Monday, July 27, 2009

HAYAT '09

Bismillah walhamdulillah..Insya Allah,Hal Ehwal Wanita Islam(HEWI) PMRAM akan menganjurkan satu program mega, HAYAT'09 (Ihtifal Yaumul Fatayat al Mansyudat) yang akan bermula pada 28,29 dan 30hb Julai.Program ini akan berlangsung di Rumah Kelantan Baru, Hayyu Sabi' dan juga Nadi Syabab, Hayyu 'Asyir.Di samping itu juga turut diadakan Bazaria HAYAT yang akan menyediakan pelbagai menu yang menarik.Jangan lepaskan peluang ini, di samping kita bertalaqi dengan palbagai pengisian menarik dan bermanfaat, HAYAT '09 turut memberikan seribu kenangan berukhuwwah di antara kita.

Marilah bersama-sama memeriahkan HAYAT '09!Semoga bertemu di HAYAT '09!

p/s :Jemputlah beramai-ramai menjamu selera di NISA' CORNER yang akan menyediakan pelbagai menu menarik antaranya Meehun Sup,Nasi Ikan Keli Asam Pedas, Nasi Ikan Keli Berlada, Rojak Buah NISA',Puding Berkuah dan Tepung Pelita..Insya Allah anda pasti berpuas hati!Bersama menjana ekonomi Islam!

Sunday, July 26, 2009

Cerita Tentang Kita


Firman Allah Ta'ala:

"Dan apabila Kami berikan sesuatu rahmat kepada manusia, niscaya mereka gembira dengan (rahmat) itu.Tetapi apabila mereka ditimpa sesuatu musibah kerana kesalahan mereka sendiri, seketika itu mereka berputus asa" (ar Rum:36)

Kita adalah keajaiban alam yang terbesar.Kita telah diberi mata untuk melihat dan akal untuk berfikir dan kita semakin mengerti bahawa semua masalah, kekecewaan, kesakitan jiwa dan seumpama dengannya adalah peluang besar yang datang dalam rupa yang berbeza, bahkan semua itu adalah hanya sedikit ujian yang ditimpakan berbanding manusia-manusia lain.

Kita dikandung di dalam kolam cinta dan dilahirkan untuk matlamat yang istimewa akan tetapi kita sering melupakan hal itu sebelum ini...
Tetapi mulai saat dan ketika ini kita akan membimbing hidup ke arah menyempurnakan sebuah aspirasi...

Hidup ini kalau tidak pernah merasai pahitnya sebuah kekecewaan, kita tidak akan merasai betapa manisnya sebuah kebahagiaan.Hidup memang begitu, kita perlu melalui waktu sukar, barulah akan timbul kekuatan dalam diri..

Oleh itu, kita hidup untuk melihat dan menilai.Biar yang buruk jadi sempadan dan yang baik itu menjadi teladan.Tugas kita berbincang dan mengajak kepada kebaikan tetapi bukan tugas kita menghukum dan melabelkan orang...

Kita akan menghayati hari ini seolah-olah ini adalah hari yang terakhir.Kita tidak perlu lagi memikirkan lagi bagaimana untuk melupakan perkara silam.Walaupun semalam terlalu banyak kisah sedih namun kesedihan orang lain lebih teruk berbanding kita..

Oleh itu, abaikanlah sengsara lama.Esok telah terkubur bersama semalam.Hari ini kita tidak akan memikirkannya lagi.Kita mempunyai satu nyawa dan nyawa itu tidak lain hanyalah ukuran waktu.Jika kita mensia-siakan nyawa hari ini sama seperti merosakkan nyawa terakhir.Maka, setiap jam yang berlalu di hari ini akan kita hargai kerana ia sama sekali tidak akan kembali lagi...

Isra' wa al Mi'raj

Bismillah walhamdulillah, segala pujian selayaknya buat Rabbul Izzati yang memberikan ruang kelapangan di celah kesempitan..Selamat menyambut bulan Syaaban buat semua sahabat walau di mana kalian berada..Bulan Rejab telahpun meninggalkan kita dengan meninggalkan suatu peristiwa penting yang harus diingat sampai bila-bilapun iaitu peristiwa isra' wa al mi'raj.

Firman Allah Taala:
"Mahasuci (Allah) yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya senahagian tanda-tanda (kebesaran) kami.Sesungguhnya Dia maha Mendengar,Maha Melihat." (al Isra' : 1)

Marilah sama-sama kita hayati peristiwa Isra' wa al Mi'raj ini dengan mengambil beberapa intipati yang terkandung di dalam ceramah yang disampaikan oleh Dr Fathi Hijazi, Pensyarah Fakulti Bahasa Arab, Universiti al Azhar dan juga sedikit petikan daripada artikel yang ditulis oleh Syeikh Fikri Hasan Ismail dalam majalah al Mujahid (Bil 251).

Peristiwa Isra' wa alMi'raj ini berlaku pada tahun ke 10 baginda diutuskan sebagai rasul.Tahun ini dinamakan 'Am al Huzni' (Tahun Dukacita) kerana Rasulullah SAW telah kehilangan dua orang yang disayangi yang telah menjadi tulang belakang kepada perjuangan ar Rasul selama ini iaitu pemergian isteri tercinta, Sadatina Khadijah al Khuwailid dan pakcik baginda Abu Talib.

Allah telah menerangkan di dalam surah al Isra' mengenai bagaimanakah bermulanya mukjizat ini sehinggalah ke akhirnya, kedudukan masjid al Aqsa dan kenapa Allah melakukan isra' ini pada waktu malam hari?

Padanya terdapat hikmah yang tersirat:

1.Menambahkan lagi keimanan bagi orang yang beriman dengan perkara ghaib dan menambahkan kekafiran bagi mereka yang tidak mahu beriman dengan allah.

2.Ia merupakan waktu khalwat dan 'privacy' Rasulullah SAW.

3.Membuktikan ketegasan baginda dalam menyampaikan al haq walau apa yang baginda sampaikan dicemuh oleh kafir musyrikin Mekah.

4.Allah telah memuliakan para nabi dan rasul pada waktu malam dengan pelbagai karamah dan kemuliaan contohnya pada apa yang berlaku kepada:
-Nabi Ibrahim alaihissalam :"Ketika malam telah menjadi gelap, dia (Ibrahim) melihat sebuah bintang." (al An'am :75)

-Nabi Luth alaihissalam :"Pergilah bersama keluargamu pada akhir malam" (Hud :81)

-Nabi Yaaqub alaihissalam, doanya di akhir waktu sahur malam Jumaat : "Dia (Yaaqub) berkata:"aku akan memohon ampunan bagimu kepada Tuhanku".

Sebahagian ulama' menyatakan waktu malam merupakan waktu untuk bersungguh-sungguh melakukan ibadah dan kerana itulah Rasulullah SAW memperbanyakkan qiamullail sehingga bengkak kaki baginda yang mulia malah Rasulullah SAW juga telah mewajibkan qiamullail ke atas diri baginda.Maka Allah telah memuliakan baginda dengan memberikan mukjizat Isra' wa al Mi'raj ini di waktu malam hari..

Kenapa Masjid al Aqsa?kerana disitulah tempatnya berkumpul seluruh para nabi dan rasul.Rasulullah SAW telah mengimami solat dua rakaat bersama-sama dengan seluruh para nabi dan rasul dan ini telah membuktikan bahawa Islam adalah kalimah terakhir yang disempurnakan oleh Rasulullah SAW.
Al Quran juga telah menerangkan kelebihan masjid al Aqsa in pada firman Allah "yang telah kami berkati sekelilingnya".Keberkatan ini membawa makna tersurat dan tersirat.

Ia merupakan tempat solatnya seluruh para nabi dan rasul sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad mafhumnya "Solat di Masjid al Aqsa adalah menyerupai 500 kali solat"dan pada riwayat yang lain menyatakan 1000 kali solat.

Konklusinya, umat Islam seharusnya bersatu untuk mengembalikan semula masjid al Aqsa kerana ia menyeru seluruh umat Islam bertindak dengan perkataan dan perbuatan memandangkan musuh-musuh Allah tidak mengetahui tempat ibadah yang suci bagi umat Islam.

Penghayatan tentang Isra' wa al Mi'raj ini seharusnya diterjemahkan ke dalam amal jamaie dan sewajarnyalah seluruh dunia Islam memberikan respon dan bertindak untuk mengembalikan semula masjid al Aqsa darri tangan musuh-musuh Allah...

Tuesday, June 02, 2009

Bedah Buku - Belajar dari 2 Umar - Kenyangkan Perut Rakyat



Bismillah wa alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana memberikan kesempatan untuk terus mencungkil mutiara-mutiara hikmah yang terkandung di dalam buku yang cukup berharga ini.

Melihat kepada komentar yang diberikan sudah cukup menggambarkan bahawa banyak pengajaran yang perlu diambil daripada kedua-dua Umar ini:

"Dua Umar ini adalah pemimpin yang mula-mula melaksanakan kepimpinan Negara Berkebajikan.Mereka mengajar rakyat bagaimana hidup dalam berkat kemiskinan atau kaya dalam petunjuk dan cahaya."
(Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat- Menteri Besar Kelantan)

"Penulisan sejarah sahabat atau tokoh Muslim, boleh menjadi rujukan kepada masyarakat.Bahawa, mereka memimpin dengan penuh keteladanan dan peribadi yang mempesona didasari al Quran dan Sunnah.Semoga buku ini mampu meluuskan distorsi sejarah Islam dan tokoh-tokohnya."
(Ahmad Mansur Suryanegara, Sejarawan Muslim Indonesia)

"Saya ingin mencontohi Khalifah Umaiyyah, Khalifah Umar Abdul Aziz dalam gerak kerja saya."
(Lim Guan Eng- Ketua Menteri Pulau Pinang)

Sedikit petikan daripada buku ini :

Umar bin Abdul Aziz

"Umar bin Abdul Aziz membersihkan kedua-dua tangannya.Dia berdiri di depan makam Sulaiman bin Abdul Malik, khalifah Bani Umaiyyah sebelumnya.Berdasarkan wasiat almarhum, Umar Abdul Aziz memegang takhta khalifah.Baru sahaja Umar bangkit berdiri, tiba-tiba terdengar suara riuh.
"Ada apa?"tanya khalifah ke-8 bani Umaiyyah itu kehairanan.
"Ini adalah kenderaan tuan, wahai Amirul Mukminin," ujar salah seorang sambil menunjukkan sebuah kenderaan mewah yang khusus disediakan untuk khalifah.

Dengan suara gementar dan tersekat-sekat kerana keletihan dan kurang tidur, Umar berkata, "Apa hubungannya denganku?Jauhkan kenderaan ini.Semoga Allah memberkati kalian."Lalu dia berjalan ke arah seekor keldai yang menjadi tunggangannya selama ini.

Umar bin Khattab

Di bawah pemerintahan Umar bin Khattab, khalifah kedua setelah Rasulullah SAW wafat, penduduk Madinah dibiasakan menyimpan makanan.Ketika kelaparan memuncak, Umar pernah dihidangkan roti yang dicampur minyak zaitun.Umar memanggil seorang Badwi dan mengajaknya makan bersama.Umar tidak menyuapkan makanan ke mulutnya sebelum Badwi itu melakukannya terlebih dahulu.Orang Badwi itu benar-benar menikmati makanan itu."Agaknya, kamu tidak pernah menikmati lemak?"tanya Umar.

"Benar,"kata Badwi itu."Aku tidak pernah makan dengan minyak zaitun.Umar memanggil seorang Badwi dan mengajaknya makan bersama.Umar tidak menyuapkan makanan ke mulutnya sebelum Badwi itu melakukannya terlebih dahulu.Orang Badwi itu benar-benar menikmati makanan itu."Agaknya, kamu tidak penikmati perrnah menikmati lemak?"tanya Umar.

"Benar,"kata Badwi itu."Aku tidak pernah makan dengan minyak zaitun.Aku juga tidak sudah lama tidak menyaksikan orang-orang lain memakannya sehimgga sekarang," tambahnya.

Mendengar kata-katanya, Umar bersumpah tidak akan memakan lemak sampai semua rakyatnya kembali hidup seperti biasa.Ucapannya benar-benar dibuktikan.Kata-katanya diabadikan sehingga kini, "Kalau rakyatku kelaparan, aku ingin menjadi orang pertama yang merasakannya.Kalau rakyatku kekenyangan, aku ingin menjadi orang terakhir menikmatinya,"ujar Umar.

*Mudah-mudahan akan lahirlah pemimpin yang boleh mempraktikkan apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua Umar ini...

Monday, June 01, 2009

Bedah Buku- Cinta di Rumah Hasan al Banna

Bismillah wa alhamdulillah, segala pujian yang tak terhingga buat al Khaliq yang memberikan kesempatan masa untuk menghadhami buku yang cukup berharga ni..

Buku ini , cuba membuka sedikit lembaran kehidupan Hasan al Banna sebagai seorang ayah dalam berinteraksi dengan anak-anaknya.Bagaimana latar belakang kehidupan yang dibina seorang pejuang dakwah yang membukukan banyak prestasi dalam tempoh hidupnya yang tidak lama, yakni selama 43 tahun?

Bagaimana kehangatan hubungan dan warna jiwa sebuah keluarga yang dibina oleh seorang yang menggagaskan gerakan dakwah, yang hari-harinya begitu padat dengan aktiviti di luar rumah?

Buku ini menegaskan tidak ada pemisahan antara keluarga dan dakwah, sekaligus menjawab pertanyaan, "Mana yang lebih penting, dakwah untuk umat ataupun membina keluarga?"

Sesungguhnya yang meletakkan dasar pergerakan dakwah moden seperti Hasan al Banna telah memberikan contoh bahawa yang merasakan sentuhan pertama nilai pendidikan seseorang dai'e, justeru orang terdekatnya.Jika dia seorang ayah, maka isteri dan anak-anaknyalah yang akan merasakan sentuhan pertama.Begitu juga apabila dia seorang ibu.

Ada banyak peranan ayah dalam Islam yang harus ditunaikandengan benar sebagaimana hadis Rasulullah SAW :

"Setiap kalian adalah pemimipin yang bertanggungjawab ke atas yang dipimpinnya.Seorang amir adalah pemimpin ke atas rakyatnya dan dia bertanggungjawab ke atas yang dipimpinnya.Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia bertanggungjawab ke atas yang dipimpinnya.Seorang perempuan adalah pemimpin di rumah suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya.Seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta tuannya dan dia bertanggungjawab ke atas yang dipimpinnya.Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas yang dipimpinnya."(HR Bukhari daripada hadis Nafi' bin Umar r.a)

Al Banna rahimullah dikurniakan enam orang anak, terdiri daripada seorang anak lelaki dan lima orang anak perempuan:

a.Wafa : Adalah anak perempuan yang sulung sekaligus isteri seorang dai'e terkenal iaitu Sa'id Ramadhan rahimullah.Ketika al Banna meninggal dunia, dia sudah berusia 17 tahun.

b.Ahmad Saiful Islam : Seorang peguam sekaligus setiausaha general Majlis Peguam Mesir dan bekas anggota parlimen Mesir.Dilahirkan pada 22 November 1934.Berjaya memperolehi gelaran sarjana di bidang HAM tahun 1956, dan Darul Ulum 1957.Usianya baru 14 tahun, 2 bulan, 20 hari ketika al Banna meninggal dunia.

c.Dr Tsana : Pensyarah Urusan Pengaturan Rumah Tangga, mengajar sejumlah universiti di Arab Saudi.Dia baru berusia 11 tahun ketilka al Banna meninggal dunia.

d.Ir Raja' : Ketika al Banna meninggal dunia, usianya sekitar lima setengah tahun.

e.Dr Halah : Pensyarah kedoktoran di Universiti al Azhar.

f.Dr Istisyhad: Pensyarah ekonomi Islam.Dia masih dalam kandungan ibunya ketika al Banna menghembuskan nafasnya yang terakhir.Jika diimbas semula, menurut analisis doktor, dia harus digugurkan dari kandungan lantaran penyakit yang dideritai serta bahaya kehamilan yang mengancam nyawa si ibu.
Para pengamal perubatan menetapkan pada 12 Februari bertepatan dengan hari kematian Imam Hasan al Banna.Tapi Allah SWT berkehendak sesuatu yang lain.Istisyhad lahir dengan sihat.Dan kerana rangkaian peristiwa itulah dia dinamakan Istisyhad yang bererti memburu mati syahid.

Sedikit petikan wawancara bersama Saiful Islam al Banna yang disiarkan oleh ikhwanonline.com:

S:Bagaimanakah sikap al Banna di rumah, berhubung dengan saudara sebagai anaknya yang hidup bersamanya selama 14 tahun?

J:Ayah adalah pemimpin rumahtangga yang ideal yang tidak melalaikan hak-hak keluarga.Awal makalah yang ditulisnya 'Dakwah adalah Kewajipan', dan makalah keduanya bertajuk, 'Kepada Siapa Dakwah ini Diserukan?'
Dalam makalah itu ditegaskan bahawa keluarga adalah objek nombor satu dakwah yang harus diberikan perhatian.Ayah melandaskan hal itu pada firman Allah SWT, "Wa andzir asyiiratakal aqrabiin.."Dan berilah peringatan kepada keluarga kalian yang dekat...

Saturday, May 30, 2009

Teater Ahmad Syauqi dan Taufiq al Hakim


Egyptian Theatre
Masrahiyyah atau teater adalah satu cabang daripada sastera arab moden.Tokoh yang paling terkenal dalam memperkenalkan teater di Mesir adalah ''Amir Syu'ara" Ahmad Syauqi dan Taufiq Hakim.


Teater yang dihasilkan oleh Ahmad Syauqi adalah berbentuk syair manakala Taufiq Hakim pula lebih berbentuk prosa.
Penghantaran Ahmad Syauqi ke Perancis telah banyak mempengaruhi beliau dalam menghasilkan karya-karya beliau.Semasa di Perancis, beliau banyak terpengaruh dengan aliran Klasiki dan Romantiki dan berjaya menghasilkan sebuah karya berjudul Ali Bik al Kabir.
Kemudian, beliau telah menghasilkan pelbagai lagi karya bermutu di antaranya Masra' Cleopatra, Majnun Laila, Kombiz, Antaroh, Alis Huda dan al Bakhilah.
Manakala Taufiq al Hakim yang terkenal dengan teater berbentuk prosa, pada mulanya telah menggunakan pendekatan berbentuk 'ramziah"atau simbol dan menghasilkan satu karya berjudul al Dhif al Thaqil.
Kemudian, beliau tertumpu kepada tema kemasyarakatan berjudul Masrah al Mujtama' dan al Maráh al Jadidah.Setelah itu beliau bertukar kepada tema zihniyyah (yang terbentuk hasil pemikiran dan pemerhatian beliau).
Di antara karya beliau yang berjaya dihasilkan ialah Ahli Kahfi, Syahrazad,Áudah al Syabab, al Aidi al Naiemah, al Shofaqah, Asywak al Salam, al Khuruj Min al Jannah, al Zumar dan al Jamaliyun.

Konklusinya, mereka bukan sahaja tokoh yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan teater di Mesir malah berjaya mengetengahkan idea-idea baru bersesuaian dengan masyarakat Mesir pada masa itu yang lebih mengenali teater daripada Perancisakibat daripada pengaruh Napoleon Bonaparte yang memperkenalkannya sewaktu menjajah Mesir pada satu masa dahulu.

*Mudah-mudahan teater, drama, filem atau apa jua bentuk hiburan ditanahair diadun mengikut acuan Islam akan berkembang dan mendapat perhatian masyarakat...Insya Allah.

Friday, May 29, 2009

Indonesia al Mujahidah


Bilangan penduduk Islam Indonesia sebanyak 94% ini telah menarik minat Ali Mahmud Taha untuk mengarang sebuah syair yang bertajuk "Indonesia al Mujahidah".Syair ini adalah silibus dalam subjek sastera ana..Mudah-mudahan dapat memberikan manfaat bersama.

Penyair mengarang syair ini untuk menggambarkan penderitaan pejuang-pejuang Islam Indonesia yang bangkit menentang penjajah bermula daripada Portugal, Belanda, Jepun dan Inggeris.Akhirnya mereka memperolehi kemerdekaan pada 17 Ogos 1945.

Sedikit petikan daripada syair ini yang telah diterjemahkan :

Awan yang merah atau langit yang menyala-nyala #
atau adakah matahari yang mengalir darah di atasnya

Pada pagi yang bersinar di Indonesia #
pedang-pedang yang menyanyi atau kematian yang berlagu

Kematian yang datang dari bukit dengan ketawa #
yang makan dan minum di atas bangkai-bangkai mereka

*Pada rangkap ini penyair ingin menggambarkan keadaan pejuang-pejuang Islam yang mana darah mereka yang mengalir telah menyebabkan awan menjadi merah dan berat dengan azab yang menimpa mereka.

Taman-taman timur yang terpelihara #
telah dibahagi-bahagikan oleh penjajah barat itu

Mereka meneguk darah-darah pejuang daripada tengkorak mereka #
sebagaimana mereka meneguk arak yang terhidang

*Penyair menggambarkan kepulauan yang berada di Indonesia seperti taman-taman yang terpelihara tetapi telah dibahagi-bahagikan oleh penjajah dengan wewenangnya.Mereka (penjajah) meneguk darah pribumi seperti meneguk arak dengan rakusnya.

Pada tanah dan langitnya terdengar suara jeritan #
seakan tersekat dan hilang dan andai ia bersuara

Gersanglah sahara, bergoncanglah gunung-gunung #
bergeloralah lautan, bersedihlah bintang-bintang

*Dalam keadaan gawat ini, suara jeritan yang memenuhi ruang angkasa Indonesia menyebabkan alam ini turut merasakan kesakitan, kepedihan yang teramat seolah-olah ummah ini turut merasakannya.

Dengan apa harus mentari bersinar #
jika bumi diliputi kezaliman dan kesesatan

Jadilah kehidupan mereka yang lemah #
ditentukan oleh mereka yang kuat dan berkuasa

Mereka dihina di saat mereka tidur, diperhamba saat mereka jaga #
dijual dan dibeli sesuka hati

Mereka dipanggil pemberontak jika mereka melawan #
atau mereka akan merasai kesakitan

Dimanakah nilai kemanusiaan #
yang boleh dihalalkan dan diharamkan

*Penyair menghadirkan persoalan tetapi dijawab dengan penegasan bahawa undang-undang manusia tetap mengatakan bahawa yang kekal hanyalah mereka yang kuat dan berkuasa.Nilai kemanusiaan sudah hilang dan penjajah tidak akan melepaskan cengkaman mereka.

*Teringat tanahair sendiri yang sudah merdeka tetapi masih lagi dijajah...

Thursday, May 28, 2009

Warna Kehidupan

warna kehidupan


Bismillah wa alhamdulillah, segala pujian hanya untuk Rabbul Izzati yang masih lagi meminjamkan nafas guna meneruskan hayat yang sementara ini..Kala-kala mengingatkan azimat Rasulullah SAW, rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara, hati jadi libang libu mengingatkan amanah terhadap ilmu, keluarga dan yang paling besar terhadap ummah ini...Kala-kala mengingatkan pesanan as Syahid Hasan al Banna, al wajibat aksar min al auqat,ada benarnya juga..masa..masa yang berlalu tidak boleh dicari ganti.


Sepatutnya entri kali ini dicoretkan dengan pelbagai ulasan mungkin sekitar peristiwa yang berlaku mutakhir ini..Namun coretan yang akan dilakarkan mungkin boleh dikongsi dengan mereka yang berada di sini, di sana dan disitu...


Apa yang ingin dikongsikan ialah sebuah artikel daripada kitab kuliah mengenai Satera Arab Moden karangan Dr Surayah Abdul Mun'im dan Dr Ismail el Mansyawi.

Artikel yang bertajuk Qur’an al Fajri oleh Ahmad Hassan al Zaiyyat yang merupakan pengasas kepada sekolah yang mengembangkan kesusasteraan arab moden..Beliau merupakan tokoh sastera yang unggul, menjadi rujukan kepada ramai lagi tokoh-tokoh sastera dan penulis arab yang banyak terpengaruh dan mencontohi gaya penulisan beliau.


Beliau dilahirkan pada tahun 1885 di Damiriah, muhafazah al Daqhiliyyah.Menamatkan hafazan al qur’an pada usia 12 tahun.Menyambung pengajian ke al Azhar dan mempelajari pelbagai disiplin ilmu dalam bidang agama, feqh, tafsir, hadis, tarikh, balaghah dan adab tetapi beliau lebih cenderung kepada adab.Akhirnya, beliau bersama-sama dengan sahabatnya Taha Husin akhirnya berguru dengan Syeikh Husin al Marsafi.Akhirnya beliau berjaya memperolehi ijazah dalam bidang sastera dari Universiti al Ahliah.

Artikel ini berkisar tentang tafakur saat hampirnya waktu subuh.Artikelnya berbunyi :

“Ketika aku terdengar suara muazzin dari atas menara Qaitbay, aku sedang sibuk memikirkan tentang alam yang berada di atas dan di bawah.Pemikiranku tentang segala pemilikan alam ini telah bertukar kepada sang Pemilik.Pengharapanku terhadap makhluk telah berpindah kepada al Khaliq.

Diseketika itu, kedengaran suara seseorang dari arah rumah bersebelahan denganku yang sedang khusyuk membaca surah al Isra’ dengan tajwid yang jelas dan bacaan yang indah.Qari yang sedang bertahajjud itu telah sampai pada firman Allah yang berbunyi:

“Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan dirikanlah pula solat subuh.Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan oleh para malaikat.Dan pada sebahagian malam hari, solat tahajudlah kamu sebagai ibadat tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabbmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”

Telinga dan hatiku disirami kalam-kalam Allah yang keluar daripada bibir lelaki yang sedang khusyuk itu.Malam yang tenang, kegelapan yang semakin menipis, cahaya yang semakin menjauh bercampur di antara cahaya bintang az zuhrah dan cahaya putihnya fajar.Langit di sebelah timur menjadi putih seperti mutiara.Laungan azan dari muazzin dan suara tartil saling bergantian seperti wahyu dan dakwah telah mengingatkan aku tentang al qur’an yang telah diwahyukan oleh Allah dan azan yang telah disampaikan oleh al Rasul.

Dua suara itu sampai dihatiku, suara keimananku yang kuat dan wahyu yang telah disampaikan sehinggakan keberadaanku yang terzahir hilang di dalam jiwaku.dan aku merasakan tidak ada lagi bintang-bintang atau zaman-zaman dan dunia ini.Terhapuslah sudah daripada pendengaranku suara-suara yang dahulunya kuminati seperti lagu dendangan Umi Kalthum, al Sinbathi dan nazam al Rami.

Kini, jiwa menjadi kosong serta bersih sambil bertasbih di saat bersahur dan solat subuh.Kedua-duanya(azan dan tartil) disambut dengan penuh penghayatan dan konsentrasi.Sehingga kedua-duanya mengalir dalam jiwaku bukan kerana suara yang bagus dan nada yang indah tetapi disebabkan perasaan yang sangat suci dan tidak boleh dicapai oleh indera dan tidak boleh digambarkan dengan bahasa.Hanya boleh dirasai oleh mereka yang melakukan tafakur seperti ini sambil menghadirkan di dalam dirinya keagungan Allah dan merasakan keindahan alam ini di dalam jiwanya.

Sesungguhnya kita mendengar al qur’an setiap hari di setiap waktu solat, namun ketika kita mendengarnya kita tidak boleh hadirkan di dalam diri kita kejelasan yang muncul daripada kebersihan hati.

Hal itu tidaklah melahirkan cahaya yang menghubungkan antara jiwa dan langit kerana perasaan kita disibukkan dengan kehidupan di siang hari sehingga jiwa kita tidak bersih untuk bertasbih.

Adapun dengan mendengar al qur’an dan azan, hanya orang yang bertaqwa diberikan kelazatan waktu fajar di saat manusia lena dibuai mimpi dan fikiran yang menerawang.Saat ketika bersolat itulah saat terangnya jiwa, saat bergabungnya orang yang bersaksi dengan orang yang disaksikan.


Saat di mana bersatunya hamba yang lemah dengan yang disembah.Dan anak adam yang hina dina ini merasakan bahawa cahaya itu datangnya daripada Allah.Jika terputusnya pertolongan dan nikmat daripada Allah, maka cahaya itu akan terhapus daripada angkasa alam ini.Apabila cahaya ini tenggelam, maka hilanglah cahaya (hidayah )daripada Allah..."


Artkel ini digarap dengan isi yang sangat bermutu dari segi afkarnya di samping zouq al fanni yang tinggi serta diserikan dengan sentuhan kesufian yang indah.Mudah-mudahan fajar yang hadir tidak disia-siakan guna mencari nilai diri di musim saifi yang mencabar ini!

Monday, December 29, 2008

Ku Merayu..


Dalam sayu ini
ku masih merayu
kiranya kau hulur sisa simpati
untuk hatiku yang masih mengharap
Tuhanku pinta segala terlerai

Walaupun aku
tidak pasti
apakah masih membara dosaku
di lautan derhaka
ku terus berombak
menghempas taubatku yang kian retak
oh Tuhan...ampunilah daku...

sudi kiranya
kau hujani kembali
jiwaku yang masih kelayuan ini
Tuhan sambunglah cintaku yang terputus
dengan cintaMu yang Maha Kudus

Dalam sayu ini
ku masih merayu agar
kasihmu hadir di hatiku
dalam pilu ku masih mengharap
biarlah dosa-dosaku nan lalu
terkubur di lipatan kenangan

Ku merayu hanya padaMu
ku merayu dan terus merayu
ku merayu hanya padaMu...

Ku memohon petunjuk dariMu
bantuku menuju jalanMu yang satu
hidup matiku hanya untukmu...

*Catatan hijrah...

Sesekali...


Bismillah walhamdulillah, segala pujian selayaknya buat Rabbul Jalil atas nikmat yang tidak terhitung banyaknya..

Dalam kehangatan bahang imtihan yang kian terasa dan timbunan kitab yang belum dikhatami sehabisnya, sesekali merehatkan minda dengan menekuni sebuah novel drama buah tangan Faisal Tehrani, 'Bila Tuhan Berbicara'.

Novel drama ini akan membawa kita dalam satu perjalanan@ permainan barangkali roller coaster yang turun naik dan memberi satu pengalaman sastera yang baru, cerita tentang hari kebangkitan, tentang keinsafan sesudah kemaksiatan, tentang kehidupan kita yang sementara ini, tentang bagaimana menuju negeri abadi (muqaddimah daripada pengarang).

Sedikit sinopsis daripada novel drama ini:
"Sahlan saintis yang ingin menjadi wanita.Razlan pula ekstremis agama, sedangkan Mazlan, doktor perubatan masih terasa panas darah isteri yang baru dibunuhnya.Mereka terkesima dan dan terperangkap bersama dalam kubu lantaran gempa bumi, taufan dan letupan gunung berapi yang melanda.Apabila mereka bangun setelah tertidur beribu tahun lamanya, mereka dikejutkan dengan sebuah dunia baru yang diperintah wanita, Paduka Ratu."

Apa yang menariknya, pengarang melontarkan persoalan mengenai kedudukan drama Islam yang kering di tanahair kita dan apakah yang boleh ditawarkan oleh drama Islam dalam dunia yang dilanda amuk kecamuk perang hari ini? Seharusnya drama Islam hari ini dapat berperanan sebagai 'senjata saraf' berbanding menjadi persembahan untuk kepuasan hiburan semata.

Pengarang juga cuba mengungkapkan falsafah teater fitrah melalui gagasan Cikgu Noordin Hassan, Sasterawan Negara dengan enam prinsipnya:

1.Mempercayai bahawa beriman kepada Allah itu ialah fitrah manusia.Cara penyelesaian drama tersebut haruslah memihak kepada protagonis dan tidak dibenarkan tergantung.

2.Pengarang mesti menyedari matlamat dan pengertian dijadikan Allah iaitu untuk mengabdikan diri kepadaNya.

3.Aqidah murni dan syariat menjadi asas kepada niat dan amal di da;am berkarya dan itu juga mesti dipaparkan pada watak dan perwatakan sehingga penonton merasa tergugah dan berfikir.

4.Bila kita beriman kepada Allah maka haruslah mendatangkan kesan rohaniah iaitu keyakinan penuh dan tidak tergugat sama sekali oleh apa pun.

5.Pembaca atau penonton drama fitrah yang beragama Islam mestilah mendapat kesan dari prinsip keempat tetapi pembaca atau penonton bukan Islam akan mendapat kesan moral baik darinya.

6.Teater fitrah itu mesti dapat menyentuh perasaan misalnya adegan berjihad mempertahankan negara haruslah meninggalkan kesan patriotik serta kasihkan agama.

Apa yang ana pelajari di dalam Adab Arabi Hadis di Mesir oleh Dr Jamal Mahmud Said Ahmad Junaidi ada menyentuh tentang teater @ masrahiyyah (dalam bahasa arabnya).Sejarah teater di Mesir bermula apabila Napoleon Bonaparte membawa masuk teater Perancis ke Mesir.Selepas penghantaran beberapa orang pelajar Mesir ke Perancis antaranya Ahmad Syauqi yang akhirnya melihat sendiri perkembangan teater di Perancis.Beliau akhirnya membawa pulang apa yang dipelajari di Perancis dan akhirnya membuat teater di Mesir.Di antara teater beliau yang terkenal ialah kisah Majnun Laila & Cleopatra.Beliau menggunakan unsur klasiki dan romantiki di dalam karya beliau ini.

Pada awalnya teater di Mesir terbahagi kepada tragedi dan komedi.Tragedi biasanya diakhiri dengan kesedihan dan komedi biasanya di akhiri dengan kegembiraan.
Ana juga ingin menyentuh sedikit falsafah tauhidik yang telah dipelajari di dalam adab Andalus.

Ia merupakan kisah yang dikarang oleh seorang ahli falsafah Arab bernama Ibn Tufayl di negeri Andalusia, untuk mengkritik secara kiasan terhadap masyarakatnya ketika itu.Beliau mengisahkan tentang seorang anak muda yang tercampak ke sebuah pulau asing dan sejak kecil beliau membesar sendiri tanpa bertemu dengan manusia.Namanya Hayy Ibn Yaqdhan atau Hidup bin Sedar.

Hayy ibn Yaqdhan tidak pernah tahu apa itu ‘agama’. Beliau membesar dengan belajar hukum alam di sekitarnya. Belajar mengajuk cakap binatang, belajar berkomunikasi dengan mereka dan dengan mematuhi hukum alam itu dia selamat.

Tetapi di dalam diri Hayy, ada suatu unsur kuat untuk dia melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Unsur untuk membolehkannya ‘berfikir’ tentang Kuasa Agung di sebalik semua material yang mengelilinginya. Semua ini tidak bermakna kecuali ia dihubungkan kepada Kuasa Agung itu.

Hayy terus menelah kehidupannya dan dia sampai kepada yakin, bahawa tiada kebahagiaan dalam hidup ini kecuali dengan bertafakur dan merenung Kuasa Agung itu, dialah Tuhan.

Hayy hidupnya begitu.

Dorongan fikir dan renungnya terhadap ‘Allah’ melalui mesej-Nya yang disampaikan melalui ciptaan Allah memaksa Hayy untuk dengan sendirinya tunduk rukuk, malah rebah sujud ke bumi. Terasa benar siapa dirinya, hingga tersungkur di depan Dia.

Segala-galanya berubah, apabila Hayy dikunjungi buat pertama kalinya oleh seorang lelaki dari ‘negeri bertamadun’. Lelaki itu bernama Absal.


Setelah puas berusaha meyakinkan Hayy bahawa kedatangannya tidak membawa apa-apa maksud yang tidak baik, Absal dan Hayy bersahabat karib.

Pada renungan Hayy, biar pun Absal ini beragama dengan ‘agama itu’, cara Hayy bertafakkur dan berhubung dengan Tuhannya, selari dengan agama yang dianuti oleh si Absal. Namun, akhirnya mereka berdua akur bahawa ‘agama’ Hayy itu lebih asli berbanding amalan Absal yang hanya berorientasikan ritual semata. Atas kesepakatan ini, Absal membawa Hayy ke negerinya yang bertamadun itu untuk memperkenalkan 'agama tulen ' si Hayy.

Hayy teruja.

Teruja melihat penduduk negeri Absal beribadah sepertinya. Rukuk, sujud… semuanya serba serbi. Banyak persamaannya.

Tetapi Hayy tidak lama begitu. Dia segera mengesan, bahawa segala perbuatan kaum di negeri Absal itu hanya ilusi. Mereka melakukan ibadah secara kosong tanpa makna. Tidak faham mengapa rukuk, tidak tahu mengapa sujud. Justeru ibadah mereka tidak memberi bekas. Tiada kesan.

Kehidupan penduduk negeri itu sibuk dengan huruf-huruf pada teks aturan agama tetapi mereka kehilangan roh aturan agama itu.

Hasrat Hayy untuk mencari manusia pintar yang boleh menerima dan mempelajari ‘agama tanpa nama’nya itu, tidak berhasil. Lantas Hayy dan Absal mengambil keputusan meninggalkan ‘negeri bertamadun’ itu kerana pada hemat mereka, penduduk di situ tidak lebih dari sekadar makhluk yang umpama binatang yang tidak berakal.

Mengapa?

Seperti binatang… hidupnya juga ada peraturan. Malah jarang sekali peraturan itu dilanggar. Tetapi binatang itu tidak mampu memahami maksud agama Hayy, kerana mereka tiada akal. Manusia yang mengikut peraturan tanpa akal, binatanglah mereka!

“Mereka bergantung sepenuhnya pada meniru pesan Nabi dan tradisi agama, secara melulu tanpa berusaha untuk memahami maksud perbuatan mereka itu”, simpul Hayy.

kritikan Ibn Tufayl kepada masyarakat Andalus melalui kisah Hayy ibn Yaqdhan dan Absal ini, masih relevan dan kena dengan kesengsaraan jiwa kita melihat kelakuan Muslim hari ini.

Agama menjadi ritual.

Kita semakin beragama tetapi beragama tanpa Tuhan.

Sama kita renungkan...

Salam imtihan, doakan kejayaan kita bersama.

Thursday, December 25, 2008

Perbaharui Azam


Bismillah walhamdulillah, hanya beberapa hari sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun baru hijrah.Adakah sudah terlaksana azam kita pada tahun ini atau hanya sekadar lakaran di atas kertas?Beruntunglah bagi mereka yang melaksanakan apa yang dikatakan..marilah kita renungi kembali…

Bagaimana pula dengan azam kita pada tahun baru yang akan menjelma nanti?Apakah azam itu nanti hanya untuk kepentingan diri sendiri atau untuk Islam yang kita cintai?Sama-samalah kita pastikan segala yang kita rancang mesti di sana terselit azam untuk memperbaharui semangat kita untuk berjuang dalam membantu agama Allah SWT.Meletakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi, itu cita-cita kita!

Kerana apa?kerana hidup ini aalah sebuah perjuangan.Perjuangan memerlukan pengorbanan.Dua perkatan yang terlalu sinonim malah mesti wujud demi sebuah kejayaan dan kemenangan yang ingin dicapai.Firman Allah SWT:

“Berjuanglah kamu sama ada ringan atau berat dan berkorbanlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah yang sedemikian itu adalah terlebih baik (kemenangan) bagi kamu jika sekiranya kamu mengerti” (at-Taubah:41)

Sejarah kemenangan dan kegemilangan Islam di sepanjang zaman turut diwarnakan oleh perjuangan dan pengorbanan yang cukup hebat dan terbilang, meyaksikan bagaimana harta, tenaga, darah dan nyawa menjadi yuran berkualiti tinggi yang dibayar oleh para pejuang.Firman Allah SWT:

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang benar-benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam), maka diantara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid) dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (al-Ahzab : 23)

Mereka berjuang dan berkorban demi kerana Allah dan agamanya, pasti mereka mencapai kemenangan justeru inilah yang diisytiharkan oleh Allah SWT:

“(Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjuang pada jalan Allah dengan mengorbankan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang yang mengerjakan Haji dan orang-orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (at-Taubah : 20)

Bagaimana pula dengan kita?Kemenangan adalah suatu yang amat bernilai dan pastinya memerlukan kesungguhan dan pembiayaan yang mahal untuk mendapatkannya.Kesungguhan itu ialah perjuangan dan pembiayaan itu ialah pengorbanan.

Selamat menyambut tahun baru hijrah dan selamat berjuang di medan imtihan yang bakal menjelang..

Saturday, December 06, 2008

Bedah Buku




Bismillah walhamdulillah,kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Illahi atas ruang waktu yang diberikan dan terima kasih juga kat 'senpai' atas teguran yang diberikan.

Alhamdulillah dalam melaksanakan kewajipan menghatami kitab kuliah, sempat juga meladeni buku yang begitu istimewa ini.Buku 'Zainab al-Ghazali-Nusaibah pada Kurun ke-20'

Buku ini adalah 'buah tangan' daripada penulis yang ingin merakamkan kekagumannya terhadap al-Hajjah Zainab al-Ghazali lanjutan daripada buku 'Hari-hari dalam hidupku'.
Penulis menginginkan agar pembaca mengetahui sirah al-Hajjah di samping menyedari tanggungjawab muslimah dalam mengembangkan dakwah di muka bumi ini, merasa izzah sebagai seorang muslim,bersama-sama membantu mereka yang berada di atas jalan jihad fi sabilillah, bersabar dalam menghadapi apa jua mehnah dan tribulasi yang dihadapi dalam kehidupan ini dan akhirnya penulis menginginkan agar para pembaca menginfakkan masa, harta dan jiwa dalam membantu agama Allah SWT.

Membaca buku ini seakan menyuntik kembali semangat juang di dalam diri agar terus thabat, sabar dalam menempuh liku-liku kehidupan.
Tertarik dengan kata-kata al-Hajjah yang perlu dijadikan ikutan oleh para muslimah hari ini ialah ketika mana beliau ditanya oleh suami beliau melalui perkhwinan yang kedua tentang mahar dirinya:
Berkata Haji Muhammad Salim kepada al-Hajjah,"Apakah yang kau inginkan sebagai maharmu? kata al-Hajjah, "Wahai tuanku,mahar yang aku inginkan adalah baiah untuk mati di jalan Allah bersama-sama as-Syahid Hassan al-Banna.Sekiranya sampai waktu baiah ini, akan ku serahkan ruhku yang ketika itu bukan milikku dan milik suamiku tetapi ia adalah milik Allah.Jika kau bersetuju dan kau terima, maka maharku adalah persetujuanmu untuk berbaiah!"

Semoga akan lahir lagi Nusaibah seterusnya yang akan mewarnai jalan perjuangan yang panjang ini...Siiru 'ala barakatillah wa kullu 'am waantum bikhair!

Thursday, October 30, 2008

SURVIVAL PMRAM DALAM MENELUSURI MEHNAH DAN TRIBULASI




1.0 INTRODUKSI


Dewasa ini, anak-anak Malaysia yang melanjutkan pengajian ke Mesir telah dihidangkan dengan kenyataan tidak berasas semata-mata kerana menanam perasaan benci mereka terhadap PMRAM.

Acapkali mereka menyatakan PMRAM merupakan sebuah pertubuhan berunsurkan politik yang menentang kerajaan apabila pulang ke Malaysia.Namun, segala tohmahan tersebut adalah tidak berasas sama sekali kerana PMRAM berdasarkann undang-undang penubuhannya tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam kegiatan berunsurkan politik.

PMRAM yang bertunjangkan al-quran dan as-sunnah terus menelusuri aluran sejarah dan menempuh arus kematangan yang kadangkala menoktahkan kepedihan di atas lembaran jasadnya,Namun PMRAM yang didokongi ummah mahasiswa terus melebarkan sayap untuk menaungi budaya kemahasiswaan dan kebajikan ahlinya.

2.0 SOROTAN KRONOLOGI PMRAM


Menelusuri sejarah PMRAM yang panjang telah membuktikan kepada kita bahawa PMRAM adalah satu-satunya persatuan induk yang menaungi mahasiswa sejak dari awal penubuhannya pada tahun 1930 sehinggalah kini.

2.1 Kebajikan

1932 : Panitia Rumah Melayu dibentuk untuk menyelenggarakan urusan pembinaan asrama dan melancarkan pungutan derma di kalangan masyarakat tanahair serta jamaah Haji Tanah Melayu.Sokongan masyarakat dan akhbar-akhbar kebangsaan di tanah air memuaskan.

1952 : PPS (Persekutuan Putera-Putera Semenanjung ) terus memperjuangkan pembinaan Rumah Melayu.Resit-resit pungutan dikeluarkan bagi mendapatkan tanahair.Dalam mesyuarat AJK PPS, ketetapan telah dibuat bagi mengubah nama PPS kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM)

1955 : Badan Wanita ditubuhkan sebagai medium organisasi mahasiswi.

1963 : Panitia Asrama Rumah Melayu dibentukbagi melicinkan pentadbiran kerana pembinaan Rumah Melayu hampir siap.
19 September- Satu MoU yang ditandatangani oleh saudara Ghazali Abdul Wahid dan Wan Mokhtar Ahmad dihantar ke Kementerian Pelajaran untuk memperjuangkan Ijazah Timur Tengah.

1971 : Jawatankuasa untuk mempercepatkan pembinaan asrama puteri ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh saudara Abdul Syukur Hashim.Satu jaminan diberikan oleh Kerajaan Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM 300 dan berjanji akan mendirikannya pada 1972.

1982 : Perasmian asrama Puteri oleh YAB Datuk Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.PMRAM mengemukakan permohonan peruntukan sebuah bas bagi siswi untuk ke kuliah kepada YAB.

1983 : Sebuah bas sebagaimana yang diminta berjaya diperolehi.

1991 : PMRAM berperanan menguruskan penempatan urusan kuliah seterusnya membentuk Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah .

1992 : 28 April- Penubuhan Jawatankuasa Bertindak Krisis Ekonomi (JBKE) untuk menangani masalah kewangan ahli yang meruncing ekoran kegawatan ekonomi Malaysia.

2006 : Melancarkan Dana Syaqah PMRAM di Asrama Peljar Terengganu.

2.2 Komitmen

1930 : 11 April- Pelajar-pelajar Melayu keluar beramai-ramai daripada Persatuan Kebajikan Anak-Anak Jawa sebagai tindak balas kepada perpecahan yang berlaku, lalu menubuhkan Persekutuan Putera-putera Semenanjung (PPS) mengikut undang-undang dalam negeri.

1950 : PPS dan IPI (Ikatan Pelajar- pelajar Indonesia) terlibat dalam tunjuk perasaan anti penjajah Inggeris sebagai tanda sokongan kepada rakyat Mesir.

1951 : PPS bekerjasama untuk menubuhkan Ikatan Indonesia bagi menyatupadukan Pelajar-pelajar Tanah Melayu, Indonesia, Filipina dan Negara Thai.

1967 : 31 Ogos- Gabungan Mahasiswa Asia Tenggara di Lembah Nil (SOLIDARITA) ditubuhkan yang diwakili oleh mahasiswa Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.Tunjuk perasaan bantahan penyelewengan perlaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diadakan.Mahasiswa diberi amaran keras oleh kerajaan Malaysia.

1968 : PMRAB (Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu – selepas PMM.menerbitkan majalah bulanan ‘Susila’ serta turut menyatakan sokongan terhadap penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. (UKM)

1992 :20 Februari-Badan Pengurus PMRAM membuat keputusan membantah penubuhan PPMM (Persatuan Pelajar-pelajar Mesir) kerana PMRAM masih mampu memberi perkhidmatan kepada mahasiswa.Namun, pihak kedutaan tetap ingin menubuhkan sehingga tercetus demonstrasi aman mahasiswa Malaysia.

2.3 Hubungan Luar

1948 : Ikatan Pelajar-pelajar Indonesia (IPI) ditubuhkan unutkmenyokong kemerdekaan Indonesia.PPS turut memberikan kerjasama.

1954 : PMM menghantar dua orang wakil ke Kongres Pemuda Islam yang diadakan di Karachi.

1955 : PMM menggabungkan diri dengan persatuan Pelajar Kongres Islam yang berpusat di Kaherah bagi merapatkan hubungan dengan pemuda-pemuda Islam di dunia.
25 Oktober : PMM menubuhkan Badan Perjuangan Melayu se-Timur Tengah untuk menyatupadukan anak-anak Melayu di Timur Tengah.Dua orang wakil dihantar kepada Badan Perjuangan Pembebasan Rakyat Islam.

1983 : PMRAM menyerti Perayaan sempena Seribu Tahun al-Azhar dengan kerjasama kedutaan Malaysia.

1994 : PMRAM membantu Pusat Islam dalam memberikan penjelasan tentang Jemaahal-Arqam

1997 : 22 September- HEWI menerima kunjungan dan mengadakan ramah mesra bersama mahasiswi Jordan dan Hizbi.

2.4 Keprihatinan

1958 : Oktober- 65 orang pemuda Melayu mendaftarkan diri menjadi askar sukarelawan manakala yang lain menderma darah dan mahasiswi menjahit pakaian tentera untuk membantu Mesir menentang pencerobohan tiga serangkai ; Inggeris-Perancis-Israel.

1964 : PMM menghantar kawattakziah atas kematian Zulkifli Muhamad (bekas YDP).Selain itu, kawat tahniah dihantar kepada TYT Tunku Abdul Rahman atas perlantikan sebagai PerdanaMenteri.
PMM menghantar 4 orang wakil tetap Kelab Pelajar-pelajar Asing di Kaherah.

1973 :6 Okober-PMRAM menderma sebanyak 500 pound kepada kerajaan Mesir atas kemenangan mereka dalam peperangan tiga serangkai (Inggeris-Perancis-Israel) yang disampaikan oleh Yang Diertua PMRAM kepada Dr Abdul Halim Mahmud, Syeikh al-Azhar.

2.5 Program-program

1972 : PMRAM menganjurkan kursus-kursus dakwah dan melahirkan 19 orang kader dakwah denagn saudara Abdullah Abbas Abu Bakar sebagai kader terbaik.

1992 : 16 Januari : PMRAM mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke 59.
17 September : PMRAM mengadakan Najlis Konvokesyen kali pertama bagi
mahasiswa yang tamat pengajian bertempat di Dewan Kuliah Tarbiyah Universiti
al-Azhar dan mengadakan sudut pameran untuk memperkenalkan Malaysia kepada
rakyat Mesir.

1993 : PMRAM menghantar 450 orang dalam kursus Kesedaran dan pimpinan pelajar di Mesir anjuran JPM.PMRAM mengadakan pertunjukan dan latihan sepak takraw di Kelab Sukan Zamalek Kaherah, Mesir.

1997 : 13 Mac-Majlis pelancaran Homepage PMRAM dan seminar penulisan serta ulangtahun suara kampus kali pertama diadakan di Rumah Melayu.
25 Mac-PMRAM menyertai pertandingan Pameran Kebudayaan di Universiti Ain Sham, Kaherah dan telah memenangi tempat kedua.
22 Jun-PMRAM menghantar kontijen menyertai perandingan badminton antarabangsa di Nadi Syabab Hayyu Sadis.
27&28 Julai :HEWI mengadakan Kongres Karisma yang dihadiri oleh mahasiswi Kaherah, Mansurah dan Iskandariah di Rumah Melayu Abbasiyah.

1998 : Muktamar Sanawi diadkan bagi menggantikan Mesyuarat Agung Tahunan dengan saudara Ahmad Bukhari Ghazali sebagai presiden.
8 Julai-Kelab Waja diri ditubuhkan yang mengandungi silat gayung dan taekwando
8 Ogos-Konvensyen Dewan Perwakilan Mahasiswa kali kedua berjaya dilaksanakan di Panorama Umi Kalsom, Mansoura.

2000 : Mengadakan sambutan Ulangtahun ke 70 PMRAM dengan sambutan yang menggalakkan dari seluruh bekas pimpinan PMRAM serta ahli.Pelancaran PMRAM multiomedia Centre (PMC)

2004 : Menganjurkan PMRAM International Knowledge Festival In Egypt (PROFIT) yang melibatkan penyertaan mahasiswa Negara Asia dan Afrika.

2005 : 2-11 Mei-Menyertai Pameran Kebudayaan Universiti Ain Sham bersempena 24th People’s Day Festival Egypt 2005 dengan dianggotai dari 13 negara.Mendapat tempat pertama.

2006 : 22-27 Ogos-Mengadakan Sambutan 50 tahun HEWI PMRAM (IKHLAS 06) yang turut disertai oleh wakil-wakil mahasiswi dari Ireland dan Jepun serta bekas kepimpinan Badan Pengurus dan HEWI PMRAM.Dikendalikan sepenuhnya oleh HEWI PMRAM.

2007 : Mac-PMRAM mengadakan Persidangan Mahasiswa Timur Tengah (PERMIT) melibatkan wakil mahasiswa Syria, Jordan dan Yaman di Dewan Solah Kamil, Universiti al-Azhar as-Syarif.
Ogos-Mengadakan Konvesyen Dewan Perwakilan Mahasiswa III (SEJAK) di Nadi Zahabiah, Mansurah.


3.0 MEHNAH DAN TRIBULASI


Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan sahaja mengatakan "kami telah beriman" sedangkan mereka belum diuji. Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta"
(Surah Al-Ankabut: 2-3)

Dalam surah Al-Baqarah Allah berfirman yang bermaksud :
"apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasulullah dan orang-orang yang beriman bersama baginda : "bilakah datangnya pertolongan allah?". Ingatlah sesungguhnya pertolongan alllah itu sangat dekat.
(Surah Al-Baqarah: 214)

Dalam surah Muhammad Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Dan sesungguhnya kami benar-benar menguji kamu agar kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar diantara kamu dan agar kami menyatakan (baik-buruknya) hal ehwalmu.(Surah Muhammad : 3)

Mehnah dan tribulasi merupakan satu sunnatullah kerana Allah hendak menguji sejauh mana cintanya kita pada Allah dengan kejayaan kita mengharungi ujianNya sebagai bukti.
Cuma mehnah dan tribulasi ini berbeza mengikut zaman dan situasi.
Dalam sejarah kehidupan manusia mehnah dan tribulasi bermula dari nabi adam a.s hinggalah nabi muhammad S.A.W. ujian ini diberi sebagai proses tazkiyah (pembersihan hati dan peningkatan taqwa)oleh Allah SWT.

Ramai yang amat suka menyebut ayat bombastic mehnah dan tribulasi yang sedap didengar ini di dalam ceramah-ceramahnya, tetapi sejauh mana hadirin dan kita benar-benar faham akan pengertiannya?

Secara ringkas, mehnah berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud ujian atau cabaran. Tribulasi pula berasal daripada perkataan Inggeris tribulation yang membawa maksud kesengsaraan atau kesusahan. Tribulasi juga boleh membawa maksud ujian, cuma ianya adalah dalam bentuk kesusahan.

Sememangnya telah menjadi lumrah dan fitrah dalam perjuangan menegakkan agama Allah ini, para pejuang pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan rintangan. Istilah yang sering kita gunakan adalah mehnah dan tribulasi. Sejarah telah membuktikan bahawa semua pejuang Islam yang benar-benar ikhlas dan berada dalam jalan yang benar tidak mungkin terlepas daripada dikenakan ujian. Para Nabi, para Rasul Allah, sahabat-sahabat mereka, para ulama’ pewaris Nabi dan sekalian da’ie. Secara umum pastinya ditimpa ujian yang datang menguji. Perkara ini sudah menjadi suatu kemestian atau prasyarat kepada pejuang Islam bagi melihat sejauh mana ketahanan dan istiqamah mereka dalam perjuangan.

Sebagai sebuah persatuan induk yang sudah pun mencecah usia 7dasawarsa, PMRAM juga turut tidak lekang diancam pelbagai mehnah dan tribulasi yang rencam sejak dari awal penubuhannya hinggalah kini.

1973 : PMRAM digantung pendaftarannya sehingga 1979 kerana wujud fahaman kenegerian di antara ahli.

1980 : Pendaftaran diperbaharui semula .PMRAM menghadapi masalah kewangan kerana pihak JPM menyekat bantuan kewangan Kerajaan Malaysia tetapi tidak melemahkan semangat PMRAM dan program tetap dijalankan malah ahli-ahli yang mendermakan wang poket untuk menjayakan program-program.

1992 :24 Februari- Kedutaan secara rasmi memutuskan hubungan dengan PMRAM dan tidak membenarkan PMRAM menggunakan kemudahan di Asrama Rumah Melayu.
28 April- Kedutaan memalang pintu pejabat PMRAM di Abbasiah setelah mengeluarkan notis supaya mengosongkan pejabat di Asrama Rumah Melayu.Ekoran daripada itu, pihak PMRAM mengadakan demonstrasi yang dibenarkan oleh pihak keamanan Mesir untuk menuntut kembali hak-hak PMRAM.

1995 : Julai-Konvensyen PMRAM kali pertama di Mansurah dibatalkan oleh pihak kedutaan atas alasan keselamatan.

Kebelakangan ini, PMRAM menghadapi krisis tenaga, ketandusan think thanker (pemikir) dan kepimpinan yang amat ketara, tempat untuk menjalankan operasi dan program yang terhad, kewujudan persatuan yang pelbagai yang memecah belahkan kesatuan ahli, sumber kewangan yang terhad, dan 1001 lagi permasalahan yang menuntut pengorbanan daripada semua peringkat sama ada pendokong dan penyokong PMRAM itu sendiri.

4.0 PMRAM DAN SURVIVAL


Sungguhpun terdapat pelbagai spekulasi yang menghujum dan menghentam PMRAM sebagai sebuah persatun menjurus kepada politik, akan tetapi segalanya itu tidak mematahkan perjuangan PMRAM untuk terus menyalurkan kebajikan dalam apa jua aspek guna membentuk jati diri para mahasiswa yang lebih berwibawa dan berketrampilan dari sudut ilmu, thaqafah dan nilai tambh yang lain.

Semua tekanan yang berlaku pasti akan menjadi pembakar semangat kepada PMRAM untuk terus memperjuangkan kebajikan yang menjadi nadi utama penubuhannya.Pelbagai program di semua lapangan dirangka khusus bagi memastikan kelangsungan PMRAM sebagai wadah perjuangan mahasiswa di ardhil kinanah.

PMRAM semenjak penubuhannya dari dahulu lagi telah merancang, menyusun dan melaksanakan agenda-agenda tarbiah serta kerohanian dalam melahirkan para mahasiswa/wi yang benar-benar bermutu sebelum mereka pulang dan terjun ke dalam masyarakat untuk.Sebagai contoh, program Kolokium Ilmuan secara bersiri dan Simposium Nuqaba’ adalah bukti kesungguhan PMRAM dalam melahirkan jil Rabbani yang diharapkan ummah.

Atas rasa tanggungjawab di hadapan Allah dalam memikul amanah bagi memastikan para mahasiswa Islam di Mesir terus gagah dalam menggendong ilmu, PMRAM meneruskan agenda thaqafah dan keilmuan melalui program-program yang melibatkan para ulama’ dari Mesir dan juga negara luar.Madrasah Imam Syafie yang dijalankan dan PROFIT yang saban tahun dilaksanakan adalah usaha PMRAM yang bercita-cita untuk menjadi al-Azhar kedua guna melahirkan ilmuan terulung selepas masyarakat Nubuwwah dan Risalah.

Agenda kesatuan juga turut diperteguhkan dalam menjana kekuatan kerana dengan ikatan kesatuan yang teguh, kekuatan pasti akan terbina.Firman Allah Taala:

“berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah berpecahbelah”(al-Imran : 103)

Program-program seperti Majlis Pengetahuan dan Silaturrahmi (MPS) dan Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan (PMHK) dan pelbagai aktiviti yang dapat menyatupadukan seluruh ahli diperhebatkan guna menghindar segala anasir-anasir luar yang cuba memecah-belahkan kesatuan ini.

PMRAM juga tidak ketinggalan dalam menggarap bakat-bakat seni melalui bengkel penulisa melalui Kem Latihan Penulis (KELAP) guna melahirkan penulis muda yang bakal melontar idea-idea bernas berlandaskan pedoman Illahi.

Bagi memastikan kelangsungan qaidatul sulbah (generasi teras). PMRAM juga turut memperhebatkan PESAT guna melahirkan lebih ramai lagi hardcore PMRAM yang bukan sekadar bekerja malah menjadi golongan pemikir untuk PMRAM.

5.0 PENUTUP

Sesungguhnya kronologi agung PMRAM yang ditampilkan adalah sebagai satu pengharapan agar sejarah perjuangannya yang digagaskan berteraskan aqidah yang mapan hingga kini, mampu berdiri gah bukanlah sekadar untuk dibangga malahan perlu kepada kesinambungan yang utuh sebagai pertahanan moga ia tidak sewenangnya-wenangnya dapat dimusnahkan oleh anasir-anasir yang tidak diingini.

Mehnah dan ribulasi yang dihadapi oleh PMARM adalah sebagai satu imbasan dalam pembinaan kekuatan pendokong dan peyokongnya bagi menunjukkan sifat kehambaan serta pergantungan kepada Allah SWT, menampakkan yang haq dan batil, sebagai satu bentuk pentarbiyahan diri, melahikan golongan yang berjiwa besar, memantapkan keimanan, kesabaran dan tangkas serta mempunyai keazaman yang kuat.

Justeru, penghayatan yang jitu setiap afrad yang berada di bawah naungannya amat diharapkan supaya impian memastikan survival PMRAM terus utuh menjadi kenyataan.Teruskanlah perjuangan bersama bahtera PMRAM yang berpaksikan al-quran dan as-sunnah tanpa ragu lagi demi memilhara agama dan amanah daripada diperkotak-katikkan oleh musuh yang sentiasa dahagakan perpecahan dan permusuhan di kalangan kita.

Bukan PMRAM semata-mata dijulang, bahkan kemurnian Islam yang mendasari PMRAM inilah sebenarnya menjadi tonggak utama keutuhan PMRAM untuk diagungkan.


“Semoga kita berjaya mengharungi gelora mehnah dan tribulasi kehidupan menuju ke pelabuhan kejayaan”

Saturday, October 04, 2008

My First Chocolate Cupcake



Bismillah walhamdulillah...Salam Eid Mubarak kepada semua umat Islam buat walau dimana jua berada juga buat sahabat-sahabat yang berada di bumi anbiya' ini.Pastinya kalian semua sibuk memenuhi undangan open house di sana sini.

Alhamdulillah, Allah beri kesempatan kepada diri ini untuk membantu adik-adik HEWI BKPJM mengadakan open house.Semua berjalan dengan lancar atas bantuan dan hasil kerjasama bersama.

Kepenatan dan keletihan meyediakan juadah yang bermula sedari malam lagi akhirnya hilang apabila melihat wajah-wajah ceria tetamu yang datang berkunjung.Rasa berbaloi juga berhempas pulas menyiapkan kesemuanya hinggalah ke penghujungnya.Tetapi yang paling menarik sekali ialah dapat membuat chocolate cupcakes, hasil airtangan sendiri :)
Alfu syukr buat semua!Taqabballahu minna waminkum!

Friday, October 03, 2008

Kekalkan Semangat Ramadhan



RAMADAN 1429 berlalu meninggalkan kita tetapi tidak bererti amal ibadat sepanjang bulan mulia itu turut ditinggalkan, sebaliknya perlu diteruskan sehinggalah kehadiran Ramadan akan datang.

Jika pada Ramadan kita dilatih tidak mengata nista, mengumpat dan menabur fitnah, sepatutnya pada bulan lain juga begitu.


Malah, atas kesinambungan ibadat puasa fardu pada Ramadan digalakkan umat Islam meneruskan lagi selama enam hari pada Syawal, sebagai satu ibadat sunat yang menyucikan jiwa.

Rugi bagi mereka yang berjaya mendidik nafsu sepanjang tarbiah Ramadan sehingga menjadi pemuja Rabbul Jalil, tetapi selepas Ramadan semuanya hilang sekelip mata, kembali semula kepada tabiat lama.

Justeru, bagi memastikan roh Ramadan dibawa ke bulan seterusnya, sentiasalah menghidupkannya dengan perkara yang diredhai Allah.

Bersesuaian hari raya sebagai hari kemenangan untuk meraikan kejayaan mengekang nafsu sepanjang Ramadan, janganlah diri dikotorkan kembali dengan maksiat sehingga tewas kepada hasutan nafsu dan syaitan.

Kemenangan yang mesti dicapai ialah kejayaan pada diri sendiri, bukannya diri orang lain, kerana berjaya melahirkan diri kita sebagai hamba Allah yang bertakwa, patuh pada syariat dan berakhlak baik, bukannya sebagai manusia derhaka terhadap Allah.

Dalam kegembiraan dan kemeriahan menyambut hari raya, kita perlu merebut ganjaran pahala ibadat puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, menunjukkan satu kesinambungan ibadat dari Ramadan.

Malah, jika dihalusi, bulan latihan ini bermula dari bulan Rejab lagi, di mana kita dianjurkan berpuasa sunat, beribadat, kemudian datang Ramadan dilipatgandakan lagi kerajinan beribadat.

Rasulullah s.a.w ada menyatakan kelebihan orang berpuasa pada bulan Syawal seperti orang berpuasa sepanjang tahun dalam sabdanya (bermaksud): “Daripada Abi Hurairah r.a., Dari Nabi s.a.w. katanya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam keseronokan menyambut Syawal, janganlah lupa dengan kemuliaan bulan ini, seolah-olah semua keseronokan itu adalah bonus, sehingga lupa kedatangan Syawal suatu kehilangan besar sebahagian kenikmatan untuk beribadat.

Walaupun ibadat puasa sunat boleh diteruskan pada bulan Syawal, keseronokan berjemaah mengerjakan Tarawih dan Lailatul Qadar tidak dapat dinikmati lagi sehinggalah Ramadan akan datang.

Sebenarnya, Islam tidak melarang umatnya berhibur untuk meraikan sesuatu kemenangan atau kejayaan tetapi hendaklah ia dilakukan melalui saluran hiburan yang betul dan berfaedah yang disertai dengan nilai akhlak mulia serta membanyakkan kesyukuran kepada Allah.

Dengan berlalunya Ramadan, sesetengahnya berseronok (kerana tidak perlu berpuasa lagi) tetapi sesetengah yang lain pula berdukacita (kerana tidak berpeluang menambahkan pahala).

Ini berbeza dengan sikap mereka menjelang Ramadan pada awal-awal dahulu, sesetengahnya berasa gelisah (kerana mengongkong jadual makan minumnya) manakala yang lain gembira (kerana peluang merebut pahala).

Begitupun, ada pihak yang tiada perasaan, tiada sukacita dan tiada dukacita. Ramadan atau tidak sama saja. Apabila dia mahu makan, dia makan saja. Apabila dia mahu berbuat jahat, menipu, mencuri, mencederakan orang, malah meragut nyawa orang, dia lakukan saja, tanpa peduli apa orang kata dan bulan apa.

Golongan seperti ini juga sebenarnya tidak peduli atau buat-buat tidak tahu apa yang Allah kata. “Wahai orang beriman. Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Apa pun ibadat sepanjang Ramadan lalu diharapkan menjadi pembakar motivasi kepada umat Islam untuk beribadat lebih tekun di samping mengharapkan semua amalan diterima Allah.

Sangat baik sekiranya nilai keperibadian yang dipupuk pada Ramadan dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian sepanjang tahun, terutama sifat sabar (dalam menghadapi dugaan hidup), sesuai dengan gesaan Allah supaya manusia banyak bersabar bagi mendapatkan kejayaan.

Amalan mulia yang lain seperti bermurah hati dan rajin melakukan amal kebajikan, rajin membaca al-Quran dan ke masjid untuk mengerjakan solat berjemaah sepatutnya dijadikan amalan yang biasa dalam kehidupan kita, berlegar di sekeliling diri kita, supaya rahmat Allah juga sentiasa menyelubungi diri kita.

Janganlah kemeriahan Syawal menjadi titik kepada kelunturan semangat beramal ibadat dan perubahan pada diri - rajin bertukar menjadi malas, soleh menjadi toleh, penyabar menjadi pemarah, pemaaf menjadi pendendam dan jika ini berlaku amatlah rugi.

Ziarah Mahabbah



Ramadan yang mulia sudah pun berlalu. Umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan menjalani ibadah puasa. Lazimnya di musim perayaan, ziarah-menziarahi adalah amalan yang akan dilakukan bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga dalam masyarakat lain, terutama sekali dalam mengunjungi rumah terbuka.

Amalan ziarah-menziarahi amat dituntut dalam Islam, apatah lagi di musim Aidilfitri. Aidilfitri membuka ruang kepada kita untuk mengaplikasikan ajaran Islam mengenai konsep berkenal-kenalan (lita’arafu) dan mengeratkan silaturahim. Sekolah Ramadan yang dilalui telah mengajar dan mendidik hati untuk sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Puasa mendidik hawa nafsu, mengajar untuk sentiasa menginsafi nikmat yang diterima dan juga berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengutip pahala daripada amalan-amalan sunat, sedekah dan lain-lain.

Justeru, hari kemenangan menunaikan ibadah ini disambut dalam semangat mengajak manusia kembali pada fitrah dan kembali kepada kebaikan.

Jika pada bulan Ramadan manusia berusaha untuk menambah pahala amalan berpuasa, mengapa tidak di hari lebaran semangat itu dipanjangkan dengan amalan ziarah-menziarahi? Amat menyedihkan sekiranya amalan ini tidak diteruskan hanya dengan alasan terlalu sibuk dan tidak sempat untuk mengunjungi saudara mara dan rakan taulan.

Ziarah membawa kegembiraan kepada mereka yang diziarahi, terutamanya orang tua, warga miskin, anak yatim dan yang terpaksa merayakan perayaan di dalam keadaan yang serba kekurangan. Bayangkan jika kita sudah berumur dan tidak berdaya, tinggal keseorangan menyambut hari lebaran, tentunya kita mengharapkan ada orang yang sudi melawat dan bertanyakan khabar. Sekurang-kurangnya menjadi pengubat kesepian.

Ziarah Syawal memberi peluang kepada manusia untuk bertanya khabar dan mengeratkan silaturahim. Perhubungan yang terputus dapat ditaut kembali, saudara mara berkesempatan mengenali satu sama lain dan ikatan yang sedia erat akan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran si penziarah. Anak-anak yang mencari rezeki di kota harus pulang ke desa untuk meneruskan amalan ziarah-menziarahi supaya tidak lupa akan asal-usul masing-masing.

Dalam erti kata lain, amalan ini juga memberi ruang untuk manusia supaya menginsafi diri dan tidak hanya bersikap individualistik. Kehidupan setiap insan tidak sama, dan perbezaan taraf kehidupan kadangkala memberi impak kepada persepsi manusia. Namun begitu, persepsi tidak sepatutnya membolehkan orang yang berada melupakan si miskin, yang sihat tidak terkenangkan yang sakit dan apatah lagi yang muda melupakan si tua. Perasaan takbur dan sombong harus dibuang jauh-jauh kerana manusia harus sedar bahawa setiap nikmat yang dimiliki adalah anugerah Allah yang patut disyukuri dan dikongsi bersama.

Ziarah Yang Beradab

Menziarahi juga tidak terlepas daripada mengikut nilai adab dan santunnya sendiri. Tujuan berziarah haruslah disertai dengan niat yang baik, iaitu untuk mengeratkan silaturahim dan bertanya khabar. Antara adab-adab lain yang boleh dilaukan oleh kita terutamanya para remaja adalah:

“Tidak mengharapkan apa-apa pulangan atau balasan dan sentiasa bermanis muka. Kadangkala tuan rumah yang diziarahi tidak mempunyai apa-apa untuk dihidangkan atau diberi, maka tidak sewajarnya kita bermasam muka atau menyebarkan hal itu kepada orang lain.

“Bertanya khabar dan tidak bercakap tentang perkara-perkara yang mencemarkan kesucian menyambut Aidilfitri sehingga tidak menimbulkan rasa tidak senang pada yang dilawati. Bertanya khabar memberi tanda bahawa diri orang itu tidak dilupakan dan ada orang yang mengambil berat tentang dirinya.

Kegembiraan ini juga tidak seharusnya dicemarkan dengan perbuatan mengumpat, bercerita tentang hal-hal yang tidak berfaedah dan tidak mengambil kira akan perasaan orang lain.

“Si penziarah dan yang diziarahi tidak harus lupa akan asal usul dan membangga diri. Kadangkala nikmat yang dimiliki menjadikan manusia sombong dan takbur serta lupa akan perasaan orang lain yang tidak memilikinya. Sikap menunjuk-nunjuk harus dielakkan supaya keberkatan Syawal tidak dicemari dengan perasaan iri hati dan sombong.

“Setiap perbezaan fikiran dan idealisme harus ditangani dengan etika yang baik. Pertelagahan seharusnya dielakkan dengan baik dan berhikmah agar keharmonian Syawal tidak bertukar kepada pertengkaran dan rasa tidak puas hati. Ini juga adalah simbolik kepada lafaz takbir dan tahmid yang membawa asas kepada kemenangan bersatu padu.

“Para ibu dan bapa harus mengajak anak-anak mereka untuk berziarah dan menunjukkan tauladan ziarah dengan adab-adab yang baik yang berhemah. Apabila anak-anak dididik dengan adab-adab berziarah yang baik, mereka akan membesar dalam suasana hormat-menghormati, sentiasa berniat baik dan juga tidak bersikap mementingkan diri sendiri.

Para remaja juga harus melapangkan dada untuk pergi bersama-sama ibu bapa mereka kerana ini perbuatan ini bukan sahaja menambah kegembiraan kepada ibu bapa mereka dan orang yang diziarahi, tetapi juga mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t.

Kesimpulan

Amalan ziarah-menziarahi harus diteruskan biarpun bukan di dalam bulan Syawal kerana ziarah-menziarahi membawa asas perpaduan dan ukhuwah kepada umat Islam. Perpecahan terjadi kerana tidak adanya kesatuan dan persaudaraan. Kesatuan dan persaudaraan terjadi kerana tidak adanya semangat lita’arafu (saling berkenal-kenalan) dan mahabbah.

Maka amalan ziarah-menziarahi dapat memecahkan tembok yang menjadi penghalang kepada perpaduan serta memupuk perasaan prihatin pada yang memerlukan. Justeru itu, marilah sama-sama kita meneruskan amalan mulia ini kerana amalan ini pastinya membawa seribu erti kepada kedua-dua pihak ziarah, apatah lagi di dalam bulan kemenangan ini.

Wednesday, October 01, 2008

Syawal dan Perang Ahzab



Sempena Bulan Syawal yang mulia ini marilah bersama menghayati sirah Rasulullah SAW dalam peperangan Ahzab.
Tanggal 7 Syawal 5 Hijrah menyaksikan peristiwa Perang Ahzab berlaku setelah kesedihan menimpa kaum Muslimin, akibat keguguran ramai para syuhada didalam Peperangan Uhud.

Kaum Quraisy ingin menumpaskan kesemua kaum Muslimin. Mereka menubuhkan satu pasukan perang yang besar. Ribuan pasukan yang terdiri dari puak Quraisy dan sekutunya yang terdiri daripada kaum Quraisy, Bani Asad, bani Kilab, bani Syaiban, bani Ghatfan dan hampir seluruh kabilah yang sepakat akan menyerang kaum muslimin di kala itu.

Mereka semua berjumlah tidak kurang daripada 10 ribu orang sedangkan di pihak Islam berjumlah 3000 orang sahaja. Mereka berkumpul dan mengepung dari Utara Madinah. Sementara itu, pakatan Kaum Yahudi Madinah daripada Bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan Bani Quraizah menyaksikan penyatuan golongan yang membenci agama Allah ini dalam memerangi Rasulullah SAW dan Islam yang diperjuangkan oleh mereka.

Setelah peristiwa pembunuhan Kaab bin Asyraf, seorang yahudi yang menghina Nabi SAW dan Islam pada tahun 4 Hijrah, kebencian golongan Yahudi ini membuak buak sehinggakan mereka sanggup menyatakan bahawa agama sesat golongan quraisy Mekah adalah lebih baik daripada Islam sedangkan mereka merupakan golongan yang mengetahui Al Kitab dan beriman dengan Nabi Allah Musa A.S.

Dengan pimpinan Kaab bin Asad yang dihasut oleh Huyayy bin Akhtab, kedua dua pemimpin yahudi laknat ini telah berpakat sesama mereka dan bersatu dengan musyrikin Makkah untuk menyerang Madinah. Salman al farisi telah mencadangkan kepada Nabi SAW supaya dibuat parit yang mengelilingi Madinah supaya serangan tentera Ahzab tidak dapat menembusi Madinah. Lalu Rasulullah SAW bersama para sahabat dengan iman yang kental memulakan pembinaan parit tersebut untuk mempertahankan Islam.

Pada saat kedatangan tentera Ahzab ini, kaum Yahudi menyerang kaum muslimim dari belakang dan tentera musyrikin menyerang dari arah hadapan.Tentera bersekutu Ahzab kuffar seramai 10,000 orang yang tiba ke tempat peperangan terkejut apabila mendapati parit digali tentera Islam. Ia adalah pengalaman strategi berperang yang baru kepada mereka.

Rasullulah SAW telah berdoa sebagaimana riwayat dari Abdullah bin Abu Aufa r.a katanya, Rasulullah s.a.w di hari perang Ahzab mengucapkan:”Ya Allah, yang menurunkan kitab dan cepat membuat perhitungan! Kalahkanlah kaum Ahzab dan goncangkanlah pendirian mereka.”

Tentera Islam yang hanya berjumlah 3,000 orang mampu bertahan. Pertempuran besar tidak berlaku dalam peperangan ini. Enam tentera Islam syahid, manakala 10 Musyrikin dibunuh.Akhirnya, Allah mendatangkan kemenangan dengan ribut pasir, menyebabkan tentera musuh berundur, dengan pertolongan Allah S.W.T bala tentera yang ramai itu dapat dikalahkan oleh kaum tentera muslimin yang sedikit.

Allah S.W.T menggambarkan situasi ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepada kalian ketika datang kepada kalian pasukan, lalu Kami mengirimkan kepada mereka angin taufan dan pasukan yang tidak dapat kamu lihat. (al-Ahzab: 9-11).

Berlaku juga kacau-bilau antara mereka apabila pengintip yang dihantar Rasulullah berjaya melonggarkan kepercayaan antara tentera Ahzab. Allah SWT telah menewaskan tentera Ahzab dengan keesaanNya.

Pengajaran perang Ahzab menunjukkan kepada kita bahawa perjuangan Islam pasti akan menghadapi pakatan kuffar untuk menghancurkan Islam dengan apa cara sekalipun. Golongan yang menegakkan agama Allah SWT sentiasa akan diuji dengan serangan yang dilakukan oleh pakatan Ahzab moden yang sangat membenci Islam.

Dunia hari ini memperlihatkan golongan kuffar bersepakat dalam melakukan serangan yang dilakukan kepada Negara ummat Islam. Islam, syariat Islam, serta golongan yang memperjuangkan Islam sentiasa menjadi sasaran mereka.

Tidak banyak bezanya dengan apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan orang orang beriman dizaman dahulu. Jika dahulu Madinah diserang daripada segenap arah, maka kita hari ini juga diserang dari pelbagai arah. Daripada serangan fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya, kebencian golongan kuffar terhadap agama Allah SWT sangat membuak buak dan mereka sentiasa bersedia untuk menghancurkan Islam dan ummatnya pada hari ini.

Tetapi mereka mesti ingat, Allah menjanjikan pertolongan bagi orang-orang beriman dan mengazab musuh-musuhnya. Ini adalah janji yang tidak mungkin diingkari.

Selain dalam peperangan Ahzab, Allah S.W.T juga telah menolong kaum muslimin dalam peperangan-peperangan yang lain seperti yang berlaku didalam peperangan Badar, Uhud dan Khaibar. Sesungguhnya al- Maunah (pertolongan Allah) pasti datang apabila kita ikhlas dalam perjuangan Islam.


ALLAHU AKBAR!Semoga laungan takbir memantapkan tekad menghancurkan ahzab di sepanjang zaman.Salam 'Aidilfitri, Maaf zahir dan batin.

Friday, September 19, 2008

Ramadhan Terakhir...



Bismillah walhamdulillah..Segala puji selayaknya buat Rabbul 'alamin yang memberikan ruang untuk diri ini terus menumpang hidup di dunia yang sementara ini..Syukur juga kerana DIA memberikan ruang masa untuk menitip sesuatu buat renungan bersama...

Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan "Ramadhan Kareem" buat semua.Sekarang kita sudah pun melangkah ke marhalah terakhir iaitu marhalah 'itqu minannaar .Sepuluh malam yang terakhir inilah padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.Moga kita dipertemukan dengan malam tersebut..Insya Allah...

Semoga Ramadhan kali ini benar-benar mentarbiyyah diri kita dan berjaya melahirkan graduan taqwa yang berjaya menempuhi ujian runtunan hawa nafsu dan melalui proses mujahadatunnafsi yang menuntut usaha yang bersungguh-sungguh!

Badar Kubro dan Nuzul quran kali ini agar berlainan daripada tahun-tahun sebelum ini kerana Allah memberikan kesempatan buat diri ini menyambutnya di bumi syarqiyyah, muhafazah Zagazig.Ku bersyukur kepadamu ya Allah kerana berikan peluang yang begitu berharga ini untukku mengutip seribu hikmah yang tersembunyi di sebaliknya..

Bermula dari majlis ifthor di rumah Dr Amal (salah seorang pensyarah patalogi di Universiti Zagazig) sehinggalah bersolat terawikh di Masjid Fatah menjadikan aku insan kerdil di hadapanNya!Sungguh, terima kasih ya Allah kerana memilih aku dan meletakkan aku di jalan ini!Menatap muka adik-adikku yang mengharapkan bimbingan membuatkan aku terlupa seketika resah hati dan bebanan rasa yang berombak uji...Terima kasih ya Allah!

Terasa sayu hati untuk meninggalkan bulan yang penuh barakah ini...Adakah ini ramadahan terakhirku di bumi anbiya' ini ataupun di dunia ini?Sesungguhnya hanya Kau yang mengetahuinya ya Allah!

Saturday, August 16, 2008

Jiwa Merdeka



Selamat menyambut hari kemerdekaan ke-51 kepada seluruh rakyat Malaysia.Adakah erti kemerdekaan ini telah meletakkan kita sebagai orang yang mengecapi kemerdekaan dengan sebenar-benarnya?

Walaupun kita telah memgecapi kemerdekaan selama 51 tahun, tetapi sebenarnya kita masih belum merdeka kerana jiwa dan minda kita masih dijajah..

Inilah yang berlaku kepada umat Islam hari ini, mereka melaungkan kemerdekaan tetapi jiwa dan minda masih lagi dijajah.Kita masih lagi mengimport prinsip dan sistem cipaan manusia yang disangkakan baik dan sesuai, sedangkan pada hakikatnya prinsip dan sistem itu sendiri mengandungi unsur-unsur kehancuran dan keruntuhan, mengandungi unsur-unsur krisis dan kerosakan, unsur-unsur ketumpasan dan keciciran.

Proses pertama selesai dengan menanamkan tamadun barat dan faham kapitalis dalam diri umat Islam.Sebagai akibatnya muncullah penyakit barah dalam bidang kehidupan sosial, ekonomi dan siasah.

Penyakit barah yang telah merosakkan keperibadian umat Islam, mengacau-bilaukan fikirannya, merosakkan akhlaknya dan pada akhirnya menyediakan keadaan kepada umat Islam untuk menerima kekalahan pertama pada tahun 1948.

Walau bagaimanapun pahit pengalaman dan buruknya keadaan yang menimpa tetapi umat Islam masih tetap kekal menjadi tawanan kepada ketumpasan dan keciciran, terikat dengan sentimennya, tertipu oleh slogan-slogan yang palsu dan lahiriah yang mengelirukan.

Inilah yang menyebabkan umat Islam menerima kekalahan buat kali kedua, ketiga dan keempat, kekalahan demi kekalahan.Segala sistemnya yang melaungkan pembangunan, revolusi dan sama rata sama rasa tidak sedikitpun dapat menolak bencana.

Umat Islam keluar dari peristiwa-peristiwa ini dnengan pengalaman yang penuh duka dan menyayat yang mengakibatkan mereka tidak lagi menaruh harapan kepada orang-orang yang cuba memberikan harapan kepada mereka, kepercayaan mereka kepada pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimipin dari berbagai aliran parti turut berkecai.

Apakah umat Islam telah sedar setelah keadaan yang mereka alami ini?
Adakah umat Islam menyedari bahawa kekuatan antarabangsa, baik mana-mana kekuatan sekalipun kesemuanya bersatu untuk menghancurkan mereka?

Adakah umat Islam mengetahui bahawa timur dan barat,kanan dan kiri kesemuanya adalah musuh mereka, menaruh dendam kesumat terhadap mereka dan sentiasa menunggu peluang untuk menumpaskan mereka?

Umat Islam mestilah menyedari bahawa mereka mempunyai keperibadian yang tersendiri, berbeza dari orang lain, keperibadian yang bukan kanan dan kiri, keperibadian yang asli, sifat-sifat dan rupabentuknya bersumberkan Islam sebagai agama fitrah dan risalah fitrah.Berdasarkan kepada keaslian dan perbezaan ini umat Islam adalah mampu untuk memegang tampuk aliran fikiran dan siasah dunia.

(muqaddimah Maza Yakni..)