Monday, December 10, 2007

Meniti Pengorbanan


Firman Allah Taala dalam Surah As Shaffat (102-107) :
“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim , Ibrahim berkata : “Hai anakku!Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku meyembelihmu.Maka fikirkanlah apa pendapatmu!”Ia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.” (102)

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya.Nyatalah kesabaran keduanya.(103)

Dan Kami panggillah dia : “Hai Ibrahim,(104)

Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu.Sesungguhnya demikian itu Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.(105)

Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.(106)

Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.(107)


Menurut Tafsir Fi Zilalil Quran karangan As Syahid Syed Qutb , Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail masing-masing menyerahkan diri bulat-bulat kepada
Allah. Penyerahan diri kepada Allah, seperti inilah yang terkandung dalam maksud pengertian Islam.


Iaitu percaya, taat, patuh, tenang, redha, dan bertindak melaksanakan perintah Allah s.w.t. Inilah nilai,sikap, perasaan yang dihayati di dalam hati mereka berdua yang tidak tumbuh dan lahir melainkan oleh
keimanan yang agung.


Kedua-duanya telah melaksanakan perintah dan tugas mereka. Ujian Allah telah sempurna, dan tujuannya telah terlaksana. Cuma yang tinggal lagi ialah menyembelih Ismail. Tetapi Allah SWT tidak mahu mengazabkan hamba-hambaNya dengan ujian itu. Allah tidak berkehendak apa-apa pun dari darah dan jasad mereka. Apabila mereka telah memberi keikhlasan kepada Allah dan bersedia untuk melaksanakan perintah-Nya bererti mereka telah menunaikan kewajipan mereka dan telah melalui ujian itu dengan jayanya. Oleh itu Allah telah menebuskan jiwa Nabi Ismail dengan seekor kibas untuk disembelih sebagai ganti.

Inilah suatu peristiwa luhur yang melambangkan kemuncak hakikat keimanan,kecemerlangan, kepatuhan dan keagungan penyerahan diri kepada Allah. Ia merupakan satu peristiwa contoh yang dapat dirujuk oleh kaum Muslimin dalam menilai dan mengenali erti sebuah pengorbanan yang agung.

Betapa hidup ini membutuhkan pengorbanan...kerana sesuatu itu tidak akan dapat digapai dengan mudah tanpa melakukan sebuah pengorbanan…

Berkorbanlah, sekalipun pahit diawalnya...namun kan manis jua di akhirnya!

Salam ‘Aidil Adha buat keluarga tersayang dan salam imtihan buat rakan seperjuangan…

Teruslah menuai dan bersabar!