"Sesiapa yang inginkan dunia maka hendaklah dia berilmu, sesiapa yang inginkan akhirat maka dia juga mesti berilmu dan sesiapa yang ingin kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat maka dia lebih dituntut agar berilmu."
Hadis Rasulullah SAW yang perlu dijadikan dorongan dalam mempertingkatkan ilmu dalam diri. Sejauh mana kepentingan ilmu itu dalam membentuk keperibadian muslim sejati? Tanpa ilmu kita diibaratkan seperti kapal tanpa nakhoda, fizikal dan emosi akan bertindak mengikut ketidaklogikan akal, segala tindak- tanduk yang dilakukan juga tidak berasaskan ilmu. Ironinya, segala kerja yang dilakukan hanya mementingkan tuntutan duniawi tetapi tidak ukhrawi.
Saidina Ali bin Abi Talib RA berkata, "Ilmu lebih baik dari harta, harta jika dibelanjakan akan berkurang, tetapi ilmu jika disebarkan akan bertambah."
Hanya dengan ilmu, sifat takbur, ego, riak dan mementingkan diri dapat dileraikan. Hanya dengan ilmu, kasih sayang sesama mukmin akan bertaut, ukhwah terjalin, silaturrahim bercambah. Hanya dengan ilmu, kekuatan jihad dapat diperkukuhkan. Hanya dengan ilmu, ketidakstabilan kerohanian tidak akan berlaku. Hanya dengan ilmu, kasih sayang semata-mata kerana Allah akan menjadi seluas-luasnya. Hanya dengan ilmu, keikhlasan akan bertapak dalam jiwa. Hanya dengan ilmu juga, perpecahan dan perbalahan sesama muslim tidak akan berlaku.
Ketahuilah sesungguhnya, ilmu itu akan menjadi benteng dan pendinding diri dalam peperangan menentang syaitan dan nafsu. Ilmu itu juga akan dapat meningkatkan darjat hamba-Nya pada pandangan-Nya. Namanya dimuliakan sama ada oleh penduduk dunia dan paling istimewa sekali apabila namanya sangat popular dalam kalangan penduduk langit.
"Demikian tingginya darjat orang yang menuntut ilmu sehingga para malaikat bersikap hormat terhadap orang yang menuntut ilmu. (Riwayat Abu Daud)
Jadi, marilah kita sama-sama melapangkan masa untuk menuntut ilmu. Semoga Allah memberi keberkatan kepada masa yang kita ada. Kesibukan itu adalah ujian dari Allah. Semoga kita sentiasa berada dalam naungan rahmat-Nya yang Maha Luas. Gunakan semaksimum masa yang ada untuk sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada diri dan orang lain.
"Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui."Surah Az-Zumar, ayat 9.
Taddabur ayat di atas dan semoga kita mengambil pengajaran bahawa pentingnya ilmu Allah itu dalam diri seseorang hamba dalam kehidupan era milenium yang sangat mencabar ini. Hanya dengan ilmu dapat membatasi dan menjadi pendinding diri supaya tidak terus- menerus melakukan kemaksiatan yang membawa kepada matinya hati. Semoga Allah terus melindungi dan menaungi rahmat-Nya ke atas kita.
No comments:
Post a Comment