Friday, October 03, 2008

Kekalkan Semangat Ramadhan



RAMADAN 1429 berlalu meninggalkan kita tetapi tidak bererti amal ibadat sepanjang bulan mulia itu turut ditinggalkan, sebaliknya perlu diteruskan sehinggalah kehadiran Ramadan akan datang.

Jika pada Ramadan kita dilatih tidak mengata nista, mengumpat dan menabur fitnah, sepatutnya pada bulan lain juga begitu.


Malah, atas kesinambungan ibadat puasa fardu pada Ramadan digalakkan umat Islam meneruskan lagi selama enam hari pada Syawal, sebagai satu ibadat sunat yang menyucikan jiwa.

Rugi bagi mereka yang berjaya mendidik nafsu sepanjang tarbiah Ramadan sehingga menjadi pemuja Rabbul Jalil, tetapi selepas Ramadan semuanya hilang sekelip mata, kembali semula kepada tabiat lama.

Justeru, bagi memastikan roh Ramadan dibawa ke bulan seterusnya, sentiasalah menghidupkannya dengan perkara yang diredhai Allah.

Bersesuaian hari raya sebagai hari kemenangan untuk meraikan kejayaan mengekang nafsu sepanjang Ramadan, janganlah diri dikotorkan kembali dengan maksiat sehingga tewas kepada hasutan nafsu dan syaitan.

Kemenangan yang mesti dicapai ialah kejayaan pada diri sendiri, bukannya diri orang lain, kerana berjaya melahirkan diri kita sebagai hamba Allah yang bertakwa, patuh pada syariat dan berakhlak baik, bukannya sebagai manusia derhaka terhadap Allah.

Dalam kegembiraan dan kemeriahan menyambut hari raya, kita perlu merebut ganjaran pahala ibadat puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, menunjukkan satu kesinambungan ibadat dari Ramadan.

Malah, jika dihalusi, bulan latihan ini bermula dari bulan Rejab lagi, di mana kita dianjurkan berpuasa sunat, beribadat, kemudian datang Ramadan dilipatgandakan lagi kerajinan beribadat.

Rasulullah s.a.w ada menyatakan kelebihan orang berpuasa pada bulan Syawal seperti orang berpuasa sepanjang tahun dalam sabdanya (bermaksud): “Daripada Abi Hurairah r.a., Dari Nabi s.a.w. katanya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam keseronokan menyambut Syawal, janganlah lupa dengan kemuliaan bulan ini, seolah-olah semua keseronokan itu adalah bonus, sehingga lupa kedatangan Syawal suatu kehilangan besar sebahagian kenikmatan untuk beribadat.

Walaupun ibadat puasa sunat boleh diteruskan pada bulan Syawal, keseronokan berjemaah mengerjakan Tarawih dan Lailatul Qadar tidak dapat dinikmati lagi sehinggalah Ramadan akan datang.

Sebenarnya, Islam tidak melarang umatnya berhibur untuk meraikan sesuatu kemenangan atau kejayaan tetapi hendaklah ia dilakukan melalui saluran hiburan yang betul dan berfaedah yang disertai dengan nilai akhlak mulia serta membanyakkan kesyukuran kepada Allah.

Dengan berlalunya Ramadan, sesetengahnya berseronok (kerana tidak perlu berpuasa lagi) tetapi sesetengah yang lain pula berdukacita (kerana tidak berpeluang menambahkan pahala).

Ini berbeza dengan sikap mereka menjelang Ramadan pada awal-awal dahulu, sesetengahnya berasa gelisah (kerana mengongkong jadual makan minumnya) manakala yang lain gembira (kerana peluang merebut pahala).

Begitupun, ada pihak yang tiada perasaan, tiada sukacita dan tiada dukacita. Ramadan atau tidak sama saja. Apabila dia mahu makan, dia makan saja. Apabila dia mahu berbuat jahat, menipu, mencuri, mencederakan orang, malah meragut nyawa orang, dia lakukan saja, tanpa peduli apa orang kata dan bulan apa.

Golongan seperti ini juga sebenarnya tidak peduli atau buat-buat tidak tahu apa yang Allah kata. “Wahai orang beriman. Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Apa pun ibadat sepanjang Ramadan lalu diharapkan menjadi pembakar motivasi kepada umat Islam untuk beribadat lebih tekun di samping mengharapkan semua amalan diterima Allah.

Sangat baik sekiranya nilai keperibadian yang dipupuk pada Ramadan dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian sepanjang tahun, terutama sifat sabar (dalam menghadapi dugaan hidup), sesuai dengan gesaan Allah supaya manusia banyak bersabar bagi mendapatkan kejayaan.

Amalan mulia yang lain seperti bermurah hati dan rajin melakukan amal kebajikan, rajin membaca al-Quran dan ke masjid untuk mengerjakan solat berjemaah sepatutnya dijadikan amalan yang biasa dalam kehidupan kita, berlegar di sekeliling diri kita, supaya rahmat Allah juga sentiasa menyelubungi diri kita.

Janganlah kemeriahan Syawal menjadi titik kepada kelunturan semangat beramal ibadat dan perubahan pada diri - rajin bertukar menjadi malas, soleh menjadi toleh, penyabar menjadi pemarah, pemaaf menjadi pendendam dan jika ini berlaku amatlah rugi.

No comments: