Wednesday, July 28, 2010

Sediakan Suasana Kondusif Untuk Buang Bayi


Wajarkah semua masalah berlaku dalam negara diletakkan di atas bahu kerajaan yang memerintah? Mungkin ada yang berkata, ia keterlaluan. Semua pihak sepatutnya mengambil tanggungjawab.

Saya setuju. Tapi saya juga meyakini kata-kata Saidina Usman ‘Sesungguhnya ada perkara yang boleh dibuat oleh kuasa, perkara yang tidak boleh dibuat oleh Quran’. Saya juga faham bahawa ‘Rakyat menurut agama pemerintah’ dan tentunya mafhum ayat al-Quran ‘Mereka yang Kami berikan kuasa…antaranya menyuruh perkara yang baik, melarang mungkar’.

Dalam konteks Malaysia sekarang, BN telah memerintah Malaysia lebih 50 tahun. Dari lambang kapal layar hingga lambang alat penimbang usang. Kalau di negara lain, pemerintah bertukar tanpa sempat mereka menebang semua balak di hutan dan menyedut semua minyak dalam bumi. Di Malaysia, hanya BN itukah yang mampu mentadbir negara ini?

Perdana Menteri bertukar baton tapi semua batonnya dari cap yang sama-nasionalis dan sekularis. Kalau ada nampak kesungguhan laksana Islam dan terapkan akhlak mulia di kalangan rakyat, hanya dalam bentuk slogan ‘Penerapan Nilai-Nilai Islam’, ‘BCA-Bersih, Cekap, Amanah’. Itupun hanya sementara, kemudian tenggelam. Benar kata pemimpin PAS, ia ibarat lipstik di bibir. Penerapan seperti kain yang diterap dengan batik tak ori, warnanya hanya sementara. Dan itulah yang berlaku. Datang Islam Hadhari. Ditubuh Institut, Kelab dan lain-lain. Tenggelam juga akhirnya dengan perginya orang yang mempromosikannya.

Saya yakin dan beriman sepenuhnya dengan ayat al-Quran ‘Dan janganlah kamu menghampiri zina.’ Allah tidak berfirman ‘dan jangan kamu berzina.’ tetapi berfirman dengan ayat penuh erti dan mendalam maknanya. Itulah mukjizat. Tetapi itulah yang sehingga sekarang tidak mahu difahami oleh pemerintah dalam menangani segala gejala jenayah, dari paling berat hingga yang terkini- isu remaja hamil dan buang bayi yang tak kesudahan.

Tuan-tuan jangan lupa bahawa generasi ibubapa sekarang yang punya anak remaja adalah generasi ketika Tun Dr Mahathir menjadi PM. Jangan lupa di zaman itulah kata-kata menghina hukum hudud begitu kuat dan lantang. Masa itulah juga sekolah-sekolah agama ditarik bantuan. Dan inilah di antara hasil tuaian itu. Kalau padi yang ditanam, padilah yang dituai. Kalau suasana kondusif untuk zina diberi prasarana lengkap secara sedar atau tidak, maka beginilah natijahnya.

Sebagai rakyat Melayu Muslim yang punya hak untuk menegur dan mengkritik kerajaan, saya ingin bertanya: Semenjak merdeka hingga sekarang:

-Berapa banyak lesen pusat hiburan diluluskan oleh kerajaan BN yang memerintah? Kelab malam, kabaret, disko, pub, pusat karaoke.
-Berapa banyak rumah urut dibiarkan dan diberi lesen?
-Berapa banyak pesta-pesta yang menggalakkan pergaulan bebas disuburkan?
-Berapa banyak program tv yang melalaikan dan menggalakkan secara halus kepada muda-mudi untuk mendekati zina.
-Berapa banyak majalah, akhbar, laman web porno yang dibiarkan lucah dan melucahkan diri tanpa diambil tindakan. Mantan PM, Tun Dr Mahathir hanya bersuara sekarang tentang laman porno. Kenapa tidak diambil tindakan ketika beliau menjadi PM dahulu? Lambat dan lembap. Tempoh lebih 20 tahun kuasa memerintah ada di tangan, apa yang dibuat untuk Islam dan perkembangan nilai mulia dan akhlak?
Saya sekali lagi ingin menyarankan kepada pihak berwajib beberapa perkara yang boleh diambil tindakan:

-Buat peraturan tertentu mewajibkan kilang atau industri yang mempunyai pekerja dengan jumlah tertentu menyediakan paling kurang seorang ustaz atau pembimbing agama (imam muda?) dengan kuota munasabah bagi mengendalikan program agama terutama kuliah mingguan. Ramai operator pengeluaran terdiri dari gadis remaja lepasan SPM datang dari kampung yang tak tahu apa-apa tentang agama. Wajibkan mereka mengikuti program ini. Kejahilan tentang hukum-hakam agama adalah musuh utama diri.
-Letakkan billboard besar di persimpangan jalan bahaya zina, hukuman berat kepada pembuang bayi, ingatkan dosa pahala.
-kepada ibubapa, jadilah manusia yang mendidik anak dengan Islam, bukan hanya memberi makan dan minum sahaja. Nasihatilah anak-anak, ingatkan mereka dengan tanggungjawab dan ambil berat terhadap perkembangan dan perubahan diri mereka. Jangan ambil ringan tentang batas aurat, pergaulan bebas dengan rakan sebaya berlainan jantina, sentiasa pantau sms, email, facebook dan lain-lain.
-kepada masyarakat, berusahalah untuk memiliki iman yang tinggi dengan menegur remaja yang berpeleseran dan melakukan mungkar. Ia bukan kerja mudah, tapi itulah cara bagi menyelamatkan anak remaja kita.
-ambil tindakan segera oleh Kementerian terbabit menyekat segala bentuk kelucahan dalam semua media-internet, majalah yang berlambak di pasaran, tv. Mungkin ada tersenyum sinis, tapi sebelum Malaysia dipenuhi anak luarnikah lebih ramai dari anak dalam nikah, bertindaklah demi generasi akan datang.
Melaka pernah memerintah menggunakan hukum Islam. Terengganu juga demikian. 27 tahun Sultan Zainal Abidin ke 3 memerintah Terengganu, dikatakan hanya ada beberapa kes jenayah besar. Saya tak pasti adakah ketika itu kes buang bayi berlaku atau tidak, walaupun dalam kitab fiqh ada juga bab luqatah.

Tapi yang pasti, negeri tercinta ini pernah aman damai dan tenteram dengan Islam dan di bawah payung Islam. Tiada cara lain melainkan kembali kepada Islam secara total dan holistik. Ia perlukan political will cukup tinggi dari mereka yang punya akhlak tinggi."

Posted on Tuesday, July 27 @ 17:21:02 PDT (tranungkite)
Dilulus untuk paparan oleh kerissakti
Oleh: ustnik

*Ya Allah berikanlah kemenangan kepada mereka yang berjuang menegakkan syiarMu!

No comments: