Friday, May 30, 2008

Sufi Haraki


Ada yang berpendapat jika kita menyertai tareqat sufi ianya tidak sesuai kepada orang yang bergiat aktif dalam berdakwah.Ini kerana mereka menganggap apabila menyertai tareqat sufi maka akan meninggalkan dunia dan tidak mengendahkan masyarakat.

Entry kali ini, ingin ana fokuskan bagaimana pandangan-pandangan tersebut amatlah sempit jika dinilai dengan dunia kesufian.

Berapa ramai bersemangat dengan kegiatan dakwah tetapi jahil dari sudut agama..?

Berapa ramai bersemangat dengan kegiatan dakwah tetapi tercicir soal akhlaknya...?

Berapa ramai bersemangat dengan kegiatan dakwah tetapi makin jauh dari Allah..?

Berapa ramai bersemangat dengan kegiatan dakwah hanya disemai semangatnya bersama pemimpin yang disukainya sahaja..?

Maka,semua persoalan tersebut kembali kepada lemahnya tarbiyah ruhani mereka dalam membawa risalah agama.

Sebagai perkongsian ilmu kita bersama, disini ana sertakan satu kertas kerja yang dipetik dr Persatuan Pelajar Malaysia Syria. Ana kira amatlah sesuai ditatbiqkan oleh kita sesuai dengan suasana di malaysia berhadapan dengan pelbagai konflik agama dan membangunkan manusia ke arah mentauhidkan pada Allah.

Moga ianya memberi manfaat buat semua. Khususnya kepada jiwa-jiwa yang sentiasa berusaha mentarbiah jiwanya tetap kepada Allah dan pada masa yang sama keluar berjihad mengembangkan dakwah kepada masyarakat sekelilingnya.

Dipetik dari :Persatuan Pelajar Malaysia Syria

Pada tarikh: 1/1/2007


Kekusutan ummah yang melanda sekarang ini amat membimbangkan kita. Daripada gejala sosial, dadah, masalah ekonomi, tipu daya politik hinggalah kepada gejala murtad yang hangat diperkatakan sekarang. Menambah remuk dan luka kepada kekusutan ini adalah fenomena hiburan yang melampau di kalangan masyarakat Malaysia pada ketika ini. Semua iklan mesti menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ringtone handpone juga mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama pun mesti ada unsur unsur hiburan. Kehidupan kita sudah menjadi entertainment oriented. Apa yang pasti, kekusutan ini menyebabkan ummah sedar dan ingin kembali kepada ketenangan beragama. Maka tidak hairanlah semakin ramai yang menghadiri majlis-majlis zikir, ceramah, seminar dan tak kurang juga yang aktif dalam persatuan-persatuan untuk membuat kerja kerja dakwah. Malah ada juga yang bertindak lari dari kehidupan masyarakat yang dianggap sudah rosak.

MAKNA RINGKAS SUFI

Sesetengah orang mengatakan: Para sufi dinamakan demikian kerana kemurnian hati (shafa) dan kebersihan tindakan mereka (athar). Ada pula yang mengatakan: mereka dinamakan sufi kerana berada pada baris pertama shaf di depan Tuhan dan ada juga kerana besarnya keinginan mereka berada di hadapan-Nya.Pengertian dan relevansi sufi pada hari ini dilihat dari persepsi dan pandangan yang keliru oleh masyarakat sama ada yang bergiat dalam terekat-tarekat (bukan semua) atau yang tidak terlibat. Kini apabila istilah sufi diketengahkan, ramai yang memahami bahawa sufi merupakan cara hidup golongan tertentu yang mengamalkan zikir-zikir tertentu, tidak keluar bergaul bersama masyarakat, berperilaku pelik, memencillkan diri dan seumpamanya. Sufi, tasawuf atau tarekat dianggap anti sains, anti kerajaan dan anti kemodenan.

SUFI HARAKI

Bagi mengubah persepsi tersebut, ada wajarnya untuk kita melahirkan istilah yang muktadil (pertengahan) yang dapat diterima oleh orang yang bergiat dalam sufi dan yang tidak bergiat iaitu Sufi Haraki.

Kita tidak mahu sufi, tasawuf atau tarekat dilihat dari bentuk yang terbatas, sebaliknya kita mahu sufi dilihat bergerak dan berada di mana-mana bidang termasuk ekonomi, pelancongan mahupun politik. Amat menakjubkan kalau kita melihat nama nama besar dalam dunia sufi, mereka merupakan cermin ketokohan. Al Hallaj, al Qawariri dan sebagainya adalah pemuka masyarakat dalam pemerintahan dan keagamaan. Jalaluddin ar Rumi pernah manjadi menteri. Malik bin Dinar adalah seorang sultan. Sultan Akbar yang berjaya menyatukan India dalam kedamaian dan kemakmuran adalah seorang raja yang sufi. Tarekat Sanusiyyah di Tunisia berjaya menghalau penjajah dan membentuk Libya. Malah berkat aliran sufi, bangsa Chechen yang memelihara Islam dalam cengkaman komunisme bangkit menentang Rusia bersendirian.

KESUFIAN BUMI SYAM

Memang tidak dinafikan bumi Syam amat terkenal dengan gerakan sufi serta tokoh tokohnya. Banyak juga aliran aliran tarekat yang ada sekarang berasal dari bumi berkat ini. Malah kita juga kagum melihat tokoh-tokoh yang aktif di dalam dakwah al'amiyyah merupakan seorang sufi.

Kita boleh mengambil contoh, Syeikh Hasan Habannakah rahimahullah yang merupakan seorang alim, faqih dan sufi. Beliaulah antara orang yang bingkas bangun dan kuat menentang di kala Perancis menjejakkan kaki di bumi Syria.

Di belakangnya juga terdapat ramai tokoh dan ulama yang menyokong beliau. Antaranya ialah Syeikh Mulla Ramadhan (Syeikh Mulla yang terkenal dengan amalan-amalan dan wirid pun pernah menyertai gerakan jihad ketika tinggal di Turki). Syeikh Hasan Habannakah juga bergerak dalam membina pejuang-pejuang agama khususnya dalam bidang dakwah dengan membina Ma'ahad Taujih al Islami yang berpusat di Jamie' Manjak.

Sememangnya tarbiyah yang berciri sufi dan haraki itu memberi impak yang besar dan ia dapat kita lihat pada hari ini.

Almarhum Syeikh Husain Khitab (bekas Syeikh Qurraa, Syeikh Sodiq Habannakah, Syeikh Muhammad Said Ramadhan, Syeikh Kuraim Rajih, Syeikh Mustafa al Bugha, Syeikh Mustafa al Khin dan Syeikh Mustafa al Turkmani (meninggal baru-baru ini) merupakan antara figure-figure masyarakat hasil didikan Ma'ahad Taujih al Islami. Contoh-contoh ini memberi signal kepada kita bahawa sufi dan haraki jika disatukan akan memberi anjakan paradigma dalam dunia Islam.

CIRI CIRI SUFI HARAKI

1. Menjaga hablun min Allah wa hablun min Nas.(Hubungannya dengan Pencipta dan hubungannya dengan sesama manusia)

Tidak dapat tidak, sufi haraki mesti menjaga hubungan dengan Allah Taala dengan amalannya serta menjaga hubungan dengan manusia dengan menjalankan aktiviti dakwah dan ijtimaie.Amat menyedihkan ada golongan yang mendakwa mereka pejuang Islam tetapi tidak menjaga solat jemaah di masjid, lebih suka mengambil rukhsah dan sebagainya. Bukan setakat itu sahaja, solat subuh berjemaah di masjid juga boleh dibilang dengan jari lantaran selalu sahaja terlajak. Itu belum lagi berbicara mengenai amalan sunat. Seorang sufi dan haraki amat menjaga hubungan dengan Allah Taala dengan menjaga ibadah fardhu dan mempunyai amalan sunat yang khusus. Selain itu, mereka amat aktif dalam masyarakat serta giat dalam aktiviti amar makruf nahi mungkar. Mereka amat sensitif dengan kebejatan izzah Islam dan muslimin.

2. Ruhban fillail wa fursan fin nahar. (Ahli ibadat di waktu malam, pejuang di waktu siang)
Walaupun berzaman telah berlalu, sejarah telah merakamkan bahawa ramai ulama yang zuhud dan tawadhu' menjadi pemimpin pejuang kemerdekaan. Hidup mereka dipenuhi dengan ibadat pada malamnya dan memenuhi siangnya dengan perjuangan menentang penjajah.

Mereka sanggup menggadaikan nyawa mereka malah sebahagian mereka mati dibunuh dan sebahagiannya mati dalam pembuangan daerah. Nama-nama seperti Tuan Guru Haji Hasan bin Munas (Tok Janggut), Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Syeikh Tahir Jalaludin, Syeikh Syed Al Hadi dan Tengku Daud Barueh adalah antara pemuka-pemuka nusantara yang mempunyai ciri-ciri ini.

Malah di bumi Syam ini kita biasa mendengar tokoh-tokoh sufi begitu aktif dengan perjuangan seperti Syeikh Hasan Habannakah, Syeikh Abdul Karim ar Rifaie' dan Syeikh Muhammad an Nabhani. Walaupun mereka sibuk dengan zikir dan hizib mereka, mereka langsung tidak lupa kepada perjuangan mereka. Andai kita mendalami dan menyusuri hidup wali songo, kita pasti akan mengatakan tindakan sesetengah pihak yang hanya berzikir dan tidak keluar kepada masyarakat adalah silap dan tidak tepat.

3. Uzlah nafs (Pengasingan dari penyakit jiwa), bukan jasad (bukan mengasingkan diri dari manusia).

Uzlah secara umumnya bermaksud pengasingan.Uzlah nafs supaya tidak dikotori dengan kotoran jahiliah. Sufi haraki yang sememangnya menjadikan penyucian jiwa sebagai antara agenda utama tidak rela melihat masayrakat di sekelilingnya rosak dengan gejala jahiliyah. Dalam bidang amal, gerakan, pergaulan dan dakwah uzlah tidak wujud sama sekali. Ini adalah kerana dalam soal soal ini, tiada ruang untuk bersendirian, jika tidak kerja-kerja dakwah akan terhenti.

4. Muthaqqaf (Seorang yang berpengetahuan luas).

Seorang yang sufi dan haraki mestilah mempunyai thaqafah yang luas, mantap dalam pengetahuan agama dan tidak hanya taqlid buta. Kerja yang dilakukan bukan atas dasar semangat semata mata, sebaliknya atas dasar ilmu dan keyakinan. Lantaran itu sudah pasti kita tidak akan mendengar lagi salah faham dalam memahami konsep sufi. Selain itu, sufi haraki mestilah up to date dan tidak ketinggalan dalam menerima maklumat maklumat terkini. Ini amat penting dalam proses untuk memahami waqie'. Jika tidak, ia akan menganggu dakwah malah berkemungkinan juga akan dicop sebagai golongan yang jumud, tidak memahami waqie' dan sebagainya.

5. Zuhud dan Tawadhu' (Rendah diri)

Apabila membicarakan soal kesufian, memang tidak lengkap jika tidak mengaitkan ia dengan sifat zuhud dan tawadhu'. Menyingkap sirah sendiri, hampir semua kitab yang menulis mengenai Rasulullah s.a.w menceritakan bagaimana keadaan hidupnya. Bukan sahaja tidak terdapat perabot-perabot yang mewah di dalam rumah baginda s.a.w malah tempat tidurnya hanya beralaskan tikar yang apabila tidur di atasnya, kesannya akan terlekat dipipinya.

Di zaman salaf juga kita boleh melihat Umar bin Abdul Aziz yang memerintah Negara amat tawadhu' dan zuhud lantaran tidak pernah dicatatkan mengenai sifat-sifat yang buruk seperti tamak harta, rasuah, penyelewengan wang rakyat dan sebagainya walaupun zakat yang dikumpulkan amat banyak dan tiada seorang pun rakyatnya layak menerima zakat.

PENUTUP

Perlu difahami disini bahawa sufi sebenarnya berasal dari makna penyucian jiwa. Penyucian jiwa dari penyakit hati, keegoan, ketamakan harta dan pangkat dengan menginsafi bahawa dunia ini hanya sementara. Dunia bukanlah tujuan tetapi adalah jambatan untuk akhirat. Sufi adalah gaya hidup yang meliputi sikap, pandangan dan tingkah laku. Ia bukan mekanisme persembunyian dan pelarian dari dunia. Sufi dan tasawwuf juga tidak akan meninggalkan syariat kerana ianya berpijak pada syariat untuk menjalani tarekat agar mencapai hakikat. Para sufi juga tidak meninggalkan dunia, bahkan mereka ingin menggoncangnya.

Sesungguhnya tulisan ini adalah pandangan daripada penulis. Bukanlah bertujuan untuk menyindir mana-mana pihak sebaliknya yang dikehendaki hanyalah kebaikan dan perubahan dalam masyarakat. Moga-moga generasi yang akan lahir nanti akan menepati ciri-ciri sufi haraki seterusnya mendirikan agama dan mentadbir dunia ini dengan agama agar Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur menjadi kenyataan.

Ihsan daripada : Dr Nafsah

Sunday, May 18, 2008

Hassan Al Banna : Semarak Perjuangannya Masih Terasa

Walaupun telah 54 tahun Almarhum meninggalkan kita, namun perjuangan dan kegigihannya dalam menegakkan kembali Islam di bumi Mesir tetap kukuh bersemadi dalam hati sanubari masyarakat Islam hingga ke hari ini.


click to comment


Tanggal 12 Februari 1949 meninggalkan sejarah hitam dan pilu bagi masyarakat Islam khususnya pejuang-pejuang agama. Pada tarikh itu dunia Islam kehilangan seorang ulama dan mujahid yang menjadi pelopor dalam mengembalikan kegemilangan Islam ke kemuncaknya. Pemergiannya yang tidak diduga merupakan suatu pembunuhan kejam hasil konspirasi musuh-musuh Islam yang berselindung di sebalik Raja Farok, pemerintah Mesir pada ketika itu.

Imam Hassan Al Banna telah dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al Mahmudiya yang terletak di daerah al Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Beliau berasal dari sebuah keluarga Ulama yang dihormati dan terkenal kerana begitu kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam. Mujahid Islam ini dibesarkan dalam suasana keluarga yang merendah diri dan hidup dalam keadaan yaug serba sederhana.

Hassan al Banna merupakani anak sulung daripada lima beradik. Ayahnya, Syeikh Ahmad ibn Abd al Rahman al-Banna. adalah seorang ulama, imam, guru dan pengarang beberapa buah kitab hadis dan fikah perundangan Islam, yang berkelulusan dari Universiti Al Azhar Mesir. Beliau dikenali sebagai seorang yang bersopan santun, pemurah, merendah diri dan tingkah laku yang menarik. Namun beliau hanya bekerja sebagai pembaik jam di desa al Mahmudiya untuk menyara keluarganya. Masa yang selebihnya digunakann untuk mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al Quran dan hadis kepada penduduk tempatan.


click to comment


Sebagai seorang ulama, Sheikh Ahmed Abd Rahman al Banna mempunyai perpustakaan yang agak besar di rumahnya. Beliau menghabiskan sebahagian masanya mempelajari Sunnah Rasulullah dan membincangkannya dengan rakan-rakan di kedai dan di rumah. Hassan al-Banna juga sering menghadiri dan mengambil bahagian dalarn perbincangan tersebut. Pertemuan ini memberi kesan yang mendalam kepada pemikiran, wawasan dan yang penting perwatakannya. Ketokohan, keilmuan dan keperibadian Syeikh Ahmad al Banna diwarisi oleh Hassan al Banna.

Sifat kepimpinan Hassan al Banna terserlah sejak beliau masih di sekolah rendah. Beliau menjadi pernimpin Badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-lkhwan al- Hasafiyah. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudiannya memainkan peranan penting dalarn penubuhan Ikhwam Muslimin

Keluarga Hassan Al- Banna begitu tegas dalam mendidik anak-anak berdasarkan ajaran Islam. Hal ini menyebabkan beliau telah menghafaz Quran dalam usia yang begitu muda dan telah memasuki Pusat Latihan Perguruan. Selepas tiga tahun di sana beliau mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir. Beliau telah memasuki Darul Ulum di Kaherah pada awal usia 16 tahun kerana kebijaksanaan dan ilmu pengetahuannya yang luas.

Semasa di Kaherah, Hassan al Banna terdedah dengan pergolakan parti politik dan aliran-aliran menentang Islam yang dicetuskan oleh gerakan Kamal Ataturk. Parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular kebanyakannya bertujuan melemahkan pengaruh Islam. Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jamaitul Makram a;-Akhlaq yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hassan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat perhimpunan orang ramai.

Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain..


Menubuhkan lkhwan Muslim

Pada Mac 1928, dalam usia 23 tahun, Hassan al-Banna beserta adik dan lima orang sahabatnya berkumpul di rumahnya dan bersumpah untuk hidup dan mati kerana Islam. Di rumah itu jemaah Ikhwan Muslimin telah ditubuhkan. Pada ketika itu beliau baru mendapat ijazah dari Darul Ulum serta berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah di bandar Ismailiyah.

Ketika ditanya mengapa beliau melibatkan diri dalam kerja kerja dakwah, Hassan al Banna dengan tegas menjawab, ia hanya Allah yang tahu berapa malam kita menghabiskan masa untuk memikirkan masalah Ummah, pada peringkat mana mereka telah melaluinya dan kesakitan dan keperitan yang telah mereka lalui. Dan kita merenung sumpahan yang dikenakan atas kesakitan yang dilalui oleh Ummah. Kesukaran dan kepahitan yang dilalui oleh mereka mungkin berakhir dengan munajat dari kita sernua.

Setelah berkhidmat selarna 19 (tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah yang berkesan dalam masyarakat di bandar. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.

Di dalam buku "Letter To A Muslim Student" (FOSIS,1995) kedinamikan Ikhwan Muslimin dijelaskan: Pencapaian Hassan al Banna yang paling membanggakan ialah kernampuannya membangunkan organisasi yang canggih dan berjaya menterjemahkan wawasannya dalam kehidupan sebenar. Ikhwan bukan sekadar pertubuhan yang berasaskan sosial, politik atau kumpulan agarria tetapi lebih dari itu.

Menurut Dr. Muhammad Karnal khalifah, Pensyarah di Universiti Cairo melalui mukadimah buku Ikhwan Muslimin dan Masyarakat Mesir, kemunculan Hassan Al Banna yang mendapat inspirasi dari Jamaluddin Al Afghani dan Muhammad Abduh, serta menjalani aliran rakyat melahirkan golongan mukmin yang sebenar-benarnya melalui pengajian dan pembelajaran untuk menyebarkan akidah yang sahih, kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang Islam dan sistemnya. Beliau berjuang bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut. Usaha beliau ini amat dikagumi masyarakat Mesir sehingga Islam kembali kepada kedudukan yang sewajarnya dalam masyarakat.


click to comment


Dalam usia yang muda, Hassan al-Banna dikagumi kerana penyampaiannya yang jelas dan terang apabila menyampaikan khutbah di masjid. Beliau dapat meyakinkan para pendengar dengan kebenaran yang dibawa, matlamat dan keikhlasannya. Beliau mampu meyakinkan golongan intelektual dan orang biasa.

Berdasarkan kepimpinannya, Hassan al Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad, seterusnya melaksanakan cita cita perjuangan dengan tegas.

lkhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas Perang Dunia Kedua apabila pertubuhan ini turut bertanding dalam perebutan kuasa politik. Para penentangnya menyifatkan Ikhwan Muslimin sebagai negara di dalam negara. Sehingga tahun 1934, Ikhwan telah menubuhkan lebih 50 cawangannya di Mesir. Pertubuhan ini telah menubuhkan beberapa buah sekolah, masjid dan kilang. Pada penghujung Perang Dunia Kedua, lkhwan mempunyai lebih setengah juta pekerja yang aktif dan setengah juta penyokong (sesetengah sumber menyebut sekitar 3 juta). Lebih 3000 cawangan kesernuanya telah wujud di Mesir dan 50 di Sudan dihasil-kerja Ikhwan yang melangkaui batas negara.

Dalam satu jawapan yang diberikan oleh wartawan barat terhadap dirinya yang bertanyakan siapakah dia, Hassan Al Banna menjawab, saya adalah pelancong yang mencari kebenaran, dan insan yang mencari erti kemanusiaan di kalangan manusia, dan warganegara yang inginkan kemuliaan, kebebasan, kestabilan, hidup yang baik untuk negara dan berjuang untuk menaikkan Islam.

Malah, kerajaan British telah menjemput Hassan al Banna ke kedutaan mereka untuk minum teh. Beliau dipuji kerana perwatakannya yang baik, kerja-kerja kebajikannya untuk membantu anak-anak yatim dan janda. Malah pegawai atasan British menjelaskan bahawa dunia sangat fragile dan Mesir perlu dibangunkan sebagai negara yang moden dan makmur.


Pengharaman Ikhwan Muslimin dan Pembunuhan Hassan AI-Banna

Pengaruh Ikhwan Muslimin yang kuat amat dikhuatiri oleh Kerajaan Mesir di bawah Noqrashi Pasha dari Parti al-Safdi. Pada 8 November 1948 Beliau telah mengharamkan Ikhwan Muslimin atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sumbangan Ikhwan Muslimin menghantar beribu ribu orang pejuang dalam perang menghadapi Israel seolah olah dinafikan. Kesemua cawangannya yang berjumlah lebih 3000 diarahkan supaya dibubarkan. Sekiranya masih beroperasi, mereka akan dikira sebagai pertubuhan haram, pelampau dan pengganas. Unit-unit tentera Mesir dan tentera Ikhwan Muslimin yang berjuang di Palestine dipanggil balik. Berbagai-bagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap Ikhwan Muslimin. Anggota-anggotanya ditangkap, dimasukkan ke dalam penjara, di seksa dengan teruk, malah ada yang dibunuh. Apabila seorang wartawan bertanyakan Hassan al-Banna tentang pengharaman itu, beliau menjawab, apabila kata-kata diharamkan, maka tanganlah yang akan menggerakkannya. Begitu mendalam kata katanya.

Tidak lama kemudian Perdana Menteri Mesir telah dibunuh dan Gerakan Ikhwan telah dipersalahkan atas kejadian itu. Pada bulan yang berikutnya harta benda pergerakan itu telah dirampas dan beribu ribu orang beliau telah disumbatkan ke dalam penjara.

Dengan alasan untuk mengendurkan (mengurangkan) ketegangan (konflik) antara Ikhwan Muslimin dan kerajaan, pihak kerajaan menjemput Hassan al-Banna untuk berunding bertempat di Pejabat Jam'iyyah al-Syubban al Muslimin. Sebenarnya jernputan itu hanyalah sebagai helah untuk membunuh beliau.

Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang, Hasan al Banna bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, suami kepada adik perempuannya berada di pejabat tersebut. Mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi malangnya Zaki Ali Basya tidak kunjung tiba.

Akhirnya setelah selesai menunaikan solat Isyak mereka memanggil teksi untuk pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang yang tidak dikenali menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka terus melepaskan tembakan pistol. Mereka berdua terkena ternbakan itu. Iparnya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan tersebut. Walaupun terkena tujuh tembakan, Hasan al-Banna masih mampu berjalan masuk semula ke pejabat Jam'iyyah al Syubban al-Muslimin memanggil ambulans untuk membawa mereka ke hospital.

Setibanya di hospital Qasral 'Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Hasan al Banna. Pada pukul 12.50 tengah malam, Hasan al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir akibat tumpahan darah yang banyak.


Pengurusan Jenazah

Pada pukul satu pagi pihak polis menyampaikan berita kematian kepada ayah Hasan al-Banna dengan dua pilihan: Pihak polis akan menghantarkan jenazah ke rumahnya untuk beliau menjalankan urusan pengebumian pada jam sembilan pagi tanpa sebarang perhimpunan, jika tidak menerima tawaran pertama itu, pihak polis sendiri terpaksa membawa jenazah dari hospital ke kubur tanpa beliau melihat jenazah anaknya itu.

Ayah Hasan al Banna menerima pilihan yang pertama. Sebelum fajar menyingsing, jenazah as-Syahid dibawa ke rumahnya di Hilmiah al-Jadid dengan sebuah kereta yang dikawal rapi oleh polis yang lengkap bersenjata. Di sekitar rumahnya juga terdapat polis dan tentera berkawal dengan rapi. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun menghampiri kawasan tersebut. Jenazah Almarhum dibawa masuk ke rumahnya secara tidak ada orang yang melihatnya dan tidak ada yang mengetahui masa ketibaannya.

Sheikh Ahmad Abdur Rahman, ayah Hasan al-Banna yang sudah berusia lebih 90 tahun itu dengan penuh kesabaran memandikan dan mengapankan jenazah anaknya yang baru berusia 43 tahun itu seorang diri. Setelah diletakkan ke atas pengusung, beliau memohon pihak polis mencari beberapa orang untuk mengusungnya. Tetapi pihak polis ruenjawab, biarkanlah orang-orang perempuan tolong mengusungnya.

Polis tidak membenarkan sesiapa datang ke rumah tersebut untuk mengucapkan takziah dan tidak dibenarkan membaca al-Quran. Ayah Hasan al-Banna tidak dapat berbuat apa apa lagi. Beliau dengan tiga orang perempuan terpaksa mengusung anaknya itu menuju ke Masjid al-Qaisun untuk disembahyangkan. Pihak polis lebih dahulu telah pergi ke masjid memerintah orang-orang yang ada di situ supaya meninggalkan masjid. Sheikh Abdur Rahman seorang diri menunaikan solat jenazah ke atas anaknya itu. Kemudian mereka meneruskan pengusungannya menuju ke perkuburan untuk disemadikan jenazah Almarhum.

Pada waktu itu usia Hassan Al-Banna baru mencecah 43 tahun. Anak bongsunya telah dilahirkan pada hari yang sama isteri Hassan Al-Barma menamakannya "Esteshhaad" yang bermaksud syahid.

Pembunuhan Hassan al-Banna adalah satu perancangan pihak istana dengan arahan Raja Farouk dan Perdana Menterinya Ibrahim Abdul Hadi. Sebab itulah tidak ada sebarang tindakan ke atas penjenayah dan orang yang terlibat. Kes pembunuhan ini walaupun telah dibawa ke mahkamah beberapa kali, tetapi telah ditangguhkan. Pertama kali dibawa pada masa pernerintahan Perdana Menteri Ibrahim Abdul Hadi. Kedua, pada masa pernerintahan Perdana Menteri Husin Sari. Ketiga, pada zaman pernerintahan Perdana Menteri Mustafa al Nahhas Basya.

Pada 23 Julai 1952 satu revolusi telah tercetus. Raja Farouk terpaksa turun dari singgahsananya. Berikutan itu, kes ini dibuka semula. Penjenayah ditangkap dan pada 2 Ogos 1954, Koperal Ahmad Husin Jad dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan kerja berat.

Pemandu kereta, Sarjan Major Muhammad Mahfuz Muhammad dikenakan hukuman penjara 15 tahun dengan kerja berat. Major Muhammad al Jazzar dikenakan hukuman satu tahun penjara dengan kerja berat.

Sejak pembunuhan terhadap Hassan al Banna, ramai pendukung Ikhwan Muslimin yang telah ditindas dan dizalimi. Namun tindakan tindakan tersebut menyebabkan pertubuhan itu bukan sahaja semakin bertambah kuat di Mesir, malah telah mengembangkan sayapnya di negara-negara Arab. Kebangkitan Islam yang berlaku di negara Arab pada hari ini sebenarnya secara tidak langsung bertitik tolak dari Gerakan Ikhwan Muslimin,

Tegasnya, Hasan al-Banna merupakan seorang pejuang yang gigih dan berani, berjaya menyedarkan masyarakat dengan fikrah dan pendekatan barunya dalam gerakan dakwah dan manhaj tarbiahnya yang syumul. Walaupun beliau telah pergi menemui Ilahi, namun fikiran dan gerak kerjanya masih menjadi rujukan dan pegangan pejuang pejuang dan harakah Islamiah pada hari ini.

Sumber: Majalah I, April 2003