Sunday, February 28, 2010

Dimanakah Kehebatan Kita?



Alhamdulillah, segala pujian selayaknya untuk Rabbul 'alamin.Bersyukur juga kerana diberi peluang untuk mengikuti Kuliah Subuh yang menjadi rutin hari minggu.Kuliah subuh yang disampaikan oleh al Fadhil Us Arif (mudir SMAAM) pagi tadi cukup menyentuh jiwa dan benar-benar memberi injeksi kepada nubari yang sentiasa dahagakan siraman hujan iman.

Biasanya kuliah subuh al fadhil ustaz membincangkan Kitab Maniayatul Musooli karangan al 'Alim as Syeikh Daud bin Abdullah al Fathoni tetapi pagi tadi ustaz menyentuh sedikit tentang tema Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu "Insan Cemerlang Ummah Gemilang".

Untuk melahirkan ummah yang gemilang, sudah semestinya bermula daripada insan yang cemerlang.Ana bersetuju dengan apa yang disebutkan oleh al Fadhil ustaz yang menyatakan untuk menjadi seorang yang cemerlang dan hebat mestilah dengan Islam.Hanya dengan Islam sahaja yang mampu menaikkan martabat seorang insan itu yang dahulunya lemah dan dipandang hina sehingga menjadi seorang yang dihormati dan digeruni.

Sirah telah membuktikan kepada kita betapa Islam telah berjaya mengangkat golongan hamba menjadi golongan yang mulia.Golongan yang lemah menjadi golongan yang kuat.Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Bila bin Rabbah.Seorang hamba Habsyi yang tidak mempunyai apa-apa nilai pun di sisi orang Arab Quraisy Mekah pada masa itu.Dengan keislaman beliau, beliau dihormati oleh orang Islam yang lain dan digeruni oleh musuh Allah.Walaupun beliau diseksa dengan begitu dahsyat, beliau mampu mempertahankan keislaman beliau.Darimanakah datangnya kekuatan ini?Sedangkan beliau sebelum ini merupakan hamba yang lemah dan ditinda? Sudah tentulah ianya datang daripada ajaran Islam itu sendiri..

Teringat Kitab Risalah Talim yang dikarang oleh Imam as Syahid Hassan al Banna yang ada menyebut empat marhalah untuk mencapai daulah Islamiyyah iaitu bermula daripada fardu muslim(individu muslim), kemudian baitul muslim (rumahtangga muslim),kemudian akan melahirakan mujtama' muslim(masyarakat muslim) dan akhirnya akan membentuk daulah Islamiyyah (kerajaan Islam yang diimpikan).

Inilah juga yang disebut oleh saidina Umar al Khattab yang mengatakan "Kita ini bangsa yang dimuliakan kerana keislaman kita, jika kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka kita akan dihina oleh Allah"..

Dimanakah kehebatan kita? Tepuk dada tanya iman kita..Adakah islam kita benar-benar mantap sehingga memungkinkan kita menjadi "Insan Cemerlang" yang akan melahirkan "Ummah yang Gemilang"?Sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa..

Saturday, February 27, 2010

Insan cemerlang Ummah Gemilang


Alhamdulillah kesyukuran dirafakkan ke hadrat Illahi kerana atas limpah rahmat dan kurnianya diberi peluang untuk menyambut Maulidur Rasul di tanahair.Sambutan yang dibuat di Masjid Jami' Mersing semalam agak meriah juga.

Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan "Insan Cemerlang Ummah Gemilang" pada tahun ini diserikan lagi dengan bacaan berzanji dan ceramah ringkas oleh Ustaz Fairuz Ali Akbar, Perunding Khidmat Nasihat Jabatan Agama Islam Kota TInggi yang juga merupakan kharijin dari al Azhar Mesir.Majlis diakhiri dengan sedikit jamuan, nasi minyak berlaukkan daging masak kurma, dalca dan acar nenas.

Rasa bersyukur kerana melihat kesungguhan masyarakat mengingati tarikh lahir Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW tetapi terasa sedih juga apabila melihat qudwah hasanah yang ada pada diri baginda tidak diikuti sepenuhnya.Apakah dengan menyambut hari Keputeraan baginda sudah membuktikan kita benar-benar mencintai baginda dan menjunjung sunnah baginda?

Tepuk dada tanya iman kita...sejauhmanakah kecintaan kita terhadap baginda?

Friday, February 26, 2010

PROMAS (Program Mesra Asrama)



Gambar di atas ini dirakam semasa lawatan PROMAS (Program Mesra Asrama) oleh pegawai-pegawai Jabatan Agama Johor semalam di SMA Parit Raja.Alhamdulillah diberi peluang untuk turut sama melawat asrama sma lain untuk dijadikan panduan nanti.Ini merupakan program pertama PROMAS dan selepas ini akan diikuti oleh sma yang lain pula.Insya Allah SMA Mersing pada 30hb3 nanti..

Kalau mahu dibandingkan SMA Mersing dengan sma lain yang terdapat di Johor bagaikan langit dan bumi.Sekolah-sekolah ini mendapat bantuan kerajaan, jadi tidak hairanlah mereka mempunyai prasana yang lengkap.Nampaknya ini beban tugas yang berat untuk dipikul..Ya Allah, berilah kami kekuatan..

Tapi itu semua bukan halangan untuk kita mencapai kejayaan kan?Nampaknya banyaklah kerja-kerja yang perlu dibuat.Pemarkahan akan diambil dari segi fizikal, pengurusan dan pentadbiran asrama.

Jadi, warden kena kuatlah nampaknya barulah anak buah bersemangat..Takbir!Allahu Akbar walillah hil hamd..

Wednesday, February 24, 2010

Menghayati Sirah Rasululllah SAW



Hanya beberapa hari lagi kita akan menyambut kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW yang disenaraikan sebagai The 100 A Ranking Of The Most Influential People In History tulisan Michael Hart.

Saban tahun juga apabila menjelang tarikh 12 Rabiul Awal, umat Islam akan menyambut peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW, insan mulia yang membawa rahmat kepada sekalian alam.

Malangnya, tidak ramai di kalangan kita yang benar-benar menghayati sirah baginda SAW dan seterusnya menterjemahkannya ke dalam kehidupan seharian..

Sebabnya belum wujud perasaan kasih sayang yang tinggi terhadap Baginda sebagai Rasul utusan terakhir...

Mencintai Rasulullah SAW merupakan kewajipan bagi setiap muslim dan semuanya mengaku ingin mencintainya, namun tidak semua pengakuan itu benar dan tidak semua keinginan itu baik. Oleh kerana itu diperlukan bukti dan tanda yang dapat dijadikan dalil kebenaran pengakuan cinta terhadap Rasulullah SAW

Ini kerana apabila pengakuan tidak dibuktikan dengan dalil yang nyata, maka tentulah banyak orang membuat kerosakan dan kekacauan dengan pengakuan-pengakuan dusta, sebagaimana sabda Rasulullah saw:

(( لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لادَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ)) رواه البخاري ومسلم.

“Seandainya manusia diberikan (diterima) semua pengakuannya, tentulah ramai orang yang menuntut darah dan harta orang lain.” [HR: Al-Bukhari]

Maka wajib atas setiap muslim mengetahui bukti dan tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW dan mengamalkan serta merealisasikannya dalam kehidupan seharian mereka. Jadi, bukti dan tanda-tanda tersebut menunjukkan kecintaannya yang hakiki, semakin banyak memiliki bukti dan tanda tersebut maka semakin tinggi dan sempurna kecintaannya kepada Rasulullah SAW.

1. Mencontohi dan mengamalkan sunnah Baginda SAW

Mencontohi, mengikuti Rasulullah SAW dan berjalan di atas manhaj Baginda SAW serta berpegang teguh dan mengamalkan seluruh perkataan dan perbuatan Baginda SAW adalah tanda pertama cintakan Rasulullah SAW. Bahkan orang yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW adalah orang yang mengikuti Rasulullah SAW secara zahir dan batin serta selalu menyesuaikan perkataan dan perbuatannya dengan sunnah Rasulullah SAW.

Orang yang mencintai Rasulullah SAW adalah orang yang bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran Baginda. Ianya dizahirkan dengan mengamalkan sunnahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu dan kelazatannya sebagaimana firman Allah swt:

] قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ [

{Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga dan harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.} [Surah At-Taubah:24].

Menghidupkan sunnah dan mengikuti Rasulullah saw dalam setiap langkah kehidupannya adalah bukti kecintaan kepada Rasulullah saw sebagaimana juga menjadi bukti kecintaan kepada Allah. Allah swt berfirman:

] قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ [

{Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.} [Surah Aali Imran: 31].

Berdasarkan hal ini, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya menuntut natijah mengamalkan hal-hal yang dicintai dan menjauhi yang dilarang dan dibenci oleh Baginda SAW. Tidak mungkin ada orang yang mencintai Rasulnya adalah orang yang tidak mahu mengikuti sunnahnya atau bahkan melakukan perkara yang bercanggah dengan ajarannya dengan sengaja.

2. Banyak mengingati dan menyebutnya, kerana orang yang mencintai sesuatu tentu akan sentiasa mengingat dan menyebutnya. Sentiasa ingat kepadanya merupakan sebab kesinambungan kecintaan dan kerberterusannya.



3. Menyampaikan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah:

] إِنَّ اللهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا [

{Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.} [Surah Al-Ahzaab: 56].

4. Menyebut keutamaan dan kemuliaan serta sifat, akhlak dan perilaku utama yang Allah berikan kepada Baginda saw, juga mukjizat serta bukti kenabian untuk mengenal kedudukan dan martabat Baginda saw. Demikian juga untuk mengenalkan orang lain dan mengingatkan mereka tentang hal itu agar mereka semakin beriman dan bertambah kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Ulama’ menyatakan faedah yang boleh didapati dari Selawat ke atas Nabi SAW ialah: Seorang ketika banyak menyebut kekasihnya, mengingatinya dihati, mengingati kebaikan-kebaikan dan perkara-perkara yang boleh melahirkan perasaan cinta kepadanya maka semakin berlipat ganda kecintaannya kepada kekasihnya tersebut dan bertambah rindu kepadanya. Apabila dia tidak menyebutnya sama sekali, tidak mengingatinya dan kebaikannya, maka akan berkurangan rasa cinta dihatinya.

Apabila keadaan ini kuat dihatinya maka lisannya terus memuji dan menyebut kebaikan-kebaikannya. Bertambah dan berkurangnya keadaan ini sesuai dengan perasaan cinta dihatinya dan anggota menjadi saksi kebenaran itu dengan mengamalkannya.

Fadhilat atau kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW sangat banyak dan sangat masyhur.

5. Bersopan santun dan beradab dengan Baginda SAW baik dalam menyebut nama atau memanggilnya, kerana Allah SWT telah berfirman:


] لا تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُمْ بَعْضًا ۚ قَدْ يَعْلَمُ اللهُ الَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنْكُمْ لِوَاذًا ۚ فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ [

{Janganlah kamu jadikan panggilan (kepada) Rasulullah SAW di antara kamu seperti panggilan sesama kamu. Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang menarik diri (dari majlis Nabi saw) di antara kamu secara berselindung dan bersembunyi, maka hendaklah orang-orang yang mengikari perintah-Nya beringat serta berjaga-jaga, jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab yang pedih}. [Surah An-Nuur: 63].

Kata ulama’: Adab yang tinggi terhadap Rasulullah SAW adalah menerima sepenuhnya serta tunduk patuh kepada perintahnya. Menerima perkhabarannya dengan penuh penerimaan dan membenarkannya tanpa ada penentangan dengan pemikiran ma’qul (masuk akal), syubhat, keraguan atau mendahulukan pendapat para intelektual dan pemikiran mereka yang tidak betul, dengan hanya berhukum dan menerima, tunduk dan taat kepada Baginda SAW sahaja.

6. Berharap dan rindu untuk melihat dan berjumpa dengan Rasulullah SAW walaupun terpaksa membayarnya dengan harta dan keluarga.

Tanda kecintaan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:

مِنْ أَشَدِّ أُمَّتِي لِي حُبًّا نَاسٌ يَكُونُونَ بَعْدِي يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ رَآنِي بِأَهْلِهِ وَمَالِهِ.

“Diantara umatku yang paling mencintaiku adalah orang-orang yang hidup selepasku, salah seorang dari mereka sangat ingin melihatku walaupun terpaksa menebus dengan keluarga dan harta.” [HR Muslim].



7. Menyampaikan Nasihat untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nya dan Rasul-Nya.

Sabda Rasulullah SAW:

((الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: للهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِمْ)).

“Agama itu adalah nasihat.” Sahabat bertanya: Kepada siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan pemimpin kaum muslimin serta kaum muslimin seluruhnya.” [HR Muslim, No. 55].

Maksud nasihat untuk Nabi itu ialah beriman kepadanya, mentaati perintahnya, mengikuti sunnahnya dan mencintainya.

8. Belajar Al Quran, istiqamah membacanya dan memahami maknanya. Demikian juga belajar sunnahnya, mengajarkannya dan mencintai ahlinya (ahlu sunnah). Imam Al Qadhi Iyaad rahimahullah menyatakan: Diantara tanda-tanda mencintai Rasulullah adalah mencintai Al-Quran yang diturunkan kepadanya dan Baginda saw mengambil petunjuk dan membimbing (manusia) dengannya serta berakhlak dengannya sehingga A’isyah menyatakan:

كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ

“Sesungguhnya Akhlak Baginda SAW adalah Al Quran”. [HR Imam Ahmad].

Ibnu Mas’ud ra berkata: “Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya kecuali Al-Quran, apabila ia mencintai Al-Quran maka ia mencintai Allah dan Rasul-Nya”. [lihat: Huquq Al-Nabi 1/343].



9. Mencintai orang yang Rasulullah SAW cintai, antaranya:

a. Ahlul-baitnya (keluarga)

Imam Al Baihaqi rahimahullah berkata: “Termasuk dalam lingkungan mencintai Rasulullah SAW adalah mencintai ahli bait”. [lihat: Syu’abul Iman: 1/282].

Ulama’ lain pula menyatakan: “Di antara usul ahlus Sunnah wal Jama’ah, mereka mencintai ahli bait Rasulullah saw dan memberikan keutamaan kepada mereka serta menjaga wasiat Rasulullah SAW tentang mereka.”

Kemudian beliau juga menyatakan: “Ahlul bait Rasulullah saw memiliki hak-hak yang wajib dipelihara, kerana Allah menjadikan untuk mereka hak dalam Al-Khumus, Al fai’ (harta rampasan perang) dan memerintahkan berselawat untuk mereka bersama selawat untuk Rasulullah SAW. [lihat: Majmu’ fatawa 3/407].

c. Para sahabat Baginda SAW.

Imam Al-Baihaqi rahimahullah menyatakan: Termasuk dalam kecintaan kepada Nabi SAW adalah cinta kepada para sahabat Baginda SAW, kerana Allah telah memuji mereka dalam firman-Nya:

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلا مِنَ اللهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ

{Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka: kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka kesan dari sujud. [Surah Al-Fath: 29].

Firman Allah SWT juga:

لَقَدْ رَضِيَ اللهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ

فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

{Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pokok, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan ke atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang hampir (waktunya). [Al-Fath:18].

Kemudian beliau ra menyatakan: “Apabila mereka (para sahabat) telah mendapat kedudukan ini, maka mereka memiliki hak dari kaum muslimin untuk mencintai mereka dan mendekatkan diri kepada Allah dengan kecintaan kepada mereka. Ini kerana apabila Allah meredhai seseorang, maka Dia mencintainya dan wajib atas seorang hamba untuk mencintai orang yang Allah cintai.” [Lihat: Syu’abul Iman: 1/287].

Umat Islam wajib mencintai sahabat, meredhai mereka dan mendoakan kebaikan untuk mereka.

Rasulullah SAW bersabda:

))لا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَوَالَّذِي نَفْسِيْ بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلا نَصِيفَهُ((

“Janganlah kamu sekelian mencela para sahabatku, demi Allah seandainya salah seorang dari kamu berinfaq emas sebesar bukit Uhud, tidak akan menyamai satu mud (cupak) mereka dan tidak juga separuhnya.” [HR: Al-Bukhari]

9. Membenci orang yang Allah dan Rasul-Nya benci, memusuhi orang yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi sunnahnya dan Syariah Islam, serta membenci semua perkara yang menyalahi Syariat. Allah swt berfirman:

لا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإِيمَانَ…

{Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu ialah bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka...} [Al-Mujaadilah: 22].

Seorang mukmin wajib memusuhi kerana Allah dan berkasih sayang kerana Allah.

Demikianlah sebahagian tanda dan bukti penting kecintaan kita kepada Rasulullah SAW, semoga Allah memudahkan kita untuk memiliki dan merealisasikannya dalam kehidupan seharian kita. Wabillahi taufiq.



Rujukan:

1. Huquq An-Nabi ‘Ala Umatihi Fi Dha’il Kitab Was Sunnah, Dr. Muhammad Khalifah Al-Tamimi, Penerbit Adwaa’ Al Salaf, 1418 H,)

2. Mahabbatu An-Nabi Wa Ta’zimuhu. Fahd bin Abdullah Al-Habisyi.

3. [http://ustadzkholid.com/aqidah/bukti-dan-tanda-cinta-rasul/ ]

4. www.abuanasmadani.com

*Menurut Ketua persatuan Ulama' Antarabangsa,Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi bahawa sambutan maulid adalah sesuatu yang dianjurkan...Selamat menyambut Maulid Rasul.

Monday, February 15, 2010


Alhamdulillah, akhirnya dapat juga membaca buku ini apabila seorang teman sudi meminjamkan buku ini.Banyak penagajaran yang boleh diambil dan dijadikan pedoman untuk mereka yang akan melangkah ke alam perkahwinan...
"Penghargaan buat para suami yang membahagiakan isterinya, penghormatan buat isteri yang memuliakan suaminya..."

Di antara yang menariknya di dalam buku ini terdapat sajak yang dikarang oleh Aminah Qutb yang merupakan adik kepada as Syahid Syed Qutb yang mati di tali gantung kerana ketajaman penanya:

Sajak Aminah Qutb Buat Bakal Suami

Sekiranya
Kita cinta kepada manusia
Tak semestinya manusia cinta kepada kita
Tetapi sekiranya
Kita cinta kepada Allah
Nescaya cinta Allah tiada penghujungnya
Sekiranya
Kita cinta kepada manusia
Kita akan cemburu kepada orang yang
Mencintai orang yang kita cintai
Tetapi sekiranya
Kita cinta kepaada Allah
Kita akn turut mencntai orang yang
Melabuhkan cintanya kepada Allah jua
Ya Allah
Andainya dia adalah jodoh
Yang ditetapkan olehMu kepadaku
Maka
Campakkanlah ke dalam hatiku
Cinta kepadanya adalah keranaMu
Dan campakkanlah ke dalam hatinya
Cinta kepadaku adalah keranaMu
Namun,
Andainya dia bukanlah jodoh yang
Ditetapkan olehMu kepadaku
Berikanlah aku kekuatan agar pasrah
Dalam mengharungi ujian
Yang Kau berikan kepdaku

*Selamat membaca buku ini wat yg belum membacanya, mudah-mudahan kita dapat mengambil 1001 hikmah yang terdapat di dalamnya...

Ihtifal Sukan dan Ilmiah SMAAM 2010



Bismillah walhamdulillah, berakhir sudah Ihtifal Sukan dan Ilmiah peringkat sekolah dan selepas ini bersiap sedia pula untuk ihtifaal sukan dan ilmiah peringkat SMA Negeri Johor.Tahun ini menyaksikan pasukan Saidina Usman (pasukan biru) berjaya menjadi juara keseluruhan.

Pengalaman pertama yang dilalui sejak menjadi warga SMAAM selama 4 bulan pastinya tidak dapat dilupakan.Rasa syukur dan bangga dengan warga anak didik SMAAM yang berjaya membuktikan bahawa pelajar sekolah arab juga mampu untuk aktif di dalam bidang koku.

Dataran SMAAM bukan sahaja tempat ijtima' (perhimpunan) malah itu jugalah court untuk beriadhah.Keputusan tahun lalu mencatatkan SMAAM memperolehi naib Johan untuk semua kategori dan insya Allah tahun ini kita mensasarkan untuk menjadi johan keseluruhan.Amin...

Mudah-mudahan kalian nanti mampu membuktikan bahawa pelajar sekolah agama juga mampu untuk imtiyaz dalam semua bidang