Bismillah walhamdulillah, segala pujian selayaknya buat Rabbul Jalil atas nikmat yang tidak terhitung banyaknya..
Dalam kehangatan bahang imtihan yang kian terasa dan timbunan kitab yang belum dikhatami sehabisnya, sesekali merehatkan minda dengan menekuni sebuah novel drama buah tangan Faisal Tehrani, 'Bila Tuhan Berbicara'.
Novel drama ini akan membawa kita dalam satu perjalanan@ permainan barangkali roller coaster yang turun naik dan memberi satu pengalaman sastera yang baru, cerita tentang hari kebangkitan, tentang keinsafan sesudah kemaksiatan, tentang kehidupan kita yang sementara ini, tentang bagaimana menuju negeri abadi (muqaddimah daripada pengarang).
Sedikit sinopsis daripada novel drama ini:
"Sahlan saintis yang ingin menjadi wanita.Razlan pula ekstremis agama, sedangkan Mazlan, doktor perubatan masih terasa panas darah isteri yang baru dibunuhnya.Mereka terkesima dan dan terperangkap bersama dalam kubu lantaran gempa bumi, taufan dan letupan gunung berapi yang melanda.Apabila mereka bangun setelah tertidur beribu tahun lamanya, mereka dikejutkan dengan sebuah dunia baru yang diperintah wanita, Paduka Ratu."
Apa yang menariknya, pengarang melontarkan persoalan mengenai kedudukan drama Islam yang kering di tanahair kita dan apakah yang boleh ditawarkan oleh drama Islam dalam dunia yang dilanda amuk kecamuk perang hari ini? Seharusnya drama Islam hari ini dapat berperanan sebagai 'senjata saraf' berbanding menjadi persembahan untuk kepuasan hiburan semata.
Pengarang juga cuba mengungkapkan falsafah teater fitrah melalui gagasan Cikgu Noordin Hassan, Sasterawan Negara dengan enam prinsipnya:
1.Mempercayai bahawa beriman kepada Allah itu ialah fitrah manusia.Cara penyelesaian drama tersebut haruslah memihak kepada protagonis dan tidak dibenarkan tergantung.
2.Pengarang mesti menyedari matlamat dan pengertian dijadikan Allah iaitu untuk mengabdikan diri kepadaNya.
3.Aqidah murni dan syariat menjadi asas kepada niat dan amal di da;am berkarya dan itu juga mesti dipaparkan pada watak dan perwatakan sehingga penonton merasa tergugah dan berfikir.
4.Bila kita beriman kepada Allah maka haruslah mendatangkan kesan rohaniah iaitu keyakinan penuh dan tidak tergugat sama sekali oleh apa pun.
5.Pembaca atau penonton drama fitrah yang beragama Islam mestilah mendapat kesan dari prinsip keempat tetapi pembaca atau penonton bukan Islam akan mendapat kesan moral baik darinya.
6.Teater fitrah itu mesti dapat menyentuh perasaan misalnya adegan berjihad mempertahankan negara haruslah meninggalkan kesan patriotik serta kasihkan agama.
Apa yang ana pelajari di dalam Adab Arabi Hadis di Mesir oleh Dr Jamal Mahmud Said Ahmad Junaidi ada menyentuh tentang teater @ masrahiyyah (dalam bahasa arabnya).Sejarah teater di Mesir bermula apabila Napoleon Bonaparte membawa masuk teater Perancis ke Mesir.Selepas penghantaran beberapa orang pelajar Mesir ke Perancis antaranya Ahmad Syauqi yang akhirnya melihat sendiri perkembangan teater di Perancis.Beliau akhirnya membawa pulang apa yang dipelajari di Perancis dan akhirnya membuat teater di Mesir.Di antara teater beliau yang terkenal ialah kisah Majnun Laila & Cleopatra.Beliau menggunakan unsur klasiki dan romantiki di dalam karya beliau ini.
Pada awalnya teater di Mesir terbahagi kepada tragedi dan komedi.Tragedi biasanya diakhiri dengan kesedihan dan komedi biasanya di akhiri dengan kegembiraan.
Ana juga ingin menyentuh sedikit falsafah tauhidik yang telah dipelajari di dalam adab Andalus.
Ia merupakan kisah yang dikarang oleh seorang ahli falsafah Arab bernama Ibn Tufayl di negeri Andalusia, untuk mengkritik secara kiasan terhadap masyarakatnya ketika itu.Beliau mengisahkan tentang seorang anak muda yang tercampak ke sebuah pulau asing dan sejak kecil beliau membesar sendiri tanpa bertemu dengan manusia.Namanya Hayy Ibn Yaqdhan atau Hidup bin Sedar.
Hayy ibn Yaqdhan tidak pernah tahu apa itu ‘agama’. Beliau membesar dengan belajar hukum alam di sekitarnya. Belajar mengajuk cakap binatang, belajar berkomunikasi dengan mereka dan dengan mematuhi hukum alam itu dia selamat.
Tetapi di dalam diri Hayy, ada suatu unsur kuat untuk dia melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Unsur untuk membolehkannya ‘berfikir’ tentang Kuasa Agung di sebalik semua material yang mengelilinginya. Semua ini tidak bermakna kecuali ia dihubungkan kepada Kuasa Agung itu.
Hayy terus menelah kehidupannya dan dia sampai kepada yakin, bahawa tiada kebahagiaan dalam hidup ini kecuali dengan bertafakur dan merenung Kuasa Agung itu, dialah Tuhan.
Hayy hidupnya begitu.
Dorongan fikir dan renungnya terhadap ‘Allah’ melalui mesej-Nya yang disampaikan melalui ciptaan Allah memaksa Hayy untuk dengan sendirinya tunduk rukuk, malah rebah sujud ke bumi. Terasa benar siapa dirinya, hingga tersungkur di depan Dia.
Segala-galanya berubah, apabila Hayy dikunjungi buat pertama kalinya oleh seorang lelaki dari ‘negeri bertamadun’. Lelaki itu bernama Absal.
Setelah puas berusaha meyakinkan Hayy bahawa kedatangannya tidak membawa apa-apa maksud yang tidak baik, Absal dan Hayy bersahabat karib.
Pada renungan Hayy, biar pun Absal ini beragama dengan ‘agama itu’, cara Hayy bertafakkur dan berhubung dengan Tuhannya, selari dengan agama yang dianuti oleh si Absal. Namun, akhirnya mereka berdua akur bahawa ‘agama’ Hayy itu lebih asli berbanding amalan Absal yang hanya berorientasikan ritual semata. Atas kesepakatan ini, Absal membawa Hayy ke negerinya yang bertamadun itu untuk memperkenalkan 'agama tulen ' si Hayy.
Hayy teruja.
Teruja melihat penduduk negeri Absal beribadah sepertinya. Rukuk, sujud… semuanya serba serbi. Banyak persamaannya.
Tetapi Hayy tidak lama begitu. Dia segera mengesan, bahawa segala perbuatan kaum di negeri Absal itu hanya ilusi. Mereka melakukan ibadah secara kosong tanpa makna. Tidak faham mengapa rukuk, tidak tahu mengapa sujud. Justeru ibadah mereka tidak memberi bekas. Tiada kesan.Kehidupan penduduk negeri itu sibuk dengan huruf-huruf pada teks aturan agama tetapi mereka kehilangan roh aturan agama itu.
Hasrat Hayy untuk mencari manusia pintar yang boleh menerima dan mempelajari ‘agama tanpa nama’nya itu, tidak berhasil. Lantas Hayy dan Absal mengambil keputusan meninggalkan ‘negeri bertamadun’ itu kerana pada hemat mereka, penduduk di situ tidak lebih dari sekadar makhluk yang umpama binatang yang tidak berakal.
Mengapa?
Seperti binatang… hidupnya juga ada peraturan. Malah jarang sekali peraturan itu dilanggar. Tetapi binatang itu tidak mampu memahami maksud agama Hayy, kerana mereka tiada akal. Manusia yang mengikut peraturan tanpa akal, binatanglah mereka!
“Mereka bergantung sepenuhnya pada meniru pesan Nabi dan tradisi agama, secara melulu tanpa berusaha untuk memahami maksud perbuatan mereka itu”, simpul Hayy.
kritikan Ibn Tufayl kepada masyarakat Andalus melalui kisah Hayy ibn Yaqdhan dan Absal ini, masih relevan dan kena dengan kesengsaraan jiwa kita melihat kelakuan Muslim hari ini.
Agama menjadi ritual.
Kita semakin beragama tetapi beragama tanpa Tuhan.
Sama kita renungkan...
Salam imtihan, doakan kejayaan kita bersama.
No comments:
Post a Comment