Saturday, July 28, 2007

KEMUDI HATI



Perasaan Yang Perlu Dipadam

PHD juga disebut sebagai singkatan untuk “perasaan hasad dengki” atau “penyakit hasad dengki”.Tidak seharusnya PHD menjadi penyebab kepada terputusnya ukhuwwah yang dibina sekian lama.Pepatah ada mengatakan “kalau ikut rasa binasa, kalau ikut hati mati”.

Teruskan perjuangan walaupun kekadang menyakitkan.Teruskan kecekalan walaupun kekadang mengharukan.Betapa proses hidup ini memerlukan keluhuran, ketulusan, kejujuran dan kemurnian yang tak pernah padam.

Bara dan nyalakan ia sepanjang zaman.Bersihkan hati nescaya ada titik-titik putih yang bakal digenggam.Teguhkan diri nescaya ada warna-warna jernih yang bakal dimiliki.

Hidup tak lama, itu yang perlu manusia sedari dan insafi setiap waktu.Justeru itu, tidak guna menyimpan dendam, mencorak resah, melingkar iri atau menongkah pedih dalam sanubari.

Sempena bulan-bulan mulia dalam Islam, Rejab-Syaaban-Ramadhan.Kikiskan segala kehitaman, tanamkan sejalur keputihan dalam diri.

Moga segala amalan diterima Tuhan Rabbul Jalil dan hidup manusia dalam kesejahteraan dan kesatuan setiap masa.Ayuh!Padamkan PHD.

Saturday, July 14, 2007

KEMUDI HATI 3

RANJAU PERJUANGAN

Kedinginan malam bersama
rintikan hujan
mengingatkan pada keagungan
Tuhan
Kehidupan pejuang menempuh
dugaan
Gelombang fitnah melanda
berterusan...

Betapa hati pilu, derita
sengsara
Ditohmah dikeji setiap
masa
Merintih sayu mengharapkan
redhaNya
Dalam menegakkan kebenaran
nyata

Perjuangan suci membela
agama
Dipandang sepi penuh
curiga
Ditaburi fitnah yang datang
melata
Jua rintangan yang menghalangnya

Tabahkanlah hatimu
wahai pejuang
ianya ujian
dalam kehidupan
Merupakan pengajaran
Dari Tuhan
Dalam membina insan
bertaqwa...

Monday, July 02, 2007

KEMUDI HATI 2


KEPENTINGAN UKHUWWAH

“Sahabat, jika hari ini aku terlalu gembira, sedarkanlah aku dengan amaran-amaran ALLAH.Jika aku bersedih tanpa kata, pujuklah aku dengan tarbiyyah Pencipta..Jika aku lemah tak berdaya, ingatkanlah aku dengan kehebatan syurga ..Jika antara kita ada tembok yang memisahkan…ajaklah aku meleraikan segera…Jika pernah hatimu terluka, luahkanlah agar aku berubah…dan jika esok aku terlena tanpa jaga iringilah lenaku dengan kalungan doa ..Berjanjilah sahabat, ukhuwwah kita untuk selamanya…”

Imam As Syahid Hassan al Banna dalam Risalah at Ta’lim telah meletakkan rukun ukhuwwah dalam rukun baiahnya dengan berkata : “yang saya maksudkan dengan ukhuwwah (persaudaraan) ialah hati dan jiwa terikat dengan ikatan aqidah.Aqidah merupakan ikatan yang paling kuku dan bernilai.Ukhuwwah adalah saudara iman, sementara perpecahan pula adalah saudara kufur.Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan dan tidak ada perpecahan tanpa kasih sayang.Darjat kasih sayang yang paling rendah ialah kesejahtearaan jiwa terhadap saudara seislamnya dan darjat yang paling tinggi ialah mengutamakan orang lain daripada diri sendiri”

Banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menerangkan tentang betapa pentingnya ukhuwwah ini.Allah SWT berfirman : “dan berpegang teguhlah kamu semuanya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu masa jahiliyyah bermusuh-musuhan maka Allah menjinakkan antara hati-hati kamu lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara”(al-‘Imran: 103)

Rasulullah SAW bersabda : “Tidak beriman seorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri.” (muttafaqun ‘alaih)

Betapa pentingnya persaudaraan ini telah dibuktikan oleh sirah nabawiyyah di dalam hijrah Baginda SAW, muhajirin dan ansar dipersaudarakan oleh Baginda SAW.

1.Jaafar bin Abi Talib dengan Muaz bin Jabal
2.Hamzah bin Abi Talib dengan Zaid bin Harithah
3.Abu Bakar as Siddiq dengan Kharijah bin Zuhair
4.Umar al-Khattab dengan Utbah bin Malik
4.Abdul Rahman bin Auf dengan Saad bin Robi’

Persaudaran ini telah melahirkan hubungan yang sangat kuat melepasi kebangsaan dan perkauman .Kaum Ansar sebagai penduduk tempatan menawarkan bantuan yang sangat banyak lebih banyak daripada jumlah kaum Muhajirin sendiri.Begitulah tingginya martabat keimanan dan ketaqwaan yang dicapai oleh kaum Ansar yang mendapat kepujian dan keredhaan Allah SWT.