Thursday, October 30, 2008

SURVIVAL PMRAM DALAM MENELUSURI MEHNAH DAN TRIBULASI




1.0 INTRODUKSI


Dewasa ini, anak-anak Malaysia yang melanjutkan pengajian ke Mesir telah dihidangkan dengan kenyataan tidak berasas semata-mata kerana menanam perasaan benci mereka terhadap PMRAM.

Acapkali mereka menyatakan PMRAM merupakan sebuah pertubuhan berunsurkan politik yang menentang kerajaan apabila pulang ke Malaysia.Namun, segala tohmahan tersebut adalah tidak berasas sama sekali kerana PMRAM berdasarkann undang-undang penubuhannya tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam kegiatan berunsurkan politik.

PMRAM yang bertunjangkan al-quran dan as-sunnah terus menelusuri aluran sejarah dan menempuh arus kematangan yang kadangkala menoktahkan kepedihan di atas lembaran jasadnya,Namun PMRAM yang didokongi ummah mahasiswa terus melebarkan sayap untuk menaungi budaya kemahasiswaan dan kebajikan ahlinya.

2.0 SOROTAN KRONOLOGI PMRAM


Menelusuri sejarah PMRAM yang panjang telah membuktikan kepada kita bahawa PMRAM adalah satu-satunya persatuan induk yang menaungi mahasiswa sejak dari awal penubuhannya pada tahun 1930 sehinggalah kini.

2.1 Kebajikan

1932 : Panitia Rumah Melayu dibentuk untuk menyelenggarakan urusan pembinaan asrama dan melancarkan pungutan derma di kalangan masyarakat tanahair serta jamaah Haji Tanah Melayu.Sokongan masyarakat dan akhbar-akhbar kebangsaan di tanah air memuaskan.

1952 : PPS (Persekutuan Putera-Putera Semenanjung ) terus memperjuangkan pembinaan Rumah Melayu.Resit-resit pungutan dikeluarkan bagi mendapatkan tanahair.Dalam mesyuarat AJK PPS, ketetapan telah dibuat bagi mengubah nama PPS kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM)

1955 : Badan Wanita ditubuhkan sebagai medium organisasi mahasiswi.

1963 : Panitia Asrama Rumah Melayu dibentukbagi melicinkan pentadbiran kerana pembinaan Rumah Melayu hampir siap.
19 September- Satu MoU yang ditandatangani oleh saudara Ghazali Abdul Wahid dan Wan Mokhtar Ahmad dihantar ke Kementerian Pelajaran untuk memperjuangkan Ijazah Timur Tengah.

1971 : Jawatankuasa untuk mempercepatkan pembinaan asrama puteri ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh saudara Abdul Syukur Hashim.Satu jaminan diberikan oleh Kerajaan Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM 300 dan berjanji akan mendirikannya pada 1972.

1982 : Perasmian asrama Puteri oleh YAB Datuk Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.PMRAM mengemukakan permohonan peruntukan sebuah bas bagi siswi untuk ke kuliah kepada YAB.

1983 : Sebuah bas sebagaimana yang diminta berjaya diperolehi.

1991 : PMRAM berperanan menguruskan penempatan urusan kuliah seterusnya membentuk Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah .

1992 : 28 April- Penubuhan Jawatankuasa Bertindak Krisis Ekonomi (JBKE) untuk menangani masalah kewangan ahli yang meruncing ekoran kegawatan ekonomi Malaysia.

2006 : Melancarkan Dana Syaqah PMRAM di Asrama Peljar Terengganu.

2.2 Komitmen

1930 : 11 April- Pelajar-pelajar Melayu keluar beramai-ramai daripada Persatuan Kebajikan Anak-Anak Jawa sebagai tindak balas kepada perpecahan yang berlaku, lalu menubuhkan Persekutuan Putera-putera Semenanjung (PPS) mengikut undang-undang dalam negeri.

1950 : PPS dan IPI (Ikatan Pelajar- pelajar Indonesia) terlibat dalam tunjuk perasaan anti penjajah Inggeris sebagai tanda sokongan kepada rakyat Mesir.

1951 : PPS bekerjasama untuk menubuhkan Ikatan Indonesia bagi menyatupadukan Pelajar-pelajar Tanah Melayu, Indonesia, Filipina dan Negara Thai.

1967 : 31 Ogos- Gabungan Mahasiswa Asia Tenggara di Lembah Nil (SOLIDARITA) ditubuhkan yang diwakili oleh mahasiswa Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.Tunjuk perasaan bantahan penyelewengan perlaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diadakan.Mahasiswa diberi amaran keras oleh kerajaan Malaysia.

1968 : PMRAB (Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu – selepas PMM.menerbitkan majalah bulanan ‘Susila’ serta turut menyatakan sokongan terhadap penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. (UKM)

1992 :20 Februari-Badan Pengurus PMRAM membuat keputusan membantah penubuhan PPMM (Persatuan Pelajar-pelajar Mesir) kerana PMRAM masih mampu memberi perkhidmatan kepada mahasiswa.Namun, pihak kedutaan tetap ingin menubuhkan sehingga tercetus demonstrasi aman mahasiswa Malaysia.

2.3 Hubungan Luar

1948 : Ikatan Pelajar-pelajar Indonesia (IPI) ditubuhkan unutkmenyokong kemerdekaan Indonesia.PPS turut memberikan kerjasama.

1954 : PMM menghantar dua orang wakil ke Kongres Pemuda Islam yang diadakan di Karachi.

1955 : PMM menggabungkan diri dengan persatuan Pelajar Kongres Islam yang berpusat di Kaherah bagi merapatkan hubungan dengan pemuda-pemuda Islam di dunia.
25 Oktober : PMM menubuhkan Badan Perjuangan Melayu se-Timur Tengah untuk menyatupadukan anak-anak Melayu di Timur Tengah.Dua orang wakil dihantar kepada Badan Perjuangan Pembebasan Rakyat Islam.

1983 : PMRAM menyerti Perayaan sempena Seribu Tahun al-Azhar dengan kerjasama kedutaan Malaysia.

1994 : PMRAM membantu Pusat Islam dalam memberikan penjelasan tentang Jemaahal-Arqam

1997 : 22 September- HEWI menerima kunjungan dan mengadakan ramah mesra bersama mahasiswi Jordan dan Hizbi.

2.4 Keprihatinan

1958 : Oktober- 65 orang pemuda Melayu mendaftarkan diri menjadi askar sukarelawan manakala yang lain menderma darah dan mahasiswi menjahit pakaian tentera untuk membantu Mesir menentang pencerobohan tiga serangkai ; Inggeris-Perancis-Israel.

1964 : PMM menghantar kawattakziah atas kematian Zulkifli Muhamad (bekas YDP).Selain itu, kawat tahniah dihantar kepada TYT Tunku Abdul Rahman atas perlantikan sebagai PerdanaMenteri.
PMM menghantar 4 orang wakil tetap Kelab Pelajar-pelajar Asing di Kaherah.

1973 :6 Okober-PMRAM menderma sebanyak 500 pound kepada kerajaan Mesir atas kemenangan mereka dalam peperangan tiga serangkai (Inggeris-Perancis-Israel) yang disampaikan oleh Yang Diertua PMRAM kepada Dr Abdul Halim Mahmud, Syeikh al-Azhar.

2.5 Program-program

1972 : PMRAM menganjurkan kursus-kursus dakwah dan melahirkan 19 orang kader dakwah denagn saudara Abdullah Abbas Abu Bakar sebagai kader terbaik.

1992 : 16 Januari : PMRAM mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke 59.
17 September : PMRAM mengadakan Najlis Konvokesyen kali pertama bagi
mahasiswa yang tamat pengajian bertempat di Dewan Kuliah Tarbiyah Universiti
al-Azhar dan mengadakan sudut pameran untuk memperkenalkan Malaysia kepada
rakyat Mesir.

1993 : PMRAM menghantar 450 orang dalam kursus Kesedaran dan pimpinan pelajar di Mesir anjuran JPM.PMRAM mengadakan pertunjukan dan latihan sepak takraw di Kelab Sukan Zamalek Kaherah, Mesir.

1997 : 13 Mac-Majlis pelancaran Homepage PMRAM dan seminar penulisan serta ulangtahun suara kampus kali pertama diadakan di Rumah Melayu.
25 Mac-PMRAM menyertai pertandingan Pameran Kebudayaan di Universiti Ain Sham, Kaherah dan telah memenangi tempat kedua.
22 Jun-PMRAM menghantar kontijen menyertai perandingan badminton antarabangsa di Nadi Syabab Hayyu Sadis.
27&28 Julai :HEWI mengadakan Kongres Karisma yang dihadiri oleh mahasiswi Kaherah, Mansurah dan Iskandariah di Rumah Melayu Abbasiyah.

1998 : Muktamar Sanawi diadkan bagi menggantikan Mesyuarat Agung Tahunan dengan saudara Ahmad Bukhari Ghazali sebagai presiden.
8 Julai-Kelab Waja diri ditubuhkan yang mengandungi silat gayung dan taekwando
8 Ogos-Konvensyen Dewan Perwakilan Mahasiswa kali kedua berjaya dilaksanakan di Panorama Umi Kalsom, Mansoura.

2000 : Mengadakan sambutan Ulangtahun ke 70 PMRAM dengan sambutan yang menggalakkan dari seluruh bekas pimpinan PMRAM serta ahli.Pelancaran PMRAM multiomedia Centre (PMC)

2004 : Menganjurkan PMRAM International Knowledge Festival In Egypt (PROFIT) yang melibatkan penyertaan mahasiswa Negara Asia dan Afrika.

2005 : 2-11 Mei-Menyertai Pameran Kebudayaan Universiti Ain Sham bersempena 24th People’s Day Festival Egypt 2005 dengan dianggotai dari 13 negara.Mendapat tempat pertama.

2006 : 22-27 Ogos-Mengadakan Sambutan 50 tahun HEWI PMRAM (IKHLAS 06) yang turut disertai oleh wakil-wakil mahasiswi dari Ireland dan Jepun serta bekas kepimpinan Badan Pengurus dan HEWI PMRAM.Dikendalikan sepenuhnya oleh HEWI PMRAM.

2007 : Mac-PMRAM mengadakan Persidangan Mahasiswa Timur Tengah (PERMIT) melibatkan wakil mahasiswa Syria, Jordan dan Yaman di Dewan Solah Kamil, Universiti al-Azhar as-Syarif.
Ogos-Mengadakan Konvesyen Dewan Perwakilan Mahasiswa III (SEJAK) di Nadi Zahabiah, Mansurah.


3.0 MEHNAH DAN TRIBULASI


Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan sahaja mengatakan "kami telah beriman" sedangkan mereka belum diuji. Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta"
(Surah Al-Ankabut: 2-3)

Dalam surah Al-Baqarah Allah berfirman yang bermaksud :
"apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasulullah dan orang-orang yang beriman bersama baginda : "bilakah datangnya pertolongan allah?". Ingatlah sesungguhnya pertolongan alllah itu sangat dekat.
(Surah Al-Baqarah: 214)

Dalam surah Muhammad Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Dan sesungguhnya kami benar-benar menguji kamu agar kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar diantara kamu dan agar kami menyatakan (baik-buruknya) hal ehwalmu.(Surah Muhammad : 3)

Mehnah dan tribulasi merupakan satu sunnatullah kerana Allah hendak menguji sejauh mana cintanya kita pada Allah dengan kejayaan kita mengharungi ujianNya sebagai bukti.
Cuma mehnah dan tribulasi ini berbeza mengikut zaman dan situasi.
Dalam sejarah kehidupan manusia mehnah dan tribulasi bermula dari nabi adam a.s hinggalah nabi muhammad S.A.W. ujian ini diberi sebagai proses tazkiyah (pembersihan hati dan peningkatan taqwa)oleh Allah SWT.

Ramai yang amat suka menyebut ayat bombastic mehnah dan tribulasi yang sedap didengar ini di dalam ceramah-ceramahnya, tetapi sejauh mana hadirin dan kita benar-benar faham akan pengertiannya?

Secara ringkas, mehnah berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud ujian atau cabaran. Tribulasi pula berasal daripada perkataan Inggeris tribulation yang membawa maksud kesengsaraan atau kesusahan. Tribulasi juga boleh membawa maksud ujian, cuma ianya adalah dalam bentuk kesusahan.

Sememangnya telah menjadi lumrah dan fitrah dalam perjuangan menegakkan agama Allah ini, para pejuang pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan rintangan. Istilah yang sering kita gunakan adalah mehnah dan tribulasi. Sejarah telah membuktikan bahawa semua pejuang Islam yang benar-benar ikhlas dan berada dalam jalan yang benar tidak mungkin terlepas daripada dikenakan ujian. Para Nabi, para Rasul Allah, sahabat-sahabat mereka, para ulama’ pewaris Nabi dan sekalian da’ie. Secara umum pastinya ditimpa ujian yang datang menguji. Perkara ini sudah menjadi suatu kemestian atau prasyarat kepada pejuang Islam bagi melihat sejauh mana ketahanan dan istiqamah mereka dalam perjuangan.

Sebagai sebuah persatuan induk yang sudah pun mencecah usia 7dasawarsa, PMRAM juga turut tidak lekang diancam pelbagai mehnah dan tribulasi yang rencam sejak dari awal penubuhannya hinggalah kini.

1973 : PMRAM digantung pendaftarannya sehingga 1979 kerana wujud fahaman kenegerian di antara ahli.

1980 : Pendaftaran diperbaharui semula .PMRAM menghadapi masalah kewangan kerana pihak JPM menyekat bantuan kewangan Kerajaan Malaysia tetapi tidak melemahkan semangat PMRAM dan program tetap dijalankan malah ahli-ahli yang mendermakan wang poket untuk menjayakan program-program.

1992 :24 Februari- Kedutaan secara rasmi memutuskan hubungan dengan PMRAM dan tidak membenarkan PMRAM menggunakan kemudahan di Asrama Rumah Melayu.
28 April- Kedutaan memalang pintu pejabat PMRAM di Abbasiah setelah mengeluarkan notis supaya mengosongkan pejabat di Asrama Rumah Melayu.Ekoran daripada itu, pihak PMRAM mengadakan demonstrasi yang dibenarkan oleh pihak keamanan Mesir untuk menuntut kembali hak-hak PMRAM.

1995 : Julai-Konvensyen PMRAM kali pertama di Mansurah dibatalkan oleh pihak kedutaan atas alasan keselamatan.

Kebelakangan ini, PMRAM menghadapi krisis tenaga, ketandusan think thanker (pemikir) dan kepimpinan yang amat ketara, tempat untuk menjalankan operasi dan program yang terhad, kewujudan persatuan yang pelbagai yang memecah belahkan kesatuan ahli, sumber kewangan yang terhad, dan 1001 lagi permasalahan yang menuntut pengorbanan daripada semua peringkat sama ada pendokong dan penyokong PMRAM itu sendiri.

4.0 PMRAM DAN SURVIVAL


Sungguhpun terdapat pelbagai spekulasi yang menghujum dan menghentam PMRAM sebagai sebuah persatun menjurus kepada politik, akan tetapi segalanya itu tidak mematahkan perjuangan PMRAM untuk terus menyalurkan kebajikan dalam apa jua aspek guna membentuk jati diri para mahasiswa yang lebih berwibawa dan berketrampilan dari sudut ilmu, thaqafah dan nilai tambh yang lain.

Semua tekanan yang berlaku pasti akan menjadi pembakar semangat kepada PMRAM untuk terus memperjuangkan kebajikan yang menjadi nadi utama penubuhannya.Pelbagai program di semua lapangan dirangka khusus bagi memastikan kelangsungan PMRAM sebagai wadah perjuangan mahasiswa di ardhil kinanah.

PMRAM semenjak penubuhannya dari dahulu lagi telah merancang, menyusun dan melaksanakan agenda-agenda tarbiah serta kerohanian dalam melahirkan para mahasiswa/wi yang benar-benar bermutu sebelum mereka pulang dan terjun ke dalam masyarakat untuk.Sebagai contoh, program Kolokium Ilmuan secara bersiri dan Simposium Nuqaba’ adalah bukti kesungguhan PMRAM dalam melahirkan jil Rabbani yang diharapkan ummah.

Atas rasa tanggungjawab di hadapan Allah dalam memikul amanah bagi memastikan para mahasiswa Islam di Mesir terus gagah dalam menggendong ilmu, PMRAM meneruskan agenda thaqafah dan keilmuan melalui program-program yang melibatkan para ulama’ dari Mesir dan juga negara luar.Madrasah Imam Syafie yang dijalankan dan PROFIT yang saban tahun dilaksanakan adalah usaha PMRAM yang bercita-cita untuk menjadi al-Azhar kedua guna melahirkan ilmuan terulung selepas masyarakat Nubuwwah dan Risalah.

Agenda kesatuan juga turut diperteguhkan dalam menjana kekuatan kerana dengan ikatan kesatuan yang teguh, kekuatan pasti akan terbina.Firman Allah Taala:

“berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah berpecahbelah”(al-Imran : 103)

Program-program seperti Majlis Pengetahuan dan Silaturrahmi (MPS) dan Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan (PMHK) dan pelbagai aktiviti yang dapat menyatupadukan seluruh ahli diperhebatkan guna menghindar segala anasir-anasir luar yang cuba memecah-belahkan kesatuan ini.

PMRAM juga tidak ketinggalan dalam menggarap bakat-bakat seni melalui bengkel penulisa melalui Kem Latihan Penulis (KELAP) guna melahirkan penulis muda yang bakal melontar idea-idea bernas berlandaskan pedoman Illahi.

Bagi memastikan kelangsungan qaidatul sulbah (generasi teras). PMRAM juga turut memperhebatkan PESAT guna melahirkan lebih ramai lagi hardcore PMRAM yang bukan sekadar bekerja malah menjadi golongan pemikir untuk PMRAM.

5.0 PENUTUP

Sesungguhnya kronologi agung PMRAM yang ditampilkan adalah sebagai satu pengharapan agar sejarah perjuangannya yang digagaskan berteraskan aqidah yang mapan hingga kini, mampu berdiri gah bukanlah sekadar untuk dibangga malahan perlu kepada kesinambungan yang utuh sebagai pertahanan moga ia tidak sewenangnya-wenangnya dapat dimusnahkan oleh anasir-anasir yang tidak diingini.

Mehnah dan ribulasi yang dihadapi oleh PMARM adalah sebagai satu imbasan dalam pembinaan kekuatan pendokong dan peyokongnya bagi menunjukkan sifat kehambaan serta pergantungan kepada Allah SWT, menampakkan yang haq dan batil, sebagai satu bentuk pentarbiyahan diri, melahikan golongan yang berjiwa besar, memantapkan keimanan, kesabaran dan tangkas serta mempunyai keazaman yang kuat.

Justeru, penghayatan yang jitu setiap afrad yang berada di bawah naungannya amat diharapkan supaya impian memastikan survival PMRAM terus utuh menjadi kenyataan.Teruskanlah perjuangan bersama bahtera PMRAM yang berpaksikan al-quran dan as-sunnah tanpa ragu lagi demi memilhara agama dan amanah daripada diperkotak-katikkan oleh musuh yang sentiasa dahagakan perpecahan dan permusuhan di kalangan kita.

Bukan PMRAM semata-mata dijulang, bahkan kemurnian Islam yang mendasari PMRAM inilah sebenarnya menjadi tonggak utama keutuhan PMRAM untuk diagungkan.


“Semoga kita berjaya mengharungi gelora mehnah dan tribulasi kehidupan menuju ke pelabuhan kejayaan”

Saturday, October 04, 2008

My First Chocolate Cupcake



Bismillah walhamdulillah...Salam Eid Mubarak kepada semua umat Islam buat walau dimana jua berada juga buat sahabat-sahabat yang berada di bumi anbiya' ini.Pastinya kalian semua sibuk memenuhi undangan open house di sana sini.

Alhamdulillah, Allah beri kesempatan kepada diri ini untuk membantu adik-adik HEWI BKPJM mengadakan open house.Semua berjalan dengan lancar atas bantuan dan hasil kerjasama bersama.

Kepenatan dan keletihan meyediakan juadah yang bermula sedari malam lagi akhirnya hilang apabila melihat wajah-wajah ceria tetamu yang datang berkunjung.Rasa berbaloi juga berhempas pulas menyiapkan kesemuanya hinggalah ke penghujungnya.Tetapi yang paling menarik sekali ialah dapat membuat chocolate cupcakes, hasil airtangan sendiri :)
Alfu syukr buat semua!Taqabballahu minna waminkum!

Friday, October 03, 2008

Kekalkan Semangat Ramadhan



RAMADAN 1429 berlalu meninggalkan kita tetapi tidak bererti amal ibadat sepanjang bulan mulia itu turut ditinggalkan, sebaliknya perlu diteruskan sehinggalah kehadiran Ramadan akan datang.

Jika pada Ramadan kita dilatih tidak mengata nista, mengumpat dan menabur fitnah, sepatutnya pada bulan lain juga begitu.


Malah, atas kesinambungan ibadat puasa fardu pada Ramadan digalakkan umat Islam meneruskan lagi selama enam hari pada Syawal, sebagai satu ibadat sunat yang menyucikan jiwa.

Rugi bagi mereka yang berjaya mendidik nafsu sepanjang tarbiah Ramadan sehingga menjadi pemuja Rabbul Jalil, tetapi selepas Ramadan semuanya hilang sekelip mata, kembali semula kepada tabiat lama.

Justeru, bagi memastikan roh Ramadan dibawa ke bulan seterusnya, sentiasalah menghidupkannya dengan perkara yang diredhai Allah.

Bersesuaian hari raya sebagai hari kemenangan untuk meraikan kejayaan mengekang nafsu sepanjang Ramadan, janganlah diri dikotorkan kembali dengan maksiat sehingga tewas kepada hasutan nafsu dan syaitan.

Kemenangan yang mesti dicapai ialah kejayaan pada diri sendiri, bukannya diri orang lain, kerana berjaya melahirkan diri kita sebagai hamba Allah yang bertakwa, patuh pada syariat dan berakhlak baik, bukannya sebagai manusia derhaka terhadap Allah.

Dalam kegembiraan dan kemeriahan menyambut hari raya, kita perlu merebut ganjaran pahala ibadat puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, menunjukkan satu kesinambungan ibadat dari Ramadan.

Malah, jika dihalusi, bulan latihan ini bermula dari bulan Rejab lagi, di mana kita dianjurkan berpuasa sunat, beribadat, kemudian datang Ramadan dilipatgandakan lagi kerajinan beribadat.

Rasulullah s.a.w ada menyatakan kelebihan orang berpuasa pada bulan Syawal seperti orang berpuasa sepanjang tahun dalam sabdanya (bermaksud): “Daripada Abi Hurairah r.a., Dari Nabi s.a.w. katanya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam keseronokan menyambut Syawal, janganlah lupa dengan kemuliaan bulan ini, seolah-olah semua keseronokan itu adalah bonus, sehingga lupa kedatangan Syawal suatu kehilangan besar sebahagian kenikmatan untuk beribadat.

Walaupun ibadat puasa sunat boleh diteruskan pada bulan Syawal, keseronokan berjemaah mengerjakan Tarawih dan Lailatul Qadar tidak dapat dinikmati lagi sehinggalah Ramadan akan datang.

Sebenarnya, Islam tidak melarang umatnya berhibur untuk meraikan sesuatu kemenangan atau kejayaan tetapi hendaklah ia dilakukan melalui saluran hiburan yang betul dan berfaedah yang disertai dengan nilai akhlak mulia serta membanyakkan kesyukuran kepada Allah.

Dengan berlalunya Ramadan, sesetengahnya berseronok (kerana tidak perlu berpuasa lagi) tetapi sesetengah yang lain pula berdukacita (kerana tidak berpeluang menambahkan pahala).

Ini berbeza dengan sikap mereka menjelang Ramadan pada awal-awal dahulu, sesetengahnya berasa gelisah (kerana mengongkong jadual makan minumnya) manakala yang lain gembira (kerana peluang merebut pahala).

Begitupun, ada pihak yang tiada perasaan, tiada sukacita dan tiada dukacita. Ramadan atau tidak sama saja. Apabila dia mahu makan, dia makan saja. Apabila dia mahu berbuat jahat, menipu, mencuri, mencederakan orang, malah meragut nyawa orang, dia lakukan saja, tanpa peduli apa orang kata dan bulan apa.

Golongan seperti ini juga sebenarnya tidak peduli atau buat-buat tidak tahu apa yang Allah kata. “Wahai orang beriman. Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Apa pun ibadat sepanjang Ramadan lalu diharapkan menjadi pembakar motivasi kepada umat Islam untuk beribadat lebih tekun di samping mengharapkan semua amalan diterima Allah.

Sangat baik sekiranya nilai keperibadian yang dipupuk pada Ramadan dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian sepanjang tahun, terutama sifat sabar (dalam menghadapi dugaan hidup), sesuai dengan gesaan Allah supaya manusia banyak bersabar bagi mendapatkan kejayaan.

Amalan mulia yang lain seperti bermurah hati dan rajin melakukan amal kebajikan, rajin membaca al-Quran dan ke masjid untuk mengerjakan solat berjemaah sepatutnya dijadikan amalan yang biasa dalam kehidupan kita, berlegar di sekeliling diri kita, supaya rahmat Allah juga sentiasa menyelubungi diri kita.

Janganlah kemeriahan Syawal menjadi titik kepada kelunturan semangat beramal ibadat dan perubahan pada diri - rajin bertukar menjadi malas, soleh menjadi toleh, penyabar menjadi pemarah, pemaaf menjadi pendendam dan jika ini berlaku amatlah rugi.

Ziarah Mahabbah



Ramadan yang mulia sudah pun berlalu. Umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan menjalani ibadah puasa. Lazimnya di musim perayaan, ziarah-menziarahi adalah amalan yang akan dilakukan bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga dalam masyarakat lain, terutama sekali dalam mengunjungi rumah terbuka.

Amalan ziarah-menziarahi amat dituntut dalam Islam, apatah lagi di musim Aidilfitri. Aidilfitri membuka ruang kepada kita untuk mengaplikasikan ajaran Islam mengenai konsep berkenal-kenalan (lita’arafu) dan mengeratkan silaturahim. Sekolah Ramadan yang dilalui telah mengajar dan mendidik hati untuk sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Puasa mendidik hawa nafsu, mengajar untuk sentiasa menginsafi nikmat yang diterima dan juga berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengutip pahala daripada amalan-amalan sunat, sedekah dan lain-lain.

Justeru, hari kemenangan menunaikan ibadah ini disambut dalam semangat mengajak manusia kembali pada fitrah dan kembali kepada kebaikan.

Jika pada bulan Ramadan manusia berusaha untuk menambah pahala amalan berpuasa, mengapa tidak di hari lebaran semangat itu dipanjangkan dengan amalan ziarah-menziarahi? Amat menyedihkan sekiranya amalan ini tidak diteruskan hanya dengan alasan terlalu sibuk dan tidak sempat untuk mengunjungi saudara mara dan rakan taulan.

Ziarah membawa kegembiraan kepada mereka yang diziarahi, terutamanya orang tua, warga miskin, anak yatim dan yang terpaksa merayakan perayaan di dalam keadaan yang serba kekurangan. Bayangkan jika kita sudah berumur dan tidak berdaya, tinggal keseorangan menyambut hari lebaran, tentunya kita mengharapkan ada orang yang sudi melawat dan bertanyakan khabar. Sekurang-kurangnya menjadi pengubat kesepian.

Ziarah Syawal memberi peluang kepada manusia untuk bertanya khabar dan mengeratkan silaturahim. Perhubungan yang terputus dapat ditaut kembali, saudara mara berkesempatan mengenali satu sama lain dan ikatan yang sedia erat akan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran si penziarah. Anak-anak yang mencari rezeki di kota harus pulang ke desa untuk meneruskan amalan ziarah-menziarahi supaya tidak lupa akan asal-usul masing-masing.

Dalam erti kata lain, amalan ini juga memberi ruang untuk manusia supaya menginsafi diri dan tidak hanya bersikap individualistik. Kehidupan setiap insan tidak sama, dan perbezaan taraf kehidupan kadangkala memberi impak kepada persepsi manusia. Namun begitu, persepsi tidak sepatutnya membolehkan orang yang berada melupakan si miskin, yang sihat tidak terkenangkan yang sakit dan apatah lagi yang muda melupakan si tua. Perasaan takbur dan sombong harus dibuang jauh-jauh kerana manusia harus sedar bahawa setiap nikmat yang dimiliki adalah anugerah Allah yang patut disyukuri dan dikongsi bersama.

Ziarah Yang Beradab

Menziarahi juga tidak terlepas daripada mengikut nilai adab dan santunnya sendiri. Tujuan berziarah haruslah disertai dengan niat yang baik, iaitu untuk mengeratkan silaturahim dan bertanya khabar. Antara adab-adab lain yang boleh dilaukan oleh kita terutamanya para remaja adalah:

“Tidak mengharapkan apa-apa pulangan atau balasan dan sentiasa bermanis muka. Kadangkala tuan rumah yang diziarahi tidak mempunyai apa-apa untuk dihidangkan atau diberi, maka tidak sewajarnya kita bermasam muka atau menyebarkan hal itu kepada orang lain.

“Bertanya khabar dan tidak bercakap tentang perkara-perkara yang mencemarkan kesucian menyambut Aidilfitri sehingga tidak menimbulkan rasa tidak senang pada yang dilawati. Bertanya khabar memberi tanda bahawa diri orang itu tidak dilupakan dan ada orang yang mengambil berat tentang dirinya.

Kegembiraan ini juga tidak seharusnya dicemarkan dengan perbuatan mengumpat, bercerita tentang hal-hal yang tidak berfaedah dan tidak mengambil kira akan perasaan orang lain.

“Si penziarah dan yang diziarahi tidak harus lupa akan asal usul dan membangga diri. Kadangkala nikmat yang dimiliki menjadikan manusia sombong dan takbur serta lupa akan perasaan orang lain yang tidak memilikinya. Sikap menunjuk-nunjuk harus dielakkan supaya keberkatan Syawal tidak dicemari dengan perasaan iri hati dan sombong.

“Setiap perbezaan fikiran dan idealisme harus ditangani dengan etika yang baik. Pertelagahan seharusnya dielakkan dengan baik dan berhikmah agar keharmonian Syawal tidak bertukar kepada pertengkaran dan rasa tidak puas hati. Ini juga adalah simbolik kepada lafaz takbir dan tahmid yang membawa asas kepada kemenangan bersatu padu.

“Para ibu dan bapa harus mengajak anak-anak mereka untuk berziarah dan menunjukkan tauladan ziarah dengan adab-adab yang baik yang berhemah. Apabila anak-anak dididik dengan adab-adab berziarah yang baik, mereka akan membesar dalam suasana hormat-menghormati, sentiasa berniat baik dan juga tidak bersikap mementingkan diri sendiri.

Para remaja juga harus melapangkan dada untuk pergi bersama-sama ibu bapa mereka kerana ini perbuatan ini bukan sahaja menambah kegembiraan kepada ibu bapa mereka dan orang yang diziarahi, tetapi juga mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t.

Kesimpulan

Amalan ziarah-menziarahi harus diteruskan biarpun bukan di dalam bulan Syawal kerana ziarah-menziarahi membawa asas perpaduan dan ukhuwah kepada umat Islam. Perpecahan terjadi kerana tidak adanya kesatuan dan persaudaraan. Kesatuan dan persaudaraan terjadi kerana tidak adanya semangat lita’arafu (saling berkenal-kenalan) dan mahabbah.

Maka amalan ziarah-menziarahi dapat memecahkan tembok yang menjadi penghalang kepada perpaduan serta memupuk perasaan prihatin pada yang memerlukan. Justeru itu, marilah sama-sama kita meneruskan amalan mulia ini kerana amalan ini pastinya membawa seribu erti kepada kedua-dua pihak ziarah, apatah lagi di dalam bulan kemenangan ini.

Wednesday, October 01, 2008

Syawal dan Perang Ahzab



Sempena Bulan Syawal yang mulia ini marilah bersama menghayati sirah Rasulullah SAW dalam peperangan Ahzab.
Tanggal 7 Syawal 5 Hijrah menyaksikan peristiwa Perang Ahzab berlaku setelah kesedihan menimpa kaum Muslimin, akibat keguguran ramai para syuhada didalam Peperangan Uhud.

Kaum Quraisy ingin menumpaskan kesemua kaum Muslimin. Mereka menubuhkan satu pasukan perang yang besar. Ribuan pasukan yang terdiri dari puak Quraisy dan sekutunya yang terdiri daripada kaum Quraisy, Bani Asad, bani Kilab, bani Syaiban, bani Ghatfan dan hampir seluruh kabilah yang sepakat akan menyerang kaum muslimin di kala itu.

Mereka semua berjumlah tidak kurang daripada 10 ribu orang sedangkan di pihak Islam berjumlah 3000 orang sahaja. Mereka berkumpul dan mengepung dari Utara Madinah. Sementara itu, pakatan Kaum Yahudi Madinah daripada Bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan Bani Quraizah menyaksikan penyatuan golongan yang membenci agama Allah ini dalam memerangi Rasulullah SAW dan Islam yang diperjuangkan oleh mereka.

Setelah peristiwa pembunuhan Kaab bin Asyraf, seorang yahudi yang menghina Nabi SAW dan Islam pada tahun 4 Hijrah, kebencian golongan Yahudi ini membuak buak sehinggakan mereka sanggup menyatakan bahawa agama sesat golongan quraisy Mekah adalah lebih baik daripada Islam sedangkan mereka merupakan golongan yang mengetahui Al Kitab dan beriman dengan Nabi Allah Musa A.S.

Dengan pimpinan Kaab bin Asad yang dihasut oleh Huyayy bin Akhtab, kedua dua pemimpin yahudi laknat ini telah berpakat sesama mereka dan bersatu dengan musyrikin Makkah untuk menyerang Madinah. Salman al farisi telah mencadangkan kepada Nabi SAW supaya dibuat parit yang mengelilingi Madinah supaya serangan tentera Ahzab tidak dapat menembusi Madinah. Lalu Rasulullah SAW bersama para sahabat dengan iman yang kental memulakan pembinaan parit tersebut untuk mempertahankan Islam.

Pada saat kedatangan tentera Ahzab ini, kaum Yahudi menyerang kaum muslimim dari belakang dan tentera musyrikin menyerang dari arah hadapan.Tentera bersekutu Ahzab kuffar seramai 10,000 orang yang tiba ke tempat peperangan terkejut apabila mendapati parit digali tentera Islam. Ia adalah pengalaman strategi berperang yang baru kepada mereka.

Rasullulah SAW telah berdoa sebagaimana riwayat dari Abdullah bin Abu Aufa r.a katanya, Rasulullah s.a.w di hari perang Ahzab mengucapkan:”Ya Allah, yang menurunkan kitab dan cepat membuat perhitungan! Kalahkanlah kaum Ahzab dan goncangkanlah pendirian mereka.”

Tentera Islam yang hanya berjumlah 3,000 orang mampu bertahan. Pertempuran besar tidak berlaku dalam peperangan ini. Enam tentera Islam syahid, manakala 10 Musyrikin dibunuh.Akhirnya, Allah mendatangkan kemenangan dengan ribut pasir, menyebabkan tentera musuh berundur, dengan pertolongan Allah S.W.T bala tentera yang ramai itu dapat dikalahkan oleh kaum tentera muslimin yang sedikit.

Allah S.W.T menggambarkan situasi ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepada kalian ketika datang kepada kalian pasukan, lalu Kami mengirimkan kepada mereka angin taufan dan pasukan yang tidak dapat kamu lihat. (al-Ahzab: 9-11).

Berlaku juga kacau-bilau antara mereka apabila pengintip yang dihantar Rasulullah berjaya melonggarkan kepercayaan antara tentera Ahzab. Allah SWT telah menewaskan tentera Ahzab dengan keesaanNya.

Pengajaran perang Ahzab menunjukkan kepada kita bahawa perjuangan Islam pasti akan menghadapi pakatan kuffar untuk menghancurkan Islam dengan apa cara sekalipun. Golongan yang menegakkan agama Allah SWT sentiasa akan diuji dengan serangan yang dilakukan oleh pakatan Ahzab moden yang sangat membenci Islam.

Dunia hari ini memperlihatkan golongan kuffar bersepakat dalam melakukan serangan yang dilakukan kepada Negara ummat Islam. Islam, syariat Islam, serta golongan yang memperjuangkan Islam sentiasa menjadi sasaran mereka.

Tidak banyak bezanya dengan apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan orang orang beriman dizaman dahulu. Jika dahulu Madinah diserang daripada segenap arah, maka kita hari ini juga diserang dari pelbagai arah. Daripada serangan fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya, kebencian golongan kuffar terhadap agama Allah SWT sangat membuak buak dan mereka sentiasa bersedia untuk menghancurkan Islam dan ummatnya pada hari ini.

Tetapi mereka mesti ingat, Allah menjanjikan pertolongan bagi orang-orang beriman dan mengazab musuh-musuhnya. Ini adalah janji yang tidak mungkin diingkari.

Selain dalam peperangan Ahzab, Allah S.W.T juga telah menolong kaum muslimin dalam peperangan-peperangan yang lain seperti yang berlaku didalam peperangan Badar, Uhud dan Khaibar. Sesungguhnya al- Maunah (pertolongan Allah) pasti datang apabila kita ikhlas dalam perjuangan Islam.


ALLAHU AKBAR!Semoga laungan takbir memantapkan tekad menghancurkan ahzab di sepanjang zaman.Salam 'Aidilfitri, Maaf zahir dan batin.