Friday, May 30, 2008

Sufi Haraki


Ada yang berpendapat jika kita menyertai tareqat sufi ianya tidak sesuai kepada orang yang bergiat aktif dalam berdakwah.Ini kerana mereka menganggap apabila menyertai tareqat sufi maka akan meninggalkan dunia dan tidak mengendahkan masyarakat.

Entry kali ini, ingin ana fokuskan bagaimana pandangan-pandangan tersebut amatlah sempit jika dinilai dengan dunia kesufian.

Berapa ramai bersemangat dengan kegiatan dakwah tetapi jahil dari sudut agama..?

Berapa ramai bersemangat dengan kegiatan dakwah tetapi tercicir soal akhlaknya...?

Berapa ramai bersemangat dengan kegiatan dakwah tetapi makin jauh dari Allah..?

Berapa ramai bersemangat dengan kegiatan dakwah hanya disemai semangatnya bersama pemimpin yang disukainya sahaja..?

Maka,semua persoalan tersebut kembali kepada lemahnya tarbiyah ruhani mereka dalam membawa risalah agama.

Sebagai perkongsian ilmu kita bersama, disini ana sertakan satu kertas kerja yang dipetik dr Persatuan Pelajar Malaysia Syria. Ana kira amatlah sesuai ditatbiqkan oleh kita sesuai dengan suasana di malaysia berhadapan dengan pelbagai konflik agama dan membangunkan manusia ke arah mentauhidkan pada Allah.

Moga ianya memberi manfaat buat semua. Khususnya kepada jiwa-jiwa yang sentiasa berusaha mentarbiah jiwanya tetap kepada Allah dan pada masa yang sama keluar berjihad mengembangkan dakwah kepada masyarakat sekelilingnya.

Dipetik dari :Persatuan Pelajar Malaysia Syria

Pada tarikh: 1/1/2007


Kekusutan ummah yang melanda sekarang ini amat membimbangkan kita. Daripada gejala sosial, dadah, masalah ekonomi, tipu daya politik hinggalah kepada gejala murtad yang hangat diperkatakan sekarang. Menambah remuk dan luka kepada kekusutan ini adalah fenomena hiburan yang melampau di kalangan masyarakat Malaysia pada ketika ini. Semua iklan mesti menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ringtone handpone juga mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama pun mesti ada unsur unsur hiburan. Kehidupan kita sudah menjadi entertainment oriented. Apa yang pasti, kekusutan ini menyebabkan ummah sedar dan ingin kembali kepada ketenangan beragama. Maka tidak hairanlah semakin ramai yang menghadiri majlis-majlis zikir, ceramah, seminar dan tak kurang juga yang aktif dalam persatuan-persatuan untuk membuat kerja kerja dakwah. Malah ada juga yang bertindak lari dari kehidupan masyarakat yang dianggap sudah rosak.

MAKNA RINGKAS SUFI

Sesetengah orang mengatakan: Para sufi dinamakan demikian kerana kemurnian hati (shafa) dan kebersihan tindakan mereka (athar). Ada pula yang mengatakan: mereka dinamakan sufi kerana berada pada baris pertama shaf di depan Tuhan dan ada juga kerana besarnya keinginan mereka berada di hadapan-Nya.Pengertian dan relevansi sufi pada hari ini dilihat dari persepsi dan pandangan yang keliru oleh masyarakat sama ada yang bergiat dalam terekat-tarekat (bukan semua) atau yang tidak terlibat. Kini apabila istilah sufi diketengahkan, ramai yang memahami bahawa sufi merupakan cara hidup golongan tertentu yang mengamalkan zikir-zikir tertentu, tidak keluar bergaul bersama masyarakat, berperilaku pelik, memencillkan diri dan seumpamanya. Sufi, tasawuf atau tarekat dianggap anti sains, anti kerajaan dan anti kemodenan.

SUFI HARAKI

Bagi mengubah persepsi tersebut, ada wajarnya untuk kita melahirkan istilah yang muktadil (pertengahan) yang dapat diterima oleh orang yang bergiat dalam sufi dan yang tidak bergiat iaitu Sufi Haraki.

Kita tidak mahu sufi, tasawuf atau tarekat dilihat dari bentuk yang terbatas, sebaliknya kita mahu sufi dilihat bergerak dan berada di mana-mana bidang termasuk ekonomi, pelancongan mahupun politik. Amat menakjubkan kalau kita melihat nama nama besar dalam dunia sufi, mereka merupakan cermin ketokohan. Al Hallaj, al Qawariri dan sebagainya adalah pemuka masyarakat dalam pemerintahan dan keagamaan. Jalaluddin ar Rumi pernah manjadi menteri. Malik bin Dinar adalah seorang sultan. Sultan Akbar yang berjaya menyatukan India dalam kedamaian dan kemakmuran adalah seorang raja yang sufi. Tarekat Sanusiyyah di Tunisia berjaya menghalau penjajah dan membentuk Libya. Malah berkat aliran sufi, bangsa Chechen yang memelihara Islam dalam cengkaman komunisme bangkit menentang Rusia bersendirian.

KESUFIAN BUMI SYAM

Memang tidak dinafikan bumi Syam amat terkenal dengan gerakan sufi serta tokoh tokohnya. Banyak juga aliran aliran tarekat yang ada sekarang berasal dari bumi berkat ini. Malah kita juga kagum melihat tokoh-tokoh yang aktif di dalam dakwah al'amiyyah merupakan seorang sufi.

Kita boleh mengambil contoh, Syeikh Hasan Habannakah rahimahullah yang merupakan seorang alim, faqih dan sufi. Beliaulah antara orang yang bingkas bangun dan kuat menentang di kala Perancis menjejakkan kaki di bumi Syria.

Di belakangnya juga terdapat ramai tokoh dan ulama yang menyokong beliau. Antaranya ialah Syeikh Mulla Ramadhan (Syeikh Mulla yang terkenal dengan amalan-amalan dan wirid pun pernah menyertai gerakan jihad ketika tinggal di Turki). Syeikh Hasan Habannakah juga bergerak dalam membina pejuang-pejuang agama khususnya dalam bidang dakwah dengan membina Ma'ahad Taujih al Islami yang berpusat di Jamie' Manjak.

Sememangnya tarbiyah yang berciri sufi dan haraki itu memberi impak yang besar dan ia dapat kita lihat pada hari ini.

Almarhum Syeikh Husain Khitab (bekas Syeikh Qurraa, Syeikh Sodiq Habannakah, Syeikh Muhammad Said Ramadhan, Syeikh Kuraim Rajih, Syeikh Mustafa al Bugha, Syeikh Mustafa al Khin dan Syeikh Mustafa al Turkmani (meninggal baru-baru ini) merupakan antara figure-figure masyarakat hasil didikan Ma'ahad Taujih al Islami. Contoh-contoh ini memberi signal kepada kita bahawa sufi dan haraki jika disatukan akan memberi anjakan paradigma dalam dunia Islam.

CIRI CIRI SUFI HARAKI

1. Menjaga hablun min Allah wa hablun min Nas.(Hubungannya dengan Pencipta dan hubungannya dengan sesama manusia)

Tidak dapat tidak, sufi haraki mesti menjaga hubungan dengan Allah Taala dengan amalannya serta menjaga hubungan dengan manusia dengan menjalankan aktiviti dakwah dan ijtimaie.Amat menyedihkan ada golongan yang mendakwa mereka pejuang Islam tetapi tidak menjaga solat jemaah di masjid, lebih suka mengambil rukhsah dan sebagainya. Bukan setakat itu sahaja, solat subuh berjemaah di masjid juga boleh dibilang dengan jari lantaran selalu sahaja terlajak. Itu belum lagi berbicara mengenai amalan sunat. Seorang sufi dan haraki amat menjaga hubungan dengan Allah Taala dengan menjaga ibadah fardhu dan mempunyai amalan sunat yang khusus. Selain itu, mereka amat aktif dalam masyarakat serta giat dalam aktiviti amar makruf nahi mungkar. Mereka amat sensitif dengan kebejatan izzah Islam dan muslimin.

2. Ruhban fillail wa fursan fin nahar. (Ahli ibadat di waktu malam, pejuang di waktu siang)
Walaupun berzaman telah berlalu, sejarah telah merakamkan bahawa ramai ulama yang zuhud dan tawadhu' menjadi pemimpin pejuang kemerdekaan. Hidup mereka dipenuhi dengan ibadat pada malamnya dan memenuhi siangnya dengan perjuangan menentang penjajah.

Mereka sanggup menggadaikan nyawa mereka malah sebahagian mereka mati dibunuh dan sebahagiannya mati dalam pembuangan daerah. Nama-nama seperti Tuan Guru Haji Hasan bin Munas (Tok Janggut), Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Syeikh Tahir Jalaludin, Syeikh Syed Al Hadi dan Tengku Daud Barueh adalah antara pemuka-pemuka nusantara yang mempunyai ciri-ciri ini.

Malah di bumi Syam ini kita biasa mendengar tokoh-tokoh sufi begitu aktif dengan perjuangan seperti Syeikh Hasan Habannakah, Syeikh Abdul Karim ar Rifaie' dan Syeikh Muhammad an Nabhani. Walaupun mereka sibuk dengan zikir dan hizib mereka, mereka langsung tidak lupa kepada perjuangan mereka. Andai kita mendalami dan menyusuri hidup wali songo, kita pasti akan mengatakan tindakan sesetengah pihak yang hanya berzikir dan tidak keluar kepada masyarakat adalah silap dan tidak tepat.

3. Uzlah nafs (Pengasingan dari penyakit jiwa), bukan jasad (bukan mengasingkan diri dari manusia).

Uzlah secara umumnya bermaksud pengasingan.Uzlah nafs supaya tidak dikotori dengan kotoran jahiliah. Sufi haraki yang sememangnya menjadikan penyucian jiwa sebagai antara agenda utama tidak rela melihat masayrakat di sekelilingnya rosak dengan gejala jahiliyah. Dalam bidang amal, gerakan, pergaulan dan dakwah uzlah tidak wujud sama sekali. Ini adalah kerana dalam soal soal ini, tiada ruang untuk bersendirian, jika tidak kerja-kerja dakwah akan terhenti.

4. Muthaqqaf (Seorang yang berpengetahuan luas).

Seorang yang sufi dan haraki mestilah mempunyai thaqafah yang luas, mantap dalam pengetahuan agama dan tidak hanya taqlid buta. Kerja yang dilakukan bukan atas dasar semangat semata mata, sebaliknya atas dasar ilmu dan keyakinan. Lantaran itu sudah pasti kita tidak akan mendengar lagi salah faham dalam memahami konsep sufi. Selain itu, sufi haraki mestilah up to date dan tidak ketinggalan dalam menerima maklumat maklumat terkini. Ini amat penting dalam proses untuk memahami waqie'. Jika tidak, ia akan menganggu dakwah malah berkemungkinan juga akan dicop sebagai golongan yang jumud, tidak memahami waqie' dan sebagainya.

5. Zuhud dan Tawadhu' (Rendah diri)

Apabila membicarakan soal kesufian, memang tidak lengkap jika tidak mengaitkan ia dengan sifat zuhud dan tawadhu'. Menyingkap sirah sendiri, hampir semua kitab yang menulis mengenai Rasulullah s.a.w menceritakan bagaimana keadaan hidupnya. Bukan sahaja tidak terdapat perabot-perabot yang mewah di dalam rumah baginda s.a.w malah tempat tidurnya hanya beralaskan tikar yang apabila tidur di atasnya, kesannya akan terlekat dipipinya.

Di zaman salaf juga kita boleh melihat Umar bin Abdul Aziz yang memerintah Negara amat tawadhu' dan zuhud lantaran tidak pernah dicatatkan mengenai sifat-sifat yang buruk seperti tamak harta, rasuah, penyelewengan wang rakyat dan sebagainya walaupun zakat yang dikumpulkan amat banyak dan tiada seorang pun rakyatnya layak menerima zakat.

PENUTUP

Perlu difahami disini bahawa sufi sebenarnya berasal dari makna penyucian jiwa. Penyucian jiwa dari penyakit hati, keegoan, ketamakan harta dan pangkat dengan menginsafi bahawa dunia ini hanya sementara. Dunia bukanlah tujuan tetapi adalah jambatan untuk akhirat. Sufi adalah gaya hidup yang meliputi sikap, pandangan dan tingkah laku. Ia bukan mekanisme persembunyian dan pelarian dari dunia. Sufi dan tasawwuf juga tidak akan meninggalkan syariat kerana ianya berpijak pada syariat untuk menjalani tarekat agar mencapai hakikat. Para sufi juga tidak meninggalkan dunia, bahkan mereka ingin menggoncangnya.

Sesungguhnya tulisan ini adalah pandangan daripada penulis. Bukanlah bertujuan untuk menyindir mana-mana pihak sebaliknya yang dikehendaki hanyalah kebaikan dan perubahan dalam masyarakat. Moga-moga generasi yang akan lahir nanti akan menepati ciri-ciri sufi haraki seterusnya mendirikan agama dan mentadbir dunia ini dengan agama agar Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur menjadi kenyataan.

Ihsan daripada : Dr Nafsah

No comments: