Tuesday, December 13, 2011

Doa Rabitah Hati


YA ALLAH,

Engkau mengetahui hati-hati ini,

Telah berkumpul kerana mengasihi-Mu,

Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu,

Bersatu memikul beban dakwah-Mu,

Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu,

Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,

Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,

Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,

Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini,

Akan jalan-Nya yang sebenar,

Penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu,

Yang tidak kunjung malap,

Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan Iman dan keyakinan,

Dan keindahan tawakkal kepada-Mu,

Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu,

Jika Engkau mentakdirkan mati,

Maka matikanlah pemilik hati-hati ini,

Sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu,

Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong,

YA ALLAH,

Perkenankanlah permintaan ini."

Doa rabitah hati. Siapa yang tidak tahu? Malah ramai yang sudah menghafalnya. Setiap hari dilafazkan bersama-sama. Jika yang tinggal di asrama, akan baca beramai-ramai selepas solat berjemaah.

Kadang-kadang dibaca setiap kali mengakhiri sesuatu majlis ilmu. Doa yang sepatutnya mengikat hati-hati kita. Doa yang sepatutnya mengajar kita erti ukhwah. Doa yang sepatutnya membuahkan rasa rindu pada kita pada perjuangan di jalan Allah S.W.T.

Namun, tidak ramai yang sedar betapa besarnya erti doa ni. Malah kesannya juga seolah-olah tiada. Mengapa?

Mungkin tidak Faham maksud? Mustahil. Kerana ramai juga yang sudah lama berada di dunia tarbiyah, sudah bedah maksud doa ini. Namun kesannya tetap negatif. Di mana salahnya?

Mungkin pada dosa-dosa lama, atau karat-karat jahiliah yang masih malas hendak dibuang itu menghalang hati-hati kita dari keindahan kesan doa ini?

Atau hati kita sendiri tidak pernah hadir setiap kali membaca doa ini?

Mulut melafazkannya namun hati, fikiran pada urusan dunia yang tidak akan pernah habis?

Mungkin juga dalam tidak sedar, kita sebenarnya adalah robot yang membuat kitaran bodoh?

Kerana sudah menjadi kebiasan membaca doa ini, tetapi tidak pernah mengambil masa mendalami maksudnya?

Ya Allah.

Bukan tidak pernah melihat orang yang hari-hari duduk sama-sama membaca doa rabitah hati, namun apabila habis tidak pernah bertegur sapa. Ada juga orang yang hari-hari duduk sama-sama membaca doa ini, tetapi perasaan benci, hasad dan iri hati tetap ada dalam hati masing-masing. Apabila duduk dalam majlis ilmu, boleh duduk berlaga lutut, tetapi di luar majlis ilmu, saling berselisih bahu, menjeling seperti singa lapar.

Bukankah doa ini sepatutnya menjadi medium untuk kita merapatkan ukhwah?

Bukankah doa ini sepatutnya menjadi medium untuk kita buang segala perasaan tidak baik itu?

Bukankah doa ini sepatutnya menjadi semangat bagi para daie setiap kali melafazkannya?

Bukankah doa ini sepatutnya menjadi peringatan buat kita bahawa kita sama-sama pernah berjanji untuk memperjuangkan agama Allah S.W.T?

Namun, mengapa apabila di luar, tatkala saudara-saudara kita semakin menjauh dari jalan Allah S.W.T, kita buat tidak kisah?

'Kubur lain-lain', kata kita. Mana janji-janji yang dilafazkan untuk sama-sama berjuang?

Mana hilang rasa keterikatan hati kita?

Mana pergi rasa kasih dan cinta 'ukhwah fillah' yang kita lafazkan selama ini?

Bukankah jika benar doa rabitah hati yang kita baca itu berkesan, hati-hati kita akan saling terikat?

Apabila jauh rasa rindu untuk sama-sama duduk berlaga lutut mendengar kisah Allah S.W.T.

Apabila dekat terasa seolah-olah tidak mahu berpisah, seronok sama-sama berzikir.

Apaila terpesong sama-sama mengingatkan agar kembali ke jalan Allah S.W.T.

Adakah perasaan itu sudah ada dalam hati kita wahai hamba yang saling berjanji setia?

Jika doa itu berkesan pada kita, Allah S.W.T yang akan menyatukan hati kita. Allah S.W.T sudah berjanji bukan?

"Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (surah Al-Anfal: ayat 63)

Dakwah ini tidak mudah, seperti kata 'saff-one' dalam lagunya Perjuangan.

Perjuangan itu gerun dan mengerikan,

Hebat dan dasyat menggerukkan hati,

Bagi mukmin di sini harga dan nilainya,

Perjuangan itu bagai sampan di laut,

Di atas lapang tiada perlindungan,

Di bawa air melambung dan menggunung,

Menongkah gelombang yang datang melanda,

Kiri kanan depan dan belakang,

Angin yang menderu tidak tahu bila datang,

Hujan badai yang datang menyerang,

Bak singa yang lapar yang garang,

Kadang-kadang terdampar di batu karang

Penumpang menerima nasib berlainan,

Ada yang jatuh ada yang tenggelam,

Yang pandai berenang berpaut ke sampan,

Ada yang berjaya berenang ke tepian,

Sekali lagi dia melayar sampan,

Walau pelayaran mungkin tidak berjaya,

Namun harapnya hanya pada yang Esa.

Kerana itu pentingnya hati-hati kita ini saling terikat. Agar sama-sama hebat berjuang di jalan Allah S.W.T.

Allah S.W.T menyukai orang-orang yang berjuang di jalannya dalam satu barisan yang tersusun, kerana Allah S.W.T tahu payahnya perjuangan ini, Allah S.W.T tidak suruh kita berjuang seorang diri.

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh"(surah As-Saf: ayat 4)

Sangat indah jika kita sama-sama dapat rasa keterikatan hati yang Allah berikah pada muslim yang sejati itu bukan?

Kata Imam Nawawi:

"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu. Jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah kecintaanku padamu."

kata aku,

"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu. Jika kau hilangkan agama dalam dirimu, akan ku bimbing kembali dirimu supaya kita dapat bersama-sama rasa indahnya Syurga."

DAKWAH ITU CINTA DAN CINTA AKAN MEMINTA SEMUANYA DARIMU.

-Artikel iluvislam.com

Sunday, December 11, 2011

Muhasabah Diri Itu Lebih Baik

Bila tibanya tahun baru, tidak kira tahun baru Islam mahupun tahun baru masihi, masing-masing antara kita sibuk untuk menetapkan azam baru dalam memperbaiki atau mempertingkatan mutu mahupun kualiti dalam kehidupan kita.

Namun kebanyakan kita selalu terlupa untuk muhasabah semula kembali azam-azam itu yang lepas.Diulanginya setiap perkara negatif yang menjauhkan kita dari mencapai azam yang di tetapkan itu.Muhasabah ini hendaklah dilakukan selepas setiap amal yang dilakukan agar hatinya tenteram bahawa dia tidak menyeleweng dari ketetapan Allah dan sentiasa mematuhi arahan dan meninggalkan larangan-Nya.

Mengikut Ibnu Qudamah:

"Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat."

Ibnul Qaiyim pula berkata:

"Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali."

Kepentingan bermuhasabah

Dengan bermuhasabah diri, kita dapat menilai setiap perbuatan kita, apakah ianya mencapai matlamat, menghampiri matlamat atau lebih teruk menjauhi matlamat yang kita tetapkan.

Contohnya bagi sesebuah pasukan bola sepak, bilamana berakhirnya sesuatu perlawanan (terutama bila mengalami kekalahan), pasti akan di adakan muhasabah (atau lebih di kenali sebagai post-moterm). Ini bertujuan untuk mengenal pasti segala kekurangan dan kelemahan seterusnya memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi pasukan mereka. Maka,selebihnya lagi kita sebagai seorang muslim.

Dengan bermuhasabah juga, seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua,kerana orang muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatan kualiti diri mereka dari masa ke semasa.

Sabda Rasulullah saw :

"Orang muslim itu tidak akan di patuk ular pada lubang yang sama untuk kali kedua"

Kelebihan bermuhasabah

1. Dapat mengenali kekurangan diri, maka dengan itu dapatlah kelemahan itu di perbaiki.

2. Dapat bertaubat, menyesali dan meninggali setiap kesalahan yang lepas.

3. Dapat mengenali hak Allah taala ke atas diri kita.

4. Dapat mengelakkan diri dari mengulangi kesalahan yang lepas dan seterusnya mempertingkatkan amalan soleh.

5. Dapat mempersiapkan diri sebelum bertemu dengan Allah di hari akhirat kelak.

Seperti yang di katakan oleh Umar al-khattab :

"Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini.

Maka, di kesempatan ini, penulis menyeru kepada diri sendiri terutamanya, dan seterusnya kepada pembaca-pembaca yang di rahmati Allah sekalian, agar kita sentiasa muhasabah diri kita dari masa ke semasa, agar dapat memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi diri kita dan lebih-lebih lagi dalam mengerjakan amal ibadah kepada Allah. Semoga hari ini lebih baik dari hari-hari kita yang sebelum ini.

- Artikel iluvislam.com

Cikgu Dalam Kehidupan Anda


1. Cikgu yang terbaik dalam hidup adalah -Pengalaman. Ia merupakan cikgu yang terbaik dalam hidup kita semua. Hal ini kerana, daripada pengalaman akan mengajar kita erti hidup, menjadi lebih matang, dan mendewasakan kita. Tanpa pengalaman, kita tidak mampu untuk maju ke hadapan, mahupun berubah lebih baik daripada sebelum ini.

2. Cikgu yang teristimewa dalam hidup - Ibu Bapa

Ibu bapa merupakan cikgu yang terindah dalam hidup kita kerana mereka lah yang mengajar kita tentang erti kehidupan daripada kita kecil sehinggalah dewasa kini. Tanpa mereka, tiadalah kita. Bukan itu sahaja, ibu bapa akan mengajar kita tentang manis dan pahitnya kehidupan ini kerana mereka telah matang dalam hal itu. Jadi, kita gunakan segala yang diberikan, untuk membimbing diri sendiri dalam meneruskan kehidupan.

3. Cikgu yang terindah dalam hidup - Tenaga Pengajar

Pensyarah-pensyarah, cikgu sekolah rendah mahupun menengah, dan kesemua yang pernah mendidik kita, cukup terindah dalam hidup ini. Hal ini kerana, mereka telah bersusah payah dalam membanting tulang empat kerat mereka, dalam mendidik kita supaya kita berjaya dalam kehidupan. Dengan semua ini, kita boleh terus maju kehadapan dengan ilmu yang dibekalkan dan mengamalkan dalam kehidupan kita.

Hargailah mereka sementara masih ada, hidup ini hanyalah sementara, bukan selama-lamanya.

- Artikel iluvislam.com

Contohi Semangat Juang


Bersempena ulang tahun kedua Angry Birds pada 11 Disember, Pemuda PAS menyeru peminat permainan Angry Birds di Malaysia mencontohi semangat juang yang ditunjukkan oleh ‘burung-burung yang marah’ terhadap ‘si pencuri’ dan mengajak setiap warganegara yang prihatin menghapuskan budaya korupsi dan pecah amanah di kalangan pemimpin.

2. Berdasarkan laporan berita TheMalaysianInsider yang menyatakan ‘Angry Birds’ adalah salah satu daripada carian Google paling popular di kalangan rakyat Malaysia, Pemuda PAS memuji kreativiti pereka permainan Angry Birds, Rovio Mobile, yang berjaya memecah rekod tertinggi di dalam sejarah permainan video dengan jumlah muat turun melebihi 500 juta, hasil idea permainan yang santai, interaktif, dan mempunyai makna tersendiri.

3. Pengarah Institut Polisi Studi Pemuda PAS, Mohd Syahir Sulaiman, menyifatkan permainan Angry Birds memberi inspirasi perjuangan mempertahankan hak. “Angry Birds secara kreatif dan penuh tekad berusaha mendapatkan kembali telur mereka yang dicuri. Pada setiap peringkat, Angry Birds perlu meningkatkan keupayaan untuk memecahkan tembok dan helah oleh si pencuri untuk berselindung. Ini mengajar kita TIGA perkara iaitu;

i. rakyat perlu bangkit menentang kezaliman

ii. pencuri akan ditentang

iii. pihak yang benar pasti akan mengalahkan pihak yang salah”.

4. Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan turut menyifatkan Angry Birds mengajar rakyat agar bangkit berjuang menghapuskan kezaliman. “Slogan ‘Jangan Curi !!’ adalah simbol kemarahan rakyat terhadap EMPAT pengkhianatan pemimpin terhadap rakyat di Malaysia iaitu;

i. penafian hak rakyat Kelantan terhadap royalti petroleum

ii. penyelewengan Felda dan langkah penyenaraian Felda Global Ventures yang menggadai nasib peneroka

iii. keraguan daftar pemilih oleh SPR sebagaimana didedahkan oleh Pemuda PAS

iv. kontroversi projek National Feedlot Centre bernilai RM250 juta sebagaimana dilapor Ketua Auditor Negara".

5. Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan turut menyeru rakyat Malaysia menyemai budaya integriti dan ketelusan di dalam negara dengan memilih pemimpin beramanah yang ditawar oleh PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU yang akan datang.

Disediakan oleh:

Mohd Syahir Sulaiman
Pengarah, Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia

msyahir@pas.org.my
www.pemuda.pas.org.my

Friday, December 09, 2011

Adakah lagi Abah lain untukmu?



Petang itu aku menangis lagi.Sendirian di kamar. Untung ada Puteh di sisi. Kucing itu tahu betapa tuannya ini sedang menanggung beban jiwa yang parah.

Hati aku pedih.Sakit! Menangislah wahai hati..

Gelora di jiwa aku khabarkan pada Yang Maha Kuasa. Yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya hanya pada Dia.

Mana mungkin bisa diungkapkan pekung keluarga kepada umum. Mana mungkin!Biarlah ia terus indah pada pandangan luar, seksa dalaman teruskan dihijab.

Aku? Hanya seorang anak. Anak pinjaman Yang Esa pada sepasang hambaNya bergelar ibu dan ayah.

"Dan Dialah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi) dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam)." Al-Anaam (6:98)

Maka,tanggungjawabku hanya satu.

"Jadi anak solehah!"

Jangan kau durhaka pada ibumu. Jangan kau cuba melenting di depan bapamu.

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." Al-Isra (17:23)

Demi ayat-ayat Allah itu, jiwaku lemas. Lemas dalam timbunan dosa yang bertimpa-timpa. Ampuni aku Abah! Sungguh aku khilaf dalam perilakuku. Air mukaku tidak mampu memalsukan amarah di jiwa.

Marah?! Layakkah kau marah pada Abah? Tanya pemilik hati ketika si waras mula berdebat dengan sang emosi. Di mana kau letakkan aku;kewarasanmu ketika kau tahu tindak tandukmu bisa menyakiti hati Abah? Kau sengaja bukan? Kau sengaja berlaku begitu kerana kau mahu sang emosi menjadi puas. Kau mahu nafsu amarahmu turut sama puas.

Kau palingkan muka, kelatkan wajah.Sengaja. Supaya Abah tahu kau sedang lancarkan perang dingin. Dan ternyata kau memang puas. Kau biarkan Abah dengan perang emosimu tanpa kau peduli samada dia tahu atau tak hujung pangkal tindakanmu. Ah,dengan bersenjatakan hati perempuan! Kau memang cukup hebat dalam strategi perang sebegitu.

Tidak kasihankah dikau pada wajah tua itu?

Tidak simpatikah kau wahai jiwa, tatkala makanan pertama pagi tadi ditelan tawar oleh jiwa bapa. Makanan yang sepatutnya dihadam supaya menjadi tenaga untuk fizikalnya bekerja. Untuk siapa dia bekerja? Untuk siapa wahai hati?

Jangan kau pandang kekurangannya. Kekurangan manusia sentiasa besar di pandangan mata manusia. Tapi pandanglah kebaikan Abah dengan pandangan mata hati.

Mata hati kau tahu, kebaikan dalam diri Abah berganda-ganda lebih besar dari kekurangan dirinya. Pandang sekeliling wahai mata hati, adakah lagi seorang Abah yang lain seperti dia?

Adakah lagi seorang Abah lain yang mampu bertahan dengan setiap perang dingin yang kau lancarkan?

Adakah lagi seorang Abah lain yang hanya memendam perit pedih membesarkan anak perempuan tunggalnya yang hanya tahu memandang kekurangannya?

Adakah lagi seorang Abah lain yang begitu sabar melayan kau; wahai anak.. yang hanya tahu meminta tanpa mahu mengerti erti memberi?

Adakah lagi seorang Abah lain yang masih sudi menjamah santapan semeja dengan anaknya walupun hati Abah itu tahu betapa anaknya tidak suka memandang wajah tua ini?

Adakah lagi Abah lain selain dia untukmu?

Ampuni Ina, Abah! Menangislah wahai hati,menangislah.. supaya kau terus ingat kekesalan ini.