Saturday, June 28, 2008

Mahasiswa dan Masa Depan Islam

"Masa depan tamadun Islam banyak bergantung kepada sejarah dahulu dan kini.Perancangan untuk masa depan memerlukan suatu analisis terhadap pengalaman-pengalaman yang lalu, dan mengambil kira juga pengalaman – pengalaman kini..”(Ziauddin Sardar , The Fututre of Muslim Civilization)

Pilihanraya umum ke12 yang lalu telah mencetuskan satu kejutan dalam sejarah apabila menyaksikan satu kebangkitan luarbiasa rakyat terhadap sistem demokrasi Malaysia khasnya.

Menerusi fenomena ini, dapat dikonklusikan bahawa rakyat kini mahukan satu system politik yang lebih bersifat integriti dan bukannya pragmatisme lagi.Ia juga dapat disimpulkan bahawa rakyat kini lebih matang dalam berpolitik dan mahukan satu “ governance” baru yakni, yang menekankan satu system demokrasi yang lebih telus dan adil, yang bukan hanya sekadar terfokus pada Pilihanraya Umum semata tetapi satu system demokrasi yang lebih bersifat “inclusive” , yang mana turut melibatkan kemahuan dan keputusan rakyat dalam satu-satu hal.

Dalam menangani arus perubahan yang baru dalam memerintah negara, pihak yang mewakili rakyat kini harus peka dengan perubahan pemikiran masyarakat sekeliling mereka senadainya ingin memastikan tampuk pemerintahan mereka berjaya dikekalkan.Permintaan dan kepentingan rakyat juga tidak boleh dipandang enteng kini kerana rakyat, yang umpama singa yang sudah lama tidur, kini kembali mengaum, menunjukkan kegarangnya.

Salah satu komponen dalam masyarakat yang tidak kurang pentingnya adalah kelompok mahasiswa.

Rata-rata mengetahui, kepentingan golongan mahasiswa dalam pembangunan Negara telah dikesampingkan sehingga bermulanya ledakan –ledakan pada tahun 1970-an.Kerajaan yang tika itu dipimpin oleh Barisan Nasional telah mula memandang berat akan kebangkitan golongan intelektual ini, yang dilihat mula membina imej tersendiri menerusi identity sebagai jurubicara masyarakat, mula merangka satu perencanaan untuk menyekat kemaraan golongan ini.Akta Universiti dan Kolej Universiti serta akta 174 mula diperkenalkan dengan bertujuan untuk memasung “singa-singa muda” ini dari terus memainkan fungsi mereka.

Kesannya dapat kita lihat, setelah lebih 30 tahun akta-akta tesebut diperkenalkan, maka lahirlah majoriti golongan mahasiswa yang lesu, gemar membodek, tidak punya jatidiri pendirian yang kukuh, bersifat individualistik yang melampau dan terkurung dalam budaya hedonisme yang menggila.

Tidak dinafikan, terdapat juga segelintir golongan mahasiswa yang masih punya integriti yang tinggi ,dan masih mahu ingin bertindak sebagai jurubicara meskipun ancaman dan tekanan yang dikenakan agak melampau.

Persoalannya, adakah keadaan yang mengongkong pergerakan agen perubahan negara akan terus statik sebegini?Adakah mahasiswa akan terus diperbudakkan dan dinafikan hak mereka untuk berfikir sama tentang masyarakat?Natijahnya. mahasiswa akan mula hilang dari memainkan peranan mereka dalam memikirkan secara serius perihal masyarakat dan kebejatan sosial di kalangan mahasiswa usah dihairankan lagi sekiranya semakin lesu dan parah.


Mahasiswa agen perubah masyarakat.


Umum tidak dapat menafikan bahawa perubahan permainan politik baru Malaysia sedikit sebanyak turut dipengaruhi oleh tekanan yang dikenakan oleh mahasiswa yang berani berjuang ke atas pemerintah.

Golongan mahasiswa ini berani bangkit menyatakan pendirian dan kemahuan demi kemaslahatan jangka masa panjang negara. Tuntutan demi tuntutan telahpun dicanangkan melalui pelbagai cara. Bermula dengan diplomasi sehingga terpaksa membuat demonstrasi. Namun , apabila laungan mahasiswa diendahkan sebegitu sahaja, maka, mahasiswa terpaksa menukar rentak untuk menyelamatkan keadaan yang semakin parah.Mahasiswa mula menggarangkan langkah menunjukkan keseriusan mereka dalam memikirkan hal bersabit keturunan generasi mereka pada masa akan datang.Penubuhan Parti Mahasiswa Negara, walaupun tidak berjaya bertanding di pilihanraya kali ini, sedikit sebanyak telah berjaya membuka mata masyarakat, bahawa, kita perlu bangkit dari terus diperbodohkan kerana kita mampu mengubahnya.Hasilnya, pilihanraya kali ini telah memberi tamparan hebat pada parti pemerintah dan mengetuk pintu berfikir parti tersebut bahawa, mahasiswa bukan bermain-main dan masih mampu lagi mempengaruhi rakyat.


Kini, apabila sistem pemerintahan mula berubah corak, pihak yang mewakili rakyat diharapkan agar tidak akan mengulangi langkah yang sama seperti parti pemerintah sebelum ini, di mana mereka memandang enteng tehadap pembinaan jatidiri mahasiswa.

Demi pembangunan dan kesejahteraan negara yang lebih baik, Malaysia sememangnya memerlukan lebih ramai mahasiswa yang mampu menerajui pola pemikiran masyarakat. Kita mengharapkan agar mahasiswa tidak akan terus dibonekakan sebaliknya dibantu serta dibenarkan untuk turut sama bersuara dan berfikir untuk masyarakat.Keadaannya yang berada di dalam kelompok keilmuan membolehkan mereka mengeluarkan pendapat serta pandangan berdasarkan ilmu.

Kerajaan yang terpilih, diharap dapat memberi nafas baru kepada kehidupan mahasiswa. Benarkan mahasiswa turut bersuara menerusi perbincangan menentukan satu-satu dasar Negara.Izinkan mahasiswa mempunyai hak untuk menuntut pendidikan percuma. Lepaskan mahasiswa untuk turut sama memainkan peranan dalam dunia politik.Biarkan mahasiswa kini dan akan datang menjadi lebih peka, dinamis dan berintegriti demi kehidupan sebuah Negara yag lebih baik.

Sumber: http://mawarmunawwarah.blogspot.com/