Thursday, August 13, 2009

Peranan Ulama' Dalam Perjuangan Kemerdekaan



Kejatuhan Melaka pada 1511 sering dikaitkan dengan bermulanya penjajahan kuasa asing di Tanah Melayu.
Walaupun hakikatnya, Tanah Melayu pernah dijajah oleh Empayar Chola pada 1025-1044, diikuti pula oleh penjajahan Siam Sukhotai ke atas Langkasuka dan Tambralinga pada 1292 yang membawa kepada kejatuhan seluruh Tanah Melayu termasuk Temasik (Singapura) kepada Siam Ayuthia menjelang 1360.

Bagaimanapun, kemunculan Melaka pada 1450 telah memerdekakan semua negeri Melayu sehinggalah Melaka dijajah oleh Portugis pada 1511.
Kejatuhan Melaka telah memulakan perjuangan menuntut kemerdekaan.Soalnya, siapa sebenarnya yang mempelopori perjuangan menentang penjajah itu?

Sebenarnya ulama’lah yang paling banyak memainkan peranan Tanah Melayu semenjak 1511 disamping pahlawan bangsa-bangsa yang lain.
Ketika tercetusnya perang Melaka-Portugis pada 24 Julai 1511, ulama’ telah memainkan peranan besar dalam membangkitkan semangat jihadkepada tentera Islam unutk mempertahankan kemerdekaan tanahair.

Sulalatus Salatin telah merakamkan peranan Maulana Yusof, seorang ulama’ yang menjadi penasihat Sultan Mahmud di Melaka yang mengajarkan ilmu-ilmu agama kepada pembesar di istana.

Ketika perang tercetus, Sultan Mahmud Shah telah memerintahkan supaya dua buah kitab yang menceritakan tentang perang dan jihad dibacakan kepada tentera Melaka.
Kitab tersebut ialah Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhamad Hanafiah yang mengisahkan perjuangan jihad pahlawan Islam.

Hasil nasihat ulama’, Sultan Mahmud Shah mengharapkan tentera Melaka tidak gentar menghadapi Portugis apabila mendengar Hikayat Amir Hamzah dan anaknya, Rastam yang Berjaya mengalahkan Peringgi (Portugis) di Kota Khurasan.

Hasilnya, tentera Melaka berjaya mengalahkan Portugis pada 25 Julai 1511 sebelum tewas dalamserangan ke2 bermula 10 Ogos 1511.
Selepas kekalahan Melaka pada 24 Ogos 1511, Sultan Mahmud dan Hang Nadim yang membina negeri di Johor telah melancarkan enam serangan ke atas Melaka antara 1512-1524.

Di samping serangan Sultan Mahmud ke atas Melaka, seorang ulama’ dari Jawa, Adipati Yunus yang menjadi Sultan Demak telah membentuk gabungan tentera Islam yang dipanggil Gabungan Armada Islam Demak-Banten-Ceribon pada 1512.

Pada 1513, Adipati Yunus dengan kerjasama Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah) salah seorang wali Songo telah mengisytiharkan jihad ke atas Portugis di Melaka.
Adipati Yunus telah menghantar satu pasukan armada laut ke Melaka pada 1513 unutk menghalau Portugis tetapi gagal.

Akibat kekalahan Demak dan pengisytiharan Raja Portugis, Emanuel 1 bahawa penjajahan ke atas Goa dan Melaka adalah unutk menyebarkan Kristian dan merampas kekayaan Timur, telah menarik perhatian kerajaan Uthmaniah Istanbul.

Sultan Salim 1 telah mengumumkan bahawa Istanbul akan menghantar armada lautnya untuk membebaskan Melaka daripada penjajahan Kuffar.
Pengumuman ini adalah lanjutan bantuan meriam bedil yang disalurkan oleh Istanbul ke Melaka melalui Hang Tuah pada 1482 dalam persiapan Melaka menghadapi ancaman musuh termasuk Portugis.

Pada 1521, Adipati Yunus telah mengetuai sendiri satu armada dengan 375 buah kapal perang dari Demak ke Melaka.
Dalam ekspedisi ini, adipati Yunus telah Berjaya mengepung Portugis sehingga musuh terpaksa mengadakan catuan makanan.

Walaubagaimanapun, Adipati Yunus dan dua puteranya syahid setelah Portugis mendapat bantuan Goa’ India.
Fatahillah kemudian mengambil alih tugas panglima perang ini, kerana jihad inilah Adipati Yunus dikenal sebagai Pangeran Sabrang Lor iaitu putera yang menyenberang Laut Jawa ke Melaka.
Selepas syahidnya Adipati Yunus di Melaka pada 1521, Acheh yang mula terkenal sebagai pusat keilmuan Islam telah melancarkan dua serangan ke atas Portugis pada 1537 dan 1547.

p/s:Mudahan-mudahan Hari Kemerdekaan yang jatuh dalam bulan Ramadhan yang mulia ini disambut dengan penuh keinsafan dan kesedaran di samping mengenang jasa pejuang terdahulu yang mengorbankan nyawa mereka untuk membebaskan tanahair tercinta ini daripada cengkaman penjajah...

1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum ustazah, saya minta izin copy artikel ni.