Monday, August 29, 2011

Bagaimana Menyambut Hari Raya 'Eidulfitri





" Ummat ISLAM menyambut `Eidul-Fitri setelah sebulan menghadapi ujian dan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan. Ia disambut pada 1 Syawwal dengan perasaan syukur kepada ALLAH `Azza wa Jalla yang banyak memberikan keampunan dan ganjaran yang besar sepanjang sebulan Ramadhan tersebut kepada hamba-hambaNYA.

Bagaimanakah cara terbaik kita menyambut `Eidul-fitri?

1. Bertakbir

ALLAH Ta`ala berfirman: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan bertakbir atau membesarkan ALLAH atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, 2:185)

Disunnatkan bertakbir pada malam hari raya sehinggalah Imam datang untuk memulakan solat sunnat `Eidulfitri pada hari raya. Dituntut untuk meninggikan suara ketika bertakbir. Wanita tidak dibenarkan meninggikan suara ketika bertakbir.

2. Mandi, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yang terbaik.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam diriwayatkan memakai pakaian yang paling cantik ketika Hari Raya. Malah Baginda mempunyai pakaian khusus untuk dipakai pada hari Jumaat dan Hari Raya.

Walau bagaimanapun, wanita tidak dibenarkan untuk memakai wangi-wangian dan berhias apabila keluar dari rumah bagi mengelakkan fitnah.

3. Makan dahulu sebelum solat `Eidulfitri.

Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak keluar pada hari `Eidul-fitri sehingga Baginda makan beberapa biji tamar (dan Baginda makan dalam jumlah yang ganjil)” (HR al-Bukhari)

4. Berjalan kaki ke tempat solat.

Ibnu Umar r.a berkata: “Rasulullah s.a.w keluar untuk menunaikan solat sunnat Hari Raya dalam keadaan berjalan dan pulang dalam keadaan berjalan.” (HR Ibnu Majah. Dikategorikan hasan oleh al-Albani)

5. Ikut serta wanita dan anak-anak.

Ummu `Atthiyyah berkata: “Kami diperintahkan untuk mengeluarkan semua gadis dan wanita haid pada kedua-dua Hari Raya (iaitu `Eidul-Fitri dan `Eidul-Adha) agar mereka menyaksikan kebaikan pada hari itu, juga doa dari kaum Muslimin. Hanya sahaja supaya wanita-wanita yang haid menjauhi tempat solat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

6. Mengerjakan solat `Eidulfitri.

Hukum mengerjakan solat `Eidul-fitri ialah sunnat muakkad. Pada zaman Rasulullah s.a.w, Baginda melakukan solat `Eidul-fitri secara berjamaah di musolla iaitu satu kawasan lapang di luar. Nabi s.a.w tidak pernah melakukan solat Hari Raya di masjid melainkan hanya sekali kerana hujan turun.

Walau bagaimanapun, jika masjid itu besar dan boleh menampung jumlah jamaah yang banyak, maka bolehlah dilakukan di dalam masjid.

7. Mendengar khutbah Hari Raya.

8. Pulang dari solat Hari Raya dengan menggunakan jalan yang berbeza.

Apabila pulang dari solat `Eidul-Fitri, disunnatkan kita menggunakan jalan yang berbeza dari jalan yang digunakan untuk ke tempat solat. Hal ini pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

9. Mengucapkan tahniah

Terdapat riwayat yang menceritakan bahawa para sahabat r.a saling memberikan ucapan: “TaqabbalAllahu minna wa minkum” yang bermaksud“Semoga ALLAH menerima dari kami dan kalian”

Lain-lain ucapan tertentu juga dibolehkan. Sebarang bentuk ucapan dibenarkan selagi ia tidak membawa kepada dosa.

Rujukan:

  • Feqh as-Sunnah, Sayyid Sabiq
  • Fatwa Kemusykilan Solat, Ibnu Soleh al-Munajid, Ibnu Soleh al-`Uthaimin, Bin Baz
Oleh: al-bahanj

*Salam Lebaran buat suami tersayang, keluarga di Mersing dan keluarga mentua di Kuala Nerang,Taqabbalallahu minna waminkum, kulla 'am waantum bikhair"

No comments: