Monday, August 01, 2011

Ihya' Ramadhan

PENGENALAN

Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia lagi penuh keberkatan.Allah mengurniakan pahala yang berlipat kali ganda dan mereka yang melakukan ibadat dalam bulan ini akan mempunyai yang besar.

2- AMALAN- AMALAN

1. Memperbanyakkan niat atau azam untuk melakukan amalan yang baik sepanjang hari “Selagimana anda berniat sesuatu yang baik, maka anda dalam keadaan yang baik.”

Daripada Abu Hurairah: “Apabila seseorang hambaKu menyebut-nyebut untuk melakukan kebaikan, maka Aku akan tulis untuknya pahala kebaikan.” (Muslim)

2. Memelihara sembahyang lima waktu di masjid terutamanya Isya` dan Subuh “Barangsiapa menunaikan sembahyang Isya` secara berjamaah, maka dia seolah-olah menghidupkan separuh malam. Dan barangsiapa menunaikan sembahyang Subuh secara berjamaah, maka dia seolah-olah sembahyang malam seluruhnya.” (Riwayat Muslim)

3. Membaca zikir pagi dan petang

Allah berfirman: “Dan ucapkan pujian dengan kemuliaan Tuhanmu sebelum terbitnya matahari dan sebelum terbenamnya.” (Taha: 13)

4. Tilawah al Quran; minima satu juzuk

Ibnu Abbas berkata: “Malaikat Jibrail menemui Rasulullah SAW setiap malam di bulan Ramadhan untuk tadarus al Quran dengannya.”

5. Sembahyang Terawih

“Barangsiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaranNya, maka akan diampunkan baginya segala dosanya yang terdahulu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Barangsiapa yang menunaikan sembahyang bersama imam sehingga dia selesai, maka ditulis baginya pahala menghidupkan malam keseluruhannya.” (at Tarmizi)

6. Sibukkan dengan berzikir sepanjang hari

“Perkataan yang paling disukai oleh Allah ada EMPAT: Subhanallah, Alhamdulillah dan La Ilaha ila Allah dan Allahu Akbar; tak kira mana satu yang kamu mulakan.” (Riwayat Muslim)

“Barangsiapa berselawat ke atasku, maka Allah akan berselawat sepuluh kali ke atasnya.” (Riwayat Muslim)

7. Menjaga amalan sunat

Sunat Rawatib

Sembahyang witir

Sembahyang Dhuha

Sembahyang Tahajjud

Sembahyang sunat wudhu`

8. Mengubah sesuatu kebiasaan sebagai ibadah dengan cara niat

Adat + Niat yang baik = IBADAH

9. Melazimi doa yang ma`thur dalam setiap keadaan

Daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW mengingati Allah dalam setiap keadaan.” (Riwayat Muslim)

10. Mengambil peluang-peluang kebaikan

“Menjadikan masyarakat sebagai mihrab untuk melakukan ubudiyah kepada Allah.”

Senyum, iringi jenazah, membuang sesuatu yang menyakiti di jalanan, mengucapkan salam, menziarahi orang sakit dan lain-lain lagi…

11. Memberi makan orang berbuka

“Barangsiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala orang yang berpuasa itu tanpa berkurangan walau sedikitpun.” (Riwayat at Tarmizi)

12. Muhasabah Diri

13. Menghadiri majlis orang yang baik

“Wajiblah kecintaanKu buat mereka yang duduk keranaKu…” (Imam Malik di dalam Kitab al Muwatto`.”

14. Memberi khidmat kepada masyarakat

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling memberi manfaat kepada manusia.” (Sahih al Jami`)

15. Berdakwah

“Barangsiapa menyeru orang lain kepada hidayah, maka baginya pahala seumpama orang yang menurti seruannya itu tanpa berkurangan walaupun sedikit.” (Riwayat Muslim)

16. Memperbanyakkan doa

“TIGA doa yang paling mustajab: Dao orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang bermusafir.” (Riwayat at Tarmzizi)

Ketika berbuka, Ketika sahur, Antara azan dan iqamah dan Sewaktu mengkhatamkan al Quran Mulakan harian Ramadhan anda dengan doa ini:

“Ya Allah, aku memohon kebaikan pada hari ini (sama ada) kemenangannya, cahayanya, barakahnya dan petunjuknya. Dan aku berlindung denganMu dari kejahatan apa yang ada pada hari ini dan apa sahaja kejahatan sesudahnya.” (Riwayat Abu Daud)

17.Merasai ganjaran pahala setiap kali melakukan ketaatan

Perasaan sebegini akan mendorong untuk kita lebih bersungguh-sungguh melakukan ketaatan dan menjauhi kemaksiatan.

18.Memelihara Wudhu'

“Dan seseorang itu TIDAk memelihara wudhu`, melainkan orang yang beriman.” (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

19.Elak dari berkata perkataan yang tidak mendatangkan manfaat

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap perkataan anak Adam akan menjadi dosa kepadanya melainkan menyuruh orang melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan juga berzikir mengingati Allah.” (Riwayat at Tarmizi)

Bahkan fuqaha` telah menyebut bahawa makruh bagi orang yang berpuasa bercakap-cakap perkara yang tidak bermanfaat

20. Berdoa ketika berbuka

“Ya Allah, keranaMu aku berpuasa, denganMu aku beriman, dan dengan rezkiMu aku berbuka dengan rahmatMu Wahai Tuhan yang Maha Pengasih.” (Riwayat Abu Daud dan at Tarmizi)

21.Menyegerakan berbuka apabila diyakini masuk waktu dan berbuka dengan tamar. Rasulullah SAW bersabda: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi ia menyegerakan berbuka.” (Riwayat Malik di dalam kitab al Muwatto`)

Rasulullah SAW berbuka dengan tamar basah sebelum baginda menunaikan sembahyang maghrib. Jika tiada maka dengan tamar kering. Dan jika tiada, maka dengan air.” (Riwayat Abu Daud dan at Tarmizi)

22.Memberi makan

“Dalam kitab Bukhari dan Muslim disebutkan bahawa Rasulullah SAW adalah merupakan orang yang paling pemurah. Dan baginda lebih pemurah di bulan Ramadhan.”

23.Eksploitasi waktu-waktu perdana

Selepas sembahyang Subuh: Gunakan waktu ini untuk berzikir, membaca al Quran dan berdoa.

- 2/3 Malam: Banyakkan berdoa dan memohon ampun kepada Allah·

- Antara azan dan iqamah: “Mohon keampunan dan kesejahteraan di dalam urusan agama, dunia dan juga akhirat.” (at Tarmizi)

24.Bersedekah walaupun sedikit

Termasuk dalam tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah di hari akhirat nanti adalah mereka yang bersedekah lalu menyembunyikannya dari pengetahuan orang lain hinggakan tangan kirinya tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kananya.” (Muttafaq Alaih)

Sebahagian generasi Salafussoleh akan menutup harinya dengan bersedekah sebagai lambang kesyukuran terhadap Allah kerana dapat menyempurnakan hariannya dengan kebaikan.

25.Duduk di masjid jika ada kelapangan

Sama ada untuk mendengar nasihat agama, beriktikaf ataupun melakukan ketaatan yang lain.

26.Membaca buku-buku agama

Terutama buku-buku nasihat yang menyentuh soal hati.

27.Mendengar kaset-kaset berunsur Islam (nasihat agama atau tilawah)

28.Hidupkan antara Maghrib dan Isya` dengan amalan

Hidupkan dengan amalan seperti sembahyang sunat, berzikir dan berdoa disamping menjadikan kita lebih bersedia untuk mengerjakan sembahyang Isya dan Terawih

29. Sentiasa mengingati Akhirat dan balasannya

Sentiasa membayangkan kematian dan sakitnya. Membayangkan kubur dan azabnya, hari kebangkitan dan pembalasan syurga dan azabnya.

30.Bersyukur kepada Allah dan memujiNya di atas nikmat menyempurnakan puasa

Imam Nawawi berkata: Disunatkan kita mengucapkan pujian kepada Allah setiap kali kita memperolehi nikmat atau selamat dari mara bencana. Tidak kira sama ada ia berlaku kepada diri kita sendiri mahupun orang lain. Apakah ada nikmat yang lebih agung dari nikmat dapat menyempurnakan puasa sehari dalam bulan Ramadhan dengan sempurna dan mudah?

Inilah detik-detik yang dilalui oleh seorang Muslim yang tahu nilai kedatangan Ramadhan dalam hidupnya!


3. KEISTIMEWAAN

Sabda Rasulullah,”bulan rejab adalah bulan Allah dan bulan syaaban adalah bulanku dan ramadhan adalah bulan umatku”.

Bulan ramadhan adalah bulan umat Nabi Muhammad dan terdapat banyak fadilat serta keistimewaan yang dikurniaka n oleh Allah kepada hambanya.

bulan diterima taubat

bulan diberi rahmat

bulan diberi keberkatan

bulan diampunkan dosa lalu

bulan diberi ganjaran pahala berlipat ganda

Satu riwayat menyebut bahawa ada seorang lelaki tidak melakukan solat tetapi apabila masuk bulan ramadhan dia membersihka diri dengan pakaian cantik melakukan solat dan mengqada’kan puasa yang ditinggalkan, maka ditanya kepadanya mengapa kamu berbuat demikian? Maka dia berkata bulan ini bulan menerima taubat,bulan rahmat dan keberkatan. Apabila dia meninggal dunia, maka dia telah diampunkan dosanya oleh Allah kerana menghormati keagungan bulan ramadhan.

Riwayat Anas bin Malik sabda Rasulullah “ sesiapa yang berbuat baik kepada ibubapa dalam bulan ramadhan ia akan mendapat rahmat dari Allah dan dimasukkan ke syurga”.

Seseorang perempuan yang mohon kepada suaminya untuk melakukan ibadat kepada Allah pada bulan ramadhan dan dia akan menerima ganjaran sebagaimana ganjaran yang telah diberi kepada Siti Mariam dan Aishah.

4- PENUTUP

Ingatlah,sedarlah bahawa hidup,umuryang terbatas berwaspadalah dalam menghadapi kehidupan,Allah menjadikan manusia dengan penuh manfaat.Janganlah menjadi sampah masyarakat yang tidak diredahai Allah. Semoga kita menjadi hamba yang mulia disisi Allah. Seseorang yang hatinya takut kepada Allah,mereka tidak melakukan dosa bahkan mengamalkan perkara baik dan mengunakan kesempatan di bulan Ramdhan

.

Tuesday, July 26, 2011

Jaulah Tarbawiyyah


Alhamdulillah segala puji-pujian selayaknya untuk Rabbul 'Alamin, selawat dan salam untuk Rasul tercinta, Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya dan para sahabatnya.

Alhamdulillah dengan izin Allah juga, dapatlah mengikuti jaulah ke Yayasan Al-Jenderami bagi sama-sama menyambut Hol Saidatina Khadijah r.a yang terletak di Jenderam Hilir, Dengkil Selangor bersama dengan muslimat Mersing pada 24hb Julai baru-baru ini .Rombongan kami bertolak seawal jam 6.30pagi dan selamat sampai pada jam 12.30 tengahari.

Sambutan Hol Saidatina Khadijah r.a bermula seawal jam 2.30 petang dengan bacaan manakib oleh pelajar Madrasah Nafisah Lilbanat beserta dengan qasidah yang cukup menyentuh nubari ini.Tidak terasa butir-butir jernih terbit dari kolam airmata ini apabila mengimbau kembali kehidupan Saidatina Khadijah r.a dalam mempertahankan Islam bersama baginda ar Rasul.Sungguh besar jasa dan pengorbananmu ya Khadijah!Engakaulah suri tauladan yang patut menjadi ikon kepada muslimah zaman ini..

Majlis diteruskan lagi dengan tausiyyah daripada as Syeikh Abd Razak Al Misri dan disambung semula dengan bacaan yasin dan tahlil.Pada sebelah malamnya, kami mendengar tazkirah daripada Habib Kazim b Ja'far as Segaff Hadramaut, Yaman, Habib Omar Abd Rahman al Jiffry,Madinah al Munawwarah dan al Mukarram Habib Hasan Muhammad al Attas dengan diiringi bacaan qasidah, maulid dan ratib al Attas.

Terasa tidak sedar masa berlalu begitu pantas, sudah tiba masanya kami meninggalkan bumi al Jenderami.Insya Allah, akan bertandang lagi untuk menyuci nubari...

Tuesday, July 19, 2011

Perginya Seorang Srikandi Islam...


Salam takziah ditujukan kepada seluruh ahli keluarga almarhumah YB Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali atas pemergian beliau pada pukul 10.45 malam (17 Julai 2011) di Hospital Selayang. Al-fatihah untuk srikandi mujahidah. Semoga arwah ditempatkan bersama kekasih-kekasih Allah...

Sunday, July 17, 2011

Ahlan Ya Ramadhan

“Ya Allah Sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

Telah berlalu hari, minggu, dan bulan. Sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan, dan rahmat. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman; Allahumma Ballighna Ramadhan. Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul s.a.w.

Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).
Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik dengan tema yang agung ini; Allahumma Ballighna Ramadhan. Kesannya, mereka menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan menharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula disi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Saudara yang mulia, bagaimanakah halnya kita?

Allahumma Ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang salih bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan.

Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini.

Persediaan

Cara

Iman

1. Taubat yang benar (Istighfar, meninggalkan maksiat).

2. Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan.

3. Perbanyakkan puasa di bulan Sya’ban (Isnin-Khamis, 15-16-17).

4. Membaca Al-Quran (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).

5. Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).

6. Berzikir setiap masa, Al-Mathurat pagi dan petang (penggunaan tasbih sangat membantu).

Ilmu

1. Membaca/belajar buku Feqah Puasa dengan lengkap beserta kelebihan, rahsia, dan tafsiran ayat Al-Quran yang berkait dengan puasa.

2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.

3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.

4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmun di bulan Ramadhan.

Dakwah

1. Bersedia untuk memberi tazkirah/ceramah tentang kelebihan dakwah di bulan Ramadhan.

2. Menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid samada sebagai penceramah atau pendengar.

3. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan untuk Ramadhan.

4. Memberi hadiah Ramadhan kepada rakan-rakan dengan tujuan mendekatkan diri dan mereka kepada Allah.

5. Menyediakan risalah/majalah kecil untuk jiran-jiran tentang persediaan menyambut Ramadhan.

Keluarga

1. Membuat persediaan bersama seluruh ahli keluarga untuk menyambut Ramadhan terutama dari aspek iman dan ilmu.

2. Membaca buku berkaitan Ramadhan bersama-sama.

Keazaman

1. Membuka lembaran amalan baru yang jauh lebih baik.

2. Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.

3. Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.

4. Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya seperti mengumpat.

5. Sentiasa berlapang dada.

6. Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.

Jihad

1. Merealisasikan matlamat ‘Bersungguh-sungguh melawan nafsu’.

2. Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (makan, pakaian, tidur).

3. Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.

4. Menahan syahwat dari perkara yang haram.

5. Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas

Nisfu Syaaban

Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr.

Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah SAW telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda SAW dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda SAW berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu.Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”

Setelah Baginda SAW selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”

Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula pada 14 hb sya’aban sebaik sahaja masuk maghrib)

Di antara hadis-hadis Rasulullah SAW :

1) “Bahawasanya Nabi SAW paling banyak berpuasa (sunat) dalam bulan Syaaban. Apabila ditanyakan kepada baginda tentang itu, maka baginda pun menjawab: Orang biasa melupakan bulan itu (Syaaban) yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang diangkat segala amalan kepada Tuhan Seluruh Alam dan aku suka jika amalanku diangkat ketika aku berpuasa”.
(Direkodkan oleh Imam Ahmad dan An-Nasai)

Beberapa hadis tentang
Malam Pertengahan Bulan Syaaban:

1)
“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam pertengahan bulan Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)”.
(Direkodkan oleh Ibnu Majah. Imam Sayuti kata: Hadis Lemah)

2)
“Sesungguhnya Allah SWT turun pada malam pertengahan bulan Syaaban ke langit dunia maka diampunkan (dosa) yang lebih banyak dari rambut kambing Bani Kilab – Kabilah arab yang paling banyak kambing-”.
(Direkodkan oleh Imam Ahmad dan Thabrani. Berkata Imam Tirmizi: Imam Bukhari menyatakannya Hadis Lemah)

3) “Pada malam pertengahan bulan Syaaban, Allah menyampaikan wahyu kepada malaikat maut setiap orang yang akan dicabut nyawanya pada tahun itu”.
(Direkodkan oleh Ad-Dainuri. Imam Sayuti kata: Hadis Lemah)

4) Daripada Aishah RA berkata: Rasulullah SAW telah bangun malam dengan bersolat dan baginda telah memanjangkan sujudnya sehingga aku menyangka bahawa baginda telah dicabut nyawanya.

Apabila baginda mengangkat kepalanya dari sujud dan selesai dari solat, baginda bertanya kepadaku:
“Wahai Aishah, adakah aku telah mengabaikanmu?”

Aku menjawab: “Tidak wahai Rasulullah, tetapi aku sangka engkau telah dicabut nyawa disebabkan lamanya engkau bersujud”.

Baginda pun berkata:
“Tahukah engkau apakah malam ini?”

Aku menjawab: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu”.

Baginda berkata:
“Ini adalah malam pertengahan bulan Syaaban. Sesungguhnya Allah SWT melihat para hambaNya pada malam pertengahan bulan Syaaban, maka diampunkan orang yang memohon ampun, dirahmati orang yang meminta rahmat…”.
(Direkodkan oleh Baihaqi: Hadis Mursal)

5)
“Apabila datangnya malam pertengahan bulan Syaaban, maka hendaklah kamu hidupkan malamnya (dengan beribadat) dan berpuasa pada siangnya. Sesungguhnya Allah SWT turun pada malam itu ketika terbenam matahari ke langit dunia seraya berkata: “Wahai orang yang memohon ampun, Aku ampunkan! Wahai orang yang memohon rezeki, Aku berikan rezeki! Wahai orang yang ditimpa musibah, Aku selamatkan! Wahai fulan itu, wahai fulan ini.. sehinggalah terbit fajar”.
(Direkodkan oleh Ibnu Majah: Hadis Lemah)

Kesimpulan fatwa ulama tentang Kelebihan Bulan Syaaban dan Malam Pertengahan Bulan Syaaban:

1- Memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban kerana Nabi Muhammad SAW paling banyak berpuasa sunat pada bulan ini melebihi bulan-bulan yang lain.

2- Walaupun malam pertengahan bulan Syaaban terdapat beberapa kelebihan berdasarkan hadis-hadis yang lemah tetapi ia boleh diterima bagi menyatakan “Kelebihan Amalan”.

3- Tiada amalan khusus yang diberi nama sebagai “Puasa Nisfu Syaaban” tetapi digalakkan berpuasa sunat pada pertengahan bulan Syaaban berdasarkan hadis-hadis lain yang menggalakkan berpuasa pada 13, 14 dan 15hb setiap bulan.

4- Begitu juga tiada amalan khusus yang diberi nama “Solat Malam Nisfu Syaaban” tetapi digalakkan untuk menunaikan solat-solat sunat seperti Solat Sunat Mutlak, Solat Tasbih, Solat Hajat, Solat Tahajud dan Solat Taubat. Begitu juga dengan amalan-amalan lain seperti membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa tanpa dikhususkan untuk malam itu.

5- Oleh kerana kelebihan malam pertengahan bulan Syaaban ini tidak didasarkan pada sumber hadis yang sahih, kuat dan jelas, maka amalan Nabi untuk bangun beribadat bukanlah khusus untuk malam itu sahaja kerana baginda memang diwajibkan bangun beribadat pada setiap malam.

6- Dari segi syarak, tidak harus mengkhususkan hari tertentu untuk berpuasa, atau malam tertentu untuk bangun beribadat (qiamullail) tanpa sumber yang syarie. Perkara ini bukan hak sesiapapun melainkan ia hanya hak Allah SWT sahaja. Mengkhususkan waktu atau tempat untuk beribadat dan menetapkan kaedah dan caranya, hanyalah hak Allah SWT, bukan hak manusia.

Lihat fatwa ulama oleh:
1- Syeikh Imam Dr Yusuf Al-Qardhawi (Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia):
http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=6138&version=1&template_id=232&parent_id=17
2- Syeikh Athiyah Saqar (Al-Azhar, Mesir):
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528607390
3- Syeikh Ibn Fauzan dan Syeikh Ibn Uthamain (Arab Saudi):
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1119503544540&pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar%2FFatwaE%2FFatwaEAskTheScholar