Langkahmu makin berat...jiwamu mesti kuat..Life is a long journey, so...make the most it!
Monday, August 29, 2011
Perutusan 'Eidulfitri 1432H:Titik Tolak Keyakinan
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Allahu Akbar.
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala yang mengizinkan kita untuk terus bernafas sehingga ke hari ini dan diberikan peluang untuk menyambut Hari Raya Idul Fitri 1432H.
Setelah kita menjalani tarbiyah Ramadhan selama sebulan dengan ibadat seperti puasa, qiam, bacaan al-Quran dan sebagainya, kita diperintahkan untuk menyambut Hari Raya sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan menewaskan hawa nafsu. Semoga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmah puasa itu sendiri.
Taqwa ertinya pelindung. Apa yang dimaksudkan dengan pelindung ialah pelindung daripada api Neraka. Justeru, apabila masyarakat yang bertaqwa berjaya diwujudkan hasil daripada tarbiyah di bulan Ramadhan, InsyaAllah tidak akan berlaku kes-kes rasuah, penipuan, pecah amanah dan sebagainya. Ini kerana punca kepada semua jenayah ini ialah kerana manusia tidak bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wataala.
Begitu juga dengan jenayah aqidah seperti murtad juga berpunca daripada ketaqwaan yang tidak dipupuk dalam diri masyarakat.
Justeru, saya menyeru kepada semua pihak agar marilah kita menjadikan taqwa sebagai asas dalam setiap sudut kehidupan kita.
Alhamdulillah, tahun ini Hari Raya disambut hampir serentak dengan Hari Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 2011. Saya berharap biarlah sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini dapat dihayati dengan makna kemerdekaan yang sebenar iaitu merdeka daripada penjajahan hawa nafsu dan seterusnya melaksanakan setiap perintah Allah Subhanahu Wataala.
Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan “Idul Mubarak” kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira apa fahaman mereka. Demikan juga kepada ahli parti dan para pejuang Islam sekalian, tingkatkan pengorbanan demi mencapai keberkatan Allah Subhanahu Wataala.
Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik-tolak kepada keyakinan kita bahawa al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. adalah panduan kita yang hakiki dalam semua segi kehidupan kita.
Tuan Guru Dato’ Bentara Setia
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
Merangkap Al-Mursyidul Am PAS.
Pejabat Menteri Besar Kelantan
Kota Darulnaim
KOTA BHARU.
Bertarikh : 28 Ramadhan 1432/28 Ogos 2011
Bagaimana Menyambut Hari Raya 'Eidulfitri
" Ummat ISLAM menyambut `Eidul-Fitri setelah sebulan menghadapi ujian dan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan. Ia disambut pada 1 Syawwal dengan perasaan syukur kepada ALLAH `Azza wa Jalla yang banyak memberikan keampunan dan ganjaran yang besar sepanjang sebulan Ramadhan tersebut kepada hamba-hambaNYA.
Bagaimanakah cara terbaik kita menyambut `Eidul-fitri?
1. Bertakbir
ALLAH Ta`ala berfirman: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan bertakbir atau membesarkan ALLAH atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, 2:185)
Disunnatkan bertakbir pada malam hari raya sehinggalah Imam datang untuk memulakan solat sunnat `Eidulfitri pada hari raya. Dituntut untuk meninggikan suara ketika bertakbir. Wanita tidak dibenarkan meninggikan suara ketika bertakbir.
2. Mandi, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yang terbaik.
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam diriwayatkan memakai pakaian yang paling cantik ketika Hari Raya. Malah Baginda mempunyai pakaian khusus untuk dipakai pada hari Jumaat dan Hari Raya.
Walau bagaimanapun, wanita tidak dibenarkan untuk memakai wangi-wangian dan berhias apabila keluar dari rumah bagi mengelakkan fitnah.
3. Makan dahulu sebelum solat `Eidulfitri.
Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak keluar pada hari `Eidul-fitri sehingga Baginda makan beberapa biji tamar (dan Baginda makan dalam jumlah yang ganjil)” (HR al-Bukhari)
4. Berjalan kaki ke tempat solat.
Ibnu Umar r.a berkata: “Rasulullah s.a.w keluar untuk menunaikan solat sunnat Hari Raya dalam keadaan berjalan dan pulang dalam keadaan berjalan.” (HR Ibnu Majah. Dikategorikan hasan oleh al-Albani)
5. Ikut serta wanita dan anak-anak.
Ummu `Atthiyyah berkata: “Kami diperintahkan untuk mengeluarkan semua gadis dan wanita haid pada kedua-dua Hari Raya (iaitu `Eidul-Fitri dan `Eidul-Adha) agar mereka menyaksikan kebaikan pada hari itu, juga doa dari kaum Muslimin. Hanya sahaja supaya wanita-wanita yang haid menjauhi tempat solat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
6. Mengerjakan solat `Eidulfitri.
Hukum mengerjakan solat `Eidul-fitri ialah sunnat muakkad. Pada zaman Rasulullah s.a.w, Baginda melakukan solat `Eidul-fitri secara berjamaah di musolla iaitu satu kawasan lapang di luar. Nabi s.a.w tidak pernah melakukan solat Hari Raya di masjid melainkan hanya sekali kerana hujan turun.
Walau bagaimanapun, jika masjid itu besar dan boleh menampung jumlah jamaah yang banyak, maka bolehlah dilakukan di dalam masjid.
7. Mendengar khutbah Hari Raya.
8. Pulang dari solat Hari Raya dengan menggunakan jalan yang berbeza.
Apabila pulang dari solat `Eidul-Fitri, disunnatkan kita menggunakan jalan yang berbeza dari jalan yang digunakan untuk ke tempat solat. Hal ini pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
9. Mengucapkan tahniah
Terdapat riwayat yang menceritakan bahawa para sahabat r.a saling memberikan ucapan: “TaqabbalAllahu minna wa minkum” yang bermaksud“Semoga ALLAH menerima dari kami dan kalian”
Lain-lain ucapan tertentu juga dibolehkan. Sebarang bentuk ucapan dibenarkan selagi ia tidak membawa kepada dosa.
Rujukan:
- Feqh as-Sunnah, Sayyid Sabiq
- Fatwa Kemusykilan Solat, Ibnu Soleh al-Munajid, Ibnu Soleh al-`Uthaimin, Bin Baz
Tuesday, August 23, 2011
Fasa ke 3: Pelepasan Daripada Api Neraka
Alhamdulillah, kita sudah pun melangkah ke fasa ke 3, pelepasan daripada api neraka.bermakna kita sudahpun hampir meninggalkan madrasah Ramadhan yang menjanjikan habuan berlipat kali ganda.Padanya ada lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Kata orang lihat pada sebelah paginya : tidak sejuk, tidak panas. Tidak terang dan agak redup. Kata yang lain, ada air yang membeku. Tidak ada salakan anjing. Suasana tenang luar biasa. Syahdu dan sayu, dakwa sebahagian yang lain. Ada yang lebih yakin, mengatakan pada malam Jumaat 21 Ramadhan yang lalu. Itu malam ganjil, ditambah pula malam Jumaat. Lantas saya ada menerima SMS, ada sahabat-sahabat yang kesal kerana"terlepas" malam al-Qadar.
Rasa rugi kalau terlepas!" Memang rasa kesal akibat terlepas peluang keemasan untuk lebih dekat dengan Allah itu baik. Tetapi jangan terikat dengan al-Qadar, hingga semangat beribadat luntur akibat terlepasnya. " Jadilah hamba Allah sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap keadaan dan suasana. Jangan jadi "hamba" malam al-Qadar yang beribadah hanya pada malam itu sahaja."Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat al-Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri. Sedangkan tanda mendapat al-Qadar itu ada pada diri sendiri. Bukankah mereka yang bertemu dengan malam al-Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya "diangkat" oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah? Jadi, jika seseorang mendapat al-Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat.
Justeru, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, bagaimana akhlak kita selepas "malam tadi"(malam yang dirasakan malam al-Qadar) apakah sudah berubah, terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan dan rasa semakin enggan melakukan kejahatan? Jika ya, ya, kita telah mendapat malam al-Qadar. Bagaimana pula dengan sifat mazmumah – marah, hasad dengki, dendam, penakut, bakhil, cinta dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta makan? Apakah semua sifat mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun lebur sama sekali? Jika jawapannya ya, ya, malam al-Qadar sudah menjadi milik kita!
Malam al-Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar. Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.
Salah satu urusan ialah "bertamu dalam hati" orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah. Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari Syaitan) dalam hati orang tersebut.
Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan "hati kecil" yang suci dan baik. Kedua, bisikan "hati besar" yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara Malaikat dan Syaitan.Antara ilham dan was was. Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh "penakluknya".
Orang yang mendapat malam al-Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya. Mujahadahnya akan terbantu. Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan, maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan.Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.
Itulah hati orang yang telah mendapat malam al-Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara. Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya. Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam al-Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang paling sempurna.
Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada al-Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, setiap malam adalah malam al-Qadar. Al-Qadar boleh datang, boleh pergi, tetapi Penciptanya sentiasa ada, sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam al-Qadar ini (1430 h) atau dalam perjalanan menuju malam al-Qadar nanti.
Persediaan menenemuinya bukan dibuat semalaman, seharian, mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk "menemuinya". Mengapa? Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat. Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!
Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku, kesihanilah aku, sayangilah aku. Jangan KAU pinggirkan aku wahai Rahman, wahai Rahim.
Wednesday, August 17, 2011
Nuzul Quran
Sunday, August 14, 2011
Fasa ke2-Maghfirah...
Tuesday, August 09, 2011
Tetamu Allah Di Bulan Mulia
DENGAN nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, penghulu segala Nabi dan Rasul. Selawat dan salam juga ke atas keluarga baginda dan seluruh sahabatnya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana pernah diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa kepada Allah.”
Ayat ini jelas bahawa matlamat terpenting daripada ibadah puasa bukan sahaja semata-mata ibadat, tetapi termasuk jugalah mentarbiyahkan diri seseorang yang beriman supaya menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT takwa merupakan penentuan kedudukan martabat manusia di sisi Allah SWT, kerana Allah SWT tidak menentukan kedudukan manusia berdasarkan kepada keturunan,bangsa, warna kulit, pangkat dan harta benda tetapi ditentukan dengan sifat takwa yang ada pada diri masing-masing.
Walaupun kita seorang kaya ataupun kita miskin, sama ada kita orang berkuasa atau tidak berkuasa, ia bukan ukuran kedudukan kita di sisi Allah SWT.
Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT didalam al-Quran, “sungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang bertakwa. “
Ibadah puasa melahir dan mentarbiyah seseorang yang beriman supaya menjadi orangorang yang bertakwa kepada- Nya, kerana di bulan Ramadan amalan meninggalkan perkaraperkara yang membatalkan puasa dan membatalkan pahala puasa adalah secara praktikal, melatih seseorang itu bertakwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah dan meninggal segala larangan-Nya.
Dari segi amalan yang zahir, seseorang yang berpuasa diwajibkan meninggalkan makan minum, meninggalkan pergaulan dengan isteri,
meninggalkan apa yang dihalalkan pada masa yang lain, dan menjadi sebahagian naluri manusia yang bertakwa. Tetapi perkara yang menjadi perintah supaya meninggalkannya di waktu siang hari di bulan Ramadan.
Apabila seseorang manusia itu sanggup meninggalkan perkara yang dihalalkan oleh Allah di masa yang lain sematamata kerana taat kepada Allah, dengan mengerjakan ibadah puasa dan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan, dengan sendirinya melatih dirinya menjadi orang-orang yang taat dengan sifat takwa kepada Allah Taala.
Sesungguhnya dari segi rohani dan hak orang yang berpuasa mestilah dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT keikhlasan melalui ibadah puasa lebih terserlah daripada ibadahibadah yang lain kerana ibadat puasa wajib disembunyikan dan tidak dinyatakan. Ibadat yang lain lebih bersifat dinyatakan.
Orang nampak kita bersembahyang, tetapi orang tidak nampak kita berpuasa, semasa kita tidak makan, tetapi seorang yang berpuasa sanggup meninggalkan perkara yang membatalkan puasa sama ada dilihat oleh orang atau tidak. Di sini menyerlahkan keikhlasan, beribadat kepada Allah yang melahirkan sifat takwa, yang tersirat di dalam hati, bukan dari amalan-amalan yang zahir.
Di antara adab puasa juga ialah meninggalkan perkaraperkara yang boleh membatalkan pahala walaupun tidak membatalkan puasa, melihat yang haram, bercakap yang haram dan sebagainya yang merupakan tegahan-tegahan yang baik yang berkait dengan akhlak yang buruk yang tersirat di dalam hati. Dengan melaksanakan kewajipan ini juga, melahirkan sifat takwa kepada Allah.
Seterusnya di bulan Ramadan, kita dihidangkan dengan amalan ibadat sunat yang banyak seperti membaca Quran, sembahyang Tarawih, menjamu berbuka puasa, bersedekah makanan kepada orang yang berbuka puasa, amalan-amalan ini juga adalah amalan-amalan yang
membentuk peribadi samada yang menghubungkan kita dengan Allah atau hubungan kita dengan sesama manusia, keluarga dan jiran.
Menunjukkan bahawa di bulan mulia ini kita menjadi tetamu Allah SWT dihidangkan dengan makanan-makanan, bukan sahaja makanan zahir yang menyihatkan badan untuk menguatkan diri melaksanakan perintah Allah, dalam masa yang sama makanan-makanan rohani yang membersihkan jiwa dan mengikhlaskan hati sehingga membentuk menjadi orangorang yang bertakwa kepada Allah.
Disinilah terserlah kenyataan Allah, dihujung ayat yang menyatakan wajib berpuasa, supaya kamu menjadi orangorang yang bertakwa kepada Allah. Wallahu A’lam.
Ditulis oleh Presiden PAS
Rabu, 03 Ogos 2011 14:41Monday, August 01, 2011
Menu Pertama Ramadhan
Alhamdulillah syukur kepada Illahi kerana berpeluang iftor bersama zauji habib berkebetulan pula sekolah cuti sampai hari Selasa.Jazakallah khair buat mudir, Ustaz Ariff yang menambah sehari lagi cuti sempena menyambut Ramadhan kali ini.
Puasa Mengikut Cara Rasulullah SAW
Sahabat yang dihormati Allah, Ramadhan yang kita nanti-nantikan telah tiba untuk sekali lagi kita berada di dalamnya. Ini tanda Allah masih sayang kepada hamba-hambanya dengan memberi sekali lagi peluang untuk kita bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan ini. Berpuasa adalah aktiviti terpenting dalam bulan ini. Persoalannya bagaimana tips-tips yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk puasa kita dinilai tinggi oleh Allah? Mari kita telusuri satu persatu.
- Ya Allah, berilah makan orang yang memberiku makan, dan berilah minum orang yang memberiku minum (riwayat Muslim).
- Ya Allah, Ampunkanlah mereka, rahmatilah mereka dan berkatilah apa yang telah kau rezekikan kepada mereka(riwayat Muslim).