YA ALLAH,
Engkau mengetahui hati-hati ini,
Telah berkumpul kerana mengasihi-Mu,
Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu,
Bersatu memikul beban dakwah-Mu,
Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini,
Akan jalan-Nya yang sebenar,
Penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu,
Yang tidak kunjung malap,
Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan Iman dan keyakinan,
Dan keindahan tawakkal kepada-Mu,
Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu,
Jika Engkau mentakdirkan mati,
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini,
Sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu,
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong,
YA ALLAH,
Perkenankanlah permintaan ini."
Doa rabitah hati. Siapa yang tidak tahu? Malah ramai yang sudah menghafalnya. Setiap hari dilafazkan bersama-sama. Jika yang tinggal di asrama, akan baca beramai-ramai selepas solat berjemaah.
Kadang-kadang dibaca setiap kali mengakhiri sesuatu majlis ilmu. Doa yang sepatutnya mengikat hati-hati kita. Doa yang sepatutnya mengajar kita erti ukhwah. Doa yang sepatutnya membuahkan rasa rindu pada kita pada perjuangan di jalan Allah S.W.T.
Namun, tidak ramai yang sedar betapa besarnya erti doa ni. Malah kesannya juga seolah-olah tiada. Mengapa?
Mungkin tidak Faham maksud? Mustahil. Kerana ramai juga yang sudah lama berada di dunia tarbiyah, sudah bedah maksud doa ini. Namun kesannya tetap negatif. Di mana salahnya?
Mungkin pada dosa-dosa lama, atau karat-karat jahiliah yang masih malas hendak dibuang itu menghalang hati-hati kita dari keindahan kesan doa ini?
Atau hati kita sendiri tidak pernah hadir setiap kali membaca doa ini?
Mulut melafazkannya namun hati, fikiran pada urusan dunia yang tidak akan pernah habis?
Mungkin juga dalam tidak sedar, kita sebenarnya adalah robot yang membuat kitaran bodoh?
Kerana sudah menjadi kebiasan membaca doa ini, tetapi tidak pernah mengambil masa mendalami maksudnya?
Ya Allah.
Bukan tidak pernah melihat orang yang hari-hari duduk sama-sama membaca doa rabitah hati, namun apabila habis tidak pernah bertegur sapa. Ada juga orang yang hari-hari duduk sama-sama membaca doa ini, tetapi perasaan benci, hasad dan iri hati tetap ada dalam hati masing-masing. Apabila duduk dalam majlis ilmu, boleh duduk berlaga lutut, tetapi di luar majlis ilmu, saling berselisih bahu, menjeling seperti singa lapar.
Bukankah doa ini sepatutnya menjadi medium untuk kita merapatkan ukhwah?
Bukankah doa ini sepatutnya menjadi medium untuk kita buang segala perasaan tidak baik itu?
Bukankah doa ini sepatutnya menjadi semangat bagi para daie setiap kali melafazkannya?
Bukankah doa ini sepatutnya menjadi peringatan buat kita bahawa kita sama-sama pernah berjanji untuk memperjuangkan agama Allah S.W.T?
Namun, mengapa apabila di luar, tatkala saudara-saudara kita semakin menjauh dari jalan Allah S.W.T, kita buat tidak kisah?
'Kubur lain-lain', kata kita. Mana janji-janji yang dilafazkan untuk sama-sama berjuang?
Mana hilang rasa keterikatan hati kita?
Mana pergi rasa kasih dan cinta 'ukhwah fillah' yang kita lafazkan selama ini?
Bukankah jika benar doa rabitah hati yang kita baca itu berkesan, hati-hati kita akan saling terikat?
Apabila jauh rasa rindu untuk sama-sama duduk berlaga lutut mendengar kisah Allah S.W.T.
Apabila dekat terasa seolah-olah tidak mahu berpisah, seronok sama-sama berzikir.
Apaila terpesong sama-sama mengingatkan agar kembali ke jalan Allah S.W.T.
Adakah perasaan itu sudah ada dalam hati kita wahai hamba yang saling berjanji setia?
Jika doa itu berkesan pada kita, Allah S.W.T yang akan menyatukan hati kita. Allah S.W.T sudah berjanji bukan?
"Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (surah Al-Anfal: ayat 63)
Dakwah ini tidak mudah, seperti kata 'saff-one' dalam lagunya Perjuangan.
Perjuangan itu gerun dan mengerikan,
Hebat dan dasyat menggerukkan hati,
Bagi mukmin di sini harga dan nilainya,
Perjuangan itu bagai sampan di laut,
Di atas lapang tiada perlindungan,
Di bawa air melambung dan menggunung,
Menongkah gelombang yang datang melanda,
Kiri kanan depan dan belakang,
Angin yang menderu tidak tahu bila datang,
Hujan badai yang datang menyerang,
Bak singa yang lapar yang garang,
Kadang-kadang terdampar di batu karang
Penumpang menerima nasib berlainan,
Ada yang jatuh ada yang tenggelam,
Yang pandai berenang berpaut ke sampan,
Ada yang berjaya berenang ke tepian,
Sekali lagi dia melayar sampan,
Walau pelayaran mungkin tidak berjaya,
Namun harapnya hanya pada yang Esa.
Kerana itu pentingnya hati-hati kita ini saling terikat. Agar sama-sama hebat berjuang di jalan Allah S.W.T.
Allah S.W.T menyukai orang-orang yang berjuang di jalannya dalam satu barisan yang tersusun, kerana Allah S.W.T tahu payahnya perjuangan ini, Allah S.W.T tidak suruh kita berjuang seorang diri.
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh"(surah As-Saf: ayat 4)
Sangat indah jika kita sama-sama dapat rasa keterikatan hati yang Allah berikah pada muslim yang sejati itu bukan?
Kata Imam Nawawi:
"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu. Jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah kecintaanku padamu."
kata aku,
"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu. Jika kau hilangkan agama dalam dirimu, akan ku bimbing kembali dirimu supaya kita dapat bersama-sama rasa indahnya Syurga."
DAKWAH ITU CINTA DAN CINTA AKAN MEMINTA SEMUANYA DARIMU.
No comments:
Post a Comment