Thursday, May 31, 2012

Irshad Manji


Oleh : Ustaz Hasrizal
Kali pertama saya mendengar nama Irshad Manji, kira-kira 10 tahun yang lalu.
Nama itu tenggelam, sebagaimana datang dan perginya nama-nama seperti Astora Jabat dalam lingkungan domestik di sini.
Apabila Irshad Manji menjengah Malaysia, masyarakat kecoh. Saya didesak untuk memberikan pendapat mengenainya, tetapi saya enggan berbicara mengenai apa yang saya tidak pasti. Ia menyalahi sifat adil dalam beragama.
Menyedari akan besarnya idea yang dibawa oleh beliau, saya memaksa diri membaca buku THE TROUBLE WITH ISLAM TODAY, bagi memahami apakah yang melahirkan seorang ‘sarjana’Muslim Refusenik bernama Irshad Manji. Saya juga mengambil peluang membaca buku ALLAH, LIBERTY AND LOVE yang dimuat turun secara percuma di internet.
Pendapat-pendapat Irshad Manji menyalahi segala usul Aqidah saya. Pendapatnya meruntuhkan banyak struktur utama beragama, walaupun mungkin tujuan asalnya adalah untuk meruntuhkan struktur institusi agama.
Sebagai Muslim saya menolak kepercayaan Irshad Manji.
Sebagai Muslim juga, saya mahu tahu mengapa kepercayaannya begitu?
Catatan ini bukanlah pendapat muktamad saya mengenai beliau dan ideanya. Ia hanya nota untuk diri saya menjelaskan apa yang berada di fikiran dan masih terbuka kepada kesimpulan-kesimpulan yang seterusnya.
MENETAPKAN SISI PANDANG
Bagi sesetengah kita, isu Irshad Manji hanyalah satu lagi intellectual discourse untuk dijadikan hidangan debat yang menjadi kegemaran kita. Tetapi saya melihat isu beliau dari sudut pandang seorang suami, bapa, ustaz, guru dan pemimpin. Ia mengkehendaki diri saya menilai perbuatan saya sebelum, semasa dan selepas ini, apakah ada tindak tanduk yang menyumbang kepada lahirnya Irshad Manji yang seterusnya.
Pihak berwajib menjalankan SOP mereka pada mengharamkan buku-buku Irshad Manji. Tetapi dengan ebook, pdf dan dunia internet yang tidak terbatas, segalanya tentang Irshad Manji kekal berada di hujung jari.
Tanggungjawab memahami masalah dan menghadapinya melalui saluran pendidikan, tidak dapat saya abaikan.
Saya mungkin berbunyi tidak cukup sarjana melalui sisi pandang sebegini, tetapi matlamat saya adalah mencari keselamatan Dunia dan Akhirat, bukan mengagungkan analytic philosophybahawa membuktikan Irshad Manji salah, menjadikan saya betul.
SISI EMOSIONAL
Apabila saya mengajak rakan-rakan untuk meninjau sisi Male Chauvinism dalam memahami mesej Irshad Manji, ia bukan alasan atau satu format escapism.
Satu amalan biasa apabila kita membaca pemikiran seseorang, kita akan membaca biografinya. Sama ada dia itu Barrack Obama, Adam Smith, Einstein, Muhammad bin Abdullah mahu pun Irshad Manji. Tujuan kita membaca biografi, adalah untuk memahami, sejauh manakahpengalaman hidup seseorang mempengaruhi kecenderungannya dalam memahami sesuatu.
Teks adalah sesuatu.
Konteks adalah sesuatu.
Kefahaman adalah sesuatu.
Menghubungkan teks dengan konteks untuk menghasilkan kefahaman, banyak dipengaruhi oleh pengalaman sebagai salah satu input dirinya.
Apabila saya menyebut Irshad Manji sebagai ‘mangsa’ Male Chauvinism, ia adalah kerana empati saya yang mahu Irshad Manji lebih difahami oleh kita semua. Lihat sahaja komen-komen di Malaysiakini.Com. Ada yang memaki hamun, mempertikaikan dia memakai tudung atau tidak, malah mengejeknya dengan pelbagai gelaran. Malah ada yang berpendapat tidak perlu berhujah langsung kerana Irshad Manji tidak mempunyai sebarang nilai. Komen-komen itu tidak mengukuhkan Islam malah menyebabkan golongan Religious Scepticists semakin yakin bahawa ‘structured doubt’mereka itu berasas.
Pendekatan Irshad Manji, mempunyai unsur ‘Tajdid’ iaitu mahu membebaskan Muslim daripadaInstitutionalized Islam. Tetapi versi yang dibawanya amat keterlaluan. Di dalam Islam, apabila ada unsur keterlaluan, biasanya di sebalik rasional ada emosional. Maka kalau rasional dibahas tanpa mengambil kira unsur emosional, kita akan berpusing-pusing pada presenting problem tanpa menyentuh langsung real problem.
‘MANGSA KELELAKIAN LELAKI’
Selalunya, seseorang yang berpemikiran seperti Irshad Manji ini mempunyai pengalaman pahit dengan lelaki. Sama ada lelaki itu adalah bapa yang abusive, suami yang mengecewakan, ustaz-ustaz yang menyakiti, hinggalah kepada ulama’ tafsir yang disyaki ‘gender bias’.
Ia mempengaruhi paradigma hidupnya hingga semua yang ditentangnya mempunyai unsur lelaki.
Sama ada ulama lelaki, ustaz lelaki, musuh lelaki, kekasih lelaki… kelelakian itu wujud secarasubliminal di belakang mindanya.
Agama kelihatan hodoh di matanya kerana unsur male chauvinism.
Male Chauvinism adalah satu fitnah besar ke atas umat Islam kerana ia melahirkan manusia-manusia seperti Irshad Manji. Saya mengambil kes Irshad Manji ini sebagai peringatan kepada diri agar mempunyai empati yang lebih baik semasa berbicara tentang tanggungjawab-tanggungjawab beragama kepada bermasyarakat. Adakalanya kita boleh terlupa bahawa kita sedang berbicara dalam bahasa seorang LELAKI beragama Islam dan bukannya MUSLIM.
Orang Religious Scepticist seperti ini, hujah INTELEKTUAL sukar dibalas dengan INTELEKTUAL. Ia hanya menambah ego. INTELEKTUAL beliau perlu dibalas dengan EMOTIONAL.
“Are you a happy human?”
Soalan untuk Irshad Manji jawab sebelum tidur di atas katilnya sendiri.
SENJATA MAKAN TUAN
Saranan saya pada mengajak masyarakat mempertimbangkan latar belakang sosial dan emosional Irshad Manji, adalah agar pendapatnya tidak ditolak secara semberono. Namun Si Wartawan Malaysiakini ‘menuduh’ saya dengan tuduhan yang bukan-bukan walaupun dia sendiri mendakwa dirinya hanya melaporkan hasil temuramah, tanpa sebarang tanggungjawab untuk membela atau menentang Irshad Manji.
Namun saya berlapang dada.
PRE CONCEIVED IDEA
Mungkin golongan ‘Muslim Progresif’ begitu yakin dengan pre conceived idea mereka bahawa lebai kampung seperti saya ini tipikal.
Mereka mungkin (sekali lagi mungkin) tidak sedar bahawa ramai sahaja lebai kampung ini yang membaca buku falsafah, cakap omputeh dan selesa makan Ribeye Steak. Kepala lebai kampung saya ini mungkin berbalut ‘tuala’, tetapi progresifnya minda tidak dijamin oleh kepala yang tidak bersarung!
Mereka itu sahaja yang mungkin belum habis-habis mengaji Muqaddam Muslim Weltanschauung!
Bukan menyombong, tetapi sukar merendah diri di ‘medan perang’.
IRSHAD MANJI MUNGKIN TIDAK PENTING
Bagi sesetengah kita, nama Irshad Manji mungkin hanya salah satu nama yang keluar entah dari mana, singgah ke telinga, yang boleh ‘dibuat bodoh’ sahaja.
Tetapi Irshad Manji adalah suara besar di pesada antarabangsa.
Dia mungkin tidak penting.
Tetapi idea yang dibawanya adalah realiti.
Idea yang mencabar structured hypocrisy (al-nifaaq al-munazzam) dalam kehidupan beragama kita.
Dan jika itu pun masih tidak mampu menjadi alasan mengapa kita perlu mengambil tahu akan hal ini, cukup saya katakan, di Mont Kiara, Subang, hatta Taiping, Kemaman dan Gua Musang pun boleh ada ramai Irshad Manji tanpa hujah dan suara!
Sesungguhnya, jika saya tidak menyayangi isteri dan anak-anak, mengherdik wanita dalam lingkungan hidup saya, berlawak lucah menjadikan maruah wanita sebagai senda gurau perbualan dan ceramah, saya mesti bertanggungjawab terhadap lahirnya Irshad Manji yang seterusnya.
MERAWAT MALE CHAUVINISM
Dalam pada itu, saya rasa bersyukur dan gembira kerana kebelakangan ini, para penceramah kita semakin selesa bercerita tentang isteri dan anak-anak secara sopan dan penuh nada positif, iaitu sesuatu yang amat jarang berlaku suatu ketika dahulu.
Ini akan sedikit demi sedikit mengembalikan kita kepada Sunnah Baginda SAW yang sangat ‘family-man’ dalam kepimpinannya, malah mencegah male chauvinism yang menghasilkan Islamo-tribalis yang tidak habis-habis dirungutkan oleh Irshad Manji, merujuk kepada budaya sesetengah kaum umat Islam yang menyembunyikan selain lelaki daripada suasana beragama awam.
Saya doakan agar golongan ‘Islamik’ bermulut cabul tidak diuji memiliki anak seperti Irshad Manji kerana jika ia lahir daripada keluarga mereka sendiri, baru mereka tahu langit itu tinggi atau rendah.
Ittaqullah!

Saturday, May 05, 2012

Bedah Buku



Alhamdulillah...kesempatan berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa baru-baru ini tidak dilepaskan untuk membeli buku terbaru Ustaz Hasrizal, Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu.10001 ibrah yang ana perolehi daripada buku ini..syukran ustaz kerana menyuntik nubari, mencabar minda dan emosi..moga jadi panduan mengharungi liku-liku kehidupan yang masih berbaki dan bekal menuju destinasi abadi...

Bersih 3.0 :Cerita Yang Mesti Dibaca

Ini hanya cerita rekaan....

Situasi 1:


Ada sebuah rumah terbakar. Rumah terbakar tu ada manusia. Tidak pasti agamanya apa, amalannya apa, bangsanya apa.

Seorang bukan Islam bergegas cuba menyelamatkan mereka dan memadam api. Dia menjerit-jerit suruh orang ramai datang bersama selamatkan orang. Orang ramai pun datang, dia bagaikan ketua, sambil mengarah dan merisikokan nyawa utk menyelamatkan mereka yang terperangkap.

Tiba-tiba ada seorang Muslim yang berfahaman asabiah datang :


"Mengapa kamu semua terlibat dalam misi menyelamat yang diketuai oleh seorang yang minum arak? Tahukah siapa yang kamu hendak selamatkan? Mereka mungkin bukan orang kita...."

Seorang yang Muslim yang faham agama berkata :


"Selamatkan orang dulu. Manusia yang terperangkap itu ciptaan Allah juga. Matlamat kita membantu di sini untuk menyelamatkan nyawa, bukan bersama untuk menyokong orang minum arak? Apa gunanya orang yang tidak minum arak tapi tidak tahu membantu orang yang dalam kesusahan?”


Situasi 2:


Ada satu perlawanan bola, antara dua pasukan, team A dan team B. Team A adalah campuran antara orang Islam (majoriti) dan bukan Islam. Team B adalah orang Islam.

Selama 4 dekad, team A yang kaya dan selalu menang - walaupun diketuai orang Islam, mereka sanggup menang dengan cara merasuah pengadil, menindas team B dengan menghalang peruntukan yang sepatutnya sampai ke team B, yang semuanya Islam.

Walaupun tewas, miskin, team B tetap wujud tetap melawan team A.

Selama ini, penonton ditindas kerana membeli tiket menyaksikan perlawanan bola sepak berat sebelah yang memihak pada team A.

Team B sedar, bahawa ia perlukan bantuan utk menewaskan team A yang bermain secara kotor. Team B mula bergabung dengan pihak lain termasuk bukan Islam dan bekas pemain team A yang turut inginkan satu perlawanan yang adil untuk melawan team A.

Team A mula mengalami kekalahan, dulu daripada 14 perlawanan, team A tewas satu. Kini, team A kalah 5 daripada 14 perlawanan kpd team B walaupun dengan penipuan.

Orang yang berfahaman asabiah penyokong team A berkata:

"Mengapa team B sanggup bekerjasama dengan orang bukan Islam utk mengalahkan team A yang diketuai orang Islam. Mengapa team B tak nak bekerjasama dengan team A? Jika team B bekerjasama dengan team A, makan orang bukan Islam dalam team B tak boleh menang."

Orang ini terlupa bahawa walhal dalam team A, selama 4 dekad, mereka bekerjasama dengan orang bukan Islam untuk menang team B dengan cara kotor.

Orang yang betul memahami agama pula berkata:

"Kita bekerjasama atas sifat tahaluf siyasi - utk menentang ketidakadilan, ketidaksamaan dan kezaliman team A utk kekal kemenangan. Penonton selama ini ditindas, kerana mereka sebagai pembeli tiket tidak dapat menyaksikan satu pertandingan adil selama ini. Bukan soal menang atau kalah, soalnya ialah penonton mesti dapat melihat dua pasukan yang sama kuat bersaing dengan adil utk memajukan sukan bola utk negara.

Masa team A menang 4 dekad, tak terfikir pun nak bergabung dengan team B. Bergabung antara team A dan team B pula tidak betul, kerana team B yang mempertahankan prinsip keadilan selama ini akan bersekongkol dengan team A yang ingin menang dengan cara yang kotor. Takkan team B nak bersekongkol dengan orang yang menindas. Bila team A mula menang balik, apakah mereka masih perlukan team B?

Team B hanyalah sekadar utk menghilangkan saingan pd team A supaya team A boleh kekal juara."

Kini, wujud pula satu kumpulan C, yang cuba menghalau pengadil yang dibeli. Seperti situasi 1, team A yang ingin mempertahankan pengadilnya, menuduh team B bersekongkol dengan team C yang diketuai bangsa dan amalan berlainan utk menindas team A.

Bagaimanakah misi menukarkan pengadil, memastikan perlawanan bola lebih adil boleh dilihat sebagai satu tindakan menindas dan mencabar team A?

----------------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat.