Sunday, January 15, 2012

Sultan Muhammad Al Fateh wajib dicontohi oleh pemimpin Islam masakini


Oleh: kamal_hasan

"Pada 1453, Selepas berjaya menakluki Konstantinople, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam? Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya: “Siapakah antara kamu yang pernah meninggal solat fardhu setelah baligh, sila duduk.”

Sultan Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinople) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat diTurkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinople.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata:“Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”
Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki dan ‘membuka’ Konstantinople yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja perwira yang mahu diri mereka memenuhi maksud hadis Nabi itu. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai kempen ketenteraan dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok Konstantinople. Konstantinople yang berada dalam Empayar Byzantine ini sangat penting kerana ia merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Runtuh sahaja pintu Eropah, bermaksud mudahlah untuk sesiapa sahaja menerobos ke luarsana.

Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad saw itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh. Namun kita kena memahami satu perkara, iaitu Konstantinople dibuka sekurang-kurangnya dua kali. Sultan Muhammad al-Fateh ialah pembuka yang pertama manakala pembuka utamanya akan datang tidak lama lagi. Bahagian ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah nanti.

Seorang sahabat Nabi bernama Abu Ayyub al-Ansari menemui kesyahidannya berhampiran tembok kota Konstantinople. Dia melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah saw memberitahu bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Dia berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinople, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.

ZAMAN KECIL
Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) seorang yang soleh, handal dalam perang jihad dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad jadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.
Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Hal ini menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.
Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah aliran Asha’irah dan bermazhab Hanbali itu sangat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Peribadi yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar. Dia bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu. Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad, bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinople tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian itu.

ZAMAN REMAJA
Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah daulah Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad ada urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah dia secara rasminya menjawat jawatan khalifah. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.

ZAMAN DEWASA
Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri 25 kali kempen ketenteraan sepanjang hidupnya. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan ketika tentera Islam membina Benteng Rumeli Hisari, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan.
Sultan Muhammad sangat gemar mengenakan serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu tidak lain ialah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka kepada syahid pada bila-bila masa dan tentunya kecintaan kepada sunnah. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu mengenakan serban.
Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga mahagurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap mahu bapanya ke medan juang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah: “Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.” Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.

PEMBUKAAN KONSTANTINOPLE
Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinople, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Dia belajar daripada sejarah yang menyaksikan sekian banyak kegagalan tentera Islam terdahulu dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kotaberlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan. Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.
Tentera Islam tiba di Konstantinople dengan jumlah lebih kurang 250,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, moral tentera musuh sudah menjunam jatuh. Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinople ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.
Sultan Muhammad yang berusia 21 tahun dan tenteranya tiba di Konstantinople pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinople masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.
Satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa. Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh melompat masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.

Sudah berlalu 53 hari namun Konstantinople tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan tekad muktamad dia memberikan ucapan : “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!” Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate dan 30 orang perajurit menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu membuatkan tentera Islam ‘naik syeikh’. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinople tunduk melutut ke bawah tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya berjaya mendapatkan syahid. Allahu Akbar!
Konstantinople ialah kubu utama Kerajaan Byzantine. Kerajaan Byzantine lemah lalu akhirnya hancur selepas kota ini jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan Keseluruhannya”. Nama Islambol diubah pula kepada “Istanbul” oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk, Bapa Pemodenan Turki. Gereja St Sophies ditukar oleh Sultan Muhammad menjadi masjid, iaitu Masjid Aya Sophia. Sekarang dijatuhkan maruahnya sebagai sekadar sebuah muzium. Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia,Serbia, Albani dan sekitarnya.

JUMAAT BERSEJARAH
Selepas berjaya menakluki Konstantinople, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam? Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya: “Siapakah antara kamu yang pernah meninggal solat fardhu setelah baligh, sila duduk.”
Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fardhu. Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera. “Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.”.Sebahagian daripada tenteranya duduk. “Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.” Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan pemerintah besar ini tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak dia cukup umur. Alangkah hebatnya peribadi seorang pemimpin sebegini!Ada lagikah pemimpin umat Islam yang sebegini?

AKHIR HAYAT
Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hurkascayiri, Gebe. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun.Siapa yang meracunnya? Seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa.
Wallahu a’lam.
http://silverheritage.blogspot.com/"


Sunday, January 08, 2012

Kemenangan Besar Ikhwan Menggerunkan Amerika - Israel


Mohd Rashidi Hassan

"Keputusan ini lebih buruk dari apa yang kita ramalkan," kata Pegawai Kanan Keselamatan Israel seperti yang dipetik dari akhbar harian Yahudi Yedioth Ahronoth.

Beliau merujuk kepada kemenangan besar puak Islam yang didominasi Ikhwan Muslimin dan Salafi dalam Pilihan Raya Umum Mesir pada pusingan pertama.

Kemenangan ini juga amat mengejutkan Amerika Syarikat yang terpaksa menghantar delegasi peninjau untuk bertemu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir. Tindakan ini dibantah sebahagian besar rakyat Mesir, yang dianggap sebagai satu usaha negara polis dunia itu untuk campur tangan dalam PRU Mesir.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi amaran beliau bahawa akan berlaku 'Arab Spring' di Mesir yang ia bakal merebak ke seluruh negara Arab. Lebih buruk lagi bagi Israel kata Netanyahu, ianya akan menjadi 'Iranian Winter' iaitu seperti revolusi Iran tahun 1979, yang memburukkan hubungan Arab-Israel.

Dalam ucapannya kepada Knesset (Parlimen Israel) bulan lepas, Netanyahu berkata, "Pada bulan Februari, apabila berjuta rakyat Mesir berdemontrasi di Kaherah, ada kalangan pemimpin Israel yang berkata, kita akan menghadapi era liberalisasi dan progres."

Kebimbangan Netanyahu itu ditegaskannya kerana beliau tahu bahawa kebanyakan rakyat Mesir tidak menerima kewujudan Israel, dengan perasaan anti-Zionis dan anti-Semitic yang begitu subur di negara Arab itu.

Selama ini pun, Israel dapat hidup dengan selesa, kerana mereka mempunyai hubungan yang akrab dengan bekas diktator Presiden Hosni Mubarak yang digulingkan rakyat Mesir.

Kebimbangan Israel bukan hanya setakat perkembangan di Mesir sahaja. Mereka terpaksa menganalisis dengan terperinci kebangkitan Islam di Tunisia, Libya dan Maghribi, di mana, satu persata ketua-ketua negara Arab yang lunak dengan mereka tumbang.

Keputusan rasmi PRU peringkat pertama

Ikhwan Muslimin dengan partinya Parti al-huriyyah wal Adalah (PJF) dan pakatan tahalufnya bersama 10 komponen parti-parti lain yang dikenali sebagai tahaful demokrasi, menang bergaya dengan menguasai 80 daripada 166 kerusi yang dipertandingkan.

Sebanyak 36 kerusi diperolehi dari kerusi individu dan 44 kerusi secara berkumpulan. Parti an-Nur Assalafi mendapat kerusi kedua terbanyak selepas PJF dangan memperoleh sebanyak 33 kerusi (6 individu, 27 berkumpulan).

PJF akan membuat kerajaan campuran sekiranya mendapat mejoriti mudah dalam pilihan raya kali ini yang akan dijangka tamat pada awal Januari 2012.

Parti-parti Islam mendapat undi percaya rakyat Mesir pada pilihan raya kali ini berbanding parti yang beraliran liberal dan sekular. Media massa menguatkan propaganda dengan memburuk-burukkan parti-parti pro Islamis kepada golongan Kristian dan masyarakat pertengahan setelah melihat banyak kerusi yang dimenangi pro Islam.

Isu undang-undang Islam, hudud,pelancongan, kebebasan berpakaian, isu kebebasan agama, hubungan luar dan ekonomi cuba diapi-apikan didalam sekmen bincang politik saluran-saluran media. Akan tetapi, semuanya dapat dijelaskan dengan baik oleh wakil-wakil parti seterusnya menyakinkan pengundi untuk terus menyokong mereka membentuk kerajaan.

Yang paling menarik, calon beragama Kristian yang pertama mendapat kerusi di parlimen Mesir adalah dari Parti al-Karamah yang bertahaluf bersama PJF. Calon tersebut menang di kerusi berkumpulan atas tiket Parti al-Huriyyah wal Adalah. PJF juga telah berjaya menempatkan wanita pertama di kerusi parlimen Mesir dan seterusnya menafikan Ikhwan Muslimin mendikriminasikan Kristian dan kaum wanita dalam menguruskan negara. Dewan Rakyat Mesir dijangka akan bersidang pada bulan Mac 2012 nanti.

Pecahan 112 kerusi yang dimenangi secara berkumpulan seperti berikut:

- Parti al-Huriyyah wal Adalah, 44 kerusi
- Parti an-Nur Assalafi, 27 kerusi
- Kerusi berbaki dikongsi oleh 8 parti lain seperti;
o Parti Alwafd
o Parti Almisriyyin Alahrar
o Parti Aladl
o Parti Attajammuk
o Parti Misr alQaumy
o Parti Alhuriyyah
o Parti Almuwaten Almisry
o Parti Misry Alhurrah

56 kerusi Individu seperti berikut:

- Parti al-Huriyyah wal Adalah 36 kerusi
- Parti an-Nur Assalafi 6 kerusi
- Parti Alwafd satu kerusi
- Parti Almisriyyin Alahrar satu kerusi
- Parti Aladl satu kerusi
- Parti Attajammuk satu kerusi
- Parti Misr alQaumy satu kerusi
- Parti Alhuriyyah satu kerusi
- Parti Almuwaten Almisry satu kerusi
- Calon bebas 5 kerusi
- (2 kerusi masih menuggu untuk dipertandingkan semula )

Fakta PRU Mesir peringkat pertama

- Melibatkan 9 buah Negeri dari 27 buah negeri ( Kaherah, Port Said, Dumyat, Bahr Alahmar, Assuit, Kafr Syiekh, Alfoyyoum, Luxor dan Iskandariah )
- Mewakili 13.5 juta pengundi
- Mempetaruhkan sebanyak 166 kerusi parlimen ( 2/3 atau 112 kerusi berkumpulan & 1/3 atau 56 kerusi individu ).
- 2 kerusi daerah pertama di Kaherah dibatalkan dan akan diadakan pilihan raya semula

Memilih Tempat Untuk Mati


Siapakah yang mampu melawan takdir saat malaikat Izrail sudah 'ditugaskan' untuk mengambil nyawa yang dipinjam. Banyak ceritera tentang kematian namun hanya beberapa minit ia terkesan di hati kecil. Kita tidak tahu, 'makwe pakwe' kita pun tidak tahu, ibubapa kita tidak tahu, kawan kita juga tidak tahu. Tiada siapa tahu ajal masing-masing. Hanya Allah yang tahu.

Justeru, ingatlah kematian yang menanti. Bukan mengejar dan mengutamakan dunia lebih daripada akhirat.

Siapa yang tidak lupa kubur dan kerosakan serta meninggalkan kelebihan daripada perhiasan dunia?
Siapa yang mengutamakan benda kekal daripada benda sementara dan rosak?
Siapa yang tidak menghitung harinya dan menganggap dirinya daripada golongan mati?

Buat renungan bersama.

Nabi Muhammad SAW bersabda :

"Andaikan dunia ini di sisi Allah SWT menyamai nilai satu sayap nyamuk maka tidak akan diberikan kepada orang kafir walau seteguk air."

Syahr bin Hausyab dari Abdurrahman bin Usman berkata :

Pada suatu malam Nabi Muhammad SAW sembahyang subuh di tempat pembuangan kotoran, maka melihat ulat bergerak dalam kotoran, maka Nabi Muhammad SAW menghentikan untanya menantikan orang-orang, lalu bertanya kepada orang-orang tersebut"Apakah kamu mengetahui bahawa orang-orang di tempat ini jijik terhadap ulat ini?" Jawab mereka: "Benar, ya Rasulullah."

Maka Nabi Muhammad SAW bersabda :

"Demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, sesungguhnya dunia ini lebih rendah (hina) di sisi Allah SWT melebihi dari hinanya ulat terhadap orang-orang yang mempunyai tempat ini."

Seorang mukmin meskipun adakalanya mewah dengan nikmat, tetapi jika dibandingkan dengan nikmat dan kemewahan yang disediakan untuknya di syurga, maka seolah-olah ia berada di dalam penjara.

Nabi Muhammad SAW bersabda :

"Dunia sebagai penjara bagi orang mukmin dan kubur bagaikan bentengnya dan syurga tempat tinggalnya. Dan dunia ini sebagai syurga bagi orang kafir sedang kubur sebagai penjaranya dan neraka tempat tinggalnya."

Sebab seorang mukmin jika mati dan diperlihatkan kepadanya syurga dan kemuliaan yang ada di dalamnya, ia sedar bahawa selama di dunia seolah-olah berada di dalam penjara.Sedang seorang kafir jika mati dan diperlihatkan kepadanya hukuman-hukuman dalam neraka, maka ia merasakan bahawa ia tadi berada di dalam syurga.

Kerana itu seorang yang berakal tidak akan merasa gembira dalam penjara dan tidak akan mencari kesenangan dalam penjara. Maka seorang yang berakal harus perhatikan apa yang telah dijelaskan Allah SWT mengenai dunia dalam ayat-ayat Al-Quran, sebab dalam ayat Al-Quran dan sabda Nabi Muhammad SAW cukup perumpamaan yang jelas supaya orang mukmin jangan tertipu oleh dunia.

Fikirkan Surah Yunus Ayat 24 :

"Sesungguhnya perumpamaan kerosakan dunia ini bagaikan air yang Kami turunkan dari langit maka meresap kedalam tanah dan menumbuhkan makanan orang-orang dan binatang-binatang, sehingga apabila bumi ini telah berhias dengan segala hasilnya dan indah dan pemiliknya telah mengira ia sangat berkuasa atasnya, tiba-tiba datang seksa Allah di waktu malam atau siang hari, maka jadilah semua itu terketam habis, seakan-akan tidak ada apa-apa sejak kelmarinnya. Demikianlah contoh dunia ini. Kami jelaskan bagi orang-orang yang suka berfikir dan memperhatikan."

Yahya bin Mu'adz Arrazi pernah berkata :

"Dunia ini bagaikan ladang Tuhan Rabbul a'lamin dan manusia sebagai tanamannya sedang maut itu sebagai cangkulnya. Dan Malakulmaut itu sebagai pengetamnya dan kubur sebagai lombongnya dan kiamat sebagai lesungnya dan syurga atau neraka tempat pemuasnya, sebahagian syurga dan sebahagian dalam neraka Sa'ir."

Luqmanul hakim berkata kepada puteranya:

"Hai anak, sesungguhnya dunia ini adalah lautan yang sangat dalam dan telah tenggelam di dalamnya kebanyakan manusia, kerana itu jadilah perahu di dunia ini taqwa kepada Allah SWT"

Bermakna, andai muatan perahu kita adalah taqwa, maka kita akan selamat daripada lautan fitnah dunia. Pilihlah tempat untuk mati dengan biasakan kaki melangkah ke tempat-tempat beribadah. Belajar itu ibadah. Bekerja itu ibadah. Solat itu ibadah. Segala amalan kita adalah ibadah asalkan niat lillahi taala dan kena caranya.

Fitnah Terhadap Daie Sejuta Ummah


1.Tika belayar di Teluk Cyber, saya menemui terlalu banyak karang fitnah dalam 1001 wajah. Rupanya Teluk Cyber ini tidak kurang juga bahaya berbanding di maya pada. Terbaru karang fitnah yang terbentuk ialah fitnah ke atas Al Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Tanpa sebarang bukti, jauh sekali menepati dari garis adab berkhilaf dan mengkritik, Al Fadhil Ustaz Azhar dibelasah secukupnya.

2. Sebahagiannya fitnah itu digerakkan oleh mereka yang berilmu jika dinilai secara zahir cara karang fitnah itu terbentuk ditengah - tengah pusaran Teluk Cyber ini.

3. Lebih menarik apabila apabila karang fitnah ini terbentuk setelah terbentuknya satu gelombang besar dalam negara kita. Gelombang yang membentuk fenomena Azhar Idrus. Khasnya anak - anak muda, kini masyarakat mula menggilai kuliah dan majlis ilmu melewati fenomena ini. Arus yang dibawa menenggelamkan populariti semua ustaz selebriti dan lainnya.

4. Apakah mereka turut dilanda mazmumah ? hasad dan dengki dengan populariti yang diraih oleh Al Fahdil Ustaz Azhar Idrus ? lalu mencipta karang fitnah ? Sewaktu dunia belum dilanda arus dan gelombang Ustaz Azhar Idrus, karang fitnah ini tidak pernah wujud.

5. Sebagai manusia, saya sendiri tidak boleh menafikan bahawa kita terdedah kepada pelbagai kelemahan dan kesilapan, ustaz Azhar juga tidak terkecuali. Namun ia boleh dibaiki dan diperbetulkan, bukan dengan membunuh karektor dan menimbulkan fitnah.

6. Al Fadhil Ustaz Azhar adalah Ikon Anak Muda yang diaugerahkan tokoh tersebut oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia sempena Muktamar DPPM tempohari. Sungguhpun penganugerahan tokoh itu tidak membawa gelaran Dato' atau Tan Sri kepada Ustaz Azhar, namun Ustaz Azhar terus hebat dengan karektornya yang tersendiri sebagai seorang Daei Sejuta Ummah.

7. Memfitnahnya bukan satu langkah yang bijak dan baik, malah tidak sedikitpun menjejaskan reputasinya sebagai seorang pendakwah luar biasa yang diminati ramai. Terbaru gelombang tercetus di Dataran Kemerdekaan Shah Alam sempena count down tahun baru. Anggaran hadhirin mencecah 70 - 75 ribu orang dan kebanyakkannya terdiri dari anak - anak muda, malah menenggelamkan juga aktiviti di Dataran I City pada malam tersebut.

8. Ustaz Azhar kini menjadi aset bernilai kepada masyarakat dengan pendekatan dakwahnya yang mampu menarik puluhan ribu hadhirin dalam satu masa. Layaknya potensi ini dimanafaatkan oleh masyarakat untuk mengembalikan semula era kegemilangan menuntut ilmu setelah seketika dulu dalam era 80an, gelombang serupa dicetuskan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang berpangkalan di Masjid Rusila dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Dewan Zulkifli Kota Bharu.

9. Perbuatan menabur fitnah dan menyerang peribadi Ustaz Azha adalah perbuatan yang tidak baik dan saya menasihati semua pelayar di Teluk Cyber ini agar berhati - hati dan tidak terlanggar karang fitnah tersebut. 10. Kepada Al Fadhil Ustaz Azhar, saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan tahniah buat beliau dan usahlah patah semangat dan ambil pusing terhadap fitnah murahan yang dilemparkan oleh golongan penghasad ini. Kami doakan agar beliau terus thabat dan sabar meneruskan kerja - kerja dakwah khasnya dalam mendekati anak muda agar mereka kembali bersama perjuangan Islam.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tuesday, December 13, 2011

Doa Rabitah Hati


YA ALLAH,

Engkau mengetahui hati-hati ini,

Telah berkumpul kerana mengasihi-Mu,

Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu,

Bersatu memikul beban dakwah-Mu,

Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu,

Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,

Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,

Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,

Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini,

Akan jalan-Nya yang sebenar,

Penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu,

Yang tidak kunjung malap,

Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan Iman dan keyakinan,

Dan keindahan tawakkal kepada-Mu,

Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu,

Jika Engkau mentakdirkan mati,

Maka matikanlah pemilik hati-hati ini,

Sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu,

Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong,

YA ALLAH,

Perkenankanlah permintaan ini."

Doa rabitah hati. Siapa yang tidak tahu? Malah ramai yang sudah menghafalnya. Setiap hari dilafazkan bersama-sama. Jika yang tinggal di asrama, akan baca beramai-ramai selepas solat berjemaah.

Kadang-kadang dibaca setiap kali mengakhiri sesuatu majlis ilmu. Doa yang sepatutnya mengikat hati-hati kita. Doa yang sepatutnya mengajar kita erti ukhwah. Doa yang sepatutnya membuahkan rasa rindu pada kita pada perjuangan di jalan Allah S.W.T.

Namun, tidak ramai yang sedar betapa besarnya erti doa ni. Malah kesannya juga seolah-olah tiada. Mengapa?

Mungkin tidak Faham maksud? Mustahil. Kerana ramai juga yang sudah lama berada di dunia tarbiyah, sudah bedah maksud doa ini. Namun kesannya tetap negatif. Di mana salahnya?

Mungkin pada dosa-dosa lama, atau karat-karat jahiliah yang masih malas hendak dibuang itu menghalang hati-hati kita dari keindahan kesan doa ini?

Atau hati kita sendiri tidak pernah hadir setiap kali membaca doa ini?

Mulut melafazkannya namun hati, fikiran pada urusan dunia yang tidak akan pernah habis?

Mungkin juga dalam tidak sedar, kita sebenarnya adalah robot yang membuat kitaran bodoh?

Kerana sudah menjadi kebiasan membaca doa ini, tetapi tidak pernah mengambil masa mendalami maksudnya?

Ya Allah.

Bukan tidak pernah melihat orang yang hari-hari duduk sama-sama membaca doa rabitah hati, namun apabila habis tidak pernah bertegur sapa. Ada juga orang yang hari-hari duduk sama-sama membaca doa ini, tetapi perasaan benci, hasad dan iri hati tetap ada dalam hati masing-masing. Apabila duduk dalam majlis ilmu, boleh duduk berlaga lutut, tetapi di luar majlis ilmu, saling berselisih bahu, menjeling seperti singa lapar.

Bukankah doa ini sepatutnya menjadi medium untuk kita merapatkan ukhwah?

Bukankah doa ini sepatutnya menjadi medium untuk kita buang segala perasaan tidak baik itu?

Bukankah doa ini sepatutnya menjadi semangat bagi para daie setiap kali melafazkannya?

Bukankah doa ini sepatutnya menjadi peringatan buat kita bahawa kita sama-sama pernah berjanji untuk memperjuangkan agama Allah S.W.T?

Namun, mengapa apabila di luar, tatkala saudara-saudara kita semakin menjauh dari jalan Allah S.W.T, kita buat tidak kisah?

'Kubur lain-lain', kata kita. Mana janji-janji yang dilafazkan untuk sama-sama berjuang?

Mana hilang rasa keterikatan hati kita?

Mana pergi rasa kasih dan cinta 'ukhwah fillah' yang kita lafazkan selama ini?

Bukankah jika benar doa rabitah hati yang kita baca itu berkesan, hati-hati kita akan saling terikat?

Apabila jauh rasa rindu untuk sama-sama duduk berlaga lutut mendengar kisah Allah S.W.T.

Apabila dekat terasa seolah-olah tidak mahu berpisah, seronok sama-sama berzikir.

Apaila terpesong sama-sama mengingatkan agar kembali ke jalan Allah S.W.T.

Adakah perasaan itu sudah ada dalam hati kita wahai hamba yang saling berjanji setia?

Jika doa itu berkesan pada kita, Allah S.W.T yang akan menyatukan hati kita. Allah S.W.T sudah berjanji bukan?

"Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (surah Al-Anfal: ayat 63)

Dakwah ini tidak mudah, seperti kata 'saff-one' dalam lagunya Perjuangan.

Perjuangan itu gerun dan mengerikan,

Hebat dan dasyat menggerukkan hati,

Bagi mukmin di sini harga dan nilainya,

Perjuangan itu bagai sampan di laut,

Di atas lapang tiada perlindungan,

Di bawa air melambung dan menggunung,

Menongkah gelombang yang datang melanda,

Kiri kanan depan dan belakang,

Angin yang menderu tidak tahu bila datang,

Hujan badai yang datang menyerang,

Bak singa yang lapar yang garang,

Kadang-kadang terdampar di batu karang

Penumpang menerima nasib berlainan,

Ada yang jatuh ada yang tenggelam,

Yang pandai berenang berpaut ke sampan,

Ada yang berjaya berenang ke tepian,

Sekali lagi dia melayar sampan,

Walau pelayaran mungkin tidak berjaya,

Namun harapnya hanya pada yang Esa.

Kerana itu pentingnya hati-hati kita ini saling terikat. Agar sama-sama hebat berjuang di jalan Allah S.W.T.

Allah S.W.T menyukai orang-orang yang berjuang di jalannya dalam satu barisan yang tersusun, kerana Allah S.W.T tahu payahnya perjuangan ini, Allah S.W.T tidak suruh kita berjuang seorang diri.

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh"(surah As-Saf: ayat 4)

Sangat indah jika kita sama-sama dapat rasa keterikatan hati yang Allah berikah pada muslim yang sejati itu bukan?

Kata Imam Nawawi:

"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu. Jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah kecintaanku padamu."

kata aku,

"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu. Jika kau hilangkan agama dalam dirimu, akan ku bimbing kembali dirimu supaya kita dapat bersama-sama rasa indahnya Syurga."

DAKWAH ITU CINTA DAN CINTA AKAN MEMINTA SEMUANYA DARIMU.

-Artikel iluvislam.com