Monday, December 29, 2008

Ku Merayu..


Dalam sayu ini
ku masih merayu
kiranya kau hulur sisa simpati
untuk hatiku yang masih mengharap
Tuhanku pinta segala terlerai

Walaupun aku
tidak pasti
apakah masih membara dosaku
di lautan derhaka
ku terus berombak
menghempas taubatku yang kian retak
oh Tuhan...ampunilah daku...

sudi kiranya
kau hujani kembali
jiwaku yang masih kelayuan ini
Tuhan sambunglah cintaku yang terputus
dengan cintaMu yang Maha Kudus

Dalam sayu ini
ku masih merayu agar
kasihmu hadir di hatiku
dalam pilu ku masih mengharap
biarlah dosa-dosaku nan lalu
terkubur di lipatan kenangan

Ku merayu hanya padaMu
ku merayu dan terus merayu
ku merayu hanya padaMu...

Ku memohon petunjuk dariMu
bantuku menuju jalanMu yang satu
hidup matiku hanya untukmu...

*Catatan hijrah...

Sesekali...


Bismillah walhamdulillah, segala pujian selayaknya buat Rabbul Jalil atas nikmat yang tidak terhitung banyaknya..

Dalam kehangatan bahang imtihan yang kian terasa dan timbunan kitab yang belum dikhatami sehabisnya, sesekali merehatkan minda dengan menekuni sebuah novel drama buah tangan Faisal Tehrani, 'Bila Tuhan Berbicara'.

Novel drama ini akan membawa kita dalam satu perjalanan@ permainan barangkali roller coaster yang turun naik dan memberi satu pengalaman sastera yang baru, cerita tentang hari kebangkitan, tentang keinsafan sesudah kemaksiatan, tentang kehidupan kita yang sementara ini, tentang bagaimana menuju negeri abadi (muqaddimah daripada pengarang).

Sedikit sinopsis daripada novel drama ini:
"Sahlan saintis yang ingin menjadi wanita.Razlan pula ekstremis agama, sedangkan Mazlan, doktor perubatan masih terasa panas darah isteri yang baru dibunuhnya.Mereka terkesima dan dan terperangkap bersama dalam kubu lantaran gempa bumi, taufan dan letupan gunung berapi yang melanda.Apabila mereka bangun setelah tertidur beribu tahun lamanya, mereka dikejutkan dengan sebuah dunia baru yang diperintah wanita, Paduka Ratu."

Apa yang menariknya, pengarang melontarkan persoalan mengenai kedudukan drama Islam yang kering di tanahair kita dan apakah yang boleh ditawarkan oleh drama Islam dalam dunia yang dilanda amuk kecamuk perang hari ini? Seharusnya drama Islam hari ini dapat berperanan sebagai 'senjata saraf' berbanding menjadi persembahan untuk kepuasan hiburan semata.

Pengarang juga cuba mengungkapkan falsafah teater fitrah melalui gagasan Cikgu Noordin Hassan, Sasterawan Negara dengan enam prinsipnya:

1.Mempercayai bahawa beriman kepada Allah itu ialah fitrah manusia.Cara penyelesaian drama tersebut haruslah memihak kepada protagonis dan tidak dibenarkan tergantung.

2.Pengarang mesti menyedari matlamat dan pengertian dijadikan Allah iaitu untuk mengabdikan diri kepadaNya.

3.Aqidah murni dan syariat menjadi asas kepada niat dan amal di da;am berkarya dan itu juga mesti dipaparkan pada watak dan perwatakan sehingga penonton merasa tergugah dan berfikir.

4.Bila kita beriman kepada Allah maka haruslah mendatangkan kesan rohaniah iaitu keyakinan penuh dan tidak tergugat sama sekali oleh apa pun.

5.Pembaca atau penonton drama fitrah yang beragama Islam mestilah mendapat kesan dari prinsip keempat tetapi pembaca atau penonton bukan Islam akan mendapat kesan moral baik darinya.

6.Teater fitrah itu mesti dapat menyentuh perasaan misalnya adegan berjihad mempertahankan negara haruslah meninggalkan kesan patriotik serta kasihkan agama.

Apa yang ana pelajari di dalam Adab Arabi Hadis di Mesir oleh Dr Jamal Mahmud Said Ahmad Junaidi ada menyentuh tentang teater @ masrahiyyah (dalam bahasa arabnya).Sejarah teater di Mesir bermula apabila Napoleon Bonaparte membawa masuk teater Perancis ke Mesir.Selepas penghantaran beberapa orang pelajar Mesir ke Perancis antaranya Ahmad Syauqi yang akhirnya melihat sendiri perkembangan teater di Perancis.Beliau akhirnya membawa pulang apa yang dipelajari di Perancis dan akhirnya membuat teater di Mesir.Di antara teater beliau yang terkenal ialah kisah Majnun Laila & Cleopatra.Beliau menggunakan unsur klasiki dan romantiki di dalam karya beliau ini.

Pada awalnya teater di Mesir terbahagi kepada tragedi dan komedi.Tragedi biasanya diakhiri dengan kesedihan dan komedi biasanya di akhiri dengan kegembiraan.
Ana juga ingin menyentuh sedikit falsafah tauhidik yang telah dipelajari di dalam adab Andalus.

Ia merupakan kisah yang dikarang oleh seorang ahli falsafah Arab bernama Ibn Tufayl di negeri Andalusia, untuk mengkritik secara kiasan terhadap masyarakatnya ketika itu.Beliau mengisahkan tentang seorang anak muda yang tercampak ke sebuah pulau asing dan sejak kecil beliau membesar sendiri tanpa bertemu dengan manusia.Namanya Hayy Ibn Yaqdhan atau Hidup bin Sedar.

Hayy ibn Yaqdhan tidak pernah tahu apa itu ‘agama’. Beliau membesar dengan belajar hukum alam di sekitarnya. Belajar mengajuk cakap binatang, belajar berkomunikasi dengan mereka dan dengan mematuhi hukum alam itu dia selamat.

Tetapi di dalam diri Hayy, ada suatu unsur kuat untuk dia melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Unsur untuk membolehkannya ‘berfikir’ tentang Kuasa Agung di sebalik semua material yang mengelilinginya. Semua ini tidak bermakna kecuali ia dihubungkan kepada Kuasa Agung itu.

Hayy terus menelah kehidupannya dan dia sampai kepada yakin, bahawa tiada kebahagiaan dalam hidup ini kecuali dengan bertafakur dan merenung Kuasa Agung itu, dialah Tuhan.

Hayy hidupnya begitu.

Dorongan fikir dan renungnya terhadap ‘Allah’ melalui mesej-Nya yang disampaikan melalui ciptaan Allah memaksa Hayy untuk dengan sendirinya tunduk rukuk, malah rebah sujud ke bumi. Terasa benar siapa dirinya, hingga tersungkur di depan Dia.

Segala-galanya berubah, apabila Hayy dikunjungi buat pertama kalinya oleh seorang lelaki dari ‘negeri bertamadun’. Lelaki itu bernama Absal.


Setelah puas berusaha meyakinkan Hayy bahawa kedatangannya tidak membawa apa-apa maksud yang tidak baik, Absal dan Hayy bersahabat karib.

Pada renungan Hayy, biar pun Absal ini beragama dengan ‘agama itu’, cara Hayy bertafakkur dan berhubung dengan Tuhannya, selari dengan agama yang dianuti oleh si Absal. Namun, akhirnya mereka berdua akur bahawa ‘agama’ Hayy itu lebih asli berbanding amalan Absal yang hanya berorientasikan ritual semata. Atas kesepakatan ini, Absal membawa Hayy ke negerinya yang bertamadun itu untuk memperkenalkan 'agama tulen ' si Hayy.

Hayy teruja.

Teruja melihat penduduk negeri Absal beribadah sepertinya. Rukuk, sujud… semuanya serba serbi. Banyak persamaannya.

Tetapi Hayy tidak lama begitu. Dia segera mengesan, bahawa segala perbuatan kaum di negeri Absal itu hanya ilusi. Mereka melakukan ibadah secara kosong tanpa makna. Tidak faham mengapa rukuk, tidak tahu mengapa sujud. Justeru ibadah mereka tidak memberi bekas. Tiada kesan.

Kehidupan penduduk negeri itu sibuk dengan huruf-huruf pada teks aturan agama tetapi mereka kehilangan roh aturan agama itu.

Hasrat Hayy untuk mencari manusia pintar yang boleh menerima dan mempelajari ‘agama tanpa nama’nya itu, tidak berhasil. Lantas Hayy dan Absal mengambil keputusan meninggalkan ‘negeri bertamadun’ itu kerana pada hemat mereka, penduduk di situ tidak lebih dari sekadar makhluk yang umpama binatang yang tidak berakal.

Mengapa?

Seperti binatang… hidupnya juga ada peraturan. Malah jarang sekali peraturan itu dilanggar. Tetapi binatang itu tidak mampu memahami maksud agama Hayy, kerana mereka tiada akal. Manusia yang mengikut peraturan tanpa akal, binatanglah mereka!

“Mereka bergantung sepenuhnya pada meniru pesan Nabi dan tradisi agama, secara melulu tanpa berusaha untuk memahami maksud perbuatan mereka itu”, simpul Hayy.

kritikan Ibn Tufayl kepada masyarakat Andalus melalui kisah Hayy ibn Yaqdhan dan Absal ini, masih relevan dan kena dengan kesengsaraan jiwa kita melihat kelakuan Muslim hari ini.

Agama menjadi ritual.

Kita semakin beragama tetapi beragama tanpa Tuhan.

Sama kita renungkan...

Salam imtihan, doakan kejayaan kita bersama.

Thursday, December 25, 2008

Perbaharui Azam


Bismillah walhamdulillah, hanya beberapa hari sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun baru hijrah.Adakah sudah terlaksana azam kita pada tahun ini atau hanya sekadar lakaran di atas kertas?Beruntunglah bagi mereka yang melaksanakan apa yang dikatakan..marilah kita renungi kembali…

Bagaimana pula dengan azam kita pada tahun baru yang akan menjelma nanti?Apakah azam itu nanti hanya untuk kepentingan diri sendiri atau untuk Islam yang kita cintai?Sama-samalah kita pastikan segala yang kita rancang mesti di sana terselit azam untuk memperbaharui semangat kita untuk berjuang dalam membantu agama Allah SWT.Meletakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi, itu cita-cita kita!

Kerana apa?kerana hidup ini aalah sebuah perjuangan.Perjuangan memerlukan pengorbanan.Dua perkatan yang terlalu sinonim malah mesti wujud demi sebuah kejayaan dan kemenangan yang ingin dicapai.Firman Allah SWT:

“Berjuanglah kamu sama ada ringan atau berat dan berkorbanlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah yang sedemikian itu adalah terlebih baik (kemenangan) bagi kamu jika sekiranya kamu mengerti” (at-Taubah:41)

Sejarah kemenangan dan kegemilangan Islam di sepanjang zaman turut diwarnakan oleh perjuangan dan pengorbanan yang cukup hebat dan terbilang, meyaksikan bagaimana harta, tenaga, darah dan nyawa menjadi yuran berkualiti tinggi yang dibayar oleh para pejuang.Firman Allah SWT:

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang benar-benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam), maka diantara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid) dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (al-Ahzab : 23)

Mereka berjuang dan berkorban demi kerana Allah dan agamanya, pasti mereka mencapai kemenangan justeru inilah yang diisytiharkan oleh Allah SWT:

“(Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjuang pada jalan Allah dengan mengorbankan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang yang mengerjakan Haji dan orang-orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (at-Taubah : 20)

Bagaimana pula dengan kita?Kemenangan adalah suatu yang amat bernilai dan pastinya memerlukan kesungguhan dan pembiayaan yang mahal untuk mendapatkannya.Kesungguhan itu ialah perjuangan dan pembiayaan itu ialah pengorbanan.

Selamat menyambut tahun baru hijrah dan selamat berjuang di medan imtihan yang bakal menjelang..

Saturday, December 06, 2008

Bedah Buku




Bismillah walhamdulillah,kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Illahi atas ruang waktu yang diberikan dan terima kasih juga kat 'senpai' atas teguran yang diberikan.

Alhamdulillah dalam melaksanakan kewajipan menghatami kitab kuliah, sempat juga meladeni buku yang begitu istimewa ini.Buku 'Zainab al-Ghazali-Nusaibah pada Kurun ke-20'

Buku ini adalah 'buah tangan' daripada penulis yang ingin merakamkan kekagumannya terhadap al-Hajjah Zainab al-Ghazali lanjutan daripada buku 'Hari-hari dalam hidupku'.
Penulis menginginkan agar pembaca mengetahui sirah al-Hajjah di samping menyedari tanggungjawab muslimah dalam mengembangkan dakwah di muka bumi ini, merasa izzah sebagai seorang muslim,bersama-sama membantu mereka yang berada di atas jalan jihad fi sabilillah, bersabar dalam menghadapi apa jua mehnah dan tribulasi yang dihadapi dalam kehidupan ini dan akhirnya penulis menginginkan agar para pembaca menginfakkan masa, harta dan jiwa dalam membantu agama Allah SWT.

Membaca buku ini seakan menyuntik kembali semangat juang di dalam diri agar terus thabat, sabar dalam menempuh liku-liku kehidupan.
Tertarik dengan kata-kata al-Hajjah yang perlu dijadikan ikutan oleh para muslimah hari ini ialah ketika mana beliau ditanya oleh suami beliau melalui perkhwinan yang kedua tentang mahar dirinya:
Berkata Haji Muhammad Salim kepada al-Hajjah,"Apakah yang kau inginkan sebagai maharmu? kata al-Hajjah, "Wahai tuanku,mahar yang aku inginkan adalah baiah untuk mati di jalan Allah bersama-sama as-Syahid Hassan al-Banna.Sekiranya sampai waktu baiah ini, akan ku serahkan ruhku yang ketika itu bukan milikku dan milik suamiku tetapi ia adalah milik Allah.Jika kau bersetuju dan kau terima, maka maharku adalah persetujuanmu untuk berbaiah!"

Semoga akan lahir lagi Nusaibah seterusnya yang akan mewarnai jalan perjuangan yang panjang ini...Siiru 'ala barakatillah wa kullu 'am waantum bikhair!