Langkahmu makin berat...jiwamu mesti kuat..Life is a long journey, so...make the most it!
Wednesday, July 28, 2010
Persiapan Menyambut Ramadhan...
Alhamdulillah, tidak berapa lama lagi umat Islam diseluruh dunia akan menyambut ketibaan tetamu agung dari Allah SWT kepada umat Muhammad SAW iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak. Bulan yang penuh kerahmatan, keampunan dan pembebasan daripada api neraka.
Didalamnya ada puasa, solat terawih, tadarus al-quran, sedekah, zakat dan lailatulqadr. Maha suci Allah yang memuliakan umat Muhammad SAW dengan sebaik- baik bulan, agar mereka dapat menggunakan kesempatan yang ada untuk mencari sebanyak-banyak bekalan untuk dibawa bersama kealam yang kekal abadi.
Al-Marhum Ustaz Mustafa Masyhur menggambarkan perjalanan orang-orang mukmin dalam bulan Ramadhan itu seperti melalui sebuah taman yang dipenuhi segala keindahan yang menyejukkan mata memandang setelah melalui tanah gersang yang dipenuhi pelbagai fitnah. Alangkah seronoknya orang-orang yang beriman, menerima kedatangan bulan Ramadhan untuk mereka menumpukan perhatian sepenuhnya kearah membersihkan jiwa mereka dari segala dosa dan noda, menggembalikannya semula kepada fitrah sekaligus mencapai matlamat taqwa yang dijanjikan buat mereka... subhanallah...
Justeru apakah persediaan kita menjelang ketibaan tetamu agung yang wajib kita layani ini. Sekiranya kita diberitahu kedatangan seorang kenamaan ke rumah kita, pastinya kita tidak akan senang duduk. Berfikir untuk mengemas dan menghias rumah sebaik mungkin. Jika perlu dicat, diganti perabut dan dibaiki kerosakan yang ada pasti kita akan lakukan. Hasrat kita adalah untuk melayan tetamu tadi dengan sebaik mungkin, supaya tetamu merasa selesa berada di rumah kita. Itu belum lagi menyediakan makan minum yang enak-enak serta menyelerakan.
Sudah tentu tetamu tadi akan merasakan kedatangnya benar-benar dihargai dan sangat dialu-alukan.
Nah, sekarang persoalannya bagaimana jika tetamu tadi itu adalah Ramadhan Al-Mubarak, bagaimana persiapan kita? Adakah kita merasa tidak senang duduk dengan kehadirannya, tidak membuat sebarang persiapan untuk Ramadhan yang bertamu atau merasakan kehadirannya tidak penting. Kegembiraan seorang mukmin dalam menyambut kedatangan Ramadhan telah digambarkan oleh Baginda SAW melalui sepotong doa yang bermaksud:
“Wahai Allah tuhan kami, berkatilah kami dalam bulan rejab dan Syaban, serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”.
Doa ini jelas memberi kefahaman bahawa bulan Ramadhan itu adalah bulan yang amat dinanti-nantikan oleh baginda dan begitu jugalah orang- orang yang beriman yang meneladani Rasulullah SAW.
Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,
Ramai dikalangan kita merasa sedih jika tidak ada persiapan untuk menyambut aidilfitri, tetapi ramai yang tidak sedih jika tidak ada persiapan untuk meyambut Ramadhan. Bukan persiapan fizikal yang diperlukan untuk menghadapi Ramadhan, tetapi persiapan ruhi untuk menyambut Ramadhan sebagai ‘tetamu’ agung dari Allah dengan penuh kemesraan dan kesyukuran. Oleh itu, ada beberapa persiapan yang wajar kita laksanakan sebelum melangkah masuk ke bulan Ramadhan Al-Mubarak dan antara yang perlu sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr. Abdul Khaliq Al-Syarif (lihat www.Islamonline.net) ialah:
1. Bertaubat kepada Allah daripada segala dosa yang kecil mahupun besar dengan tujuan membersihkan diri dan hati untuk menempuh gerbang bulan ramdhan yang mulia dengan jiwa yang bersih dan suci.
2. Menjernihkan semula hubungan baik sesama manusia sama ada kedua-dua ibubapanya, sanak saudara mahupun sahabat handai.
3. Melatih diri dengan amal-amal kebaikan dibulan Syaban dengan
memperbanyakkan tilawah al-quran, qiyamullail dan puasa supaya dapat melaksanakan ibadat-ibadat tersebut dengan lebih sempurna pada bulan Ramadhan.
Bahkan Rasulullah SAW juga banyak berpuasa dalam bulan Syaban sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis sahih (lihat Riyadh al-solihin/hadis: 1247).
4. Merujuk semula fiqh puasa, untuk mengingati semula kaedah puasa yang bertepatan dengan sunnah, berserta rukun dan syarat-syaratnya terutamanya berkaitan adab-adab puasa yang sering diabaikan. Dalam hal ini para pembaca boleh merujuk kitab-kitab fiqh yang muktabar seperti Fiqh Mazhab Syafie (Al- Fiqh Al-Minhaji) yang terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu.
Saudara-saudari yang dikasihi,
Oleh itu, marilah bersama-sama mempersiapkan diri kita untuk menerima kunjungan Ramadhan dalam pesta ibadah yang menjanjikan ganjaran bonus berlipat kali ganda. Semoga Ramadhan yang bakal kita lalui ini lebih baik dari yang pernah kita lalui. Disamping taqwa sebagai sasaran, marilah kita bersama menginsafi diri kita dengan merenung kebesaran Allah diatas segala nikmatNya kepada kita disamping berazam dengan sepenuh hati untuk melakukan yang terbaik untuk Ramadhan kali ini. Dengan harapan juga agar Ramadhan kali ini tidak ˜berkecil hati menerima layanan kita.
Wallahu a’lam.
*mudah-mudahan kami sempat menemui Ramadhan nanti Ya Allah!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Assalamu'alaikum wbt..Ukhti.. Mohon kebenaran untuk copy artikel ni.=) lihubbillah.blogspot.com..
Post a Comment