kerana itu, seorang pendakwah mesti diwarnai oleh ruh dakwah, baik secara kejiwaan mahupun perilaku.

Seorang pendakwah mesti benar-benar berorientasi kepada Allah swt dalam setiap langkahnya, agar dibukakan oleh Allah hatinya dan hati orang yang menjadi sasaran dakwahnya.

Apabila tujuannya tidak tercapai dan tidak mampu menembusi hati manusia melalui cara ini kerana setiap orang mempunyai keadaan berbeza yang tidak diketahui kecuali oleh Allah swt, maka ia mesti ingat firman Allah swt :

"Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allahlah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki- Nya." (QS Al-Baqarah : 272)
Dalam perkara ini, tersebut sebuah kisah yang pernah dialami oleh seorang pendakwah. Ia mempunyai seorang kawan yang sangat dicintainya, namun suatu ketika muncul pemikiran yang berbahaya dari diri kawannya.

Pendakwah itu berusaha untuk mengingatkan kawannya dengan memberi beberapa buku dan tulisan dengan harapan Allah berkenan untuk membuka hatinya hingga memiliki pandangan yang satu dan tetap saling mencintai. Namun, usahanya itu tidak berhasil.

Ketika pendakwah itu sedih atas kejadian yang berlaku, beliau terhibur ketika cuba
menghayati firman Allah swt :

"Sesungguhnya engkau tidak akan dapat memberi hidayah kepada orang yang kamu cintai, akan tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang dikehendaki- Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk." (QS Al-Qashash : 56)
Begitu lama pendakwah itu merenungkan perkataan "man ahbabta" (orang yang kamu cintai), sehingga akhirnya menyedarkan dirinya bahawa :

1. Cinta yang mendalam bukan penyebab datangnya hidayah.
Tetapi

2. Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang dikehendakiNya.
Seorang pendakwah yang mengalami kegagalan dalam mencapai tujuan seperti yang disebut di atas tidak akan kembali lagi kepada orang yang sama.

Sebaliknya, ia akan mempelajarinya untuk beberapa waktu dan dia akan menilai kembali perkara tersebut bersama rakan-rakan pendakwah yang lain, setelah membekalkan diri dengan berbagai pengetahuan tentang :

a. Karakter.
b. Situasi.
c. Lingkungan.

Boleh jadi, sebahagian waktu lebih menguntungkan dari sebahagian waktu yang lain; atau sebahagian keadaan lebih menguntungkan daripada sebahagian keadaan yang lain.

Ramai orang yang memiliki keadaan peribadi tertentu yang membuatnya tidak mudah terbuka, tetapi setelah beberapa waktu berlalu, keadaannya berubah dan Allah memudahkan urusan serta membukakan hatinya.

Maka, kita sebagai seorang pendakwah tidak boleh bersikap tergesa-gesa ketika hendak memutuskan hubungan dengan seseorang, apalagi terhadap seorang objek dakwah.

Kita wajib memahaminya sehingga tidak terjebak dalam sikap putus asa dan mudah memutuskan hubungan.

Satu perkara lagi yang perlu diperingatkan kepada para pendakwah adalah :

"Penampilan seorang pendakwah mesti berseri-seri dan ceria dalam segala situasi dan keadaan". 
Maka seorang pendakwah tidak boleh bermuka masam dan menarik muka sewaktu menghadapi seseorang, tetapi perlu berwajah ceria ketika menghadapi orang lain. Bahkan ia seharusnya sentiasa berlapang dada dan ceria sebagaimana sebuah pepatah :

"Carilah kebaikan di saat wajah sedang ceria".
Sesungguhnya dalam hati setiap orang tersimpan potensi besar bagi dakwah, kerana hati seseorang secara fitrah senang kepada semua yang menyambut dan melayaninya dengan baik.

Allah swt berfirman :

"Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling. Kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya?" (QS 'Abasa : 1-4)
Ya Allah, berilah kami kefahaman yang jelas dan benar tentang fiqh dakwah supaya kami dapat melaksanakan tugas ini dengan mudah dan tertib. Sesungguhnya kami hanya mampu untuk menyeru manusia kepadaMu namun hanya Engkaulah yang berkuasa memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka. Kami yakin Engkau akan menolong hamba-hambaMu yang menolong menegakkan agamaMu.

No comments: