Sunday, July 27, 2008

Ranjau Perjuangan




Dalam risalah 'Antara Masa Lalu dan Masa Kini' dalam tajuk
'Ranjau-Ranjau Di Perjalanan' Imam Hasan al-Banna telah mengatakan:

"Saya ingin terus terang menyatakan kepada kamu, bahawa hari ini dakwah
kamu ini masih belum dikenali orang ramai. Apabila mereka mengetahui dan
memahami matlamat dan tujuan dakwah ini kamu akan menerima permusuhan
dan pertarungan yang sengit dari mereka.
Kamu akan mendapati di hadapan kamu kesukaran-kesukaran dan kamu akan dihalangi oleh ranjau-ranjau.

Hanya pada ketika itulah sahaja kamu baru mula mengikuti jalan para
pendukung dakwah... adapun sekarang ini, kamu masih belum dikenali, kamu
masih dalam peringkat membuat persediaan untuk dakwah dan bersedia untuk
menghadapi perjuangan dan jihad yang dituntut oleh dakwah.
Kejahilan umat tentang hakikat Islam akan tegak sebagai rintangan di pertengahan
jalan, kamu akan mendapati ahli agama yang terdiri daripada ulama' rasmi
akan memandang ganjil pemahaman kamu terhadap Islam dan mengingkari
jihad yang kamu lakukan untuk memperjuangkan kefahaman kamu itu.
Para pemimpin, ketua-ketua orang yang rindukan kemegahan dan kekuasaan akan
menaruh dendam kesumat terhadap kamu. Kesemua bentuk pemerintah akan
tegak serentak menghadapi kamu, semua kerajaan akan berusaha membatasi
kegiatan kamu dan meletakkan rintangan-rintangan di jalanmu."

"Penyamun-penyamun ini akan memasang perangkap dengan apa cara sahaja
untuk dapat menentang kamu dan memadamkan sinar dakwah kamu. Dalam
usaha-usaha mereka ini mereka akan menggunakan kerajaan-kerajaan yang
lemah, akhlak yang rendah dan tangan-tangan yang sentiasa menadah
sesuatu dari mereka tetapi melakukan kejahatan dan permusuhan terhadap
kamu."

"Kesemua mereka akan menaburkan salah faham dan tuduhan-tuduhan kabur
terhadap dakwah kamu dan mereka akan terus berusaha untuk melemparkan
tuduhan yang mengatakan bahawa dakwah kamu itu tidak sempurna, tempang
dan songsang, sekalipun mereka melemparkan tuduhan-tuduhan itu dengan
cara yang paling kotor, menggunakan kekuatan dan kekuasaan mereka,
berlaku zalim dengan menggunakan harta kekayaan dan kedudukan mereka.
Firman Allah:

"Mereka ingin hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut
(ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayanya
sekalipun orang-orang kafir benci." (Ash-Shaff: 8)

"Tidak syak lagi kamu akan mengharung dan menghadapi perkara-perkara
tersebut dalam peringkat ujian dan cubaan, kamu akan ditangkap,
dipenjara, dibuang daerah, dipindah dan diporak-perandakan. Segala
kepentingan-kepentingan kamu akan dirampas, kerja-kerja kamu akan
dibekukan dan rumah-rumah kamu akan digeledah. Boleh jadi masa ujian ini
kamu lalui dalam satu jangka waktu yang panjang. Firman Allah:

'Apakah manusia itu menjangka bahawa mereka dibiarkan (sahaja)
mengatakan: "Kami telah beriman," sedang mereka tidak diuji."
(Al-Ankabut: 2)

"Tetapi ingatlah bahawa setelah ujian-ujian ini Allah telah menjanjikan
akan memberikan pertolongan kepada para mujahidin dan ganjaran bagi
mereka yang beramal dan berbuat baik. Firman Allah:

"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan satu
perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih, (iaitu)
kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah
dengan harta dan jiwa kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu
mengetahuinya, nescava Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan
memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai
dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga
`Adnin. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain
yang kamu sukai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang
hampir (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang
yang beriman.
Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama)
Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah berkata kepada
pengikut-pengikutnya: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku
(untuk menegakkan agama) Allah?" Para pengikutnya yang setia itu
berkata: "Kamilah penolong-penolong (agama) Allah, lalu segolongan dari
Bani Israel beriman dan segolongan (yang lain) kafir. Maka kami berikan
kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka,
lalu mereka menjadi orang-orang yang menang." (Ash-Shaff: 10-14)

"Tidakkah kamu akan tetap pendirian untuk menjadi ansarullah?"