Saturday, May 30, 2009

Teater Ahmad Syauqi dan Taufiq al Hakim


Egyptian Theatre
Masrahiyyah atau teater adalah satu cabang daripada sastera arab moden.Tokoh yang paling terkenal dalam memperkenalkan teater di Mesir adalah ''Amir Syu'ara" Ahmad Syauqi dan Taufiq Hakim.


Teater yang dihasilkan oleh Ahmad Syauqi adalah berbentuk syair manakala Taufiq Hakim pula lebih berbentuk prosa.
Penghantaran Ahmad Syauqi ke Perancis telah banyak mempengaruhi beliau dalam menghasilkan karya-karya beliau.Semasa di Perancis, beliau banyak terpengaruh dengan aliran Klasiki dan Romantiki dan berjaya menghasilkan sebuah karya berjudul Ali Bik al Kabir.
Kemudian, beliau telah menghasilkan pelbagai lagi karya bermutu di antaranya Masra' Cleopatra, Majnun Laila, Kombiz, Antaroh, Alis Huda dan al Bakhilah.
Manakala Taufiq al Hakim yang terkenal dengan teater berbentuk prosa, pada mulanya telah menggunakan pendekatan berbentuk 'ramziah"atau simbol dan menghasilkan satu karya berjudul al Dhif al Thaqil.
Kemudian, beliau tertumpu kepada tema kemasyarakatan berjudul Masrah al Mujtama' dan al Maráh al Jadidah.Setelah itu beliau bertukar kepada tema zihniyyah (yang terbentuk hasil pemikiran dan pemerhatian beliau).
Di antara karya beliau yang berjaya dihasilkan ialah Ahli Kahfi, Syahrazad,Áudah al Syabab, al Aidi al Naiemah, al Shofaqah, Asywak al Salam, al Khuruj Min al Jannah, al Zumar dan al Jamaliyun.

Konklusinya, mereka bukan sahaja tokoh yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan teater di Mesir malah berjaya mengetengahkan idea-idea baru bersesuaian dengan masyarakat Mesir pada masa itu yang lebih mengenali teater daripada Perancisakibat daripada pengaruh Napoleon Bonaparte yang memperkenalkannya sewaktu menjajah Mesir pada satu masa dahulu.

*Mudah-mudahan teater, drama, filem atau apa jua bentuk hiburan ditanahair diadun mengikut acuan Islam akan berkembang dan mendapat perhatian masyarakat...Insya Allah.

Friday, May 29, 2009

Indonesia al Mujahidah


Bilangan penduduk Islam Indonesia sebanyak 94% ini telah menarik minat Ali Mahmud Taha untuk mengarang sebuah syair yang bertajuk "Indonesia al Mujahidah".Syair ini adalah silibus dalam subjek sastera ana..Mudah-mudahan dapat memberikan manfaat bersama.

Penyair mengarang syair ini untuk menggambarkan penderitaan pejuang-pejuang Islam Indonesia yang bangkit menentang penjajah bermula daripada Portugal, Belanda, Jepun dan Inggeris.Akhirnya mereka memperolehi kemerdekaan pada 17 Ogos 1945.

Sedikit petikan daripada syair ini yang telah diterjemahkan :

Awan yang merah atau langit yang menyala-nyala #
atau adakah matahari yang mengalir darah di atasnya

Pada pagi yang bersinar di Indonesia #
pedang-pedang yang menyanyi atau kematian yang berlagu

Kematian yang datang dari bukit dengan ketawa #
yang makan dan minum di atas bangkai-bangkai mereka

*Pada rangkap ini penyair ingin menggambarkan keadaan pejuang-pejuang Islam yang mana darah mereka yang mengalir telah menyebabkan awan menjadi merah dan berat dengan azab yang menimpa mereka.

Taman-taman timur yang terpelihara #
telah dibahagi-bahagikan oleh penjajah barat itu

Mereka meneguk darah-darah pejuang daripada tengkorak mereka #
sebagaimana mereka meneguk arak yang terhidang

*Penyair menggambarkan kepulauan yang berada di Indonesia seperti taman-taman yang terpelihara tetapi telah dibahagi-bahagikan oleh penjajah dengan wewenangnya.Mereka (penjajah) meneguk darah pribumi seperti meneguk arak dengan rakusnya.

Pada tanah dan langitnya terdengar suara jeritan #
seakan tersekat dan hilang dan andai ia bersuara

Gersanglah sahara, bergoncanglah gunung-gunung #
bergeloralah lautan, bersedihlah bintang-bintang

*Dalam keadaan gawat ini, suara jeritan yang memenuhi ruang angkasa Indonesia menyebabkan alam ini turut merasakan kesakitan, kepedihan yang teramat seolah-olah ummah ini turut merasakannya.

Dengan apa harus mentari bersinar #
jika bumi diliputi kezaliman dan kesesatan

Jadilah kehidupan mereka yang lemah #
ditentukan oleh mereka yang kuat dan berkuasa

Mereka dihina di saat mereka tidur, diperhamba saat mereka jaga #
dijual dan dibeli sesuka hati

Mereka dipanggil pemberontak jika mereka melawan #
atau mereka akan merasai kesakitan

Dimanakah nilai kemanusiaan #
yang boleh dihalalkan dan diharamkan

*Penyair menghadirkan persoalan tetapi dijawab dengan penegasan bahawa undang-undang manusia tetap mengatakan bahawa yang kekal hanyalah mereka yang kuat dan berkuasa.Nilai kemanusiaan sudah hilang dan penjajah tidak akan melepaskan cengkaman mereka.

*Teringat tanahair sendiri yang sudah merdeka tetapi masih lagi dijajah...

Thursday, May 28, 2009

Warna Kehidupan

warna kehidupan


Bismillah wa alhamdulillah, segala pujian hanya untuk Rabbul Izzati yang masih lagi meminjamkan nafas guna meneruskan hayat yang sementara ini..Kala-kala mengingatkan azimat Rasulullah SAW, rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara, hati jadi libang libu mengingatkan amanah terhadap ilmu, keluarga dan yang paling besar terhadap ummah ini...Kala-kala mengingatkan pesanan as Syahid Hasan al Banna, al wajibat aksar min al auqat,ada benarnya juga..masa..masa yang berlalu tidak boleh dicari ganti.


Sepatutnya entri kali ini dicoretkan dengan pelbagai ulasan mungkin sekitar peristiwa yang berlaku mutakhir ini..Namun coretan yang akan dilakarkan mungkin boleh dikongsi dengan mereka yang berada di sini, di sana dan disitu...


Apa yang ingin dikongsikan ialah sebuah artikel daripada kitab kuliah mengenai Satera Arab Moden karangan Dr Surayah Abdul Mun'im dan Dr Ismail el Mansyawi.

Artikel yang bertajuk Qur’an al Fajri oleh Ahmad Hassan al Zaiyyat yang merupakan pengasas kepada sekolah yang mengembangkan kesusasteraan arab moden..Beliau merupakan tokoh sastera yang unggul, menjadi rujukan kepada ramai lagi tokoh-tokoh sastera dan penulis arab yang banyak terpengaruh dan mencontohi gaya penulisan beliau.


Beliau dilahirkan pada tahun 1885 di Damiriah, muhafazah al Daqhiliyyah.Menamatkan hafazan al qur’an pada usia 12 tahun.Menyambung pengajian ke al Azhar dan mempelajari pelbagai disiplin ilmu dalam bidang agama, feqh, tafsir, hadis, tarikh, balaghah dan adab tetapi beliau lebih cenderung kepada adab.Akhirnya, beliau bersama-sama dengan sahabatnya Taha Husin akhirnya berguru dengan Syeikh Husin al Marsafi.Akhirnya beliau berjaya memperolehi ijazah dalam bidang sastera dari Universiti al Ahliah.

Artikel ini berkisar tentang tafakur saat hampirnya waktu subuh.Artikelnya berbunyi :

“Ketika aku terdengar suara muazzin dari atas menara Qaitbay, aku sedang sibuk memikirkan tentang alam yang berada di atas dan di bawah.Pemikiranku tentang segala pemilikan alam ini telah bertukar kepada sang Pemilik.Pengharapanku terhadap makhluk telah berpindah kepada al Khaliq.

Diseketika itu, kedengaran suara seseorang dari arah rumah bersebelahan denganku yang sedang khusyuk membaca surah al Isra’ dengan tajwid yang jelas dan bacaan yang indah.Qari yang sedang bertahajjud itu telah sampai pada firman Allah yang berbunyi:

“Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan dirikanlah pula solat subuh.Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan oleh para malaikat.Dan pada sebahagian malam hari, solat tahajudlah kamu sebagai ibadat tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabbmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”

Telinga dan hatiku disirami kalam-kalam Allah yang keluar daripada bibir lelaki yang sedang khusyuk itu.Malam yang tenang, kegelapan yang semakin menipis, cahaya yang semakin menjauh bercampur di antara cahaya bintang az zuhrah dan cahaya putihnya fajar.Langit di sebelah timur menjadi putih seperti mutiara.Laungan azan dari muazzin dan suara tartil saling bergantian seperti wahyu dan dakwah telah mengingatkan aku tentang al qur’an yang telah diwahyukan oleh Allah dan azan yang telah disampaikan oleh al Rasul.

Dua suara itu sampai dihatiku, suara keimananku yang kuat dan wahyu yang telah disampaikan sehinggakan keberadaanku yang terzahir hilang di dalam jiwaku.dan aku merasakan tidak ada lagi bintang-bintang atau zaman-zaman dan dunia ini.Terhapuslah sudah daripada pendengaranku suara-suara yang dahulunya kuminati seperti lagu dendangan Umi Kalthum, al Sinbathi dan nazam al Rami.

Kini, jiwa menjadi kosong serta bersih sambil bertasbih di saat bersahur dan solat subuh.Kedua-duanya(azan dan tartil) disambut dengan penuh penghayatan dan konsentrasi.Sehingga kedua-duanya mengalir dalam jiwaku bukan kerana suara yang bagus dan nada yang indah tetapi disebabkan perasaan yang sangat suci dan tidak boleh dicapai oleh indera dan tidak boleh digambarkan dengan bahasa.Hanya boleh dirasai oleh mereka yang melakukan tafakur seperti ini sambil menghadirkan di dalam dirinya keagungan Allah dan merasakan keindahan alam ini di dalam jiwanya.

Sesungguhnya kita mendengar al qur’an setiap hari di setiap waktu solat, namun ketika kita mendengarnya kita tidak boleh hadirkan di dalam diri kita kejelasan yang muncul daripada kebersihan hati.

Hal itu tidaklah melahirkan cahaya yang menghubungkan antara jiwa dan langit kerana perasaan kita disibukkan dengan kehidupan di siang hari sehingga jiwa kita tidak bersih untuk bertasbih.

Adapun dengan mendengar al qur’an dan azan, hanya orang yang bertaqwa diberikan kelazatan waktu fajar di saat manusia lena dibuai mimpi dan fikiran yang menerawang.Saat ketika bersolat itulah saat terangnya jiwa, saat bergabungnya orang yang bersaksi dengan orang yang disaksikan.


Saat di mana bersatunya hamba yang lemah dengan yang disembah.Dan anak adam yang hina dina ini merasakan bahawa cahaya itu datangnya daripada Allah.Jika terputusnya pertolongan dan nikmat daripada Allah, maka cahaya itu akan terhapus daripada angkasa alam ini.Apabila cahaya ini tenggelam, maka hilanglah cahaya (hidayah )daripada Allah..."


Artkel ini digarap dengan isi yang sangat bermutu dari segi afkarnya di samping zouq al fanni yang tinggi serta diserikan dengan sentuhan kesufian yang indah.Mudah-mudahan fajar yang hadir tidak disia-siakan guna mencari nilai diri di musim saifi yang mencabar ini!