Tuesday, July 26, 2011

Jaulah Tarbawiyyah


Alhamdulillah segala puji-pujian selayaknya untuk Rabbul 'Alamin, selawat dan salam untuk Rasul tercinta, Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya dan para sahabatnya.

Alhamdulillah dengan izin Allah juga, dapatlah mengikuti jaulah ke Yayasan Al-Jenderami bagi sama-sama menyambut Hol Saidatina Khadijah r.a yang terletak di Jenderam Hilir, Dengkil Selangor bersama dengan muslimat Mersing pada 24hb Julai baru-baru ini .Rombongan kami bertolak seawal jam 6.30pagi dan selamat sampai pada jam 12.30 tengahari.

Sambutan Hol Saidatina Khadijah r.a bermula seawal jam 2.30 petang dengan bacaan manakib oleh pelajar Madrasah Nafisah Lilbanat beserta dengan qasidah yang cukup menyentuh nubari ini.Tidak terasa butir-butir jernih terbit dari kolam airmata ini apabila mengimbau kembali kehidupan Saidatina Khadijah r.a dalam mempertahankan Islam bersama baginda ar Rasul.Sungguh besar jasa dan pengorbananmu ya Khadijah!Engakaulah suri tauladan yang patut menjadi ikon kepada muslimah zaman ini..

Majlis diteruskan lagi dengan tausiyyah daripada as Syeikh Abd Razak Al Misri dan disambung semula dengan bacaan yasin dan tahlil.Pada sebelah malamnya, kami mendengar tazkirah daripada Habib Kazim b Ja'far as Segaff Hadramaut, Yaman, Habib Omar Abd Rahman al Jiffry,Madinah al Munawwarah dan al Mukarram Habib Hasan Muhammad al Attas dengan diiringi bacaan qasidah, maulid dan ratib al Attas.

Terasa tidak sedar masa berlalu begitu pantas, sudah tiba masanya kami meninggalkan bumi al Jenderami.Insya Allah, akan bertandang lagi untuk menyuci nubari...

Tuesday, July 19, 2011

Perginya Seorang Srikandi Islam...


Salam takziah ditujukan kepada seluruh ahli keluarga almarhumah YB Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali atas pemergian beliau pada pukul 10.45 malam (17 Julai 2011) di Hospital Selayang. Al-fatihah untuk srikandi mujahidah. Semoga arwah ditempatkan bersama kekasih-kekasih Allah...

Sunday, July 17, 2011

Ahlan Ya Ramadhan

“Ya Allah Sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

Telah berlalu hari, minggu, dan bulan. Sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan, dan rahmat. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman; Allahumma Ballighna Ramadhan. Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul s.a.w.

Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).
Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik dengan tema yang agung ini; Allahumma Ballighna Ramadhan. Kesannya, mereka menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan menharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula disi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Saudara yang mulia, bagaimanakah halnya kita?

Allahumma Ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang salih bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan.

Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini.

Persediaan

Cara

Iman

1. Taubat yang benar (Istighfar, meninggalkan maksiat).

2. Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan.

3. Perbanyakkan puasa di bulan Sya’ban (Isnin-Khamis, 15-16-17).

4. Membaca Al-Quran (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).

5. Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).

6. Berzikir setiap masa, Al-Mathurat pagi dan petang (penggunaan tasbih sangat membantu).

Ilmu

1. Membaca/belajar buku Feqah Puasa dengan lengkap beserta kelebihan, rahsia, dan tafsiran ayat Al-Quran yang berkait dengan puasa.

2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.

3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.

4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmun di bulan Ramadhan.

Dakwah

1. Bersedia untuk memberi tazkirah/ceramah tentang kelebihan dakwah di bulan Ramadhan.

2. Menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid samada sebagai penceramah atau pendengar.

3. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan untuk Ramadhan.

4. Memberi hadiah Ramadhan kepada rakan-rakan dengan tujuan mendekatkan diri dan mereka kepada Allah.

5. Menyediakan risalah/majalah kecil untuk jiran-jiran tentang persediaan menyambut Ramadhan.

Keluarga

1. Membuat persediaan bersama seluruh ahli keluarga untuk menyambut Ramadhan terutama dari aspek iman dan ilmu.

2. Membaca buku berkaitan Ramadhan bersama-sama.

Keazaman

1. Membuka lembaran amalan baru yang jauh lebih baik.

2. Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.

3. Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.

4. Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya seperti mengumpat.

5. Sentiasa berlapang dada.

6. Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.

Jihad

1. Merealisasikan matlamat ‘Bersungguh-sungguh melawan nafsu’.

2. Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (makan, pakaian, tidur).

3. Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.

4. Menahan syahwat dari perkara yang haram.

5. Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas

Nisfu Syaaban

Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr.

Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah SAW telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda SAW dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda SAW berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu.Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”

Setelah Baginda SAW selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”

Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula pada 14 hb sya’aban sebaik sahaja masuk maghrib)

Di antara hadis-hadis Rasulullah SAW :

1) “Bahawasanya Nabi SAW paling banyak berpuasa (sunat) dalam bulan Syaaban. Apabila ditanyakan kepada baginda tentang itu, maka baginda pun menjawab: Orang biasa melupakan bulan itu (Syaaban) yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang diangkat segala amalan kepada Tuhan Seluruh Alam dan aku suka jika amalanku diangkat ketika aku berpuasa”.
(Direkodkan oleh Imam Ahmad dan An-Nasai)

Beberapa hadis tentang
Malam Pertengahan Bulan Syaaban:

1)
“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam pertengahan bulan Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)”.
(Direkodkan oleh Ibnu Majah. Imam Sayuti kata: Hadis Lemah)

2)
“Sesungguhnya Allah SWT turun pada malam pertengahan bulan Syaaban ke langit dunia maka diampunkan (dosa) yang lebih banyak dari rambut kambing Bani Kilab – Kabilah arab yang paling banyak kambing-”.
(Direkodkan oleh Imam Ahmad dan Thabrani. Berkata Imam Tirmizi: Imam Bukhari menyatakannya Hadis Lemah)

3) “Pada malam pertengahan bulan Syaaban, Allah menyampaikan wahyu kepada malaikat maut setiap orang yang akan dicabut nyawanya pada tahun itu”.
(Direkodkan oleh Ad-Dainuri. Imam Sayuti kata: Hadis Lemah)

4) Daripada Aishah RA berkata: Rasulullah SAW telah bangun malam dengan bersolat dan baginda telah memanjangkan sujudnya sehingga aku menyangka bahawa baginda telah dicabut nyawanya.

Apabila baginda mengangkat kepalanya dari sujud dan selesai dari solat, baginda bertanya kepadaku:
“Wahai Aishah, adakah aku telah mengabaikanmu?”

Aku menjawab: “Tidak wahai Rasulullah, tetapi aku sangka engkau telah dicabut nyawa disebabkan lamanya engkau bersujud”.

Baginda pun berkata:
“Tahukah engkau apakah malam ini?”

Aku menjawab: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu”.

Baginda berkata:
“Ini adalah malam pertengahan bulan Syaaban. Sesungguhnya Allah SWT melihat para hambaNya pada malam pertengahan bulan Syaaban, maka diampunkan orang yang memohon ampun, dirahmati orang yang meminta rahmat…”.
(Direkodkan oleh Baihaqi: Hadis Mursal)

5)
“Apabila datangnya malam pertengahan bulan Syaaban, maka hendaklah kamu hidupkan malamnya (dengan beribadat) dan berpuasa pada siangnya. Sesungguhnya Allah SWT turun pada malam itu ketika terbenam matahari ke langit dunia seraya berkata: “Wahai orang yang memohon ampun, Aku ampunkan! Wahai orang yang memohon rezeki, Aku berikan rezeki! Wahai orang yang ditimpa musibah, Aku selamatkan! Wahai fulan itu, wahai fulan ini.. sehinggalah terbit fajar”.
(Direkodkan oleh Ibnu Majah: Hadis Lemah)

Kesimpulan fatwa ulama tentang Kelebihan Bulan Syaaban dan Malam Pertengahan Bulan Syaaban:

1- Memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban kerana Nabi Muhammad SAW paling banyak berpuasa sunat pada bulan ini melebihi bulan-bulan yang lain.

2- Walaupun malam pertengahan bulan Syaaban terdapat beberapa kelebihan berdasarkan hadis-hadis yang lemah tetapi ia boleh diterima bagi menyatakan “Kelebihan Amalan”.

3- Tiada amalan khusus yang diberi nama sebagai “Puasa Nisfu Syaaban” tetapi digalakkan berpuasa sunat pada pertengahan bulan Syaaban berdasarkan hadis-hadis lain yang menggalakkan berpuasa pada 13, 14 dan 15hb setiap bulan.

4- Begitu juga tiada amalan khusus yang diberi nama “Solat Malam Nisfu Syaaban” tetapi digalakkan untuk menunaikan solat-solat sunat seperti Solat Sunat Mutlak, Solat Tasbih, Solat Hajat, Solat Tahajud dan Solat Taubat. Begitu juga dengan amalan-amalan lain seperti membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa tanpa dikhususkan untuk malam itu.

5- Oleh kerana kelebihan malam pertengahan bulan Syaaban ini tidak didasarkan pada sumber hadis yang sahih, kuat dan jelas, maka amalan Nabi untuk bangun beribadat bukanlah khusus untuk malam itu sahaja kerana baginda memang diwajibkan bangun beribadat pada setiap malam.

6- Dari segi syarak, tidak harus mengkhususkan hari tertentu untuk berpuasa, atau malam tertentu untuk bangun beribadat (qiamullail) tanpa sumber yang syarie. Perkara ini bukan hak sesiapapun melainkan ia hanya hak Allah SWT sahaja. Mengkhususkan waktu atau tempat untuk beribadat dan menetapkan kaedah dan caranya, hanyalah hak Allah SWT, bukan hak manusia.

Lihat fatwa ulama oleh:
1- Syeikh Imam Dr Yusuf Al-Qardhawi (Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia):
http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=6138&version=1&template_id=232&parent_id=17
2- Syeikh Athiyah Saqar (Al-Azhar, Mesir):
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528607390
3- Syeikh Ibn Fauzan dan Syeikh Ibn Uthamain (Arab Saudi):
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1119503544540&pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar%2FFatwaE%2FFatwaEAskTheScholar


Tuesday, July 12, 2011

BERSIH 2.0 berjaya, polis dan media gagal




Bersih 2.0 bukan pengacau. Buktinya puluhan ribu rakyat berjaya berhimpun menyokong lapan tuntutan Bersih 2.0. Rakyat tetap menyokong perhimpunan pada 9 Julai lalu meskipun dikacau oleh polis dan dikongkong oleh media perdana milik penguasa Umno-BN.

Polis telah melaksana strategi perang pencegahan terhadap rakyat yang cintakan pemulihan demokrasi negara. Tangkapan awal dibuat, sekatan jalan ditingkatkan. Sehingga 59 laluan masuk ke Bandaraya Kuala Lumpur. Karenah polis telah mendaruratkan Kuala Lumpur pada 9 Julai.

Saturday seven nine
Hakikatnya ‘Saturday seven nine’ telah mencatat sejarah kebangkitan rakyat menzahirkan kecintaan untuk bermesra dengan amalan pilihan raya bersih. Setara pula berlaku penglibatan polis memerangi baju kuning dengan cara merampas dan menangkap serta mereman penjual baju kuning Bersih 2.0.

Tindakan yang tidak bertamadun, unlawful dan bersifat rimba. Maka, ia lambang kegerunan penguasa Umno-BN kerana mengontrol kementerian polis supaya jadi sedemikian.
Polis sudah dijadikan perisai menyekat serangan baju kuning. Sekali gus menyerlahkan kekencangan denyutan nadi pemimpin Umno-BN, khususnya Datuk Seri Mohd Najib selaku presiden parti yang memilihnya sebagai perdana menteri ke-6 Malaysia. Cukuplah. Layaknya Najib sebagai pemimpin Umno terakhir!

Pengongkong rakyat

Selain polis, media perdana milik penguasa Umno-BN sudah menjadi pengongkong minda rakyat. Minda rakyat dikepung, dikotakkan(boxed) melalui laporan fitnah, racau dan ampu melampau. Maka, media cetak dan elektronik, khususnya utusan, harian, peti gambar (televisyen) dan peti suara (radio)cukup cekap memfitnah, meracau dan mengampu sehingga Bersih 2.0 dicap sebagai pengacau dan kumpulan haram.

Kesannya, gabungan lebih 80 NGO yang sah bergabung ‘kecintaan’ untuk menuntut pihak kerajaan (Yang Di-pertuan Agong) melaksanakan lapan tuntutan sudah dianggap pertubuhan haram. Apakah haram, NGO (yang sah) bergabung cita rasa ke arah mencapai kebersihan pilihan raya?

Maka sukacita dinyatakan, kalimah ‘haram’ merupakan kalimah terdesak yang menggambarkan ketempangan demokrasi yang memenangkan pemimpin Umno-BN disebabkan undi pos, penipuan senarai pemilih, rasuah politik, penggunaan terlarang jentera kerajaan Pusat dan kempen media yang berat sebelah. Natijahnya kemenangan pilihan raya diraih Umno-BN selayaknya bertaraf ‘haram’ tetapi dihalalkan oleh kuasa dan kongkongan minda rakyat daripada memahami nilai-nilai kebersihan pilihan raya.

Sebagaimana diperjuangkan oleh Bersih 2.0 atas hasrat untuk demokrasi yang segak dan tampan, adalah ingin memperbaiki nilai pendemokrasian di Malaysia. Kesannya lebih daripada 65 peratus ahli perhimpunan Bersih 2.0 disertai anak muda Malaysia yang pelbagai kaum . Ia bukan 1Malaysia tetapi sepakat untuk demokrasi segak dan tampan!

Meskipun, rakyat dikongkong daripada menganggap Bersih 2.0 sebagai lambang penyatuan ke arah suatu amalan pilihan raya telus, bersih dan adil. Tidak kurang juga, polis dan media terus mengecap Bersih 2.0 sebagai pengacau, pertubuhan haram dan penyekat aktiviti ekonomi rakyat.

Natijahnya, tindakan polislah (menutup jalan, menangkap dan mengarah kedai-kedai ditutup pada hari 9 Julai) penyebab utama peniaga terkandas untuk masuk berniaga dan pembeli pula dihalang membeli belah. Sedangkan puluhan ribu (menurut Al-Jazeera, 100 ribu) ahli perhimpunan Bersih 2.0 yang hadir sepatutnya boleh berbelanja sakan dan mewah. Atas realiti ini, adakah boleh diterima akal apabila polis mengecap ahli perhimpunan sebagai pengacau kepada peniaga. Realitinya, tindakan polis yang menembak, menggempur dan menangkap ahli perhimpunan pencetus kekacauan sebenar.

Media asing lebih adil

Ketika melihat rakaman media asing Al-Jazeera tentang perhimpunan Bersih 2.0, ternyata kalimah mereka gunakan adalah realistik. Ahli perhimpunan disifatkan sebagai pembantah kepada perjalanan pilihan raya yang disaluti amalan tidak demokratik kerana undang-undang pilihan raya yang tidak adil. Lalu dianggapkan urusan perhimpunan sebagai saluran untuk menuntut Najib menggubal undang-undang pilihan raya yang adil.

Ia jauh berbeza dengan laporan media lokal yang terlampau negatif untuk Bersih 2.0, malah turut mengundang persepsi, betapa media tersebut kuat dikontrol oleh penguasa Umno-BN . Meskipun semua pengamal media boleh menyifatkan orientasi media itu sudah melanggar etika pemberitaan kerana sarat dengan kandungan kepalsuan, pembohongan dan pemfitnahan melampau.

Fakta palsu

Di antara nilai terlampau media lokal yang dikontrol penguasa Umno-BN ialah menyiar hal Bersih 2.0 pada 9 Julai berlapikkan ulasan atas fakta palsu, bohong dan fitnah. Misalnya akhbar berita harian telah menggunakan ‘imej jadian’ dengan mempamerkan lagak seorang pemuda seumpama pemuda Palestin sedang melontar batu ke arah polis Israel. Ia suatu ciptaan, bukan realiti tentang perhimpunan Bersih 2.0. Mana ada lagak pemuda sebegitu! Ia suatu teknik kepalsuan ala media Israel (Yahudi) yang bertujuan mencemarkan misi perhimpunan Bersih 2.0.

Media lokal itu juga turut mesra pembohongan apabila dikesan tela mengabaikan fakta sebenar tentang perhimpunan Bersih 2.0. Di antaranya meletakkan status Bersih 2.0 sebagai gagal. Lalu menyiarkan kenyataan Ketua Polis Negara yang kononnya ahli perhimpunan hanya sekitar lima/enam ribu sahaja. Sedangkan dalam lembaran akhbar sama turut mengesahkan lebih 1,600 telah ditangkap. Jika benar gagal, kenapa perlu tangkap sampai hampir dua ribu orang?

Demikian pula, pembohongan paling tidak berperikemanusiaan turut disiarkan melalui kenyataan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur berhubung pengakuan di sebalik kematian pemandu teksi, Baharudin Ahmad. Kematian itu dikatakan akibat sakit jantung, sedang ahli keluarganya mendakwa arwah tidak pernah mengidap sakit jantung. Apakah kepakaran polis telah mengambil alih kepakaran seorang doktor? Hanya media yang sewel seumpama media lokal tersebut sahaja yang mengiktiraf kenyataan polis sebagai benar!

Satu lagi, amatlah malang apabila media lokal tersebut sudah menjadi mata pedang yang membunuh watak akibat mainan fitnah yang dihamburkan kepada masyarakat. Ia berkaitan dengan laporan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dicap sebagai petualang, penderhaka dan pengacau. Ia suatu fitnah besar. Maka lagak media lokal itu seumpama hakim yang pendek akal kerana mengecap Anwar dengan niat mematikan wataknya sebagai politikus yang berprinsip.

Termasuklah juga menyiarkan pandangan yang anti Bersih 2.0, kononnya Sasterawan Negara, A. Samad Said sebagai seorang yang bijak telah digambarkan semacam watak yang pendek akal kerana boleh bersama-sama Datuk Ambiga menuntut lapan perkara ke arah pilihan raya yang adil!

Rumusannya, Bersih 2.0 semestinya dianggap berjaya mengembalikan semangat dan kesedaran rakyat tentang demokrasi. Ia turut mengimbau sejarah Bersih pada 10 November 2007. Momentum itu harus disegarkan untuk meluncur laju menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Justeru rakyat yang masih keras hati kerana ingin kekalkan nilai kekotoran pilihan raya di Malaysia sewajarnya berubah. Berubahlah dan hayatilah misi pendemokrasian yang dibawa oleh Bersih 2.0. Pilihan raya bersih pastinya diberkati Allah SWT. Hanya individu yang beriman memiliki hati yang bersih. Hati yang bersih adalah kekuatan untuk Bersih 2.0 mencipta landskap politik baru pada pilihan raya umum ke-13.

Oleh: wanibrah

Pemimpin Dan Media Umno, Hentikan Pembohongan Berita Bersih




Pemimpin Umno dan media pro umno diminta hentikan pembohongan dan putar belit himpunan Bersih 9 Julai 2011. Kenyataan pemimpin umno sudah tidak keruan dan serba tidak kena seolah-olah kapal yang kehilangan kompas. Mereka berbicara dengan rakyat seolah-olah rakyat pekak dan buta.

Mungkin pemikiran mereka masih berada di zaman primitif kerana diselaputi oleh mimpi ngeri jika kerajaan pusat tumbang di dalam PRU 13.

Media umno cuba hendak memburukkan himpunan Bersih seolah-olah berlaku keganasan. Pengamal media pro BN juga sudah melanggar etika laporan yang penuh dengan prajudis dan fitnah. Sehingga lupa laporan mereka sudah tidak layak hidup di zaman langit terbuka, Ia hanya layak berada di zaman Ashabul Kahfi

Bila polis memberi tahu dalam media mereka tidak ganas, tidak ada tembakan di kawasan hospital Tung Shin Jalan Pudu, maka secepat kilat media menjawab penipuan mereka melalui media baru yang diluar kawalan BN.

Kita menasihat pemimpin BN dan media pro BN hentikanlah penipuan kamu. Jangan menambahkan arkib pembohongan kamu di persada politik negara ini. Biarlah kamu meninggalkan
pemerintahan kamu dengan tidak menambahkan lagi rekod-rekod kotor dan jijik kepada generasi akan datang. InsyaAllah segala keganasan polis dan penipuan media akan menjadi saksi kepada anak cucu rakyat Malaysia akan datang. Kesemua ini sudah direkod di dalam media baru yang menjadi mimpi ngeri umno pada masa akan datang.



Oleh Ust Idris Ahmad

*Hanya doa yang mampu dikirim buat Wira Bersih, allahyarham Baharuddin Ahmad...

Thursday, July 07, 2011

Bersihkan Negara Kita...


Rasuah berselerak
di laman politik negara

Fitnah membusuk
kelam politik negara

Boros berleluasa
busuk politik negara

Tipu membarah
rosak politik negara

Ketidakadilan
lumpuh politik negara

Keangkuhan
hilang seri politik negara

Rasuah, fitnah, boros, tipu, ketidakadilan, keangkuhan
Semua ini sampah negara

Terganggu kedamaian politik
Tergugat kesejahteraan politik
Terancam ketenangan politik

Kerna .....

Sampah negara dibuang rata
Sampah negara dibiar kotor
Sampah negara dilonggok busuk
Sampah negara dicampak sepah
Sampah negara dilempar jijik

Ke utara sampah
Ke selatan sampah
Ke timur sampah
Ke barat sampah

Tiada kuasa dan upaya mencicip sampah negara
selain rakyat
Ganding tangan
Langkah kaki
Bergotong royong bersihkan negara

Justeru 9 Julai 2011
Hari Gotong Royong Bersihkan Negara

Bersih negara dari rasuah
Bersih negara dari Fitnah
Bersih negara dari penipuan
Bersih negara dari ketidakadilan
Bersih negara dari keangkuhan

Bersihkan Negara Kita
Bersihgkan Negara Kita
Bersihkan Negara Kita

Nukilan :

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
2011 - 2013

Stadium Melawati Shah Alam
29 June 2011

Unggun Bersih


Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu..

Nukilan - A Samad Said

Persediaan Di Ambang Ramadhan

Setiap bulan dalam sepanjang tahun mengikut kiraan taqwim Hijriyyah mempunyai kelebihan tertentu dan keistimewaan beribadat di dalamnya. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala menciptakan hari atau bulan itu ada yang baik dan ada yang lebih baik. Sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai kelebihan bulan Muharram, Rejab, Sya‘ban, Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sebagai bulan-bulan yang istimewa. Begitu juga dengan hari-hari tertentu seperti Juma‘at, Khamis dan Isnin mempunyai pelbagai fadhilat.

Bulan Sya‘ban Dan Galakkan Beribadat Di Dalamnya

Sekarang kita berada di bulan Sya‘ban. Bulan Sya‘ban juga mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam. Keadaan ini samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang mempunyai fadhilat tersendiri, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang ahli ibadat sebagai masa mengaut pahala.

Bulan Sya‘ban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Pernah diriwayatkan bahawa Baginda tidak pernah berpuasa sunat dalam sebulan, lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya‘ban.

Dalam makna yang lain Baginda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyakkan puasa sunat di bulan Sya‘ban dibandingkan bulan-bulan yang lain. Oleh kerana itu amatlah dituntut bagi umat Islam mencontohi apa yang dilakukan oleh Baginda itu kerana selain memperbanyak amal kebajikan di bulan ini, ia juga merupakan suatu latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan.

Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Sya‘ban

Keistimewaan bulan ini bahawa amalan seluruh manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Maka antara amalan yang digalakkan pada bulan Sya‘ban adalah:

1. Memperbanyak puasa sunat.

Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Sya‘ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

2. Bertaubat dan beristiqhfar

Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika. Tegasnya hukum taubat itu adalah wajib dari segi syara‘. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah yang dikatakan taubat nasuha.

Taubat nasuha tidak akan tercapai tanpa mendatangkan terlebih dahulu syarat-syarat yang ditentukan. Umpamanya jika dosa itu antara hamba dengan Tuhan:

1. Hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu.

2. Hendaklah dia benar-benar menyesali dan merasa dukacita atas perbuatan maksiatnya itu.

3. Hendaklah dia berjanji dan berazam untuk tidak akan kembali mengulangi melakukannya.

Manakala jika dosa itu bersangkut paut dengan hak orang lain, maka selain syarat-syarat sebagaimana yang disebutkan di atas, ditambah lagi satu syarat iaitu hendaklah membersihkan dirinya daripada hak orang itu atau orang yang melakukan dosa itu memohon maaf kepada orang berkenaan.

Selain daripada itu, peranan taubat itu sendiri tidak terhenti setakat membersihkan diri daripada segala dosa dan maksiat. Lebih daripada itu ia juga merupakan suatu cara untuk kita sentiasa berlindung diri kepada Allah subhanahu wa Ta‘ala memohon keberkatan ketika kita memulakan dan membuat sesuatu pekerjaan yang berfaedah dan mengharapkan kurnia, taufiq serta diselamatkan daripada ditimpa musibah, kesusahan, kesulitan dan sebagainya.

Adapun istighfar itu pula ialah pernyataan memohon ampun kepada Allah daripada semua dosa. Lafaz istighfar itu di antaranya ialah bererti: “Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung”.

3. Memperbanyak zikir dan berdoa

Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mempersucikan Allah dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya.

Terdapat banyak ayat al-Qur'an dan hadis yang memerintahkan agar manusia mengambil berat tentang zikir. Banyak faedah yang diperolehi hasil daripada berzikir. Antaranya ialah:

i. Menenangkan hati:

Ini bersesuaian dengan janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.

ii. Kawalan Diri dan Perlindungan Malaikat:

Seseorang itu merasa terkawal kerana Allah sentiasa menyertainya di mana sahaja dia berada. Akibatnya paling minima dia takut hendak berbuat maksiat dan bersedia pula untuk melakukan ketaatan.

Bahkan dia juga mendapat kawalan sepenuhnya daripada malaikat. Bagi orang yang sekadar duduk di majlis zikir sekalipun tidak bersama berzikir akan mendapat juga rahmat Allah dan kawalan malaikat.

iii. Terpelihara Daripada Godaan dan Pujukan Syaitan.

iv. Meningkatkan Rasa Kecintaan Kepada Allah:

Untuk meningkatkan kecintaan kepada Allah, mestilah memahami dan menghayati bacaan tasbih, doa dan istighfar yang diucapkan itu.

Antara keistemewaan amalan zikir itu pula ialah:

i. Zikir boleh dilaksanakan bila-bila masa walaupun sedang melakukan pekerjaan tanpa terikat dengan waktu. Ia juga boleh dilaksanakan dalam keadaan duduk, tidur, berdiri dan baring.

ii. Boleh dilaksanakan walaupun dalam keadaan berhadas sama ada hadas kecil mahu pun hadas besar. Walau bagaimanapun makruh berzikir secara lisan ketika berada di dalam tandas.

Begitu juga dengan perkara doa. Doa boleh dilakukan tanpa mengira tempat dan masa. Doa ialah memohon sesuatu hajat atau perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan cara merendahkan diri dan tawadhu‘ kepadaNya.

Selain daripada itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan di bulan Sya‘ban ini sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadhan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, bersembahyang sunat terutama di waktu malam, banyak bersedekah dan sebagainya. Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada di bulan Sya‘ban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat di bulan Sya‘ban berbanding bulan-bulan yang lain? Baginda bersabda:

Maksudnya: “Bulan itu (Sya‘ban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa”.

(Hadis riwayat an-Nasaie)