"
Pengertian korban ialah binatang yang disembelih yang terdiri daripada unta, lembu atau kambing untuk mendekatkan diri kepada ALLAH Ta`ala pada hari raya `Eidul Adha dan hari-hari Tasyrik.
Dalil Disyariatkan
ALLAH Ta`ala berfirman:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
“Maka dirikanlah solat kerana TUHANmu dan berkorbanlah.”
(Surah al-Kautsar, 108: 2)
Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah berkorban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dan Baginda telah menyebut Nama ALLAH, bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas tengkok kibasy tersebut.”
(HR al-Bukhari-5245 dan Muslim-1966)
Hukum Korban
Hukumnya ialah sunat muakkad.
Namun, ia boleh jadi wajib dengan 2 sebab, iaitu:
1) Apabila seseorang mengisyaratkan kepada binatang miliknya yang sesuai untuk korban, seperti dia menyatakan: ”Ini korbanku” atau “Aku akan korbankan kambing ini”. Ketika itu korban menjadi wajib ke atasnya.
2) Apabila dia mewajibkan ke atas dirinya untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dengan melakukan korban. Seperti dia berkata: ”Wajib ke atasku korban kerana ALLAH”. Ketika itu, korban menjadi wajib ke atasnya sebagaimana jika dia mewajibkan mana-mana ibadah lain ke atas dirinya kerana perbuatan tersebut merupakan nazar yang wajib ditunaikan.
Siapakah Yang Dituntut Untuk Berkorban?
Ibadah korban dituntut bagi seseorang yang mempunyai syarat-syarat berikut:
1) Islam
2) Baligh dan berakal.
3) Berkemampuan: Dengan memiliki harta yang lebih untuk korban iaitu melebihi daripada nafkah untuk dirinya dan mereka yang di bawah tanggungannya samada makanan, pakaian dan tempat tinggal, pada hari raya dan hari-hari Tasyrik.
Binatang Yang Disyariatkan Untuk Korban
Tidak sah korban kecuali dengan unta atau lembu (kerbau) atau kambing. Ini berdasarkan firman ALLAH Ta`ala:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۗ فَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا ۗ وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ
“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.”
(Surah al-Hajj, 22:34)
Perkataan binatang ternakan (الْأَنْعَامِ) sebagaimana dalam ayat di atas bermaksud tidak terkeluar daripada 3 jenis binatang ternakan iaitu unta, lembu dan kambing. Tiada riwayat daripada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam atau para sahabat bahawa mereka berkorban dengan binatang lain.
Yang paling afdhal ialah unta, kemudian lembu, kemudian kambing.
Harus korban dengan 1 bahagian daripada 7 bahagian unta dan lembu (seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian. Jabir radhiAllahu `anhu berkata:
“Kami melakukan korban bersama Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pada tahun Hudaibiyah dengan dibahagikan seekor unta kepada 7 bahagian dan seekor lembu juga dibahagikan kepada 7 bahagian.”
(HR Muslim-1318)
Syarat-syarat Binatang Korban
1) Umur
Bagi unta, umurnya mesti sudah memasuki tahun ke-6. Bagi lembu dan kambing (al-maiz), umurnya mesti memasuki tahun ke-3.
Manakala bagi kambing biri-biri (al-dho`nu), umurnya mesti memasuki tahun ke-2 atau gigi hadapannya telah gugur (kerana bersalin gigi) walaupun belum sampai satu tahun. Ini berdasarkan hadith dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu katanya: Aku mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Sebaik-baik binatang korban ialah kambing biri-biri yang berusia 2 tahun.”
(HR Ahmad-2/245)
2) Selamat (tidak cacat)
Daripada al-Barra’ bin Azib bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:
“4 perkara yang menyebabkan binatang korban tidak memadai (tidak sah) untuk dikorbankan. Yang jelas matanya buta sebelah, yang jelas sakitnya, yang jelas tempangnya dan yang terlalu kurus hingga tidak berotak.”
(HR at-Turmudzi-1497 dan Abu Daud-2800)
Keaiban yang disebutkan di atas diqiaskan kepada semua jenis keaiban yang seumpamanya yang boleh menyebabkannya kurus dan kurang daging.
Waktu Korban
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Perkara pertama yang kami mulakan pada hari ini (hari raya `Eidul Adha) ialah kami bersolat. Kemudian kami pulang dan menyembelih korban. Oleh itu, sesiapa yang melakukan perkara tersebut maka dia telah melaksanakan sunnah kami. Dan sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya bukan untuk ibadah korban sedikit pun.”
(HR al-Bukhari-5225 dan Muslim-1961)
Maksud perkataan: “Sesiapa yang telah menyembelih sebelum itu” ialah sebelum masuk waktu solat hari raya dan sebelum berlalu waktu sekadar yang sempat didirikan solat hari raya.
Dari Jabir bin Mut`im bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Setiap hari Tasyrik adalah sembelihan (waktu untuk menyembelih korban).”
(HR Ibnu Hibban-1008)
Maka, waktu dilakukan korban ialah selepas waktu solat Hari Raya `Eidul Adha dan berlanjutan sehingga hari-hari Tasyrik, iaitu 11, 12 dan 13 Dzulhijjah. Berakhir waktu dilakukan korban ialah terbenamnya matahari 13 Dzulhijjah.
Adab-adab Ibadat Korban
1) Makruh menghilangkan bulu atau memotong kuku bagi sesiapa yang berniat mahu melakukan ibadah korban. Maka, dia hendaklah menjaganya dengan baik sehingga haiwan korbannya disembelih.
Dari Ummu Salamah radhiAllahu `anha bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Apabila kamu melihat anak bulan Dzulhijjah dan salah seorang daripada kamu ingin melakukan ibadah korban, maka hendaklah dia menahan dari memotong bulunya dan kukunya (sehingga haiwannya disembelih).”
(HR Muslim-1977)
2) Sunat kepada yang berkorban menyembelih binatang korbannya sendiri. Jika dia tidak boleh melakukannya, maka hendaklah dia hadir bersama menyaksikan penyembelihan yang dilakukan.
Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda kepada Fatimah radhiAllahu `anha yang maksudnya:
“Bangunlah kepada korbanmu dan saksikanlah ia kerana sesungguhnya (dengan tertitisnya) titisan darah yang pertama maka akan diampunkan dosamu yang terdahulu. Fatimah bertanya: Wahai Rasulullah, ini adalah untuk kita Ahlul Bait sahaja atau untuk kita dan orang-orang Islam seluruhnya? Rasulullah menjawab: Bahkan untuk kita dan untuk semua orang-orang Islam seluruhnya.”
(HR al-Hakim-4/222 dengan sanad yang sahih)
3) Sunat bagi pemerintah orang-orang Islam atau pemimpin mereka untuk berkorban menggunakan harta Baitul Mal bagi pihak orang-orang Islam dan melakukan ibadah korban di tempat dilakukan solat hari raya.
“Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam telah korbankan seekor kibasy. Dan Baginda mengucapkan semasa sembelih: Dengan nama ALLAH, Ya ALLAH terimalah daripada Muhammad dan keluarga Muhammad dan umat Muhammad. Baginda menyembelih di tempat solat di mana orang ramai berkumpul untuk solat (musolla). Dan Baginda menyembelih binatang tersebut dengan tangan Baginda sendiri.”
(HR Muslim-1967)
Daripada Ibnu `Umar radhiAllahu `anhuma, katanya:
“Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menyembelih (binatang korbannya) di tempat didirikan solat.”
(HR al-Bukhari-5232)
Apa Yang Dibuat Dengan Korban Selepas Disembelih?
1) Sekiranya korban itu wajib, samada dengan nazar atau ditentukan sebagaimana dijelaskan di atas, maka tidak harus bagi orang yang melakukan korban dan mereka di bawah tanggungannya memakan daging korbannya itu. Jika salah seorang daripada mereka memakan sedikit daripadanya, maka hendaklah diganti dengan daging lain atau dibayar dengan nilaian (sekadar daging yang dimakan itu).
2) Sekiranya korban itu sunat, harus baginya makan mengikut kadar yang dikehendaki dengan syarat dia hendaklah bersedeqah sedikit daripadanya. Yang paling afdhal ialah makan sedikit untuk keberkatan dan bakinya disedeqahkan. Harus baginya makan 1/3, dan 1/3 disedeqahkan kepada fakir, dan 1/3 lagi dihadiahkan kepada sahabat-sahabat dan jiran-jiran sekali pun mereka adalah orang kaya.
Apa yang diberikan kepada orang kaya, ia adalah hadiah, maka tidak boleh dijual oleh orang kaya itu. Dan apa yang diberikan kepada orang fakir adalah untuk dimilikinya. Oleh itu dia bebas samada hendak memakannya atau menjualnya.
3) Bagi orang berkorban, dia boleh sedeqahkan kulit binatang korbannya atau dimanfaatkan untuk dirinya sendiri. Tetapi tidak boleh dijual atau diberikan kepada penyembelih binatang korban sebagai upah kepada penyembelihannya. Ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kekurangan pada binatang korban dan merosakkan ibadah korbannya. Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang menjual kulit binatang korbannya maka tidak ada korban baginya.”
(HR al-Baihaqi-9/294)
Allahu A`lam. Begitulah antara maklumat dan ilmu mengenai ibadah korban yang disunting dari kitab terjemahan Al-Fiqhul Manhaji `ala Madzhab al-Imam asy-Syafi`i, karya Dr Mustofa al-Khin, Dr Mustofa al-Bugho dan Ali asy-Syarbaji. Mudah-mudahan bermanfaat.
Bagi menambahkan lagi maklumat, ilmu, kefahaman serta mengetahui perbahasan ringkas mengenai ibadah korban, tuan/puan boleh juga membaca artikel dari pautan ini, in sha’ ALLAH:
Semoga kita semua diberikan hidayah dan taufiq dari ALLAH Ta`ala dan semoga amalan-amalan kita semua diterima olehNYA, amin.
28 Dzulqa`idah 1433
15 Oktober 2012
No comments:
Post a Comment