Wednesday, July 28, 2010

Guru Dibenar Berpolitik



Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad
WEDNESDAY, 28 JULY 2010 11:35



Parti Islam Se-Malaysia PAS menyambut baik pengumuman Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan untuk membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bermula 1 Ogos 2010


PAS mengharapkan tidak ada pilih kasih ketika kebenaran diberi samada mereka hendak aktif pembangkang atau kerajaan, kerana kuasa muktamad kebenaran ini terletak kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran. Sekiranya ada unsur pilih kasih maka kebenaran ini tidak ada apa-apa makna untuk penyuburan demokrasi di negara ini.


Sepatutnya perkara ini sudah dibenarkan dahulu lagi sesuai dengan hak kebebasan rakyat yang dijamin dalam perlembagaan. Ini kerana sejarah telah menunjukkan bahawa guru-guru adalah mereka yang berjaya mencetuskan semangat memperjuangkan kemerdekaan pada peringkat awal. Pelajar yang pulang daripada Timur Tengah yang dipimpin oleh Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin adalah antara penggerak utama untuk meniupkan kesedaran berpolitik di kalangan orang Melayu pada ketika itu. Mereka membuka sekolah di Melaka dan juga di Pulau Pinaang sebagai tapak meyebarkan fikrah perjuangan mereka. Guru-guru telah memberi sumbangan untuk meniupkan semangat petriotik pada waktu itu samada mereka yang aliran agama, aliran Melayu dan aliran Inggeris. Sejarah tidak melupakan sumbangan daripada tenaga pengajar Mahad Ehya alSyarif Gunung Semanggul Perak yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar alBaqir yang meniupkan kesedaran politik di negara ini.


PAS yakin guru-guru yang sudah terdidik dengan moral yang tinggi tahu tentang tugas mereka walaupun mereka aktif berpolitik. Mereka sudah diasuh supaya amanah dengan kerjaya mereka.. PAS mengharapkan juga jangan ada pula selepas ini ada guru yang ditukar tempat kerja kerana aktif berpoltik. Guru-guru ini boleh diambil tindakan bukan kerana terlibat dalam aktiviti PAS atau pembangkang, tetapi bertindaklah kalau guru tersebut mengabaikan tugas seperti ponteng kelas dan tidak menjalankan tugas akademik.


PAS yakin guru-guru PAS dan aktivis PAS adalah orang yang amanah dengan kerja kerana mereka sudah ditarbiah dengan dosa dan pahala, insyaAllah tanggungjawab mereka di sekolah tidak akan terabai. Selama ini pun prestasi guru-guru PAS teruji dan mendapat pujian daripada pentadbir walaupun setengah guru besar penyokong Umno kerana aktivis PAS tekun tanpa mengira penat lelah dan upah.


Ustaz Idris Hj Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Persiapan Menyambut Ramadhan...




Alhamdulillah, tidak berapa lama lagi umat Islam diseluruh dunia akan menyambut ketibaan tetamu agung dari Allah SWT kepada umat Muhammad SAW iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak. Bulan yang penuh kerahmatan, keampunan dan pembebasan daripada api neraka.

Didalamnya ada puasa, solat terawih, tadarus al-quran, sedekah, zakat dan lailatulqadr. Maha suci Allah yang memuliakan umat Muhammad SAW dengan sebaik- baik bulan, agar mereka dapat menggunakan kesempatan yang ada untuk mencari sebanyak-banyak bekalan untuk dibawa bersama kealam yang kekal abadi.

Al-Marhum Ustaz Mustafa Masyhur menggambarkan perjalanan orang-orang mukmin dalam bulan Ramadhan itu seperti melalui sebuah taman yang dipenuhi segala keindahan yang menyejukkan mata memandang setelah melalui tanah gersang yang dipenuhi pelbagai fitnah. Alangkah seronoknya orang-orang yang beriman, menerima kedatangan bulan Ramadhan untuk mereka menumpukan perhatian sepenuhnya kearah membersihkan jiwa mereka dari segala dosa dan noda, menggembalikannya semula kepada fitrah sekaligus mencapai matlamat taqwa yang dijanjikan buat mereka... subhanallah...

Justeru apakah persediaan kita menjelang ketibaan tetamu agung yang wajib kita layani ini. Sekiranya kita diberitahu kedatangan seorang kenamaan ke rumah kita, pastinya kita tidak akan senang duduk. Berfikir untuk mengemas dan menghias rumah sebaik mungkin. Jika perlu dicat, diganti perabut dan dibaiki kerosakan yang ada pasti kita akan lakukan. Hasrat kita adalah untuk melayan tetamu tadi dengan sebaik mungkin, supaya tetamu merasa selesa berada di rumah kita. Itu belum lagi menyediakan makan minum yang enak-enak serta menyelerakan.
Sudah tentu tetamu tadi akan merasakan kedatangnya benar-benar dihargai dan sangat dialu-alukan.

Nah, sekarang persoalannya bagaimana jika tetamu tadi itu adalah Ramadhan Al-Mubarak, bagaimana persiapan kita? Adakah kita merasa tidak senang duduk dengan kehadirannya, tidak membuat sebarang persiapan untuk Ramadhan yang bertamu atau merasakan kehadirannya tidak penting. Kegembiraan seorang mukmin dalam menyambut kedatangan Ramadhan telah digambarkan oleh Baginda SAW melalui sepotong doa yang bermaksud:

“Wahai Allah tuhan kami, berkatilah kami dalam bulan rejab dan Syaban, serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”.

Doa ini jelas memberi kefahaman bahawa bulan Ramadhan itu adalah bulan yang amat dinanti-nantikan oleh baginda dan begitu jugalah orang- orang yang beriman yang meneladani Rasulullah SAW.

Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,

Ramai dikalangan kita merasa sedih jika tidak ada persiapan untuk menyambut aidilfitri, tetapi ramai yang tidak sedih jika tidak ada persiapan untuk meyambut Ramadhan. Bukan persiapan fizikal yang diperlukan untuk menghadapi Ramadhan, tetapi persiapan ruhi untuk menyambut Ramadhan sebagai ‘tetamu’ agung dari Allah dengan penuh kemesraan dan kesyukuran. Oleh itu, ada beberapa persiapan yang wajar kita laksanakan sebelum melangkah masuk ke bulan Ramadhan Al-Mubarak dan antara yang perlu sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr. Abdul Khaliq Al-Syarif (lihat www.Islamonline.net) ialah:

1. Bertaubat kepada Allah daripada segala dosa yang kecil mahupun besar dengan tujuan membersihkan diri dan hati untuk menempuh gerbang bulan ramdhan yang mulia dengan jiwa yang bersih dan suci.

2. Menjernihkan semula hubungan baik sesama manusia sama ada kedua-dua ibubapanya, sanak saudara mahupun sahabat handai.

3. Melatih diri dengan amal-amal kebaikan dibulan Syaban dengan
memperbanyakkan tilawah al-quran, qiyamullail dan puasa supaya dapat melaksanakan ibadat-ibadat tersebut dengan lebih sempurna pada bulan Ramadhan.
Bahkan Rasulullah SAW juga banyak berpuasa dalam bulan Syaban sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis sahih (lihat Riyadh al-solihin/hadis: 1247).

4. Merujuk semula fiqh puasa, untuk mengingati semula kaedah puasa yang bertepatan dengan sunnah, berserta rukun dan syarat-syaratnya terutamanya berkaitan adab-adab puasa yang sering diabaikan. Dalam hal ini para pembaca boleh merujuk kitab-kitab fiqh yang muktabar seperti Fiqh Mazhab Syafie (Al- Fiqh Al-Minhaji) yang terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu.

Saudara-saudari yang dikasihi,

Oleh itu, marilah bersama-sama mempersiapkan diri kita untuk menerima kunjungan Ramadhan dalam pesta ibadah yang menjanjikan ganjaran bonus berlipat kali ganda. Semoga Ramadhan yang bakal kita lalui ini lebih baik dari yang pernah kita lalui. Disamping taqwa sebagai sasaran, marilah kita bersama menginsafi diri kita dengan merenung kebesaran Allah diatas segala nikmatNya kepada kita disamping berazam dengan sepenuh hati untuk melakukan yang terbaik untuk Ramadhan kali ini. Dengan harapan juga agar Ramadhan kali ini tidak ˜berkecil hati menerima layanan kita.
Wallahu a’lam.

*mudah-mudahan kami sempat menemui Ramadhan nanti Ya Allah!

Sediakan Suasana Kondusif Untuk Buang Bayi


Wajarkah semua masalah berlaku dalam negara diletakkan di atas bahu kerajaan yang memerintah? Mungkin ada yang berkata, ia keterlaluan. Semua pihak sepatutnya mengambil tanggungjawab.

Saya setuju. Tapi saya juga meyakini kata-kata Saidina Usman ‘Sesungguhnya ada perkara yang boleh dibuat oleh kuasa, perkara yang tidak boleh dibuat oleh Quran’. Saya juga faham bahawa ‘Rakyat menurut agama pemerintah’ dan tentunya mafhum ayat al-Quran ‘Mereka yang Kami berikan kuasa…antaranya menyuruh perkara yang baik, melarang mungkar’.

Dalam konteks Malaysia sekarang, BN telah memerintah Malaysia lebih 50 tahun. Dari lambang kapal layar hingga lambang alat penimbang usang. Kalau di negara lain, pemerintah bertukar tanpa sempat mereka menebang semua balak di hutan dan menyedut semua minyak dalam bumi. Di Malaysia, hanya BN itukah yang mampu mentadbir negara ini?

Perdana Menteri bertukar baton tapi semua batonnya dari cap yang sama-nasionalis dan sekularis. Kalau ada nampak kesungguhan laksana Islam dan terapkan akhlak mulia di kalangan rakyat, hanya dalam bentuk slogan ‘Penerapan Nilai-Nilai Islam’, ‘BCA-Bersih, Cekap, Amanah’. Itupun hanya sementara, kemudian tenggelam. Benar kata pemimpin PAS, ia ibarat lipstik di bibir. Penerapan seperti kain yang diterap dengan batik tak ori, warnanya hanya sementara. Dan itulah yang berlaku. Datang Islam Hadhari. Ditubuh Institut, Kelab dan lain-lain. Tenggelam juga akhirnya dengan perginya orang yang mempromosikannya.

Saya yakin dan beriman sepenuhnya dengan ayat al-Quran ‘Dan janganlah kamu menghampiri zina.’ Allah tidak berfirman ‘dan jangan kamu berzina.’ tetapi berfirman dengan ayat penuh erti dan mendalam maknanya. Itulah mukjizat. Tetapi itulah yang sehingga sekarang tidak mahu difahami oleh pemerintah dalam menangani segala gejala jenayah, dari paling berat hingga yang terkini- isu remaja hamil dan buang bayi yang tak kesudahan.

Tuan-tuan jangan lupa bahawa generasi ibubapa sekarang yang punya anak remaja adalah generasi ketika Tun Dr Mahathir menjadi PM. Jangan lupa di zaman itulah kata-kata menghina hukum hudud begitu kuat dan lantang. Masa itulah juga sekolah-sekolah agama ditarik bantuan. Dan inilah di antara hasil tuaian itu. Kalau padi yang ditanam, padilah yang dituai. Kalau suasana kondusif untuk zina diberi prasarana lengkap secara sedar atau tidak, maka beginilah natijahnya.

Sebagai rakyat Melayu Muslim yang punya hak untuk menegur dan mengkritik kerajaan, saya ingin bertanya: Semenjak merdeka hingga sekarang:

-Berapa banyak lesen pusat hiburan diluluskan oleh kerajaan BN yang memerintah? Kelab malam, kabaret, disko, pub, pusat karaoke.
-Berapa banyak rumah urut dibiarkan dan diberi lesen?
-Berapa banyak pesta-pesta yang menggalakkan pergaulan bebas disuburkan?
-Berapa banyak program tv yang melalaikan dan menggalakkan secara halus kepada muda-mudi untuk mendekati zina.
-Berapa banyak majalah, akhbar, laman web porno yang dibiarkan lucah dan melucahkan diri tanpa diambil tindakan. Mantan PM, Tun Dr Mahathir hanya bersuara sekarang tentang laman porno. Kenapa tidak diambil tindakan ketika beliau menjadi PM dahulu? Lambat dan lembap. Tempoh lebih 20 tahun kuasa memerintah ada di tangan, apa yang dibuat untuk Islam dan perkembangan nilai mulia dan akhlak?
Saya sekali lagi ingin menyarankan kepada pihak berwajib beberapa perkara yang boleh diambil tindakan:

-Buat peraturan tertentu mewajibkan kilang atau industri yang mempunyai pekerja dengan jumlah tertentu menyediakan paling kurang seorang ustaz atau pembimbing agama (imam muda?) dengan kuota munasabah bagi mengendalikan program agama terutama kuliah mingguan. Ramai operator pengeluaran terdiri dari gadis remaja lepasan SPM datang dari kampung yang tak tahu apa-apa tentang agama. Wajibkan mereka mengikuti program ini. Kejahilan tentang hukum-hakam agama adalah musuh utama diri.
-Letakkan billboard besar di persimpangan jalan bahaya zina, hukuman berat kepada pembuang bayi, ingatkan dosa pahala.
-kepada ibubapa, jadilah manusia yang mendidik anak dengan Islam, bukan hanya memberi makan dan minum sahaja. Nasihatilah anak-anak, ingatkan mereka dengan tanggungjawab dan ambil berat terhadap perkembangan dan perubahan diri mereka. Jangan ambil ringan tentang batas aurat, pergaulan bebas dengan rakan sebaya berlainan jantina, sentiasa pantau sms, email, facebook dan lain-lain.
-kepada masyarakat, berusahalah untuk memiliki iman yang tinggi dengan menegur remaja yang berpeleseran dan melakukan mungkar. Ia bukan kerja mudah, tapi itulah cara bagi menyelamatkan anak remaja kita.
-ambil tindakan segera oleh Kementerian terbabit menyekat segala bentuk kelucahan dalam semua media-internet, majalah yang berlambak di pasaran, tv. Mungkin ada tersenyum sinis, tapi sebelum Malaysia dipenuhi anak luarnikah lebih ramai dari anak dalam nikah, bertindaklah demi generasi akan datang.
Melaka pernah memerintah menggunakan hukum Islam. Terengganu juga demikian. 27 tahun Sultan Zainal Abidin ke 3 memerintah Terengganu, dikatakan hanya ada beberapa kes jenayah besar. Saya tak pasti adakah ketika itu kes buang bayi berlaku atau tidak, walaupun dalam kitab fiqh ada juga bab luqatah.

Tapi yang pasti, negeri tercinta ini pernah aman damai dan tenteram dengan Islam dan di bawah payung Islam. Tiada cara lain melainkan kembali kepada Islam secara total dan holistik. Ia perlukan political will cukup tinggi dari mereka yang punya akhlak tinggi."

Posted on Tuesday, July 27 @ 17:21:02 PDT (tranungkite)
Dilulus untuk paparan oleh kerissakti
Oleh: ustnik

*Ya Allah berikanlah kemenangan kepada mereka yang berjuang menegakkan syiarMu!

Thursday, July 22, 2010

PAS Parti Islam Terbesar di Malaysia



Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad
THURSDAY, 22 JULY 2010 17:59



KENYATAAN MEDIA

PAS PARTI ISLAM TERBESAR DI MALAYSIA



Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan pada 1951 kini mengorak langkah lebih jauh sebagai parti yang berteraskan perjuangan Islam dan membawa mesej Islam yang terbesar dinegara ini.



Kita tidak menafikan sumbangan rakan-rakan NGO lain yang turut sama memperjuangkan dakwah Islamiah dinegara ini dan dari semasa ke semasa PAS turut menjalinkan hubungan yang akrab serta saling bekerjasama dengan mereka.



PAS memilih untuk menyertai politik dan pilihanraya sebagai satu wadah bagi menyumbang kepada penyebaran dakwah serta mengangkat martabat umat Islam dinegara ini disamping kekal menjalankan tanggungjawab mengharmonikan hubungan antara kaum dan agama lain.



PAS parti yang mengutamakan keamanan, perpaduan serta berpegang teguh kepada prinsip bahawa akidah Islam dan dasar-dasar Islam mampu memberikan kesejahteraan kepada semua.



PAS bukanlah parti perkauman yang khusus buat kaum-kaum tertentu, tetapi kita tidak nafikan bahawa majoriti ahli PAS adalah dari kalangan umat Melayu. Namun mereka bersama dengan parti ini atas semangat Islam dan bukannya kerana semangat Melayu.



PAS juga jelas berdiri teguh menghormati dan mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu khususnya dalam aspek agama, budaya, tanah dan juga sosialogi yang lain. PAS prihatin dengan nasib umat Melayu akhir-akhir ini yang sering dijadikan mangsa dasar Liberalisasi dan Model Ekonomi Baru Kerajaan BN yang akhirnya mengecilkan kuota ekuiti Melayu daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus sahaja. Banyak lagi hak Istimewa orang Melayu yang gagal diangkat oleh Umno walaupun mereka bangga mengatakan bahawa merekalah Parti Melayu Terbesar.



PAS sedar kepentingan orang Melayu dan mengajak seluruh umat Melayu untuk bangkit berjuang atas nama Islam, kerana hanya dengan Islamlah mereka akan lebih dihormati. Perpaduan umat Melayu atas nama Islam adalah pilihan terbaik berbanding apa yang ditawarkan oleh Umno, kerana dalam Islam kita tegas mengharamkan apa yang haram dan menghalalkan apa yang halal.



PAS akan terus berjuang untuk semua, kerana PAS yakin setiap yang lahir kedunia ini ada hak untuk diperjuangkan tanpa mengira apa bangsa mereka. Keterbukaan PAS ini jelas dengan kelahiran Dewan Himpunan Penyokong PAS, dimana sebagai parti Islam kita juga mempunyai sokongan yang kuat kalangan bukan Islam untuk memimpin negara ini.



Pemerintahan PAS di Kedah dan Kelantan berjaya membuktikan bahawa Islam adalah agama yang memberikan kesejahteraan kepada semua bangsa dan agama. Tidak cukup dengan itu, kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat jelas memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhannya. Dan PAS dari semasa ke semasa akan terus menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran Kerajaan yang harus difahami bahawa sesuatu perkara yang ingin dilakukan haruslah bermula dari tangga pertama hingga tangga terakhir secara bijaksana.



Oleh itu, PAS terus menyeru kepada rakyat untuk sama-sama menyertai parti ini, menyokong parti ini dan memberikan kepercayaan untuk parti ini menjadi alternatif kepada Umno menjelang Pilihanraya ke-13.



Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Monday, July 12, 2010

Kelebihan Bulan Syaaban


Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,

“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

Fadhilat Syaaban

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

•Memperbanyakkan puasa sunat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.


Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

•Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.

Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

•Bertaubat

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Syaaban.

1. Malam Nisfu Syaaban

Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : "Telah datang Jibril a.s pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata , Ya Muhammad,pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilahdan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit !" Kata saya (Nabi Muhammad) :
"Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."
Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca : "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa'idzin.

2. Penukaran Arah Kiblat

Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontraversi pada waktu itu. Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.
Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT. Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulamak sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat. Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya’. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.

3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi’)

Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi. Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madhinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.

Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq. Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya. Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah. Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq. Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.

Istimewa Buatmu...Zauji Habib


Lelaki idaman saya adalah seorang lelaki yang beriman
Yang hatinya disalut rasa takwa kepada Allah
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam
Yang sentiasa haus dengan ilmu
Yang sentiasa dahaga akan pahala
Yang solatnya adalah maruah dirinya
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuag di jalan Allah

Lelaki idaman saya adalah lelaki yang menjaga tutur katanya
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang

Lelaki idaman saya adalah lelaki yang menghormati ibunya
Yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tua dan keluarga
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat

Lelaki idaman saya sentiasa bersedia untuk menjadi Imam
Yang hidup di bawah naungan Al Quran dan mencontohi sifat Rasulullah
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang menjaga matanya dari berbelanja
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya

Lelaki idaman saya tidak pernah membazirkan masa
Matanya kepenatan kerana penat membaca
Suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan
Bangunnya subuh penuh kecergasan
Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan

Lelaki idaman saya sentiasa mengingati mati
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga
Agar berputik tunas yang bakal menjadi baka yang baik
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian

Lelaki idaman saya adalah lelaki
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia
kerana dia mengimpikan syurga
Di situlah rumah idamannya
Dan dia ingin membawa saya bersama
Dialah lelaki idaman saya
Dialah suami saya yang tercinta
Zauji Habib...Mohd Azhar Abd Ghani

Saturday, July 03, 2010

Kenapa Rakyat Perlu Turun Kempen Tak Nak Judi - 3 Julai 2010?



Setelah rakyat mendapat kejayaan mendesak kerajaan membatalkan lesen judi sukan pada 25hb Jun 2010 maka rakyat perlu pergi ketahap kedua Kempen Tak Nak Judi yang akan dilancarkan pada 3hb Julai 2010 pukul 2 petang di Masjid Negara.

Nama Kempen Tak Nak Judi adalah dicadangkan sendiri oleh seorang yang berbangsa cina bernama Sdr. Ng Yap Hwa daripada Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG).

Dato’ Dr. Toh Kin Woon Bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Parti Gerakan sekarang ini menjadi Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) berpendapat judi bukanlah budaya masyarakat cina. Sdr Thiagarajah Sokalingam daripada Tamil Foundation juga berpendapat judi boleh meruntuhkan masyarakat dan negara.

Mr Tom Grey, Presiden Persekutuan Lesen Perjudian Kebangsaan, Amerika telah membuat kajian bahawa jika kerajaan mendapat $1.00 pendapatan daripada judi maka kerajaan kehilangan $1.9 kos pembayar cukai untuk mengatasi masalah yang berlaku kesan daripada judi seperti jenayah, bengkrap, ketagihan, keruntuhan rumah tangga dan lain-lain.

Antara kejayaan kempen pertama Gerakan Rakyat Membantah Judi(GMJ) selain daripada pemansuhan judi sukan adalah semua bangsa dalam negara ini boleh bersetuju bahawa judi adalah suatu nilai yang tidak baik dalam negara.

Dalam menuju sebuah negara yang maju, aman dan damai Malaysia perlu bebas untuk menolak nilai-nilai yang tidak baik seperti rasuah, salahgunakuasa, pembaziran, jenayah, perjudian dan lain-lain lagi.
Tahap kedua Kempen GMJ ini adalah untuk mendidik masyarakat membenci judi melalui Kempen Tak Nak Judi. Oleh kerana telah lebih 50 tahun negara ini menghalalkan judi maka pendekatan berhikmah diperlukan untuk memisahkan judi daripada kehidupan masyarakat yang tegar terhadapnya. GMJ memahami usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Ia perlu suatu keazaman yang tinggi daripada semua anggota masyarakat, NGOs, parti politik dan pihak kerajaan. Kita jangan pandang kebelakang lagi dalam mempastikan rakyat dan negara bebas daripada amalan berjudi.

Pemansuhan lesen judi sukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri membuktikan adanya persaingan antara kuasa rakyat untuk menghindar diri daripada judi dengan syarikat judi yang mahu mempertahankan perniagaanya.

Kedua-dua pihak mendesak kerajaan menjayakan cita-cita masing-masing. Kerajaan Barisan Nasional(BN) dilihat berpihak kepada siapa yang lebih kuat . Ini bermakna jika rakyat lemah memperjuangkan pembebasan judi dalam negara maka kesempatan ini akan diambil oleh syarikat judi untuk mengembangkan sayap perniagaanya. Inilah realiti yang harus difahami oleh rakyat Malaysia.

Oleh itu rakyat Malaysia sudah tiada punya pilihan lagi kecuali bersungguh-sungguh menyelamatkan negara ini daripada aktiviti judi. Maka kehadiran rakyat Malaysia dalam Kempen Tak Nak Judi di Masjid Negara pada hari sabtu 3hb Julai 2010 jam 2 petang adalah sangat penting bagi membuktikan keazaman kita semua.

Janganlah keazaman syarikat judi mempertahankan perniagaannya lebih kuat daripada keazaman rakyat membenci judi. Kalau kita tiada keazaman ini dikhuatiri kita macam menyokong judi dalam negara.

Suhaizan Bin Kaiat
Setiausaha
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).

*Perhimpunan ditangguh ke jam 5pm kerana menghormati majlis pengebumian isteri Allahyarham Tun Dr Ismail.. Ya Allah bantulah hamba-hambaMu yang berjuang menegakkan kebenaran...