Monday, August 29, 2011

Perutusan 'Eidulfitri 1432H:Titik Tolak Keyakinan


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Allahu Akbar.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala yang mengizinkan kita untuk terus bernafas sehingga ke hari ini dan diberikan peluang untuk menyambut Hari Raya Idul Fitri 1432H.

Setelah kita menjalani tarbiyah Ramadhan selama sebulan dengan ibadat seperti puasa, qiam, bacaan al-Quran dan sebagainya, kita diperintahkan untuk menyambut Hari Raya sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan menewaskan hawa nafsu. Semoga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmah puasa itu sendiri.

Taqwa ertinya pelindung. Apa yang dimaksudkan dengan pelindung ialah pelindung daripada api Neraka. Justeru, apabila masyarakat yang bertaqwa berjaya diwujudkan hasil daripada tarbiyah di bulan Ramadhan, InsyaAllah tidak akan berlaku kes-kes rasuah, penipuan, pecah amanah dan sebagainya. Ini kerana punca kepada semua jenayah ini ialah kerana manusia tidak bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wataala.

Begitu juga dengan jenayah aqidah seperti murtad juga berpunca daripada ketaqwaan yang tidak dipupuk dalam diri masyarakat.

Justeru, saya menyeru kepada semua pihak agar marilah kita menjadikan taqwa sebagai asas dalam setiap sudut kehidupan kita.

Alhamdulillah, tahun ini Hari Raya disambut hampir serentak dengan Hari Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 2011. Saya berharap biarlah sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini dapat dihayati dengan makna kemerdekaan yang sebenar iaitu merdeka daripada penjajahan hawa nafsu dan seterusnya melaksanakan setiap perintah Allah Subhanahu Wataala.

Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan “Idul Mubarak” kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira apa fahaman mereka. Demikan juga kepada ahli parti dan para pejuang Islam sekalian, tingkatkan pengorbanan demi mencapai keberkatan Allah Subhanahu Wataala.

Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik-tolak kepada keyakinan kita bahawa al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. adalah panduan kita yang hakiki dalam semua segi kehidupan kita.

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
Merangkap Al-Mursyidul Am PAS.

Pejabat Menteri Besar Kelantan
Kota Darulnaim
KOTA BHARU.

Bertarikh : 28 Ramadhan 1432/28 Ogos 2011

No comments: